DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 16 December 2015

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 4

BAB 4
“ENCIK IQBAL nak ke mana ni? Tak nak makan tengahari dulu ke?” soal Mak Melor di dapur sebaik sahaja melihat Faiz Iqbal berpakaian segak dengan kemeja putih bertali leher merah.
            Apabila bertemu dengan klien atau menghadiri mesyuarat, Faiz Iqbal lebih selesa mengenakan tali leher berwarna merah. Merah melambangkan ‘penguasaan’. Penguasaan untuk memonopoli sesuatu keputusan. Itu prinsip Faiz Iqbal.
            “Saya nak keluar kejap. Nak jumpa client.” Faiz Iqbal mendekati Mak Melor yang sedang menanak nasi.
            “Hari cuti macam ni pun nak jumpa client ke? Rehatlah sikit.”
            “Kerja macam saya ni tak boleh rehat Mak Melor. Sebab setiap peluang yang ada saya mesti rebut. Kalau tak, melepas ke tangan orang lainlah jawabnya. Mmmm...Mak Melor masak apa hari ni?” Faiz Iqbal mengintai dibawah tudung saji. Kembang kempis hidungnya mengambil bau.
            “Hari ni istimewa sikit. Mak Melor masak asam pedas ikan pari. Dulu, masa kecik-kecik Encik Iqbal suka makan lauk ni.”
            “Betullah tu... ingat lagi Mak Melor ye. Tapi, tengahari ni saya ada lunch dengan client. Balik nanti baru saya makan,” balas Faiz Iqbal. Mengosok-gosok perutnya yang berkeroncong.
            “Balik nanti mesti Encik Iqbal dah kenyang. Sempat lagi ke nak makan?”
            “Sempat je. Lagipun, siapa yang boleh tolak asam pedas Mak Melor. Asam pedas yang betul-betul legend. Sampai menyentap, tersentap gitu!” puji Faiz Iqbal sepenuh hati. Mak Melor membalasnya dengan senyuman.
            “Petang ni Mak Melor baliklah awal. Tak payah tunggu saya. Saya balik lewat sikit,” pesan Faiz Iqbal.
            “Iyalah,” jawap Mak Mak Melor.
            Faiz Iqbal meninggalkan kondominium mewahnya. Menuruni lif menuju ke tempat parkir di aras bawah tanah. Langkahnya bersahaja. Membuka pintu kereta tanpa sebarang perasaan curiga. Tidak menyedari dua pasang mata lelaki sedang memerhati. Dua orang lelaki yang bertubuh besar didalam sebuah kereta bercermin gelap itu hanya menunggu masa yang sesuai untuk menyergah.
            “Macam mana nibro? Nak tunggu lagi ke? Dah seminggu kita follow mamat ni. Aku dah tak tahan ni. Tangan aku dah gatal ni nak pandu uji kereta dia tu,” luah lelaki ditempat duduk pemandu.
            “Sabarlah brader. Sikit lagi. Kita bagi dia makan umpan dulu... bila dah ngap, baru kita sentap,” kata lelaki bertopi hitam.
            “Umpan?” soal lelaki ditempat duduk pemandu dengan wajah yang berkerut-kerut.
            “Kau ni bengonglah. Kita tunggulah sampai dia lalu kat jalan sunyi ke apa. Macam selalu, bila dah clear... barulah kita mula projek. Itu pun kau tak boleh fikir ke?!” hambur lelaki bertopi hitam itu. Susah melayan rakan subahat yang berfikiran agak kurang cerdik. Tak ada pendirian dan taktik sendiri. Payah!
            “Aku tahulah! Kau guna ayat berbunga-bunga sangat. Manalah aku nak faham. Apa-apa pun, otak kau memang bergeligalah.” Sambung kawannya dengan ketawa.
            “Bergeliga-bergeliga jugak.Kau gerak sekarang! Nanti melepas pulak.”Mereka mula bergerak keluar dari kawasan parkir. Mengekori punggung kereta Faiz Iqbal yang mula meninggalkan kawasan parkir. Kali ini mereka mesti berjaya. Tiada lagi belas kasihan.
            Selang beberapa minit memandu, Faiz Iqbal menerima panggilan telefon. Menghentikan kenderaannya dibahu jalan. Keadaan di sekeliling nampak sunyi dan agak lengang.Hanyabeberapa buah kenderaan sahaja yang kelihatan melintasi jalan tersebut.
            “Waalaikumusalam. Datuk...” sapanya. Menjawab panggilan telefon Datuk Mazlan.
            “Ada apa Datukcall ni? Kenapa tak tunggu saya kat restoren je? Saya tengahon the way ni. Sikit lagi sampailah.”
            “I ada hal nak bagitahu you ni. Sebenarnya, I dah ada tender baru untuk projek pembinaanshopping mall kat Ampang nanti. Terlupa pulak nak cakap awal-awal,” ucap Datuk Mazlan dengan ketawa besar.
            “Apa? Tak guna punya orang tua!” jerit Faiz Iqbal. Mungkin tender yang dijanjikan dengan Ibunda Coorperation sudah diambil alih oleh syarikat pembinaan lain. Memang tak gunalah usahanya selama ini mengampu orang tua kutuk ini!
            “Apa youcakap tadi? Maaf, I tak jelas,” soal Datuk Mazlan.
             “Errrr.... tak. Maksud saya, Datuk bukak tender dengan siapa?” Faiz Iqbal ingin tahu. Cuba mengorek rahsia.
            “I dan sign agreement dengan Kenyalang Properties,” balas Datuk Mazlan. Hampir menyirap darah Faiz Iqbal mendengarnya. Kenyalang Properties musuh ketatnya. Dasar pencuri!
            “Tapi…  Datuk kan dah janji dengan saya. Lagipun kita kan dah kenal lama. Dah biasa sangat bab handleprojek yang macam ni. Kenapa Datuk pilih Kenyalang Properties pulak?” Faiz Iqbal cuba berlembut pula. Manalah tahu tiba-tiba Datuk Mazlan mahu mengubah rencana.
            “You should more understand Iqbal. Business is business, private matterI takkan masukkan dalam hal bisnes kita,” ucap Datuk Mazlan. Agak berlagak dalam nada suaranya. Mula membongkak.
            “Kalau dia boleh bagi kau perempuan, aku pun boleh bagilah! Tak guna punya orang tua kutuk!” hamun Faiz Iqbal. Segera memutuskan talian telefon. Hilang sudah kesabarannya. Telefon bimbitnya dihempaskan sekuat hati. Jatuh terlerai didasar kereta.
            Nafasnya turun naik menahan marah. Pasti orang tua kutuk itu sudah mendapat habuan dengan perjanjian yang dibuatnya. Jantan kerepot tak sedar diri! Dah berbini dua, masih lagi nakkan perempuan lain. Pantang nampak perempuan berdahi licin, habis dikebasnya. Itulah salah satu sebab Faiz Iqbal benci perempuan cantik! Makinya dalam hati.
            “Hoi, keluar sekarang!”cermin kereta diketuk berkali-kali.
            Faiz Iqbal tersentak. Dua orang lelaki bersenjatakan parang itu mengugut akan memecahkan cermin kereta jika kehendak mereka tidak dipenuhi. Wajah mereka berselindung disebalik topeng bermuka hantu. Teragak-agak Faiz Iqbal membuka pintu kereta. Terasa ngilu urat sarafnya. Di saat ini, nyawa lebih penting daripada harta-benda.
            Sebaik sahaja pintu dibuka, tubuh Faiz Iqbal direntap menghadap rapat ke badan kereta. Kedua-dua belah tangannya dilipat kebelakang. Parang tajam diarahkan ke lehernya. Bagai nyawa dihujung tanduk, Faiz Iqbal terpaksa mengeluarkan dompet dan membuang jam tangannya ke atas jalan. Mengikut arahan penyamun.
            Seorang penyamun membuka dompet milik Faiz Iqbal. Memeriksanya sebelum mencampakkan sekeping wang kertas bernilai RM10 ke atas tanah.
            “Nah! Buat tambang balik,” katanya sambil ketawa.Mereka segera memecut laju kereta mewah milik Faiz Iqbal. Meninggalkannya pemuda malang itu terkontang- kanting dibahu jalan.

“AKU nak tanya kau sikit ni?” soal Mohsin. Mengenggam bekas cincin berbaldu merah dibawah meja. Meja makan untuk kekasih yang ditempahnya semalam akan menjadi saksi lafaz cinta mereka berdua. Amat berbaloi servis di restoren mewah ini walaupun terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk gadis idamannya.
            “Tanyalah.” kata Aina Cempaka. Gadis berblaus kuning dengan skrit labuh itu membelek-belek buku menu.
            “Tapi, kau kena jujur tau?”
            “Macam mana aku nak jujur kalau kau tak tanya lagi, Encik Abang hoi?!”
            “Okey. Baik…” Mohsin menarik nafas dalam.
            “Mmmm… apa kau rasa tentang aku?”
            “Rasa ni... mesti sedap. Jomlah try!” ucap Aina Cempaka. Menunjukkan telunjuknya pada gambar chiken chop didalam buku menu. Mohsin mengeluh hampa.            
            ‘Boleh pulak mak nenek ni tak dengar apa yang aku cakap!’ rungutnya dalam hati. Tapi, tak mengapa. Mohsin perlu tenang. Jangan tergopoh-gapah. Hati Aina Cempaka perlu dijaga.
            “Iyalah tu. Kita orderyang ni,” ujar Mohsin sebelum membuat pesanan kepada pelayan.
            “Aku nak tanya kau sikit ni. Dengarlah betul-betul.” Mohsin bersuara lagi.
            “Apanya?’ balas Aina Cempaka. Acuh tak acuh.
            “Kau perasan tak? Dari kecik sampai ke besar kita berkawan. Kau tak rasa bosan ke hidup macam ni?” Mohsin cuba berbasi-basi.
            “Bosan? Taklah. Kenapa aku nak rasa macam tu pulak,” jawap Aina Cempaka terkebil-kebil. Kurang mengerti maksud Mohsin. Entah apa pula lelaki ini merepek?!
            “Kau dengan aku kan dah lama kenal. Aku cuma nak tahu...kau sayang aku ke tak? Macam...” Mohsin diam sekejap. Tangannya mengeluarkan bekas cincin daripada saku. Sudah bersedia untuk membuat kejutan.
            “Macam-macamlah kau ni. Memanglah aku sayang kat kau. Siapalah yang tak sayang abang sendiri. Kau tau tak? Kau tu dah macam abang kandung aku...tak ada kau, samalah macam tak ada aku. Apalah… itu pun mau tanya lagi ka?” kata Aina Cempaka dengan ketawa selamba. Menepuk kuat bahu lelaki dihadapannya.
            Air wajah Mohsin serta merta berubah. Niatnya hatinya automatik terbantut. Kotak cincin dikembalikan semula kedalam saku poket. Terencat misinya hari ini.
            “Aku serius ni...kau memang tak ada apa-apa perasaan kat aku ke?”Mohsin menatap dalam-dalam mata Aina Cempaka.
            “Maksud kau?” ujar Aina Cempaka. Mula tak keruan.
            “Cinta?” ucap Mohsin.
            Aina Cempaka terus terdiam. Tidak sangka soalan yang ditujukan begitu serius. Jujur, ini di luar kotak pemikirannya. Hati Aina Cempaka mula resah. Perbualan yang tadinya hanya bersahaja, kini terasa agak kekok. Makin gila dibuatnya!
            “Aku tak bermaksud macam tu. Aku memang sayang kat kau. Tapi, kasih dan sayang tu tak ubah macam abang dan adik. Kau janganlah macam ni... aku rasa kekoklah,” jelas Aina Cempaka lembut.
            “Sin...” panggil Aina Cempaka lagi. Menyentuh lengannya. Mohsin hanya diam dan tidak menunjukkan sebarang reaksi.
            “Arhhh!” Mohsin tiba-tiba bangun. Menepis jari-jemari Aina Cempaka. Menuju keluar pintu restoren. Hatinya rasa sakit. Bagaikan dipijak-pijak oleh Aina Cempaka. Sampai hati Aina Cempaka menolaknya mentah-mentah?! Sakit di hati hanya tuhan saja yang tahu.
            Aina Cempaka bingkas bangun. Berusaha mengejar Mohsin dari belakang sehingga ke tempat parkir motorsikal.
            Teringatkan kunci motor masih ada di dalam kocek seluar, Mohsin pantas menghidupkan skuter milik Aina Cempaka. Memecut laju meninggalkan Aina Cempaka dalam keadaan kebingungan.
            “Mohsin, aku tau lah kau marah! Tapi janganlah tinggalkan aku sorang-sorang kat sini. Macam mana aku nak balik!” Aina Cempaka menjerit dengan kuat. Cuba mengejar dari belakang. Namun sia-sia, kelibat Mohsin bersama skuter kesayangannya sudah berlalu jauh.
            “Hoi, pulangkan balik scooter akulah!” jerit Aina Cempaka lagi. Nafasnya tercunggap-cunggap. Tidak mampu mengejar lagi.
            Kalau diikutkan hati, mahu saja dilunyainya si Mohsin tu sampai lembik. Biar dia rasakan sakitnya hati ini.Kalau hendak pergi, pergi sajalah. Kenapa mesti dilarikan skuter barunya? Tak guna kau Mohsin! Apa boleh buat? Nampaknya terpaksalah Aina Cempaka menahan bas untuk pulang ke rumah.

AINA CEMPAKA berjalan lemah longlai menuju ke kawasan perhentian bas yang berhampiran. Sakit hatinya terhadap Mohsin masih belum reda. Jika dia jumpa lelaki itu, tahulah nanti! Nasib baik dia berjaya menahan bas untuk pulang ke rumah setelah sudah hampir satu jam menunggu.
            Keadaan bas yang agak sesak dan penuh memaksanya untuk berdiri berhampiran pintu bas. Dia memasukkan beberapa keping duit syiling ke dalam mesin wang di sebelah pemandu. Mengukirkan senyuman dan berterima kasih kepada pemandu bas setelah menerima tiket yang dikeluarkan daripada mesin tersebut.
            Menaiki bas awam pada waktu tengahari sebegini sememangnya mencabar. Tiada peluang untuk duduk kerana semua kerusi sudah penuh. Kebanyakkan kerusi dipelopori oleh warga asing. Terasa macam bukan di negara sendiri pula.
            Bas berhenti lagi. Kali ini mengambil seorang penumpang pula. Seorang lelaki berkemeja putih dengan rambutnya yang agak berserabut melangkah masuk. Aina Cempaka terpaksa memberikan sedikit ruang kepadanya diatas tangga. Membelakangkan tubuhnya dari lelaki yang kelihatan seperti warga asing itu. Takut-takut jika berselisihan badan pula. Percuma sahaja kena raba. Sungguh, Aina Cempaka tak rela!
            Tiba-tiba, Aina Cempaka terasa ada sesuatu yang bergerak-gerak di dalam skrit labuhnya. Agak geli-geliman rasa betisnya kerana tersentuh benda yang berbulu. Dia pantas berpaling.
            “Tak guna punya mat bangla! Lu buat apa dalam kain gua, hah?!”herdik Aina Cempaka lantas menyepak kuat kepala lelaki itu dengan kasut sneaker yang dipakainya. Semua mata didalam bas tertumpu ke arah mereka.
            “Adoi, sakitlah bongok!” jerit lelaki itu. Memandang tepat ke wajah Aina Cempaka. Parut didahi gadis itu ditatapnya. Sedar diri diperhatikan, Aina Cempaka menutup bekas parut dengan helaian rambutnya.
            “Lu jangan main-main sama wa. Nanti wa report sama polis baru lu tau!” tengking Aina Cempaka. Bengang dengan wajah selamba Mat Bangla yang cuba membuat gangguan seksual kepadanya. Sesuka hati nak masukan kepala dalam kain orang. Ingat dia ni siapa?!
            “Aku tak minat kat kaulah perempuan! Look at yourself...with scar on your face. I'm not interested pun.” kata lelaki itu sambil melihat wajah Aina Cempaka dengan mimik muka yang menjengkelkan. Benjolan sebesar telur ayam di dahinya mula kelihatan akibat tendangan maut Aina Cempaka.
            “Melayu rupanya...aku ingatkan kau mat bangla mana tadi?!” sengaja Aina Cempaka menguatkan suaranya. Biar lelaki itu tahu. Aina Cempaka bukannya perempuan yang senang dibuli.
            “Kau ingat kau tu cantik sangat ke? Macamlah aku tak ada kerja nak meraba kau. Hei, tolonglah angkat kain kau tu sikit! Aku nak ambik duit akulah!” jerit lelaki itu.
            Aina Cempaka terdiam. Sakit hati dengan tutur bicara lelaki dihadapannya. Dia mengangkat skritnya sedikit. Memang benar, sekeping wang kertas RM10 terlekat di celah lipatan skritnya. Aina Cempaka cuba mengambil.
            “Bak sini!” jerkah lelaki itu. Kasar. Merampas wangnya daripada tangan Aina Cempaka. Aina Cempaka tergamam. ‘Kurang ajar punya orang!’ Cemuh hatinya.
            “Harap lepas ni aku tak jumpa kau. Pervert!”jerit Aina Cempaka kuat.
            Aina Cempaka segera membunyikan loceng. Mengambil keputusan untuk turun dari bas. Menyampah pula rasanya menghadap muka lelaki ini lama-lama. Hatinya yang sakit kerana ditinggalkan oleh Mohsin tadi belum reda, kini bertambah sakit pula. Tak guna kau Mohsin! Bila jumpa lelaki itu nanti, tahulah bagaimana Aina Cempaka mahu mengajarnya.

FAIZ IQBAL membuka pintu kondominium. Wajahnya dengan wajah Mak Melor nyaris-nyaris mahu bertembung dimuka pintu.
            “Astaghfirullahazim...terkejut Mak Melor. Ingatkan siapa tadi. Ni kenapa selekeh sangat ni?” Soal Mak Melor sambil mengurut dada. Jarang dia melihat Faiz Iqbal begitu rupa. Selalunya, wajah kusut-masai itu akan kelihatan apabila dia baru bangun tidur.
            “Saya kena samun tadi. Mak Melor dah nak balik ke?” soal Faiz Iqbal agak kurang bermaya.
            “Kena samun?! Dengan siapa? Dah report polis ke belum. Encik Iqbal tak apa-apa ke ni?” soal Mak Melor berkali-kali.
            “Saya tak apa-apa. Cuma kereta kena kebas… balik tinggal sehelai sepinggang je.” keluhnya lemah. Menghempaskan tubuhnya diatas sofa. Terasa letih dan pijar urat kaki kerana terpaksa berjalan jauh.
            “Dah report polis ke belum ni? Encik Iqbal balik naik apa tadi? Jangan buat Mak Melor risau...” ulang Mak Melor.
            “Saya dah buat report, Mak Melor. Naik semput nafas ni jalan kaki pergi balai tadi. Lepas balik dari balai, saya terus naik bas. Tak cukup duit tambang rasanya kalau nak ambik teksi.” jawap Faiz Iqbal. Mengimbas kembali saat dimana penyamun tak guna itu melemparkan sekeping wang kertas RM10 kepadanya.
            Mak Melor memeriksa tubuh Faiz Iqbal. Manalah tahu kalau-kalau ada luka.
            “Kenapa dengan dahi tu? Biar Mak Melor tuamkan. Tunggukejap Mak Melor ambilkan ais,” tawar Mak Melor.
            “Tak payahlah Mak Melor. Nanti saya tuamkan sendiri. Sikit je ni… lama-lama baiklah,” pertahan Faiz Iqbal.
            “Tapi.”
            “Jangan risau Mak Melor. Saya okey je. Cuma hati ni je yang sakit. Dahlah tender tak dapat. Lepas tu kena samun pulak. Huh, naik bas jumpa pulak perempuan gila! Apalah malang sangat nasib hari ni,” rungut Faiz Iqbal sambil mencebikkan bibir. Tali lehernya dilucutkan. Rimas.
            “Tak baik cakap macam tu. Kita kena bersyukur dengan nikmat yang Allah bagi. Nasib baiklah tak patah kaki tangan. Merungut macam tu maksudnya tak bersyukur. Kufur nikmat namanya.” Agak pedas ceramah yang diberikan Mak Melor hari ini.
            “Iya, saya salah. Maafkan saya,” akui Faiz Iqbal. Mengangkat kedua-dua belah tangannya. Tak mahu berbalah lagi.
            “Tau pun. Nanti jangan lupa bagi tau kat Datin. Ke... nak Mak Melor yang bagi tau?” acah Mak Melor.
            “Eh! Tak payahlah...nanti saya bagi tau sendiri. Lagipun esok saya nak ambik cuti.”
            Sebenarnya Faiz Iqbal tidak mahu Datin Mariam risau tentang dirinya. Jika Datin Mariam tahu lagi banyaklah ceramah motivasi yang keluar daripada mulut perempuan itu.
            “Mak Melor balik dulu ye? Nanti jangan lupa tuam dahi tu dengan ais. Biar kurang sikit benjolnya,” pesan Mak Melor sebelum melangkah keluar. Faiz Iqbal hanya mengangguk dengan senyuman. Tak mahu buat Mak Melur bertambah risau.
            Faiz Iqbal melangkah ke dapur. Membuka peti sejuk dan membalut beberapa ketul ais didalam tuala bersih. Benjol didahinya dituamkan beberapa kali. Terasa sedikit lega dahinya walaupun agak pedih disentuh bungkusan ais yang sejuk. Ingatannya kembali semula didalam bas.
            “Kalau bukan sebab perempuan gila tu, tak mungkin kepala aku kena tendang macam ni. Apa?! Ingat aku ni bola ke?  Hadap sangat nak masuk kat dalam kain kau tu. Bau je wangi...tapi mulut macam longkang tersumbat!” hamunnya. Mengenang kembali haruman tubuh perempuan gila yang bertentangan mata dengannya petang tadi.

LANGKAH kaki Aina Cempaka tidak keruan. Menyelak langsir tingkap diruang tamu berkali-kali dengan penuh harapan. Hatinya tidak menentu. Marah, gelisah semuanya ada.  Dari petang tadi sampai ke malam kelibat Mohsin tidak juga muncul-muncul.
            “Manalah dia ni pergi? Kalau ye pun, pulangkanlah motor aku balik!” gomel Aina Cempaka sendiri.
            “Sudahlah tu. Nanti, besok lusa mesti dia datang. Kau duduk terpacak tunggu kat situ buat apa? Just relax. Ni tak, dah macam orang mati laki je aku tengok,” kata Suzy. Mengunyah kerepek pisang sambil berbaring di atas sofa. Matanya tidak lepas sesaat pun memandang kaca televisyen.
            “Kau ingat senang ke nak dapat scooter tu?limited edition tau...bukan calang-calang orang dapat beli. Entah-entah dia dah jual scooter aku kat besi buruk. Dah tu macam mana aku nak kerja esok? Arhh! Aku rasa macam nak menangis airmata darah je,” rungut Aina Cempaka sambil mengetuk-getuk tangan ke dinding. Macam filem Hindustan pun ada.
            “Takkanlah dia nak buat macam tu. Aku tak percaya la. Lagipun dia kan memang dah berduit. Boleh beli kapal selam lagi. Kau nak risau sangat kenapa?” balas Suzy sambil ketawa.
            “Sampai hati kau gelak. Tak kelakarlah!” pintas Aina Cempaka. Merajuk.
            “Alahai! Cakap sikit je sentap. Lagak je brutal tapi sensitif kot. Itulah kau...elok-elok dah ada orang nak kau tolak. Kalau aku la kan, aku takkan lepaskan lelaki sebaik Mohsin tu tau. Macam Lee Min Ho dalam cerita ni. Dahlah caring, kaya pulak tu. Mmmm…so sweet. Kalau aku jumpa lelaki macam ni, confirm tak cari yang lain,” ucap Suzy penuh perasaan. Merenung sepenuh hati wajah pelakon Korea Selatan kegilaanya dikaca televisyen.
            “Kau ni tak habis-habis dengan drama Korea. Tak jemu ke? Macamlah... siapa? Man Ho?”
            “Lee Min Ho lah!” perbetul Suzy.
            “Hah! Macamlah si Lee Min Ho tu boleh terjun keluar dari TV tu... bawak kau balik ikut dia ke Korea. Boleh kahwin lepas tu beranak-pinak kat sana!” usik Aina Cempaka pula. Mengambil tempat duduk di atas sofa.
            “Aku pulak yang kena?” balas Suzy. Mereka ketawa serentak. Hilang sekejap rasa marah Aina Cempaka.
            “Kenapa kau tolak lamaran Mohsin? Aku rasa korang macam secocok je,” soal Suzy sebaik sahaja ketawa mereka mula reda. Aina Cempaka terkelu sebentar. Teringatkan kejadian petang tadi hatinya berkecamuk. Bukannya dia tak rasa bersalah. Apa yang Aina Cempaka katakan  pada Mohsin itu betul. Jujur dari dalam hati. Dia takkan menipu mengenai perasaannya sendiri.
            “Aku tak tau. Aku rasa macam. Macam… peliklah.”
            “Apa yang peliknya?”
            “Peliklah sebab aku tak pernah rasa perasaan tu...”
            “Cinta?” sambung Suzy. Aina Cempaka mengangguk perlahan.
            “Apalah kau ni? Cinta tu boleh dipupuk. Kau cubalah kenal hati dia lebih dalam.”
            “Aku dah lama kenal dia.” sampuk Aina Cempaka.
            “Selain mak aku, dia sorang je abang yang aku ada kat dunia ni. Aku tak pernah terfikir sejauh tu dan… tak mungkin kut. Sebab dia dah jadi sebahagian dari hidup aku. Aku dah banyak terhutang budi kat dia.” Airmata Aina Cempaka mula bergenang.
            “Aku berguraulah ajelah. Janganlah emo sangat. Aku tau perasaan kau. Aku pun anak tunggal... macam kau,” pujuk Suzy. Hatinya mula sebak apabila Aina Cempaka cuba membangkitkan kisah silamnya.
            “Aku okeylah.” Aina Cempaka memeluk erat tubuh Suzy. Bunyi loceng mengejutkan mereka berdua. Mungkin ada yang bertandang.
            “Tak apa, biar aku yang tengok. Aku rasa Mohsin tu,” kata Aina Cempaka. Menawarkan diri membuka pintu.
            Sebaik sahaja pintu rumah dibuka, hanya bunyi deruman kereta yang kedengaran meninggalkan perkarangan rumah. Skuter berwarna biru muda kini berada dihadapan pagar utama. Hati Aina Cempaka melonjak kegembiraan. Tergesa-gesa mengenakan seliparnya dan berlari keluar dari pintu rumah.
            Syukurah! Skuternya sudah kembali. Nasib baik kuncinya juga masih ada. Aina Cempaka berasa lega. Diatas seat skuternya terdapat sejambak bunga lily berwarna kuning bersama sekeping kad kecil bertulis tangan. Pantas Aina Cempaka membuka dan membacanya.
            Aku bergurau je petang tadi. Tak ada niat pun nak takutkan kau. Kau ingat aku nak sangat ke mak nenek macam kau tu?Kelakarlah kau ni. Ambiklah bunga ni tanda mintak maaf, boleh?
                                                                                                Maaf dari Sin
            “Kelakarlah sangat buat lawak macam ni. Tinggalkan aku, lepas tu larikan scooter aku macam tak ada apa-apa. Buat aku suspen je...” rungut Aina Cempaka dengan senyuman.

            Lega rasanya jika lelaki itu tidak terasa dengan kata-katanya. Nasib baik dia hanya bergurau. Jadi, tidak perlulah Aina Cempaka berfikir panjang lagi. Buat penat otak. Malam ini, dia perlu mendapatkan rehat yang secukupnya untuk memulakan kerja esok. Bangga dapat bergelar sebagai seorang setiausaha lagi.

No comments:

Post a Comment