DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 21 December 2015

TANYA DIA TENTANG CINTA - BAB 10

BAB 10

KELUAR dari bilik, kakinya terus diayunkan menuruni mata tangga dan berjalan menuju ke dapur. Terpandangkan mamanya yang sedang sibuk mengeluarkan sesuatu dari peti ais, mamanya itu dihampiri.
“Mama buat apa?” tegurnya sambil menjengah barang-barang yang sudah diletakkan ke dalam besin kecil.
Puan Syarifah Zainora mendongak. Anak gadisnya itu dikerling. “Nak masaklah. Dah pukul berapa dah ni.”
Puteri buang pandang ke arah jam dinding. Melihat jarum jam yang sudah menunjukkan pukul 10.30 pagi, dia tersengih. Barulah sedar kenapa mamanya beriak begitu.
“Baguslah tu anak dara bangun lambat,” bebel Puan Syarifah Zainora terus berdiri tegak. Anak gadisnya itu dipandang tajam. “Puteri kan dah nak jadi isteri orang, tak sampai tiga bulan pun lagi. Cubalah berubah. Dah kahwin nanti, kalau matahari dah naik baru nak bangun, siapa yang nak uruskan makan minum suami?”
Sengih Puteri menjadi semakin lebar. Rambutnya diraup. Bukan dia sengaja hendak bangun lewat. Gigih berchating dengan Zaza yang sekarang berada di London sampai tidak sedar waktu sudah menginjak pagi. Dia tidur pun selepas solat Subuh pagi tadi. Kalau diikutkan, memang tak lalu lagi nak buka mata, tapi mengenangkan perut sudah berbunyi minta diisi, dia bangun juga.
Tiba-tiba Puteri teringatkan Ziyad. Sejak bertunang dengan lelaki itu dua minggu lepas, tunangnya itu senyap sahaja. Ketika majlis pertunangan mereka pun tidak nampak batang hidung Ziyad. Frust tertonggenglah tu kena kahwin dengan aku. Nasib baik papa mendengar cadangannya supaya tempoh perkahwinannya dengan Ziyad dilanjutkan ke tiga bulan daripada perancangan asal dua bulan. Sekurang-kurangnya, dia masih ada waktu lagi untuk bernafas sebelum terkurung dalam sangkar buatan Ziyad!
Sorry, ma. Chem chat dengan Zaza sampai ke pagi, sebab tulah lewat bangun,” ucap Puteri membela diri dengan muka minta simpati.
Puan Syarifah Zainora menggeleng. Dia terus berjalan menuju ke singki dan besen di tangannya diletakkan di tepi singki.
“Macam-macam alasan,” bebel Puan Syarifah Zainora lagi.
“Nak masak apa ma?” Puteri turut merapati mamanya. Sengaja hendak mengambil hati supaya mama berhenti membebel lagi.
“Papa suruh buat ayam percik.” Puan Syarifah Zainora mengambil ayam dan diletakkan ke dalam singki.
“Oh, ya, papa mana, ma? Chem tak nampak pun papa dekat luar tadi.”
“Papa pergi joging dengan Abang Zakuan.” Sambil berbicara, ligat tangannya memotong bunga kubis untuk dimasak sayur campur.
“Amboi papa, sekarang ni rajin betul pergi berjoging. Entah-entah ramai awek cun kat taman tu. Kenapa mama tak ikut sekali?” usik Puteri dengan tawa kecil di bibir.
Puan Syarifah Zainora terus beristighfar panjang. Puteri di sebelahnya dikerling.
Astaghfirullahal'azim, ke situ pulak dia,” marahnya sambil bahu anak gadisnya itu ditepuk kuat. Memang menggugat iman betul ‘statement’ Puteri tadi. Maklumlah, suaminya itu walaupun sudah menjangkau hampir ke usia 60 tahun, tapi masih kelihatan segak lagi.
Puteri tergelak lepas. Bahu Puan Syarifah Zainora dipeluk pula. “Chem gurau ajelah ma. Papa sayang mama tau. Papa selalu cakap, mama isteri yang terbaik,” pujuk Puteri lembut.
Puan Syarifah Zainora mencemik. “Dah, tepi, mama nak potong ayam tu.”
“Biar Chem potong.” Puteri terus menawarkan diri dengan niat untuk memujuk. Melihat riak mamanya saja dia tahu mama masih marah lagi dengan kata-katanya tadi.
Puan Syarifah Zainora menoleh memandang anak gadisnya itu lama. Sungguh tidak percaya kata-kata itu lahir dari bibir comel itu.
“Biar Chem yang buat. Lagipun, Chem nak belajar memasak dengan mama,” ucap Puteri sambil lempar senyum.
Hurmm... sekarang baru sibuk nak belajar? Selama ni kalau mama bising, Puteri cakap mama kuat membebel. Ha, bila dah nak jadi isteri orang baru tahu menggelabah. Kesian Ziyad dapat isteri tak pandai masak,” kutuk Puan Syarifah Zainora selamba.
Puteri mencemik.
“Ha, buat muka macam tu kalau mama cakap!” marah Puan Syarifah Zainora pula.
“Alah, ma, Chem bukan tak pandai masaklah. Pandai aje, cuma lecehlah nak masuk dapur dan buat kerja-kerja macam ni,” balas Puteri membela diri.
Puan Syarifah Zainora terus membetulkan tubuhnya. Anak gadisnya itu dipandang dengan gelengan.
“Wahai Cik Puteri Chempaka Emelyn sayang, kalau nak tahu, cara yang paling berkesan untuk memikat hati suami adalah dengan masakan selain layanan di tempat tidur. Tahu?”
“Ma!” jerit Puteri perlahan. Ada sampai ke situ pula mamanya itu membebel. Panas muka mendengar kata-kata mama tadi. Malu tak terkata.
“Mama cakap perkara yang betul.” Tekan Puan Syarifah Zainora lagi mengiakan kata-katanya.
Malas hendak melayan kata-kata mamanya lagi, Puteri terus buka langkah.
“Nak ke mana pulak tu? Tadi kata nak tolong mama potong ayam ni?” Terangkat kening Puan Syarifah Zainora memandang anak gadisnya itu. Kepalanya digelengkan.
Puteri tersengih. “Biar Chem breakfast dulu ya, ma. Dah isi perut baru boleh buat kerja,” balasnya dan terus berjalan menuju ke meja makan.
Tudung saji dibuka. Terpandangkan nasi goreng kampung kegemarannya di dalam mangkuk, dia terus duduk. Pinggan di atas meja dicapai dan nasi goreng kampung tersebut disendukkan ke dalam pinggan.
“Nak air Milo tak?” Walaupun geram dengan perangai anak gadisnya itu, Puan Syarifah Zainora tetap juga bertanya.
Puteri menggeleng. Tangannya diangkat. “Tak apa, ma. Nanti Chem buat sendiri.”
Nasi goreng terus disuapkan ke mulut. Usai makan, dia terus bangun dan berjalan menuju ke peti ais pula. Pintu peti ais dibuka dan susu segar di dalam botol dicapai. Susu segar tersebut dituangkan ke dalam gelas sebelum dihirup sehingga habis.
“Okey, biar Chem potong ayam tu,” ucap Puteri sebaik Puan Syarifah Zainora dihampiri semula.
Baru sahaja Puan Syarifah Zainora ingin membalas, telefon rumah berbunyi. Dengan spontan, dia terus menoleh keluar walaupun telefon tersebut letaknya di sudut tangga dan tidak akan nampak dari situ.
“Biar mama jawab. Puteri potong ayam tu dulu,” suruh Puan Syarifah Zainora dan terus bergegas keluar.
Tidak menjawab, Puteri hanya memandang sahaja langkah mamanya itu. Sebaik kelibat Puan Syarifah Zainora hilang daripada pandangan, dia berpaling memandang ayam di dalam singki itu semula dengan muka berkerut-kerut.
“Oh ayam, macam manalah aku nak potong kau,” gumam Puteri perlahan.
Ayam yang sedang elok terletak di dalam besen itu dicuit. Lembik saja. Oh, geli! Tiba-tiba Puteri terfikirkan sesuatu. Dia terus bergerak menuju ke kabinet berhampiran peti ais. Pintu kabinet dibuka dan mencari sesuatu. Sebaik matanya terpandangkan barang yang dicari, perlahan-lahan bibirnya menguntum senyum. Barang tersebut dicapai dan dia mula buka langkah menuju ke singki semula. Sarung tangan plastik yang diambilnya tadi disarungkan ke tangan. Pisau yang sederhana besar dicapai pula.
“Okey, misi kita bermula encik ayam!” gumam Puteri lagi dengan senyuman. Ayam tersebut dicapai dan diletakkan di atas papan pemotong dan wachaaa!
See, tak adalah susah mana pun nak potong kau. Pandai jugak kau, Chem. Mama aje yang tak percayakan aku,” bisik Puteri perlahan. Ayam yang sudah dicincang tadi dimasukkan ke dalam besen semula untuk dibasuh.
“Dah siap?” tanya Puan Syarifah Zainora sebaik anak gadisnya itu dihampiri. Puteri menoleh dan tersenyum.
Done, ma,” ucap Puteri bangga.
Puan Syarifah Zainora terus menalakan pandangannya ke arah ayam yang sudah dipotong tadi dan...
Astaghfirullahal'azim, Puteri!” jeritnya perlahan sambil beristighfar panjang. Kepalanya digelengkan. Hancur ayam itu dikerjakan. Bertuah punya anak!


ENCIK SYED Rahman ketawa mengekek-ngekek mendengar cerita isterinya. Anak gadis yang sedang masam mencuka di sebelahnya dipandang. Puteri memang tidak pernah dilatih untuk melakukan kerja-kerja di dapur. Walaupun dia tahu anak gadisnya itu bukannya kayu sangat ketika di dapur, tetapi bab yang berkaitan dengan masak-memasak memang Puteri fail!
Ayam yang terletak elok di atas meja itu dipandang lagi. Perlahan-lahan kepalanya digelengkan. Puteri, Puteri... bisiknya dalam hati bersama senyuman.
“Pa, tak baik gelakkan Chem tau!” marah Puteri apabila tawa Encik Syed Rahman seolah-olah tidak mahu reda. Papanya itu direnung tajam. Garpu di tangan dicucukkan ke dasar pinggan. Geram!
Melihat wajah anak yang sudah cemberut, Encik Syed Rahman angkat tangan mengalah. Nafasnya dihela untuk menghentikan tawa.
“Papa bukan gelakkan Chem, tapi apa yang mama ceritakan tu memang kelakar,” balas Encik Syed Rahman. Apa tidaknya, sampai tak berbentuk ayam, anak gadisnya itu kerjakan. Dicincang ikut sesedap rasa sahaja. Entah mana kepak, entah mana paha pun dia tidak tahu. Yang paling kelakar, siap pakai sarung tangan setakat nak potong seekor ayam. Dari manalah Puteri belajar agaknya. Ya Allah, anak gadisku.
Puteri tarik muka. Sungguh tidak puas hati! Apa yang mama dan papa kecohkan agaknya, walau macam mana pun ayam itu dipotong, tetap juga boleh makan. Lagipun, bukannya nak dihidangkan kepada sesiapa. Hanya mereka tiga beranak aje yang makan. Itu pun mama nak berkira. Siap buat cerita lawak lagi depan papa. Hesy, memalukan betul. Hilang vogue seorang Puteri Chempaka Emelyn tengah hari itu hanya kerana tidak pandai potong ayam!
“Tak payah buat muka macam tu. Mulai esok, balik kerja aje tolong mama dekat dapur. Belajar memasak. Mama tak nak nanti Ziyad rasa rugi kahwin dengan Puteri. Lagipun, setakat muka lawa bukannya boleh buat kenyang.” Keras Puan Syarifah Zainora memberi arahan. Kali ini memang dia tidak akan bagi muka. Dulu-dulu kalau Puteri mengadu penat dia akan beri kelonggaran, tetapi kini... sorry! Tidak lagi.
Uisy, kata-kata mama memang menikam sampai ke jantung hati. Memanglah muka lawa tak boleh buat kenyang, tapi dengan muka lawa yang dia miliki, dia boleh mengada-ada. Boleh minta apa saja. Lagipun, siapa tak suka dapat isteri lawa beb. Hal-hal lain belakang kira.
“Betul cakap mama tu. Mulai sekarang, Puteri kena belajar memasak. Kalau nanti pergi rumah mentua dan mentua suruh masak tak pandai, buat malu aje. Bukan Puteri aje malu, kami pun malu jugak. Dah tentu-tentu keluarga mentua kata kami tak pandai ajar anak,” sampuk Encik Syed Rahman pula mengiakan kata-kata isterinya.
Puteri terdiam. Pandangannya dibuangkan ke pinggan. Nasi di dalam pinggan dikais-kais tanpa perasaan.
“Lagipun Ziyad pun dah kata, lepas kahwin urusan rumah Puteri yang kena buat sendiri. Kalau tak pandai masak, nak bagi suami makan apa? Hari-hari setakat nak makan telur goreng aje ke? Silap hari bulan, suami cari calon lain. Melopong Puteri nanti,” sambung Encik Syed Rahman lagi menasihati apabila anak gadisnya sudah buat riak tidak puas hati di sebelahnya.
“Faham tak cakap papa tu?” Tekan Puan Syarifah Zainora pula.
Puteri mengangguk perlahan. “Okey, mulai esok Chem belajar masak,” ucapnya seakan-akan berjanji. Perlahan sahaja nada suaranya.
“Jangan cakap aje, tapi tak buat.”
“Ya ma, Chem janji.”
Encik Syed Rahman tersenyum lagi. Bukan tidak kasihan, tetapi inilah masanya Puteri belajar. Menjadi isteri bukan mudah. Lebih-lebih lagi kalau isteri yang dilantik sepenuh masa menjaga rumah tangga. Sebab itulah dia sangat-sangat menghargai apa sahaja yang telah dilakukan isterinya. Dia tahu Puan Syarifah Zainora sudah banyak berkorban untuknya dan anak-anak. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia mengambil orang gaji untuk meringankan beban isterinya itu, tetapi keras ditolak. Isterinya takut agaknya kalau hatinya berubah arah kepada pembantu rumah yang muda. Memikirkan itu, tiba-tiba bibirnya menguntum senyum.
“Abang masih sayangkan awak Zai. Awaklah satu-satunya,” bisik Encik Syed Rahman dalam hati sambil mata tancap memandang isteri yang sedang leka menikmati ma

No comments:

Post a Comment