PUTERI mencapai telefon bimbit di atas meja dan nombor Adif terus didail. Kedengaran lagu Anuar Zain, Ajari Aku, beralun nyaring di telinganya. Dasar mamat jiwang. Bila dituduh macam tu, tak nak mengaku! kutuknya sambil tersengih. Nampak bukan main ganas, tapi hati penuh bunga. Nasib baik tak lembut macam agar-agar, Dif. Gelak Puteri pula. Lama menunggu, akhirnya panggilannya bersambut.
“Kau kat mana?” soal Puteri dengan nada suara yang sudah naik seoktaf.
“On the way, dear. Baru melepasi jammed ni.” Kedengaran tegang suara Adif di telinganya.
“Takkan datang rumah aku pun jammed? Nampak benor tipunya!” bebel Puteri lagi dengan cemikan.
“Entah ada perarakan apa depan tu tadi. Stres aku! Dah dekat sejam aku sangkut,” bebel Adif sambil melepas keluhan.
“Perarakan orang kahwin eh?” gelak Puteri lagi.
“Entah, orang mati kut!”
Bila suara Adif sudah kedengaran agak keras, tahulah dia Adif sedang bengang.
“Hurm...” keluh Puteri pula. Hanya itu yang mampu terluah dari bibirnya. Lagipun, kalau dah jammed, nak buat macam mana. Hadaplah kau Dif walau kau tak suka.
Adif mengeluh lagi. Sesak dengan keadaan itu. “Sorry, Chem, aku tahu aku dah lambat, tapi rasanya lagi 15 minit aku sampai kut,”
“It’s okaylah Dib, nanti aku beritahu papa dan mama yang kau on the way. Dia orang mesti tak kisah punya.”
“Malulah nak jumpa bakal mentua macam ni. Dah janji, tapi lambat.”
“Ngek kau jumpa mentua!” balas Puteri dengan suara sedikit tinggi.
Adif tergelak lepas.
“Betullah, dear.”
“Perasanlah kau! Dah, tak payahlah nak merapu. Cepat sikit, aku dah lapar ni.” Lancar saja Puteri membebel.
Gelak Adif semakin menjadi-jadi.
“Kereta aku kereta cabuk aje tuan Puteri oii... Nak cepat macam mana?”
“Banyaklah kereta cabuk! Civik tulah nok!” balas Puteri kasar.
Dengan Adif, bahasanya memang tak pernah dijaga. Adif pula tak pernah kisah dia bergurau kasar begitu.
Makin besar gelak Adif mendengar kutukan Puteri.
“Civik pun zaman tok kaduk punyalah, dear.”
“Dah! Dah! Tak payah nak buat lawak antarabangsa dengan aku. Lawak kau tak laku kat aku.” Cepat Puteri membidas.
“Kejap lagi aku sampai. Kau jangan makan dulu, nanti tak ada siapa nak teman aku,” balas Adif dengan gelak yang masih bersisa.
“Yalah, tahulah aku. Lagipun, macam tak biasa. Poyo betul!” bebel Puteri lagi.
Kedengaran kuat Adif mengekek.
“Okeylah, tak nak kacau kau drive. Apa pun take care, nanti jadi apa-apa kau salahkan aku pulak.”
“Thanks, dear.”
Puteri tersenyum dan talian terus dimatikan.
Encik Syed Rahman mengangkat kening sebaik anak gadisnya itu duduk di hadapannya.
“He’s on the way.” Puteri bersuara mengerti maksud pandangan mata papanya itu.
Encik Syed Rahman mengangguk. Pandangannya ditalakan ke arah buku bacaannya semula.
“Kenapa Adif lambat? Selalunya tak pernah lambat,” soal Puan Syarifah Zainora pula.
“Sangkut jammed.” Selamba Puteri membalas sambil jemarinya ligat menekan remote TV di tangan.
“Nak ke rumah kita pun jammed?” soal Puan Syarifah Zainora dengan gelak kecil di bibir.
“Entah, dia kata ada perarakan masa on the way tadi. Chem pun tak tanya. Malas.”
“Perarakan bersih tu kut,” sampuk Encik Syed Rahman tiba-tiba.
Puan Syarifah Zainora berpaling memandang suaminya. “Tak sudah-sudah lagi dengan kerja-kerja membersih tu ya,” sinis Puan Syarifah Zainora bersuara.
Encik Syed Rahman hanya berdeham sahaja. Malas hendak memanjangkan cerita agaknya. Isu sensitif tu!
“Puteri, cuba duduk elok-elok sikit. Tak senonoh anak dara duduk macam tu!” tegur Puan Syarifah Zainora agak keras apabila melihat anak gadisnya duduk berbaring di sofa satu seat dengan kakinya menjulur di tepi tebing meletak tangan sambil digoyangkan kedua-dua kakinya. Seronok sangat agaknya mendengar lagu Korea yang sedang ditayangkan di kaca TV ketika itu sampai kakinya turut digerakkan mengikut irama lagu tersebut.
“Puteri!” jerit Puan Syarifah Zainora apabila tegurannya tidak diendahkan.
“Alah, ma, bukan terkangkang pun.” Selamba Puteri membalas. Kakinya masih digoyang-goyangkan seperti tadi. Langsung tidak ambil kisah teguran mamanya.
Puan Syarifah Zainora menggeleng. Anak gadisnya itu dijeling dengan ekor matanya. Memang jenis kuat menjawab! Dia terus bangun untuk menuju ke dapur. Sampai sahaja di sisi Puteri, kaki anak gadisnya itu ditepuk.
“Maa...” Puteri terjerit kecil.
Langkah Puan Syarifah Zainora terhenti. “Duduk elok-elok!”
Puteri mendengus sambil tarik muka. Duduknya dibetulkan. Itu pun tak boleh. Bukan ada orang lain pun! bebelnya dalam hati.
“Melawan!” sergah Puan Syarifah Zainora sambil buka langkah. Tahu benar perangai anak gadisnya itu.
“Mana adalah,” nafi Puteri bersungguh walau memang betul pun dia melawan.
Encik Syed Rahman yang memerhati sedari tadi hanya tersenyum sahaja. Kepalanya digelengkan. Isteri dan anak gadisnya memang begitulah. Pantang berjumpa, pasti ada saja yang digaduhkan, tapi kalau senyap saja, tak meriah pula hidupnya.
“APA KHABAR uncle. Maaf, lambat,” sapa Adif mesra sambil tangan Encik Syed Rahman disalami.
“Alhamdulillah sihat. Jammed teruk ke?” tanya Encik Syed Rahman dengan senyum terukir di bibir.
“Agak teruk jugaklah. Tak bergerak langsung.” Bersungguh Adiff bercerita.
Encik Syed Rahman tergelak. “Itulah orang kalau tak ada kerja cari kerja. Menyusahkan orang lain aje. Dah, mari masuk.”
Adif hanya tersengih saja dan terus mengekor langkah lelaki separuh umur di hadapannya itu.
“Kau duduk dulu eh, aku tolong mama aku kat dapur jap,” ucap Puteri sebaik Adif duduk di sofa, menghadap papanya.
Tidak menjawab, Adif hanya mengangguk sahaja dengan bibir menguntum senyum.
Encik Syed Rahman cuma mampu menggeleng sahaja. Kasar sangat bahasa anak gadisnya itu kedengaran di telinganya. Beraku dan berkau begitu. Bukan tidak pernah ditegur, tapi tegurannya langsung tidak diendahkan. Puteri, Puteri... Dibuatnya Adif tu macam sepupu-sepupu dia saja, padahal Adif tu enam tahun lebih tua daripadanya.
“Puteri beritahu uncle, Adif baru balik dari Dubai. So, famili apa khabar?” soal Encik Syed Rahman ramah.
Adif tersenyum. “Alhamdulillah, umi dan abi saya sihat.”
Encik Syed Rahman mengangguk. “Lama ke balik sana?”
“Seminggu aje, uncle. Tak dapat cuti panjang,”
“Tak apa, yang penting dapat jengah famili. Sudahlah duduk jauh.”
Adif mengangguk mengiakan.
“Pa, makanan dah siap!” laung Puteri dari ruang makan.
Encik Syed Rahman berpaling dan menggeleng. Main laung-laung sahaja.
Mengerti riak yang Encik Syed Rahman tunjukkan, Adif simpan senyum. Dia sudah biasa sangat dengan perangai Puteri seperti itu.
“Mari Dif,” ajak Encik Syed Rahman lembut dan terus bangun daripada duduknya.
Tidak menjawab, Adif hanya mengangguk sahaja dan turut bangun.
“Makan, Dif,” pelawa Puan Syarifah Zainora sebaik suaminya, Adif dan Puteri mengambil tempat duduk masing-masing.
Adif tersengih dan mengangguk.
“Amboi, ma, pelawa Adif aje ke. Chem yang depan mata mama ni mama tak pelawa pun,” celah Puteri sambil tarik muka.
“Pelawa Puteri buat apa, selalu makan tak payah pelawa, pandai aje nak ambil sendiri,” balas Puan Syarifah Zainora selamba, sengaja mengusik anak gadisnya itu.
Puteri mendengus. Encik Syed Rahman tergelak kecil. Adif tersengih.
“Usah dilayan mak dan anak tu, Dif. Memang begitulah selalunya. Tapi, kalau tak bergaduh, sunyi pulak rumah uncle nanti,” seloroh Encik Syed Rahman sambil membuang pandang ke arah anak muda di sebelah kanannya itu.
Adif turut tergelak kecil. Dia faham sangat. Dengan perangai Puteri yang keanak-anakan itu, memang seronok ajak bergaduh. Dia pun selalu mengusik semata-mata hendak bertikam lidah.
“NAH, HADIAH untuk kau.” Selamba dan tidak bernada Adif menuturkan kata-katanya. Bungkusan di tangannya dihulurkan ke arah gadis itu.
Puteri mendongak, kemudian tersengih. Huluran Adif disambut.
“Thank you.”
“Dapat hadiah, sengih,” kutuk Adif sambil simpan senyum.
“Eh! Of course. Bukan senang kau nak bagi hadiah. Kau tu jenis kedekut!” bidas Puteri pula.
Adif tergelak kecil. “Bukan kedekutlah, dear, tapi kalau nak bagi sesuatu, biarlah benda tu jenis yang susah nak dapat dan boleh meninggalkan kenangan,” balasnya membela diri.
Puteri mencemik. “Kenangan konon,” kutuknya pula.
Selama ni aku cuma dapat kotak muzik antik dengan ukiran kristal berbentuk hati, sebuah lukisan tangan seorang perempuan sedang bermain piano, itu pun bersaiz A4 yang dibingkaikan dengan bingkai perak. Manakala yang lain-lain cuma key chain negara-negara yang kau singgah, Dif. Kenanganlah sangat! bebelnya dalam hati.
“Betul apa. Okey, kalau tiba-tiba aku mati, bukankah barang-barang yang aku bagi kat kau selama ni akan jadi kenangan? Cuba kalau aku bagi perfume, lepas kau habis pakai kau buang aje botolnya. Kalau aku bagi beg atau anything similar, bila dah rosak, mesti kau buang. So, no memories at all, sebab itulah aku bagi something yang kau akan simpan dan sayang.” Panjang lebar Adif mempertahankan apa yang diperkatakan tadi.
“Alah, bukannya kau nak mati esok pun.” Selamba Puteri membalas.
Adif menggeleng. “Dear, mati ni boleh berlaku bila-bila masa aje tau. Masa aku tengah bercakap dengan kau ni, kalau tiba-tiba Allah nak tarik nyawa aku, matilah aku. So, tak baik cakap macam tu. Dah lupa maksud perkataan kunfayakun yang pernah aku terangkan dulu?” soal Adif mengingatkan.
Puteri terdiam, terus mati kata-kata hendak membalas. Sedar diri kerana dah terlepas kata. Dengan pak ustaz sorang ni memang jangan diajak berbalah. Memang kalahlah dia. Suasana terus menjadi hening tiba-tiba.
“Bukalah hadiah tu,” suruh Adif lembut. Sengaja hendak memancing suara gadis yang sudah mula membisu di hadapannya itu.
Puteri kalau ditegur bab-bab agama, memang macam tu. Dari mulut yang macam bertih jagung, terus jadi macam orang bisu.
Puteri akur. Kotak empat segi kecil yang dibungkus itu dibuka. Sebaik melihat isi kandungannya, Puteri terus berpaling memandang Adif.
“Suka tak dengan hadiah aku tu?” soal Adif sambil tersenyum.
Puteri tersenyum nipis. Kepalanya dianggukkan perlahan.
“Macam tak suka aje,” duga Adif apabila melihat riak Puteri yang sudah mula berubah.
“Suka! Suka! Suka!” Berpatah-patah Puteri menjawab. Sengih pula bukan main lebar lagi.
“Batu pada kerongsang tu adalah batu Ruby. Warna merah tu melambangkan cinta dan aku sentiasa berdoa semoga kau akan bertemu cinta sejati yang kau cari selama ini.” Adif berbicara lembut, menerangkan maksud hadiah pemberiannya itu.
Puteri memandang Adif tajam. Tersentuh pula hatinya dengan kata-kata lelaki itu.
“Kenapa bagi aku barang mahal macam ni?”
Adif tergelak kecil. “Aku bagi barang murah, kau marah. Aku bagi barang mahal pun kau marah. Habis tu macam mana aku nak buat dear?” usik Adif dengan tawa yang masih bersisa.
Puteri mencemik.
“Cakap sikit nak marah. Tegur sikit nak merajuk. Nasib baik kau tu bukan awek aku. Kalau tidak, tinggal tulang aje aku sebab terpaksa layan awek yang perangai macam-macam,” usik Adif lagi.
Ringan saja tangan Puteri melayang ke bahu lelaki di hadapannya itu. Kuat mengutuk!
“Aduh! Sakit, dear!” jerit Adif perlahan. Bahunya diusap-usap.
Puteri tarik muka.
“Okey, okey... Sorry. Senyumlah, buruk muka kau kalau kau buat macam tu. Sudahlah muka kau memang tak pernah cantik di mata aku,” pujuk Adif sambil mengusik.
“Adif!” jerit Puteri geram. Muncungnya ditarik semakin panjang. Bahu Adif ditepuk berkali-kali melepaskan sakit hati.
Adif tergelak. Kedua-dua tangannya diangkat seolah-olah meminta ampun.
“Sorry... sorry...” ucapnya dengan gelak yang masih bersisa, namun perlakuan Puteri dibiarkan sahaja.
Puteri mengejek menyampah. Tawa Adif kedengaran lagi. Lama sebelum dia melepaskan nafas perlahan.
“Simpan pemberian aku tu baik-baik.” Perlahan Adif bersuara mengingatkan.
“Aku tahulah. Barang yang kau beri walau ada yang cikai, aku tetap simpan,” balas Puteri selamba.
Adif tersenyum. “Good.”
“Famili kau apa khabar?” soal Puteri tiba-tiba.
Adif berdeham perlahan, kemudian mengangguk. “Alhamdulillah, semuanya sihat.”
Puteri merenung Adif lama. Lain benar kedengaran nada suara Adif ketika itu. Macam ada masalah sahaja.
Adif jongketkan kening apabila direnung begitu.
“Adif, aku nak tanya kau. Dah lama aku nak tanya.” Teragak-agak Puteri bersuara. Bibirnya digigit resah.
Adif mengangguk lagi. “Tanyalah.”
Duduknya dibetulkan. Adif dipandang semakin tajam. “Kenapa setiap kali aku tanya tentang famili kau, kau macam tak suka? Kenapa bila aku nak ikut kau balik Dubai, kau tak bagi? Ada apa-apa yang tak kena ke?”
Tidak berselindung Puteri bertanya. Sudah lama dia ingin bertanyakan tentang hal tersebut, tetapi tidak terluah. Setiap kali perihal keluarga ditanyakan, Adif pasti akan melencongkan jawapannya ke perihal lain.
Adif terdiam sambil pamer senyum nipis. Nafasnya dihela perlahan. Gadis di hadapannya itu dipandang lagi.
“Famili aku okey dan bukan aku tak suka kau tanya, cuma tak ada apa-apa yang menarik untuk aku kongsikan...”
Kata-kata Adif terhenti seketika. Pandangannya dibuangkan ke sekeliling sebelum memandang Puteri semula.
“Chem, aku bukan tak bagi kau ikut aku balik sana, tapi aku takut kau tak selesa. Famili aku jenis yang concern tentang agama. Aku harap kau faham,” sambung Adif lagi.
Bukan dia nak kata Puteri jahil agama, tapi penampilan gadis itu yang agak moden sangat tidak sesuai untuk dibawa bertemu keluarganya.
Puteri terdiam dan terus tarik muka. Adif memang kedekut. Aku cuma nak berjalan-jalan ke Dubai aje, bukannya nak berkenalan dengan famili kau. Lagipun, tak ada pasal aku nak berkenalan dengan keluarga kau pun! bebelnya dalam hati.
“Dear, janganlah macam ni,” pujuk Adif lembut.
Puteri buat bodoh. Sengaja malas hendak melayan.
“Chem, kau ni merajuk macam aku ni kekasih kau aje,” usik Adif cuba mengembalikan suasana yang sudah mulai keruh.
Puteri mencemik. Lidahnya dijelirkan. “Kekasihlah sangat!”
Adif tergelak dan kepalanya digelengkan. Chem, Chem…
“KALAU DIIKUTKAN hati saya, nak aje saya kahwinkan budak berdua tu.” Tiba-tiba Puan Syarifah Zainora bersuara sebaik melabuhkan punggungnya dan duduk di sebelah suaminya.
Encik Syed Rahman memandang isterinya tidak berkelip. Cermin matanya ditanggalkan.
“Kahwinkan siapa?”
“Puteri dan Adif.”
Encik Syed Rahman lepaskan tawa. “Apa awak cakap ni Zai? Budak-budak tu berkawan baik aje selama ni, jangan awak pulak nak memandai.”
“Memandai apanya bang. Mesra bukan main lagi saya tengok tu,” ucap Puan Syarifah Zainora bersungguh-sungguh. “Tergelak-gelak. Bertepuk tampar. Tak mesra lagi ke tu?” sambungnya lagi.
“Mesra apanya kalau panggil pun kau-aku,” bidas Syed Rahman pula. Cermin matanya dipakai semula.
Puan Syarifah Zainora mendengus. Geram dengan riak selamba suaminya itu. Dia serius, tapi kata-katanya dibuat main-main.
“Abang tak suka ke dengan budak Adif tu?” Sengaja Puan Syarifah Zainora bertanya.
“Mana ada abang cakap abang tak suka. Abang suka sangat. Sebab dialah Puteri berubah.” Perlahan sahaja Encik Syed Rahman membalas. Nafasnya dihela.
Puteri yang dulu dan sekarang, sudah banyak berubah dan dia sangat bersyukur dengan perubahan itu. Semuanya kerana Adif.
“Dah tu, salah ke kalau kita kahwinkan budak berdua tu?” asak Puan Syarifah Zainora lagi.
“Tak salah, Zai, tapi Adif tu entah suka atau tak dengan anak awak yang brutal tu. Lagipun, Akbar ada risik-risik tentang Puteri. Kalau Puteri masih belum berpunya, dia berkenan untuk dijodohkan dengan Ziyad,” terang Encik Syed Rahman tentang lamaran tak rasmi daripada sahabatnya, Datuk Akbar.
Puan Syarifah Zainora terdiam. Suami di sebelahnya direnung tajam.
“Kenapa? Tak suka?” soal Encik Syed Rahman apabila isterinya hanya terdiam tak berkutik.
Laju Puan Syarifah Zainora menggeleng. “Bukan, bukan saya tak suka, tapi nak ke si Puteri tu? Dia bukannya kenal pun dengan Ziyad.”
“Lepas kahwin, boleh kenal-kenal.” Selamba Encik Syed Rahman membalas.
“Abang, perkara nikah kahwin ni jangan main-main. Kalau Puteri bantah macam mana?”
“Abang belum beri kata putus lagi, Zai. Walau apa pun abang kena tanya Puteri jugak. Tapi abang yakin, Puteri takkan melawan cakap abang kalau abang tanya dia tentang perkara ni. Untuk kebahagiaan dia jugak. Lagipun, Ziyad tu baik budaknya,” balas Encik Syed Rahman panjang lebar.
“Itu kata abang, tapi perasaan anak abang tu macam mana?”
“Zai, janganlah risau. Saya tahulah macam mana nak cakap dengan Puteri nanti. Kalau dia setuju, alhamdulillah. Kalau dia menolak, takkan saya nak paksa.”
“Ikut suka abanglah. Anak abang, kan.”
Encik Syed Rahman tergelak kecil melihat isteri yang sudah tarik muka di sebelah.
“Bukan anak awak jugak ke Puan Syarifah Zainora?” soal Encik Syed Rahman, mengusik.
“Memang anak saya, tapi abang yang lebih-lebih manjakan dia sampai cakap saya pun kadang-kadang dia tak nak dengar,” rajuk Puan Syarifah Zainora perlahan.
Memang betul pun. Kata-katanya bukan Puteri ambil kisah sangat. Kalau dengan suaminya, semuanya diiakan saja oleh anak gadisnya itu.
“Hai, lain macam aje bunyinya tu,” ucap Encik Syed Rahman dengan senyum mengusik di bibir.
Malas hendak melayan suaminya, Puan Syarifah Zainora terus bangun dan beredar dari situ.
“Hurm... merajuk?” tegur Encik Syed Rahman sambil tersengih.
Puan Syarifah Zainora mencemik. “Tak kuasa nak merajuk dengan abang.”
Encik Syed Rahman tergelak besar dan terus bangun daripada duduknya. Jemari isterinya diraih.
“Awak ni, dah tua-tua kalau merajuk pun masih lagi nampak cute,” pujuk Encik Syed Rahman lembut.
“Encik Syed Rahman dah buat tabiat? Tak malu kalau anak nampak?” bebel Puan Syarifah Zainora sambil menjegilkan matanya. Tiba-tiba suaminya hendak bermanja pula.
“Kalau nampak pun apa salahnya. Isteri abang, kan?” Encik Syed Rahman masih lagi begitu. Manja sahaja riaknya.
“Abang...”
“Ehem!”
Belum sempat Puan Syarifah Zainora menghabiskan kata-katanya, terdengar suara Puteri berdeham di muka pintu. Mereka berpaling ke arah pintu. Melihat anak gadis yang sedang tersengih memandang mereka, cepat-cepat Encik Syed Rahman melepaskan pegangan tangannya.
“Nampaknya macam Chem akan dapat adik lagi aje ni,” usik Puteri dengan sengih lebar di bibir. Sengaja menyakat kedua-dua orang tuanya itu.
Adif menyinggul lengan Puteri agak kuat. Memang tak sayang mulut betul minah sorang ni. Selamba badak sahaja nak bercakap. Dengan orang tua kut!
Encik Syed Rahman tergelak. Puan Syarifah Zainora sudah tersipu-sipu malu.
“Kau ni kenapa?” marah Puteri diperlakukan begitu.
Adif jegilkan mata. Puteri mencemik dan masih buat riak selamba.
“Nak dapat adik apa lagi? Papa dan mama dah expired dah. Sekarang ni nak timang cucu aje. Ha, Puteri bila lagi?” usik Encik Syed Rahman, memulangkan kata-kata anak gadisnya itu. Puteri dipandang dengan senyum lebar di bibir.
Puteri tarik muka. Adif pula sudah simpan senyum. Padan muka. Tak pasal-pasal kau yang kena! kutuknya dalam hati.
“Adif dah nak balik ni.” Malas hendak melayan usikan papanya itu, Puteri terus mengubah topik perbualan mereka tadi. Niat hendak mengusik, rupa-rupanya dia yang diusik. Hesy!
No comments:
Post a Comment