DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 11 April 2018

TUKANG MASAK CIK MAFIA - BAB 9


|

“PAKAI uniform ni wajib ke?” Orked memerhatikan tubuhnya di depan cermin.
Baju kemeja hitam merah dengan logo Heaven Kitchen di dada tersarung di tubuhnya. Sama warna dengan pakaian seragam pelayan. Bezanya apron dia full bib manakala apron pelayan jenis half bistro. Lebih comel kut. Dia hanya tukang cuci pinggan. Kenapa perlu pakai uniform segala bagai.
“Perlulah... memang rules dia macam tu.”
Orked menoleh. Seorang perempuan berpakaian seragam putih berdiri di belakangnya. Sengaja dia ambil masa agak lama untuk menukar pakaian. Biarkan Aaron menanti. Dia bukan suka baju hitam ni.
“Saya Ana, kitchen helper kat sini.” Ana hulurkan tangan untuk bersalam.
Orked menyambutnya dengan senyuman di bibir. Ana nampak peramah dan baik.
 “Saya Del.”
“Awak comellah. Uniform ni kena sangat dengan kulit awak. Naik serinya.”
Orked ketawa. Seri apa pula yang Ana merepek ni.
“Saya tak suka sangat hitam sebenarnya. Nak pakai baju putih macam awak.” Orked menunjuk ke arah Ana.
“Saya pun ada seragam hitam merah tapi jarang pakai. Semua cef ada seragam hitam merah. Tapi semua orang pun jarang pakai. Hitam merah kan warna rasmi Heaven Kitchen. Steward je tak ada baju seragam putih.”
Orked angguk faham. Tak kisahlah apa pun asalkan dia ada kerja. Uniform apa pun okey asalkan sopan.
“Del ni kawan Tuan Syed ke?” tanya Ana lagi. Para pekerja kecoh dengan kehadiran budak perempuan rambut pendek yang dikatakan kawan Cef Haidar. Ada juga gosip mengatakan budak berambut pendek ni teman istimewa Cef Haidar.
“Eh, bukanlah. Saya ni insan malang yang Tuan Syed tolong. Itu saja.” Orked faham maksud Ana. Aaron pun tanyakan soalan yang sama tadi. Rupanya pengambilan pekerja hanya dilakukan oleh Cef Sufi. Memang wajarlah kalau pekerja lain bersangka buruk.
“Oh... tapi Tuan Syed handsome kan. Tengok renungan dia boleh buat jantung kita bergolek-golek dari paksinya.” Ana bercakap dengan penuh perasaan.
Orked julingkan mata. Celah mana handsomenya lelaki itu. Cef hidung seksi tu memang tak tersenarai dalam lelaki pujaannya. Dah tua. Separuh umur dia. Dia minat Logan Lerman pelakon filem Pearcy Jackson.
“Tapikan Tuan Syed macam tak suka perempuan. Tak pernah nampak ada girlfriend pun. Dulu ada sorang perempuan tapi rupanya adik dia yang dah lama terpisah. Dia
berjaya dalam kerjaya tapi gagal dalam cinta.” Ana sambung kata-katanya.
“Apa ni gosip fasal Tuan Syed...” Suara garau menegur mereka dari luar bilik persalinan.
Orked dan Ana sama-sama menutup mulut dengan tapak tangan. Mereka berdua berpandangan sambil mengekek perlahan. Kuat sangat ke mereka berborak sampai boleh dengar dari luar.
“Jomlah kita keluar. Nanti kita buka puasa sama-sama kat kafe ya.”
“Kafe? Kat mana tu?”
“Kafe tu sebenarnya macam kantin. Kalau kerja kat restoran kan biasanya dapat makan free. Kita pekerja dapur boleh rehat bila-bila masa. Tapi sebab bulan puasa rehat masa buka puasa. Pekerja depan je curi-curi minum lepas tu gilir-gilir rehat.” Terang Ana.
“Macam best je.” Sebut fasal makan Orked teruja. Sudah seminggu dia hanya buka puasa dengan biskut tawar. Sahur saja makan nasi. Itu pun kalau ada rezeki.
“Memang sedap. Cef Darius yang masak. Sedap tau. Tengoklah Ana punya pipi. Dah bulat berkilat.” Mereka sama-sama ketawa.
“Apa lagi tu...”
Mereka tergelak lagi. Ana memberi isyarat agar mereka berdua keluar. Nanti ada pula yang mengamuk kat luar sana.
“Lama saya tunggu kamu keluar Del. Mari angkat serving dish ni keluar.” Aaron sudah sedia menanti dengan kerja.
Orked tarik nafas panjang. Kehidupannya sebagai pekerja akan bermula sekarang. Dia mencari wajah cef hidung seksi tapi tak jumpa. Hanya ada seorang lelaki yang
ke hulu ke hilir membuat kerja dan cef-cef lain yang sedang sibuk memasak. Boleh tahan juga cef-cef Heaven Kitchen ni. Lain kali dia akan berkenalan dengan pekerja yang lain.
“Del!”
Aaron sudah menjerit. Orked cepat-cepat sedar dari khayalannya. Dia melihat Aaron sudah menanti di pintu. Serving dish diambil dan segera mengikuti Aaron. Mujur lututnya sudah kurang sakit. Aaron ni garang juga rupanya. Boleh jadi singa jadian... sama geng karnivor macam cef hidung seksi tu.
Hello sweetie pie...”
Terbeliak biji mata Orked. Ada ke dia dipanggil nama makanan. Orked pandang lelaki di sebelahnya dengan pandangan jengkel. Ringan rasa tangan mahu sauk rahang lelaki ni.
“Herman... jangan panggil dia manis-manis macam tu kalau tak mahu rahang kamu patah.”
Orked pandang ke belakang dengan pandangan menyinga. Dia kenal sangat suara itu. Suara siapa lagi kalau bukan cef hidung seksi. Bukankah tadi Syed Haidar dalam pejabatnya. Bila masa bapak singa ni keluar?
“Buat kerja elok-elok Orked. Dah pesan kan...” Syed Haidar berpeluk tubuh sambil berdiri di hujung meja bufet. Berhampiran dengan tempat Orked meletakkan serving dish. Dia memberikan isyarat agar Herman beredar.
“Saya sedang bekerja, sila jangan kacau.”
“Saya cuma nak pastikan awak tak huru-harakan restoran saya...”
“Saya tak berminat nak huru-harakan tempat kerja saya. Saya cuma berminat nak huru-harakan tuan punya restoran yang dah langgar saya semalam dan buat seluar jean saya koyak. Mengerti! Jadi sila jauhkan diri.” Orked tayang muka garang. Suruh kerja elok-elok tapi boleh pula muncul nak kacau orang.
Orked memeriksa deretan set bufet di atas meja. Kata Aaron pastikan meja bufet bersih dan peralatan cukup. Dia sudah diberi senarai barang yang patut ada. Orked membaca tanda yang diletakkan Herman tadi.
“Ayam Percik Mahsuri... udang masak lemak... Daging Masak Ros. Apa lagi ada...” Mata Orked bersinar-sinar. Membaca nama makanan yang tertera buat dia terliur. Sudah lama dia tak makan makanan sedap-sedap.
“Mini Pavlova... Sago Gula Melaka...”
“Orked!” Syed Haidar bercekak pinggang.
Orked buat muka tak tahu.
“Saya suruh awak buat kerja bukan sibuk baca menu tu.”
“Alah, nak baca pun tak boleh. Kedekut betullah! Tepi sikit orang nak buat kerja. Dah tak ada kerja lain agaknya asyik kacau orang.” Orked sengaja melanggar badan Syed Haidar. Biar lelaki itu tahu, teramatlah silap kalau mengganggu Orked yang sedang membuat kerja.
“Apa tengok-tengok? Buat kerja masing-masing.” Cef Sufi muncul dan menegur pekerja lain yang sedang menyaksikan drama majikan mereka dengan pekerja baharu. Gosip sudah bertebaran. Orked adalah teman istimewa Syed Haidar.
“Bagilah kepercayaan sikit kat dia. Biar dia belajar slow-slow...” Cef Sufi menepuk bahu Syed Haidar. Dia faham kalau cef muda itu paranoid. Dia sudah saksikan sendiri rakaman CCTV yang lelaki itu kena tumbuk. Tapi Syed Haidar salah juga sebab seakan-akan punya niat kurang baik.
“Tapi dia tu...”
“Jangan selalu sangat gaduh, simpan sikit gaduh tu 58
untuk lepas kahwin nanti.”
Syed Haidar terkebil-kebil. Apakah maksud Cef Sufi? Dia dengan Orked memang tak mungkin ada apa-apa hubungan. Kanak-kanak tu tak mungkin dijadikan isteri. Syed Haidar nak menjerit di situ tapi dia tahan. Kalau dapat memang dia nak Orked lenyap daripada pandangan matanya. Menyusahkan orang saja!
“MAMA... ADIK dah habis kerja. Penat sangat ma...” Orked bergolek-golek di atas tilamnya. Bingkai gambar diletakkan di dada.
“Tapi seronok sangat. Pekerja pun baik.” Orked tersenyum puas. Selepas berbuka puasa barulah dia dapat berkenalan dengan pekerja-pekerja lain.
Selain Ana ada seorang lagi pembantu dapur lelaki bernama Kamarul. Dia sempat berkenalan dengan Cecilia si waitress dan Shwan dan Danny, tukang bancuh air. Besok dia akan berkenalan lagi dengan yang lain. Kata Ana ada pekerja yang sudah mula bercuti.
“Dah lama Orked tak makan sedap-sedap ma. Hari ni Orked makan puas-puas. Siap bungkus bawak balik untuk makan sahur nanti. Tuan Syed tu nampak je garang tapi dia baik ma. Dia bagi Orked bawak balik karipap epal yang dia buat. Sedap ma.”
Orked merenung siling. Harinya yang suram bakal berubah. Mendung hitam berlalu perlahan-lahan. Senyuman yang sudah lama hilang dia mula ukirkan. Dia berharap semuanya akan bertambah baik selepas ini. Dia mahu mulakan hidup baru di tempat baru.
“Orked janji untuk kuat ma...”

No comments:

Post a Comment