DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 11 April 2018

KEMBALIKAN MERAH CINTAKU - BAB 3


AIR Nescafe panas dari muk dicicip perlahan sambil matanya membuang pandang ke arah luar restoran. Kelihatan seorang gadis kecil sedang merengek sambil menunjukkan ke arah kedai menjual ais krim di seberang jalan kepada ibunya. Tiba-tiba rindu Ava datang menggamit.
“Mama, Ava nak ais krim,” pohonnya kepada sang ibu yang sedang leka mengait sesuatu di tangan. Terhenti tangan wanita itu lalu wajah dipaling menghadap ke muka comel puterinya.
“Malam-malam macam ni mana ada ais krim sayang.” Kata wanita itu dalam senyum.
“Oh... mama dah lupa ya, bukan ke petang tadi kita buat ais krim Malaysia sama-sama,” balas bibir comelnya.
Sekali lagi wanita itu tersenyum. Bukan lupa yang petang tadi mereka habiskan masa membuat ais krim Malaysia bersama-sama tetapi dia buat-buat lupa kerana sayangkan anak dara kecilnya ini. Tidak mahu Ava makan terlalu banyak
makanan yang manis.
“Jom, mama ambilkan. Tapi Ava tak boleh makan banyak-banyak. Sebatang aje ya. Dah malam, nanti sejuk dada. Tak elok...” tambahnya lagi. “Lepas makan nanti kena gosok gigi,” pesan wanita itu lagi. Dan anak gadis kecil itu hanya membalas dengan senyuman manis.
“Malam, Ava nak tidur dengan mama boleh?” soal anak kecil itu lagi.
Seperti biasa, setiap soalan dari bibir kecilnya pasti akan dihadiahkan dengan seulas senyuman oleh ibu tersayang.
“Boleh sayang.” Tokoknya sehingga membuatkan bibir Ava senyum lebar. Itu saja kenangan yang kuat melekat dalam kepalanya. Memori ketika dia berumur 6 tahun. Kenangan terakhir yang akan terus kuat melekat dalam minda sebelum ibunya itu pergi selama-lamanya.
“Helo! Helo! Apa yang you menungkan sambil tersenyum-senyum ni?” Tiba-tiba ingatannya dicantas oleh jemari Helena yang dipetik-petik di hadapan wajahnya.
Ava tersentak. Jauh dia bawa ingatannya pada arwah ibunya yang meninggal ketika usianya hampir menginjak 7 tahun, usia yang masih terlalu kecil. Sepanjang hidupnya yang mencecah 7 tahun itu, dia lebih banyak menghabiskan masa dengan ibunya berbanding daddynya. Malah sejak menginjak dewasa, baru dia faham. Ibunya meninggal kerana sakit. Sakit yang dicetuskan oleh kemurungan kerana diabaikan seorang suami yang kaki perempuan. Sejak itu dia lebih banyak dibesarkan oleh bibik keluarga. Hidup dalam rumah sendiri, namun tidak ubah seperti tinggal di rumah anak yatim. Segala keperluan tersedia, cumanya tiada kasih sayang pengikat kasih. Hasilnya, jadilah dia, dirinya yang sekarang. Anak gadis seorang Dato’ yang tidak terbimbing. Kelihatan liar di luarnya namun rapuh dalamannya.
 “Teringatkan Raz?” telah Helena setelah Ava matikan senyuman.
Ava hanya jeling sekilas pada wajah Helena. Teringatkan Harraz? Ah... untuk apa dikenangkan lelaki yang tak guna itu!
“I dengan Raz dah break.” Katanya pendek dan ringkas sambil menyambung sisipan air. Teringat yang berita itu masih belum diberitahu kepada Helena, teman kerja merangkap rakan baiknya. Bekerja dengan bapa sendiri, dia ditugaskan sebagai departmental secretary untuk bahagian kejuruteraan yang di bawahnya terdapat dua unit. Unit yang mengendalikan projek-projek khas dan juga unit biasa. Manakala Helena pula merupakan penyambut tetamu di kaunter hadapan. Dua jawatan berbeza namun persahabatan mereka melangkaui semua itu.
What? Hell no!” Terkejut Helena.
Hell yes...”
“Tapi bukan you kata...”
“Dia bakal suami I?” sambung Ava sebelum sempat Helena habiskan kata-katanya. Memang itu yang dia kata sebelum ini, malah kata-kata keramat itulah yang sering disogokkan kepada kawannya itu. Konon Harraz lelaki yang terakhir dalam kamus hidupnya... Lelaki yang bakal dinobatkan sebagai suami dan teman sehidup semati. Tetapi itu dahulu, semasa dia percaya Harraz benar-benar lelaki itu, namun ternyata lelaki itu bukanlah lelaki yang dia sangka.
“Habis tu you okey?” soal Helena teragak-agak. Putus cinta namun sahabatnya ini nampak tenang saja. Macam tak ada apa-apa yang menganggu fikiran pun.
“Okey,” jawab Ava dalam senyum. Lucu juga dengan nada Helena yang macam takut-takut bertanyakan soalan.
“Betul-betul okey atau pura-pura okey?” tanya
Helena lagi.
Ava tampar tangan Helena yang baru hendak meraih gelasnya.
“Kalau I frust, dah lama I menangis dalam bilik tau. Ini betul-betul okeylah.”
Helena hanya menjeling pada wajah Ava. Betul juga kata kawannya itu. Kalau frust, takkanlah boleh keluar dan belanja dia minum pula.
“Dahlah, jangan jeling-jeling I. Cepat habiskan minuman you. Lepas ni kita pergi karok pulak.”
Helena angguk saja mengiakan. Pelik campur hairan. Orang putus cinta pastinya sedih tapi Ava lain pula!
“YOU DAH putuskan siapa yang bakal ambil alih tugas you?” soal Datin Nirmala pada waktu minum petang mereka. Memandangkan suaminya selalu tidak sihat, penting untuk jawatan suaminya dipangku seketika oleh anaknya.
“Belum,” jawab Dato’ Muktasim. Dia belum putuskan secara rasmi namun hatinya sudah memilih Haydar.
“I takkan setuju kalau you bagi pada Haydar.” Bagai dapat membaca hatinya, Datin Nirmala cepat mencelah.
“Kenapa?”
“Sebab dia bukan anak I. I lebih rela Harraz yang pangku.”
“Harraz dan Haydar, kedua-duanya anak I. I’ll decide who will take over the responsibility!” jawab Dato’ Muktasim, jelas dan tidak berat sebelah.
Datin Nirmala menarik muka, marah bercampur
geram. Memang dia tahu sejak dulu suaminya tidak pernah melebih-melebihkan kasih sayang antara Harraz dan Haydar. Kedua-duanya dilayan sama rata. Jika hendak dikatakan suaminya adil sekalipun dia bersetuju namun untuk memberi kepercayaan kepada Haydar, memang dia tentang habis-habisan. Sampai mati pun dia tak akan benarkan anak perampas suaminya mengambil jawatan itu.
“Apa pun yang jadi, I takkan setuju kalau you pilih Dar!” tegasnya sekali lagi dan sekali lagi juga Dato’ Muktasim mengangkat mata yang sejak tadi fokus pada akhbar.
“Mala, you tahukan I tak suka argue pasal ni? I bukan jenis yang pilih kasih dan I tahu apa yang I buat.” Dato’ Muktasim yakin isterinya tidak tahu status syarikat mereka,
We’re barely surviving, Mala. Nak harapkan anak kesayangan you tu, I tak rasa kita boleh hidup macam ni lagi,” sambungnya, perlahan. Datin Nirmala tak tahu keadaan sebenar syarikat mereka. Hanya tahu yang mereka ada masalah tetapi tidak tahu sejauh mana masalah mereka sebenarnya.
Datin Nirmala tahu dan faham namun dia tetap menegaskan pendiriannya. Pertimbangannya sering saja tidak rasional apabila nama Haydar dibangkitkan. Bencinya menggunung, marahnya umpama barah yang sudah menguasai seluruh ruang hatinya.
“Apa istimewanya anak perempuan tu berbanding anak I?” Suara Datin Nirmala sudah naik meninggi menyebabkan Dato’ Muktasim terperanjat dengan perubahan emosi isterinya yang tiba-tiba itu.
Dato’ Muktasim yang kebosanan terus tutup akhbar di tangannya. Bicara dia dan isterinya pasti tak akan aman kalau nama Haydar terselit sama. Apa saja perkara tentang Haydar pasti akan mendapat reaksi negatif isterinya. Sekali fikir, dia kasihan pada nasib anak itu. Dua kali fikir dia kesal
kerana berkahwin senyap-senyap dengan ibu Haydar dahulu. Hanya kerana nafsu mudanya, Haydar yang terkena tempias amarah isterinya.
Di sebalik pintu utama, langkah Haydar terhenti seketika. Perbalahan ibu tiri dan bapanya menarik perhatian. Itulah yang sering dia dengar apabila topik mengenainya dijadikan bahan perbualan kedua-duanya. Sejak kecil dia sudah masak dengan perkara itu. Malah telinganya sudah kebal mendengar komen-komen Datin Nirmala terhadap dirinya.
Enggan melayan perasaan sendiri yang sedikit kecewa, Haydar memberi salam lalu terus masuk. Mengenangkan ibu tiri dan bapanya masih berada dalam ruang itu, dia terus menuju ke ruang tamu lalu duduk.
Baru berkira-kira hendak bersuara, Datin Nirmala sudah bangkit.
“Ingat pesan I... ” Kata Datin Nirmala seolah-olah satu amaran kepada Dato’ Muktasim.
“Kenapa dengan mak cik?” soal Haydar, berpura-pura tak tahu apa yang ibu tirinya maksudkan walhal dia sudah dengar semuanya.
Dato’ Muktasim senyum. Tabahnya Haydar hanya dia yang tahu. ‘Mak cik’, itu saja gelaran yang isterinya benarkan Haydar guna dan anak itu juga tidak pernah meminta lebih daripada isterinya. Malah Haydar pernah katakan kepadanya, itu pun sudah cukup kerana Datin Nirmala tidak menghalaunya. Kerana dari gelaran itu saja dia sudah tahu tempatnya di mana dalam hati ibu tirinya itu.
Bagi Haydar sendiri, dia tidak hairan sekalipun Datin Nirmala mahu membencinya. Sejak kecil dia hidup begitu, sehingga pada satu tahap dia sudah tidak hairan lagi dengan apa yang ibunya buat pada dirinya. Kalau ibu tirinya hendak membenci, so be it... itu kata hatinya.
 “PMS agaknya,” jawab Dato’ Muktasim berdalih, lupa yang Haydar sudah cukup dewasa untuk faham emosi isterinya. Tambah lagi, dia pun sudah malas berbicara perkara yang sama dengan anaknya itu.
“Dari ofis?” soal Dato’ Muktasim. Selalunya Haydar memang rajin menjengah ofis walaupun hari bercuti.
“Tak, Dar jumpa Najib.” Najib sahabat baiknya. Sama-sama bekerja di ofis bapanya. Najib merupakan jurutera yang membantu Haydar selain Harraz.
“Masih jumpa dengan Najib lagi?” soal Dato’ Muktasim. Dia bukannya apa, kenal sangat dengan perangai liar pekerjanya itu. Bimbang Haydar terjerat sama. Nanti syarikat entah ke mana, Haydar entah ke mana. Namun harus dia akui, Najib walaupun menjalani kehidupan sosial di luar, di pejabat dia masih fokus bekerja. Cuma sekali-sekala pada hujung minggu, Najib datang kerja keesokannya dalam keadaan kurang terurus.
Hendak diharap Harraz, anak lelakinya yang satu itu hanya pandai bersosial sahaja. Jika hendak dibandingkan kedua-duanya, dia lebih sukakan cara Haydar. Haydar lebih bertanggungjawab berbanding Harraz. Pada hari cuti begini, Harraz sering saja keluar sehingga lewat malam baru pulang. Enjoy orang muda katanya.
Haydar angguk. Dia tahu bapanya tidak berapa berkenan bila dia dan Najib berkawan baik namun Haydar tahu jarak yang harus dia jaga. Dia pandai menjaga diri.
“Raz ada beritahu dia ke mana?” soal Dato’ Muktasim lagi.
Haydar hanya menggeleng. Dia dan Harraz mana pernah sebulu. Adiknya pun tidak ubah seperti ibu tirinya, dari kecil dididik oleh wanita itu supaya membencinya.
Dato’ Muktasim mengeluh. Sudah tahu hubungan kedua-duanya tapi manalah tahu Haydar ada ambil berat juga
akan perihal Harraz.
“Jangan dia pergi jumpa minah belen tu lagi sudah,” luah Dato’ Muktasim. Dia bukan tidak tahu dengan siapa Harraz berkawan. Informen dia ramai. Setiap pergerakan anak-anak bujangnya dia tahu. Dia tidak marah kalau Harraz suka berkawan namun berkawan pun harus pandai mengawal diri, jangan terbuai dengan perempuan sampai lupa tanggungjawabnya di pejabat.
“Minah belen?” soal Haydar yang tidak faham.
“Anak Dato’ Hasni.”
Haydar angguk. Siapa yang tidak kenal dengan Dato’ Hasni, salah seorang pesaing syarikat bapanya dalam bidang pembinaan. Dia kenal dengan Dato’ Hasni, pemilik Amethyst Sdn. Bhd. Namun dia belum pernah kenal dengan anak perempuan businessman itu.
“Kenapa panggil dia minah belen?” Lucu pula dia dengar perkataan belen itu.
“Papa pun tak tahu tapi kecoh di kalangan kawan-kawan Harraz yang panggil dia minah belen.”
“Peliknya dengan perkataan belen tu.”
Diaorang kata dari perkataan balance, dah ramai-ramai sebut, jadilah belen agaknya...” telah Dato’ Muktasim.
Balance?” Apakah pula kaitannya perkataan itu dengan anak gadis Dato’ Hasni?
“Agaknya orang gelar sebab anak Dato’ Hasni tu liar sikit. Mungkin balance tu maknanya saki-baki orang. Belen orang...” teka Dato’ Hasni lagi.
Haydar tergelak kuat. “Bekas oranglah maknanya?”
Dato’ Muktasim angguk. Dia agak-agak saja.
“Macam-macam...” komen Haydar. Dia memang tidak kenal dengan anak Dato’ Hasni. Namun banyak kali juga
dia terdengar dari mulut kawan-kawannya tentang teman mesra Harraz itu, anak gadis yang seksi dan bergaul bebas. Sejauh mana kebenarannya dia sendiri tidak pasti. Namun jika ramai yang berkata hal yang sama, mungkin saja benar.
So, papa... ada apa-apa berita fasal projek baru kita?” soal Haydar mengalih topik. Tempoh hari, bapanya ada menyuarakan kepadanya tentang usaha mencari tender baharu.
Dato’ Muktasim menggeleng. “Semua pun macam takut nak beri kepercayaan kepada kita lagi.” Suaranya perlahan. Bimbang dalam hatinya sudah tidak terungkap lagi.
Haydar menepuk paha bapanya. “I’ll think of something, pa.” Janji Haydar walau dia sendiri sebenarnya sudah buntu untuk menyelesaikan masalah syarikat keluarganya.  

No comments:

Post a Comment