DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 11 April 2018

DEAR HUSBAND TO-BE - PROLOG





 MEH sayang, meh masuk. Jangan takut,” pujuk Puan Shamila lembut. Tangan kanak-kanak yang melangut memandangnya ditarik sedikit. Bulat mata si kecil dan yang masih sedikit basah dek sisa tangis yang seakan tidak mahu berhenti sepanjang perjalanan pulang ke rumah tadi.
Puan Shamila mengerling ke arah suaminya yang berdiri rapat di sebelahnya sebelum menebarkan pandangan ke arah ruang tamu. Tiga pasang mata memandang ke arah mereka dengan penuh tanda tanya. Si kecil merapatkan dirinya ke tubuh Puan Shamila. Sorotan matanya penuh ketakutan.
“Along, angah, adik,” seru Puan Shamila. “Papa dengan mama nak kenalkan korang semua pada ahli baru dalam keluarga kita ni.” Dalam diam, mata Puan Shamila merayu pengertian daripada anak-anak lelakinya.
Puan Shamila serta Encik Fahmi bersaing melangkah ke hadapan. Si kecil ditarik bersama-sama. Kecil
langkahnya... dan jelas kelihatan amat keberatan untuk mengikut kaki Puan Shamila.
“Ni, Deja,” Encik Fahmi pula bersuara ke arah tiga orang anak terunanya. “Dee, mulai hari ni, yang bertiga ni semua abang-abang Dee. Yang ni along, yang ni angah dan yang ni... errr... alang.” Encik Fahmi memandang ke wajah anak bongsunya. “Sorry adik, mulai hari ni, adik dah jadi alang ya. Dee yang akan jadi adik sebab umur Dee baru 5 tahun.”
Ketiga-tiga anak Puan Shamila dan Encik Fahmi masih tergamam dengan pengumuman yang baru dibuat oleh orang tua mereka. Mata tidak berkalih daripada tubuh si kecil yang menggenggam erat baju kurung mama mereka, seakan tidak mahu dilepaskan. Muka disembamkan ke paha Puan Shamila. Sekali-sekala, si kecil akan mengerling ke arah mereka dengan mata yang bulat.
“Comelnya dia, pa,” puji Irfan, anak kedua Encik Fahmi serta isteri, yang berusia 10 tahun. “Mata dia besar gila!”
Si kecil mengerdipkan matanya ke arah Irfan, seolah-olah ingin menayangkan betapa benar dan betapa tepat kata-katanya tadi. Irfan sudah tersengih. Hatinya bagai ditarik-tarik melihat wajah comel si kecil. Bukan setakat matanya besar seperti watak komik dari negara Jepun yang sering dibacanya, bulu matanya juga begitu lebat dan lentik bak anak patung. Rambutnya panjang dan keriting, dan gulung-gulung kecil yang jatuh lebat di belakang tubuhnya meyakinkan Irfan yang Deja ini benar-benar daripada spesies anak patung.
“Pa? Apa maksud semua ni?” soal Aidan, anak yang sulung. Wajahnya ketat, dan matanya kosong tanpa cahaya.
Encik Fahmi mengerling ke arah isterinya.
“Yang, ayang bawak Dee naik ke atas dulu ya. Biar
abang jelaskan pada anak-anak kita.”
Puan Shamila mengangguk. Sebelum dia menurut arahan si suami, sempat dia menatap ke setiap wajah anak-anaknya, Aidan, Irfan dan Nazran. Sekali lagi, matanya merayu pengertian dan simpati daripada mereka bertiga akan nasib si kecil... anak yang sudah hilang tempat bergantung dan bermanja.
“Jom, sayang ikut mama. Kita mandi, lepas tu kita salin baju,” ajak Puan Shamila dengan suara yang perlahan. Tangan kecil Deja sekali lagi tenggelam dalam genggamannya. Deja yang masih tidak bersuara sejak tadi hanya mengikut. Beg pakaian yang dibawa pulang oleh Puan Shamila tadi dibawa naik ke atas.
“Duduk along, angah, alang,” suruh Encik Fahmi sebaik saja kelibat isterinya dan Deja hilang daripada pandangan.
Encik Fahmi melepaskan lelah di sofa tunggal di ruang tamunya. Dia memejamkan matanya seketika. Penat... dan sedih sangat...
“Pa?” Anak bongsu yang selama ini dipanggil ‘adik’ pertama kali bersuara. “Siapa Deja tu?”
Suatu keluhan berat terbit daripada bibir Encik Fahmi.
“Ingat tak tiga hari lepas, papa ada cerita yang kawan rapat mama masa kat universiti dulu accident kat Melaka dalam perjalanan balik ke KL?” soal Encik Fahmi.
Serentak tiga kepala mengangguk.
Aunty Murni ke pa?” Irfan bersuara.
Hmmm, Aunty Murni...” jawab Encik Fahmi. “Aunty Murni dengan Uncle Zubair dah takde...” Sayu suara Encik Fahmi.
Innalillahiwainnailaihirojiun,” Aidan serta Irfan
bersuara hampir serentak. Nazran hanya mendengar. Mulutnya sedikit ternganga. Padanlah mata mama mereka kelihatan agak sembap tadi. Pasti bersedih dengan kehilangan teman baiknya.
“Dee tu dah jadi anak yatim. Sekelip mata dia jadi sebatang kara kat dunia ni,” ujar Encik Fahmi dengan wajah yang sugul. “Dee anak tunggal. Aunty Murni dah kahwin hampir 10 tahun baru dapat anak. Lama diaorang tunggu kehadiran Dee. Dee la intan, Dee la permata...” Lirih suara Encik Fahmi.
“Dia takde saudara-mara yang boleh jaga dia ke, pa?” Aidan menyoal. Wajahnya walaupun masih seketat tadi, kini sudah terbias rasa simpati.
Encik Fahmi mengeluh sekali lagi. “Ada... tapi takde sesiapa pun nak jadi penjaga dia. Atuk dan nenek, semua dah takde. Yang ada, cuma pak cik dan mak cik dari belah Aunty Murni dan Uncle Zubair, tapi semua tak sanggup nak bela Dee. Jadi, memandangkan mama dan papa dari dulu lagi teringin sangat nak ada anak perempuan, kami sepakat untuk bawak Dee balik ke sini.”
Perbalahan antara keluarga daripada sebelah Murni dan juga Zubair ketika masih di hospital, terlayar di depan mata. Masing-masing menolak Deja untuk dijaga oleh orang lain. Masing-masing sibuk membentangkan hujah serta alasan mengapa mereka tidak mampu untuk menjaga Deja. Tiada sesiapa pun yang mahu bertanggungjawab ke atas anak kecil itu. Wajah suram Deja yang seakan mengerti dirinya sedang ditolak ke serata arah, meruntun hatinya. Maka dengan lantang dia bersuara. Deja akan menjadi sebahagian daripada keluarganya! Senyap semua mulut yang berbalah tadi. Riak lega terpancar pada setiap wajah mereka.
“Papa dengan mama harap, along, angah dengan alang boleh terima Dee sebagai adik korang semua. Ingat! Dee tu anak yatim. Banyak pahala untuk kita semua kalau kita jaga dia dengan ikhlas dan penuh kasih sayang...”
Irfan mengerling ke wajah si abang sulung.
“Angah okey je, pa. Angah pun memang dah lama teringin nak ada adik perempuan. Dah penat buli si adik ni... Eh, maksud angah, si alang ni!” Irfan menjeling ke arah Nazran. Panggilan kepada adiknya diperbetulkan, demi menerima kehadiran Deja dalam keluarga mereka.
Nazran pada mulanya mencemik ke arah abangnya tanda tidak puas hati. Namun, hatinya berasa lega kerana dia tidak akan menjadi mangsa buli angahnya lagi. ‘Seronok jugak ada adik kalau macam ni,’ fikirnya.
“Alang pun okey ada adik, pa. Alang akan jaga adik baik-baik,” Nazran bersuara penuh semangat. Pada usia 7 tahun, dia kini mempunyai seorang adik kecil yang sangat comel. Tak sabar pula nak berkongsi cerita dengan rakan-rakan di sekolahnya nanti.
“Along?” Encik Fahmi menghalakan mata ke arah Aidan yang membisu. “Along okey dengan semua ni?” Aidan anak yang sulung. Anak yang amat bertanggungjawab walaupun usianya baru 13 tahun.
Irfan serta Nazran turut menantikan si abang sulung menuturkan sesuatu. Seolah-olah menunggu kata putus daripada seorang hakim yang akan menentukan nasib si adik angkat. Tanpa sedar, Irfan menahan nafas.
Aidan mengangguk tanpa bersuara.
“Alhamdulillah... Lega hati papa.” Penerimaan daripada ketiga-tiga anak kandungnya begitu melapangkan dadanya. Dia tidak perlu risau akan nasib Deja lagi. Deja akan menjadi anak perempuan yang selama ini diidamkan. Secubit pun Deja tidak akan rasa kekurangan kasih sayang daripada seorang ibu dan juga bapa. Jika dulu Deja merupakan anak yang tunggal, kini dia mempunyai tiga orang abang yang akan sama-sama mencurahkan kasih dan sayang mereka
kepadanya. Deja akan dimanjakan selayaknya seorang anak bongsu dimanjakan oleh setiap ahli keluarganya. Itu janjinya!

No comments:

Post a Comment