Dear Husband-To-Be,
I feel so lost without him...
Harap-harap kepulangan mama dan
papa hari ni akan pulihkan semuanya...
SEMINGGU berlalu dan tiada yang berubah dalam hubungan Deja dan juga Aidan.
Ucap maaf daripada Aidan dipandang sepi hingga kini dan Aidan pula seakan hilang
idea tidak tahu cara untuk memujuk adiknya itu. Maka yang dingin kian membeku,
dan yang retak kian kelabu. Irfan serta Nazran pun seakan buntu melihat Deja
yang seakan tidak mahu mengambil langkah untuk merapatkan kembali hubungannya
dengan Aidan.
Setiap pagi, Deja akan keluar awal untuk ke
tempat kerja tanpa bersarapan terlebih dahulu. Pulangnya pula pada waktu senja
dan langkahnya terus dibawa ke bilik, tidak keluar-keluar lagi sehinggalah
rutinnya berulang
kembali keesokan harinya. Pesanan dan nasihat
daripada Irfan singgah hanya di telinga, namun tidak sampai ke hati. Diri masih
mahu memenangkan hatinya yang tercalar dek tuduhan Aidan yang langsung tidak
berasas. Tapi... betulkah tidak berasas? Ah! Whatever! Lagipun, dengan
Irfan pun Deja masih ada simpan rasa tidak puas hatinya. Tidak puas hati kerana
Irfan mencanangkan perihal dirinya kepada Rina. Tambah menyakitkan hati, Irfan
seakan tidak percaya dengan penceritaan Deja tentang perlakuan Rina
terhadapnya.
“Dee... angah nak cakap sikit ni,” tutur Irfan
beberapa hari selepas sesi perkelahan mereka di Ulu Yam sebelum ini.
“Apa?” balas Deja acuh tak acuh. Mata masih
tekun melihat model-model dengan fesyen terkini dalam majalah Cosmopolitan di
tangan.
“Errr... angah nak minta maaf dengan
Dee sebab terlepas cakap pada Reen tentang Dee.” Perlahan suara Irfan. “Along
dah cerita pada angah pasal ni.”
Deja meletakkan majalah ke atas riba. Wajah
Irfan yang penuh dengan riak bersalah dipandang.
“Along bukak mulut jugak nampaknya,”
desis Deja perlahan.
“Tapi angah yakin Reen tak sengaja nak ungkit
pasal perkara tu depan Dee,” sambung Irfan lagi.
Terjongket kening Deja. Dia menggeleng
perlahan.
“Tak, ngah. Dia memang sengaja.”
“Macam mana dia cakap dengan Dee? Cuba cerita
pada angah.”
Deja mengulang tayang kisah yang berlaku
antara dirinya dengan Rina untuk pendengaran Irfan. Tiada yang lebih, tiada
yang kurang dalam penceritaannya. Yang meluncur keluar daripada bibir Deja
hanyalah yang benar dan tepat belaka. “Angah tak percaya. Takkan Reen cakap kat
Dee macam tu?”
Deja menelan rasa kecewa.
“Jadi Dee ni penipulah ya? Is that what
you’re saying?”
“Tak... bukan macam tu. Tapi... mungkin Dee
salah faham kut,” balas Irfan. “Sebab Reen takde motif langsung nak
cakap macam tu pada Dee.”
“Salah faham kut mananya ngah? Dia kata you
all semua ni abang Dee atas kertas je. Jadi Dee patut hati-hati
tinggal kat rumah ni dengan you all bertiga, bila mama dan papa takde
kat rumah,” tegas Deja dengan nada serius.
Irfan masih menggeleng. Jelas mengisyaratkan
yang dia tidak percaya dengan kesimpulan kata-kata Deja itu. Dan gelengan
itulah yang membuatkan Deja sedikit terasa dengan Irfan. Sampai sudah Irfan
mengatakan yang Deja telah tersalah dengar atau tersilap tafsir akan kata-kata
Rina itu. Irfan menganggap Rina tiada niat buruk ketika berbalas kata dengan
Deja tentang perkara itu.
Deja melepaskan keluhan berat mengenangkan
perbualan antara dirinya dengan Irfan. Dia mengilas pandang jam di pergelangan tangan
lalu bangun. Ringkas Deja mengemas meja. Meja yang semakin hari semakin
kosong... seiring dengan rancangan syarikat untuk menghantarnya ke Kota
Kinabalu. Rancangan yang hingga ke hari ini hanya diketahui oleh papa, mama dan
Lisa. Dia tiada perasaan untuk berkongsi cerita dengan sesiapa pun. Biarlah
dulu!
Deja mengeluarkan tas tangan daripada laci
meja kerjanya. Telefon bimbit yang tiba-tiba berdeting lalu bercahaya dicapai.
Deja membuka aplikasi WhatsApp yang diterima daripada Irfan.
Dee, balik awal hari ni ya.
‘Nak
baliklah ni!’ dengus Deja. ‘Hesy!’ Telefon bimbit dicampak ke dalam beg tangan.
Tiada hati untuk membalas.
Tiba di depan pintu pagar rumah, Deja perasan
akan kereta-kereta lain yang terparkir di luar pekarangan rumah orang tuanya.
Berkerut dahinya seketika sebelum mengarahkan kereta masuk ke kawasan garaj.
Deja mematikan enjin kereta Nissan Latio berwarna merah kepunyaan Puan Shamila
sebelum keluar dari perut kereta. Lemah langkahnya. Berat hatinya setiap kali
mahu pulang ke rumah sejak tercetusnya pertelingkahan dengan Aidan. Tetapi
entah mengapa hari ini, rasa berat yang menekan ke setiap penjuru hatinya
terasa lebih membebankan daripada biasa.
Di depan muka pintu utama, Deja menanggalkan
kasut. Pegun dia berdiri melihat Aidan, Irfan dan juga Nazran berada di ruang
tamu seolah-olah menunggunya. Tambah memelikkan, si Rina dan Nia juga ada. Ada
apa ni? Deja sudah tertanya-tanya sendiri.
Aidan menongkat kepala dan untuk seketika
pandangan mereka berlaga sebelum lekas-lekas Deja melarikan mata. Aidan bangun.
“Dee...” serunya perlahan.
Deja melangkahkan kaki masuk ke dalam rumah.
Ucap salam diberi sebagai tanda hormat kepada tetamu yang ada. Sesungguhnya dia
tiada angin untuk bersosial ketika ini. Lebih-lebih lagi dengan si Rina ni.
Deja memaksa diri untuk bersalaman dengan Nia dan juga Rina.
“Duduk, Dee,” pelawa Aidan sebelum mengambil
tempatnya semula.
Deja akur tanpa sekelip pun memandang ke arah
Aidan. Dia mengambil tempat di sebelah Irfan di sofa berangkai dua. Sengaja
tidak mahu duduk di sebelah Aidan yang duduk di sebelah Nazran di sofa
berangkat tiga.
Pelik Deja tiba-tiba. Wajah keruh Irfan dan
Nazran menimbulkan seribu tanda tanya. Suasana di ruang tamu pun seakan beku semacam.
“Kenapa ni?” soal Deja. “Kenapa masam je muka
semua orang ni?”
Irfan berbalas pandang dengan Aidan. Kata
sepakat sudah dicapai oleh mereka tiga beradik sebentar tadi. Hanya Aidan yang
akan bersuara. Dan Irfan setia menanti abangnya membuka mulut.
Aidan berdeham bagi melegakan rengkung.
“Dee... baru sekejap tadi along dapat call daripada
Puan Julia dari London. Dia wakil travel agent yang ikut rombongan
melancong papa dengan mama.”
Deja diam. Menunggu Aidan menyudahkan kata.
Aidan menelan liur. Cuba mengumpul sisa-sisa
kekuatan yang ada. Kekuatan yang diharapkan oleh Irfan dan juga Nazran ketika
ini.
“Dee tahu yang flight papa dengan mama
dari London petang tadi waktu Malaysia, kan?”
Deja mengangguk.
“Dalam perjalanan ke Heathrow airport tadi,
bas rombongan papa terlibat dalam kemalangan...” Jeda. Mata Aidan berkaca. Dia
memejamkan mata seketika lalu melepaskan nafas perlahan-lahan. Dan mata yang
kembali tercelik memancarkan kekuatan dan keredaan.
Mata Deja sudah membesar. Riak wajah Irfan dan
Nazran seakan memberi gambaran yang jelas bahawa sesuatu yang buruk telah
menimpa orang tua mereka. Dan kesukaran Aidan untuk meneruskan tutur kata
seakan mengesahkan telahan yang berlegar di dalam kepala Deja.
Deja berpaling mencari mata Irfan di sebelahnya
“Angah?” seru Deja separuh panik. “Mama dengan papa okey, kan? Diaorang okey,
kan?”
Bergetar bibir Irfan. Tangan mencari tangan
Deja lalu digenggam erat.
“Dee... papa dengan mama dah takde.”
Suara Aidan bagai sayup-sayup yang menyapa ke peluput telinga Deja. “They
didn’t make it...”
Untuk seketika, Deja kaku tidak bergerak.
Tidak lama kemudian, Deja mula ketawa. Ketawa yang kedengaran seperti
dibuat-buat. Tangan ditarik kasar daripada genggaman Irfan.
“Ni lawak apa senja-senja ni hah? Lawak bodoh
apa ni?” Deja sudah hampir menjerit. Tanpa sedar, tangan sudah kuat mengepal
penumbuk. “Tak kelakar okey!”
Deja melabuhkan mata pada setiap wajah di
sekelilingnya. Nia hanya mampu tunduk namun bahunya sedikit bergetar
seolah-olah menahan tangis. Wajah Rina seperti selalu. Dingin tetap
sekurang-kurangnya mulut gadis itu tidak memuntahkan racun yang sebati dengan
jiwanya setiap kali berdepan dengan Deja. Dan wajah Aidan, Irfan serta Nazran
masih seperti tadi. Keruh... tegang... dan bergaris pilu...
“Dee...” seru Irfan pula.
“Shut up!” celah Deja hampir menjerit.
Kepala sudah menggeleng laju. “Dee tak nak dengar apa-apa! Dee tak nak dengar
apa-apa!” Bingkas Deja bangun dari sofa. Niat mahu berlari jauh daripada abang-abangnya
yang jelas sudah tersampuk dengan roh entah siapa-siapa!
Irfan turut bangun. Tangan Deja mahu diraih
tapi ditepis laju oleh Deja.
“This is not funny okay! Not funny
at all!”
Irfan buntu. Mata mencari wajah Aidan dengan
penuh rayuan. Dia tidak tahu cara untuk
meyakinkan Deja bahawa berita yang baru diterima sebentar tadi benar-benar
kenyataan.
Perlahan-lahan Aidan berdiri. Bukan sukar
untuk meneka reaksi Deja sebegini. Kalau impak berita kecelakaan yang menimpa
papa dan mama begitu hebat dirasakan oleh mereka tiga beradik, apatah lagi
kepada Deja? Ini merupakan kehilangan besar yang kedua pernah dirasakan dalam
hidup adiknya itu, sedangkan usianya masih begitu muda.
Aidan menghampiri adik bongsunya lalu berdiri
rapat di hadapan Deja. Wajahnya sugul tidak terkata. Bahu Deja dicengkam.
“Dee... papa dan mama betul-betul dah takde.
5 orang meninggal dunia dalam kemalangan tadi, termasuk papa dan mama. Yang
lain tercedera, dan ada yang parah...” Perlahan suara Aidan. Kalau tidak kerana
Aidan sedang menyampaikan berita yang amat buruk ini, sudah pasti Deja akan
berasa terbuai dengan nada suara Aidan yang begitu lunak.
Lutut Deja terlepoh tiba-tiba. Pantas Aidan
menyambut tubuh Deja. Dalam keadaan darurat begini, Aidan tidak berfikir akan
tekadnya untuk tidak lagi menyentuh Deja. Irfan turut menyambut lengan kiri
Deja lalu ditolak kembali ke sofa.
Nazran melihat keadaan adiknya dengan mata
yang berkaca. Suaranya terkunci tidak bisa dilantunkan. Sesungguhnya berita
yang mengejutkan ini terasa begitu sukar untuk diterima.
Deja memandang kosong ke arah telapak tangan.
Irfan mengambil tempat di sebelahnya, manakala Aidan sudah berlutut di hadapan
Deja.
“Dee...” Mati kata-kata Irfan. Tiada kata-kata
yang sesuai untuk disuarakan demi memujuk hati Deja. Bicara apakah yang harus
diucapkan pada saat-saat begini? Sudah
ajal papa dan mama? Ni semua takdir? Akan
terpujukkah hati Deja mendengar semua itu, sedangkan semuanya ternyata suatu
suratan yang sudah ditentukan sejak azali lagi?
“Mama takkan tinggalkan Dee, kan? Mama takkan
tinggalkan Dee...” Deja menongkat mata. “Along... mama takkan tinggalkan Dee,
kan?”
Pahit terasa liur yang ditelan oleh Aidan.
Terasa sudah berkurun lamanya Deja tidak memanggilnya dengan suara lembut
begitu, atau memandang tepat ke matanya.
“Along? Please say this is not happening to
me again... Please along?” rayu Deja dengan mata yang berkaca. “Please?
Dee janji, lepas ni Dee akan dengar cakap along. Dee takkan buat perangai lagi.
Dee akan buat semua yang along suruh, tapi tolong... tolong jangan cakap
yang...” Pecah suara Deja tidak bisa meneruskan kata.
“My God, Dee...” Lirih suara Aidan.
Luluh hatinya melihat Deja begini. “Jangan macam ni, sayang...”
Nazran mengesat air mata yang mengalir ke
pipi. Nia juga begitu. Rina hanya memandang sketsa di depan mata dengan bibir
yang terketap kuat.
Perlahan-lahan Deja cuba bangun. Aidan
berkalih sedikit untuk memberi ruang kepada Deja.
“Dee naik dulu. Dee belum solat. Waktu maghrib
dah lama masuk,” ujar Deja dengan nada yang mendatar. Langsung tiada perasaan,
seolah-olah mengkhabarkan tentang cuaca yang panas pada hari itu. Kaki mula
melangkah.
“Dee... along dah buat keputusan untuk jenazah
papa dan mama dikebumikan kat sana je. Biar urusan pengebumian
dipercepatkan dan tak ditangguh-tangguh. Nanti kita buat solat jenazah ghaib
ya? Malam ni dah terlambat nak uruskan tahlil untuk mama dan papa. Kita buat
malam esok je.”
Deja tidak menoleh walaupun kakinya dipaksa
berhenti seketika. Laporan Aidan langsung
tidak menarik minatnya untuk memberikan sebarang reaksi.
“Along? Nak aku naik pujuk Dee?” soal Irfan
melihat tingkah Deja yang tiba-tiba berubah beku.
Aidan menggeleng.
“Biar dulu. Nanti kita tengok dia macam mana.
Bagi dia ruang untuk bersendiri. Berita ni betul-betul mengejutkan bagi Dee.
Kita dah ada masa untuk hadam semua ni, tapi Dee belum,” jelas Aidan.
Aidan mengerling ke arah adiknya.
“Alang, kau okey?” Perasan yang sedari tadi
Nazran sedikit pun tidak bersuara.
Nazran menggeleng.
“Aku macam tak percaya je semua ni
terjadi.”
Irfan menghampiri adiknya. Bahu Nazran ditepuk
lembut.
“Kita semua kena kuat, lang, demi Dee.
Sekarang ni, kita je yang Dee ada. Kita je yang Dee boleh
harapkan. Aku harap kau kuat,” pinta Irfan. “Kau ingat pesan papa sebelum papa
pergi bercuti?”
Nazran tunduk.
“It’s okay, lang. Kau ambiklah
masa untuk tenangkan diri kau. Aku dengan along ada untuk kau, sama macam kita
ada untuk Dee...” Irfan memaut bahu adiknya.
“Ngah, lang... jomlah kita bersiap untuk
solat. Lepas ni sama-sama kita contact saudara-mara dan semua kenalan
papa dan mama...” ujar Aidan.
Irfan mengangguk. Dia berpaling ke arah Rina
yang duduk di sebelah Nia.
“Reen, terima kasih sebab ada kat sini during
our
time of need. Malam esok you datang untuk kenduri tahlil ya?” ajak Irfan.
Rina tersenyum manis. Wajahnya berona simpati.
“Of course!” Dia bangun. Begitu juga
dengan Nia.
“Kita orang balik dulu. Dan, sekali lagi Nia
ucapkan takziah ya.” Sebak ucapan Nia. Hati ingin memujuk Aidan, ingin
menawarkan bahunya untuk digunakan oleh lelaki itu semahu hati. Tetapi ada
sesuatu yang menghalang.
Sejak berita tentang kecelakaan yang menimpa
Puan Shamila dan Encik Fahmi diterima lebih kurang 2 jam yang lalu, Aidan
seolah-olah tidak menyedari akan kewujudannya di sini, walaupun jarak yang
memisahkan mereka hanya beberapa meter saja. Aidan tidak menunjukkan sebarang
tanda-tanda bahawa kehadiran Nia diperlukan di sisi. Nia terasa... begitu terasa...
tetapi mahu mengadu tentang hatinya yang tercalar ketika ini bukanlah waktu
yang sesuai.
“Thanks, Nia,” ucap Aidan. Ada rasa
bersalah menyapa ke hatinya tatkala mendengar Nia bersuara. Sungguh! Dia lupa
akan kehadiran gadis itu sejak tadi.
“Dan, esok I...”
“It’s okay, Nia. I ingat. You ada company
off-site meeting kat Bukit Tinggi selama 3 hari, kan? Takpe. You
pergilah. Drive elok-elok ya.”
Nia tersenyum segaris.
“Apa-apa call I ya?”
Aidan mengangguk kecil. Entah mengapa Nia
tidak rasa yang Aidan akan menghubunginya, terutamanya untuk berkongsi rasa
sedih di hati. Akhir-akhir ini pun, dia yang lebih banyak menghubungi Aidan
berbanding lelaki itu. Nak kata dia seperti hidung tak mancung pipi
tersorong-sorong pun, ada! Aidan tidak pernah pula melarang atau berkata yang
sebaliknya. Dan Aidan tidak seperti lelaki lain yang 110 sedang dilamun cinta. Maka, di manakah letak dirinya dalam hati
Aidan? Sekali lagi dia bertanya, punya ruangkah untuk dirinya di situ?
*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN MEI 2018**
*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN MEI 2018**
No comments:
Post a Comment