DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 11 April 2018

DEAR HUSBAND-TO-BE BAB 7









Dear Husband-To-Be,
I am so confused. Please tell me what to do...
DEJA merenung surat yang baru diterimanya. Sudah lebih daripada tiga kali dia membaca, seakan bisa menghafal setiap bait perkataan yang tertera.
Secondment to Regional Office in Kota Kinabalu.
Itulah perkara surat di tangan. Surat yang memaklumkan keputusan syarikat yang telah memilih dirinya untuk melalui sesi pinjaman ke pejabat kawasan syarikat di Kota Kinabalu. Pinjaman untuk 3 bulan. Salah seorang penolong pengurus di jabatannya telah dinaikkan pangkat dan akan ditukarkan ke pejabat kawasan yang sama. Dan sementara menunggu syarikat menggantikan seorang eksekutif dari Jabatan Sumber Manusia yang telah berhenti kerja secara tiba-tiba di sana, pengurus tersebut
telah meminta sokongan bersifat sementara daripada seorang kakitangan dari ibu pejabat. Maka nama Deja telah menjadi pilihan.
Deja keliru. Nak tolak, dia perlu ada alasan yang kukuh dan buat masa kini, dia tidak punya alasan langsung. Mungkin ini satu peluang untuk mengembangkan kerjayanya. Hati berat mahu meninggalkan keluarga dan juga teman-teman rapatnya di sini, walaupun untuk suatu jangka masa yang pendek. Sudahlah dia bangsa yang tak pernah berjauhan daripada keluarga. Semasa belajar di universiti pun, dia tak pernah tinggal di hostel. Degil mahu berulang-alik setiap hari.
Surat kembali dilipat. Mungkin dia boleh menelefon papanya malam nanti untuk memaklumkan keputusan syarikat kepada papanya itu. Sementara itu, dia akan lakukan kerjanya seperti biasa.
Pulang ke rumah, niat untuk menelefon papanya terbantut seketika tatkala mendapat panggilan telefon daripada Jazlan. Pantas dia mandi, bersolat maghrib dan bersiap rapi. Memandangkan abang-abangnya belum pulang ke rumah, hanya pesanan yang ringkas ditinggalkan dalam kumpulan ‘WhatsApp Adik-Beradik’.
Yooo hooo... abang-abangku sayang... Dee nak keluar ya. Dinner kat luar. See you later.
Tak sampai lima saat, Deja sudah menerima balasan.
Along
Keluar dengan siapa?
Amboi along! Lajunya balas.
Lepak dengan Jazz.
Along
Where?
Rumah kawan Jazz. Ada birthday party.
Angah
Rumah kat mana?Kawan yang mana? Angah kenal tak?
Deja mengeluh. Peguam bela dan peguam cara sudah masuk tingkap hijau nampaknya.
Banyaknya soalan! Ni kawan baik Jazz arrr. Dee kenal,so jangan risau ok?
Alang
Enjoy Dee. Jangan balik lambat sangat.
‘Yes! Terbaik!’ jerit Deja suka. ‘You’re the best, alang!’
Along
Balik sebelum pukul 10.30.
“10.30? Apa ke jadah balik party awal macam tu?” gerutu Deja sendirian. “Tak logik betul along ni!”
Alaaaa... 11.30 please?
Along
10.30!
11.00?
Along
10.30. Muktamad!
Eeeee! Geramnya dengan along ni!” getus Deja tak puas hati. Deja mencampakkan telefon ke dalam tas tangan. Dibiarkan saja kata putus daripada Aidan itu tidak berbalas. Tanda proteslah konon tu!
Deja ke luar rumah. Jazlan sudah sedia menunggu di dalam kereta BMW 318i di hadapan rumah. Untuk seketika, terdetik dalam benak Deja tentang Jazlan. ‘Dia ni dah solat maghrib ke? Kat mana?’ Namun soalan itu tidak mampu diluahkan secara zahir. Hanya tersemat di hati.
Jazlan membawanya ke rumah kawan rapatnya, Ricky di kawasan perumahan elit di Sri Hartamas.
“Ramainya orang!” bisik Deja sebaik saja mereka tiba di hadapan rumah Ricky. “Kuatnya muzik. Jiran tak marah ke?”
Jazlan tergelak.
“Jiran-jiran dia pun selalu memekak jugak kut. Entah!” Jazlan menarik tangan Deja. “Jom!”
“Jazz,” tahan Deja seketika.
Jazlan berpaling.
“I kena balik latest pukul 10.30 tau. Nanti dalam pukul 10.00 you hantar I balik ya?”
Terbeliak mata Jazlan.
What? 10.30? You must be kidding me!” Kuat suaranya.
“Tu curfew yang along bagi I. I kena ikut. Papa kata, along is in charge sementara papa mama takde kat rumah ni,” jelas Deja.
Come on, Dee! Umur you bukannya 16 tahun kena
ada curfew bagai. Along you ni melampaulah!” gerutu Jazlan tidak puas hati.
Takpelah you... Lagipun, I penat sikit hari ni. Hari ni kan I kerja. Tak sempat rehat, you dah call ajak I keluar.” Giliran Deja pula bersuara sedikit keras. Hangat hatinya mendengar Jazlan mengutuk Aidan. Aidan memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh Encik Fahmi untuk menjaganya. Jadi, logiklah Aidan bersikap tegas.
Jazlan lainlah. Dia bukannya tahu erti tanggungjawab. Dan dia bukannya tahu istilah penat bekerja sedangkan dia masih sibuk berlibur saban hari. Untuk orang sepertinya dan abang-abangnya, waktu yang terluang mahu dihabiskan untuk berehat dan bersama keluarga. Sekali-sekala, keinginan untuk keluar bertemu rakan-rakan tetap ada. Cuma, tidak perlu bersangka buruk dengan Aidan hanya kerana Jazlan tidak berkongsi pendapat yang sama dengan abangnya itu!
“Jazz? You hantar I pukul 10.00 okey?” ulang Deja sekali lagi. “I nak drive tadi, you kata you boleh jemput I. Kalau tak, I tak payah susahkan you.”
“Dee, ni party best friend I. Takkanlah I nak blah pukul 10.00 hanya untuk hantar you balik?”
“Lepas dah hantar I balik, you datanglah sini semula. Ricky mesti faham punya,” cadang Deja.
“Tengoklah macam mana...” Jazlan sudah mula berjalan ke arah pekarangan rumah temannya.
“Jazz, kalau you tak boleh hantar I balik, you cakap sekarang. Boleh I call abang I minta tolong diaorang ambik I kat sini,” tekan Deja semula. Sikap sambil lewa Jazlan merisaukannya. Satu daripada ciri Jazlan yang tidak disukainya.
Tajam mata Jazlan mengerling ke arah Deja.
 “I yang jemput you, so I yang akan hantar you balik, Dee.”
Great! Tu je yang I nak pastikan. Thanks, Jazz,” ucap Deja. Kaki mula melangkah. Bunyi muzik dari dalam rumah semakin kuat kedengaran.
Deja mengeluh perlahan. Kalau tidak kerana Ricky merupakan kawan baik Jazlan, dia tak ingin ke mari. Dia penat. Kepala pula masih runsing dengan surat yang diterima siang tadi. Sekarang telinga harus menadah bunyi bingit muzik dan bersosial dengan teman-teman Jazlan. Sungguh dia tak ada mood!
Deja mengerling ke arah jam bulat di dinding. Pukul 10.15 malam. Tapak kaki sudah menghentak-hentak lantai tanda gelisahnya. Batang hidung Jazlan masih tidak kelihatan sejak ditarik masuk ke dalam bilik oleh Ricky tadi. Ada perbincangan man-to-man kononnya!
‘Nak call angah ke tak... nak call angah ke tak...’ Deja sudah berkira-kira. Nak telefon Aidan? Memang taklah!
Deja menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp secara peribadi kepada Irfan.
Angah... boleh ambik Dee tak? Jazz busy.
Lama Deja menunggu. Lebih kurang lima minit. Dia semakin risau.
Ting! Akhirnya!
Angah baru nak gerak dari Subang ni. Takut lambat sampai. Call along atau alang.
Aduh... Deja menggigit bibir. Mata meliar kembali ke sekelilingnya. Kelibat Jazlan masih belum muncul.
Mesej yang sama dihantar kepada Nazran pula. Malangnya, Nazran sedang sibuk di bazar larut malam dan tidak boleh menjemputnya dari rumah Ricky. Berdebar-debar jantungnya sambil jari menghantar pesanan kepada Aidan. Sempat dia mengilas pandang jam di dinding yang sama. 10.35 malam.
Hantar location.
Ringkas saja balasan daripada Aidan sehinggakan Deja tidak bisa meneka angin alongnya itu. Okey ke dia? Atau sebaliknya? Deja menghantar lokasi rumah Ricky kepada Aidan.
Be there in 10 minutes.
10 minit? Cepatnya! Aidan ada di mana agaknya sekarang ya? Kalau dari rumah mereka di Hulu Kelang, tentunya akan mengambil masa lebih lama daripada itu.
Hati mendongkol geram terhadap Jazlan. Bukannya lelaki itu tiada jam di pergelangan tangan. Ada! Jam mahal kut. Takkan mati pulak? Takkan dia tak ingat akan pesanan yang dibuatnya awal-awal tadi? Bincang apa sampai lama begini? Takkan Ricky langsung tak memikirkan para tetamu yang lain? Geram juga Deja kerana Jazlan senang-senang meninggalkannya bersendirian dalam majlis ini. Walaupun ada juga teman-teman Jazlan yang dikenalinya, tapi tidaklah begitu rapat. Nak berbual lama pun dia tak selesa.
Sudahnya, Deja memutuskan untuk menunggu Aidan di luar rumah saja. Tidak kuasa lagi untuk menanti Jazlan memunculkan batang hidungnya. Dia berdiri tidak jauh daripada pintu pagar utama.
“Dee!” jerit Jazlan daripada pintu rumah. Berlari-lari anak dia ke luar rumah. “You nak pergi mana ni?”
Mencerlung mata Deja ke wajah Jazlan. Eleh! Baru nak sibuk tentang dirinya!
“Sekarang dah pukul berapa, Jazz? You tak ingat ke I cakap apa pada you tadi?”
Jazlan mengilas pandang jam di pergelangan tangan.
“Alah Dee... malam masih mudalah. You call jelah abang you, beritahu yang you balik lambat sikit,” selamba Jazlan mengutarakan cadangan. Tiada langsung rasa bersalah.
“You ni tak hormat langsung apa yang I cakap tadi, kan?” soal Deja dengan suara yang sedikit tegang. “You bawak I datang sini, lepas tu you tinggalkan je I sorang-sorang kat dalam tu, you ingat I ni apa? Baik I tak payah datang tadi! Duduk kat rumah lagi berfaedah!” Geram! Sakit hati!
Berubah wajah Jazlan. Sejak mereka mula menjalinkan hubungan, tidak pernah Deja berbicara dengannya dengan nada begini.
“You ni kenapa Dee? Tengah period ke?” soal Jazlan tidak puas hati.
“I kenapa? You ni yang kenapa? I cakap I kena balik sebelum pukul 10.30 kan tadi? You tak ingat atau you sengaja tak nak ingat?” cabar Deja.
“Yalah, yalah... I hantar you sekarang,” Jazlan beralah. Wajah masih mempamerkan riak tidak puas hatinya. Walaupun tidak puas hati, dia dah terlajak sayang akan Deja. Maka apa saja kehendak Deja akan cuba dilayankan. Deja perempuan yang baik-baik. Stok yang sesuai untuk dijadikan isteri, justeru dia akan menjaga hubungannya dengan Deja sebaik mungkin.
“Tak payah! I dah call along I,” tolak Deja dengan wajah yang ketat. Eleh! Dah terlambat!
“Eh! I dah kata I nak hantar, I hantarlah! Yang you call along you kenapa?” Nada suara Jazlan sudah naik satu
oktaf. Hilang terus niatnya untuk menjaga hati Deja tadi.
“I terpaksa call sebab I tak tahu you hilang pergi mana dengan Ricky tadi. You ingat I ni tunggul ke dan I suka-suka akan tunggu you sampai esok pagi?” sindir Deja.
Look here, Dee...” Jazlan mengambil satu langkah mendekati Deja. Bahagian atas lengan Deja dicengkam. Muka dirapatkan ke wajah Deja, seolah-olah ingin mencium gadis itu. Tapi Deja tahu, Jazlan hanya mahu menggertaknya saja.
Pin!
Spontan kepala Deja dan Jazlan berpaling.
“Lepaskan tangan I, kalau you tak nak along I pecahkan muka you,” Deja melaungkan amaran. Tengok wajah Aidan di dalam kereta saja pun dia sudah kecut perut.
Tidak perlu berfikir dua kali, Jazlan melepaskan lengan Deja.
Sorry, Dee... I...”
Belum sempat Jazlan menyudahkan kata, Deja sudah meluru menyusun kaki menghampiri kereta Aidan. Pintu bahagian penumpang dibuka. Tanpa memandang ke arah Jazlan, tubuh Deja sudah masuk sepenuhnya ke dalam perut kereta. Deja memberanikan diri untuk menoleh ke arah Aidan. Mata Aidan tidak lepas daripada wajah Jazlan yang masih tercegat berdiri di pagar utama dan dari tepi, wajah Aidan kelihatan tegang sekali. Bergerak-gerak rahang alongnya itu.
“Along,” seru Deja perlahan.
Aidan berpaling. Dan Deja terus dihimpit rasa kesal kerana telah menyeru nama abangnya tadi. Jika tadi Aidan nyata menghalakan amarahnya terhadap Jazlan, tetapi kini, dia pula yang menjadi mangsa.
Deja menelan liur. Mata Aidan yang merah tidak mampu ditatap.
Tanpa sebarang kata, Aidan terus saja memandu keluar dari taman perumahan rumah Ricky ini. Deja serba salah. Tidak tahu sama ada dia perlu menuturkan sesuatu untuk mempertahankan dirinya. Bukan dia sengaja tidak mahu patuh akan arahan Aidan tadi, tetapi Jazlan yang tidak mahu menghantarnya pulang.
Deja mengerling ke arah kanan. Wajah tegang Aidan membuat Deja berkeputusan untuk diam saja.
Tiba di rumah, langkah kaki yang menuju ke anak tangga terbantut tatkala mendengar namanya diseru dengan begitu dingin sekali. Deja melepaskan nafas sebelum berpaling. Bersedia menghadapi amarah Aidan.
“Duduk!” Sepatah saja arahan daripada Aidan. Arahan yang tidak berani dibantahi.
“Along kata tadi, Dee kena balik pukul berapa?” Baru saja punggung Deja mencecah kusyen sofa, Aidan sudah menerjah. Berdiri di hadapan Deja dengan tangan mencekak ke pinggang. Tajam matanya menikam ke anak mata Deja.
“Dee memang nak balik awal dah tadi, long. Tapi Jazz sibuk dengan kawan dia,” keluh Deja cuba mengawal nada suaranya. “Sebab tu Dee call along.”
And what was the scene I saw just now? Dee tak malu ke?”
Berkerut dahi Deja tidak mengerti.
“Apa maksud along? Dee tak faham...”
“Jangan buat-buat tak faham, Dee. Along tak suka!” Aidan melayangkan amaran. Dia bukan bodoh. Dia bukan budak belasan tahun. Dia tahu apa yang terpampang di hadapan matanya tadi.
Seriously! Dee tak faham.”
“Dee boleh berdiri kat luar rumah dengan Jazz macam tu, dan dengan tak malunya nak bercium depan orang
ramai? Mana maruah Dee?”
What?” jerit Deja kuat. Dia berdiri. Mencerlung matanya memandang ke arah Aidan. “What the hell are you talking about?”
“Jangan kurang ajar dengan along, Dee. Mind your language!” Keras suara Aidan. Panahan mata semakin menikam.
“Kurang ajar? Along dah tuduh Dee yang bukan-bukan macam tu, and what? You expect me to say thank you?”
“Jadi Dee tak mengakulah? Along nampak, Dee. Jangan menipu dengan along!”
Deja berpeluk tubuh.
“Along salah. Dee tadi bukan nak bercium dengan Jazz.”
“Huh!” Aidan tidak percaya.
“Jazz tengah nak pujuk Dee. Mungkin aksi dia macam nak cium Dee, tapi Dee kenal dengan Jazz. Dia takkan buat Dee macam tu,” tegas Deja mempertahankan Jazlan. Walaupun Jazlan ni bukanlah stok-stok ustaz, namun dia lebih mengenali lelaki itu. Sepanjang mereka keluar bersama, tidak pernah sekali pun Jazlan bertindak di luar batasan dengannya.
You owe me an apology!” dengus Deja.
“Along? Kena minta maaf dengan Dee? Untuk apa?”
“Along tak ingat apa yang along cakap pasal Dee tadi? Along cakap Dee perempuan takde maruah, kan?”
“Tengok jelah macam mana Dee pakai baju. Takkan along nak puji Dee perempuan Muslimah kalau Dee berpakaian mengalahkan GRO?”
Pang!
Serentak dengan tangan yang hinggap di pipi kiri Aidan, air mata Deja mengalir perlahan.
I hate you!” desis Deja penuh racun. Berlari Deja meninggalkan ruang tamu dengan esakan yang mampu ditangkap oleh telinga Aidan.
Aidan mengepal penumbuk. Sedar akan kelancangan mulutnya tadi. Kesal dia membiarkan amarah ditiup semakin hebat oleh pujukan sang iblis.
“Long?”
Aidan berpaling.
“Kenapa ni long?”
Aidan mengeluh sebelum menghenyakkan punggung ke atas sofa. Dia bersandar lalu mendongakkan kepala.
Irfan mengambil tempat di sebelah abangnya.
“Pipi kau dah merah,” ujar Irfan.
“Kau nampak?” Nada Aidan penuh kesal.
“Nampak. Aku dengar kau tuduh dia berpakaian macam perempuan GRO. Sebelum tu aku tak dengar apa-apa. Aku baru sampai ni.”
Aidan memejamkan mata.
“Aku tak faham macam mana perempuan yang tak pernah tinggalkan solat boleh berpakaian seksi kat luar rumah macam Dee. Kat mana salahnya tu, ngah?”
Satu keluhan terlepas daripada bibir Irfan.
“Aku tak nak komen apa-apa pasal ni, long. Untuk seorang perempuan, isu ni sensitif. Tapi... cara kau tegur tadi tu tak betul, long...” tegur Irfan perlahan.
Aidan kembali menegakkan tubuh.
“Apa sebenarnya yang terjadi?” soal Irfan ingin tahu. Dan Aidan langsung membuka mulut. “Betul ke diaorang nak bercium, long?”
“Entahlah... aku nampak tadi macam ya,” Aidan membalas. Namun balasannya kali ini tidak seyakin tadi.
“Kenapa kau cakap Dee macam tu?”
“Aku marah sangat tengok dia dengan Jazz macam tu tadi. Tu yang lancang mulut aku tak boleh nak kawal tu...” akui Aidan.
“Dee nangis?”
Aidan mengangguk. Matanya dibawa ke arah anak tangga. Macamlah Deja berada di situ.
“Kau tak nak pujuk ke?”
“Aku... aku takut aku akan buat keadaan bertambah buruk.”
“Kau nak aku bercakap dengan Dee?” tawar Irfan. “Nak aku pujuk dia?”
Aidan menggeleng.
“Esok aku akan bincang dengan dia. Malam ni, biarlah dia sejukkan hati dia dulu.” Bayangan Deja sedang menghamburkan tangis berseorangan di atas katil membuat Aidan tidak senang duduk. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia membawa kaki naik ke atas dan memujuk adik manjanya itu. Namun dalam keadaan Deja yang begini, tidak mungkin adiknya itu mahu bercakap dengannya. Sekali lagi Aidan mengeluh. Apa yang membuat dia terlepas cakap tadi? Mengapa hatinya dirasuk dengan amarah yang begitu hebat tatkala melihat wajah Jazlan begitu hampir dengan muka Deja?
Cemburu! Amarah yang berpunca daripada rasa cemburu yang amat sangat tatkala melihat tangan Jazlan di lengan Deja tadi. Itulah jawapan yang harus diterimanya


No comments:

Post a Comment