DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 March 2019

Kerana Aku Memilihmu - Bab 6

PETANG Sabtu, Johan tidak ke mana-mana.
Duduk santai di halaman rumah sambil otak masih lagi terus
berfikir. Ayana pula sedang sibuk di dapur. Entah apa yang
disibukkan isterinya itu, dia tidak berniat untuk ambil tahu.
Dibiarkan saja Ayana seorang diri di situ.
Telefon pintar yang terletak di atas meja dibiarkan
sepi tanpa jawapan. Ini bukanlah masa yang sesuai untuk
dia menjawab panggilan Marsha. Dia perlukan ruang untuk
bertenang sebelum menyuarakan hasratnya kepada Ayana.
Desakan Marsha hanya menyulitkan lagi keadaan.
“Abang?”
Suara Ayana menyapa pendengaran, membuatkan
Johan mendongak. Senyuman manis terukir indah di raut
isterinya itu.
Dulang berisi teko, cawan serta sepiring kek Ayana
letakkan ke atas meja. Gembira melihat suaminya ada di
rumah hari ini. Tidak seperti selalu, hujung minggu pun
masa Johan sentiasa sibuk dengan kerja yang tidak pernah
berkesudahan. Kadangkala naik bosan dibuatnya. Tapi sebagai
isteri, dia cuba memahami.
“Aya buat kek kesukaan abang hari ni.” Sepotong
kek coklat diletakkan ke dalam piring kecil. Lalu dihulurkan
kepada suami tersayang. Johan memang penggemar coklat.
Beri apa saja makanan berasaskan coklat, semua menjadi
kesukaannya.
Johan tersenyum. Mengucap terima kasih sebaik
piring kecil bertukar tangan. Inilah punca Ayana sibuk di
dapur tadi. Patutlah aromanya semerbak satu rumah. Secubit
kek coklat buatan isteri disuap ke mulut. Sedapnya!
“Dari tadi Aya tengok abang asyik termenung aje.
Apa yang abang menungkan? Abang ada masalah ke?”
Soalan Ayana menghentikan suapan kek coklat ke
mulut. Serta-merta anak mata Johan jatuh tepat ke wajah sang
isteri. Lidah kelu berkata-kata. Namun hati mendesak supaya
dia berterus terang. Sampai bilakah dia perlu membohongi
Ayana? Sedangkan, ada nama lain selain isterinya itu mula
tertulis dalam hati.
Johan tidak pernah menyesali pertemuan dengan
Marsha. Mungkin sudah takdir Tuhan, dia dan Marsha bertemu
dan bercinta. Lagipun dia lelaki, punya hak berkahwin lebih
daripada satu.
“Abang...” Ayana menepuk perlahan paha Johan.
Mengembalikan suaminya semula ke dunia nyata. Semakin
menjadi-jadi pula suaminya itu termenung. Andai ada
masalah, dia sedia menjadi pendengar setia. Seperti yang
pernah dilalui sebelum ini. Johan sering berkongsi masalah
dengannya.
“Hah?” Johan tersentak. Mujur tidak terlepas piring
di tangan. Segera dia meletakkan piring yang masih bersisa
kek coklat di atas meja. Seleranya tiba-tiba terbantut.
“Abang ni kenapa? Asyik termenung aje. Tak sihat
ke?” Belakang tangan diletak ke dahi Johan. Merasa suhu
sang suami. Nampaknya, lelaki ini baik-baik sahaja.
“Abang okey, sayang. Tak sakit pun,” ujar Johan
mengusir kebimbangan Ayana terhadap kesihatannya. Jemari
Ayana dibawa ke dalam genggamannya.
“Habis tu, apa yang abang menungkan?”
Sekali lagi soalan Ayana mematikan bicara Johan.
Mengunci mulutnya. Tidak tahu bagaimana cara hendak
memulakan bicara. Melihat reaksi Ayana nanti, entah
bagaimana penerimaan isterinya itu.
“Abang, kenapa ni? Cakaplah...” desak Ayana. Risau
pula melihat tingkah laku suaminya petang ini. Ganjil
semacam.
Johan menarik sedikit kerusinya. Mendekati Ayana
sebelum jari-jemari isterinya itu dielus perlahan-lahan.
Kucupannya mendarat di situ. Lama.
Ayana membiarkan perlakuan itu. Ditundukkan
sedikit kepala mencuri pandang ke wajah Johan yang sedang
mengucup jemarinya. Mata lelaki itu terpejam. Lama kucupan
itu mendarat di tangannya sehinggalah Ayana menyedarkan
Johan kembali.
Kepala dipanggung. Wajah sang isteri dipandang
redup. Sudah tiba masa untuk dia berterus terang. Dia
tidak mahu berdusta lagi. Cukup perit menyembunyikan
hubungannya dengan Marsha daripada pengetahuan Ayana.
“Sayang...”
“Hmmm...”
“Boleh abang cakap sesuatu?”
Ayana mengangguk. Menanti bicara seterusnya
daripada Johan. Namun, sampai ke sudah lelaki itu terus
membisu. Membiarkan dia terpinga-pinga. Apakah yang
hendak diberitahu? Sampai begitu berat mulut Johan mahu
meluahkan.
“Abang...”
Menyedari isyarat di sebalik mimik muka Ayana itu,
Johan menghela nafas.
“Abang nak kahwin lagi.”
Jeda.
Ayat Johan jelas masuk ke lubang telinga Ayana.
Tidak semena-mena, dia ketawa besar. Petang-petang begini,
suaminya buat lawak. Bergurau!
“Sayang, abang serius.”
Tawa Ayana masih lagi kedengaran. Tak endah
langsung ayat serius Johan itu. Dia yakin suaminya sedang
bergurau. Dia bukannya tidak tahu perangai Johan yang suka
menyakat itu. Dalam raut yang serius, Johan sebenarnya
sedang melawak. Sepatutnya, sudah lama suaminya itu ikut
uji bakat pencarian Raja Lawak di Astro.
“Ayana, please stop laughing. Abang tak
bergurau, abang serius. Abang nak berkahwin lagi.” Kali
ini Johan menegaskan suaranya. Tidak mahu Ayana terus
menganggapnya bergurau. Sedangkan dia benar-benar
memaksudkan katanya itu. Dia mahu berkahwin satu lagi.
Tawa Ayana reda. Wajah Johan dipandang lama.
Mencari kebenaran di sebalik wajah berjambang itu. Serius
wajah itu tidak nampak sedang melawak. Tiba-tiba hati Ayana
dipanah debar.
“Abang tak bergurau. Abang serius nak kahwin lagi.”
Kecil mata Ayana menatap Johan.
“Abang tahu sayang terkejut. Tapi abang tak boleh
bohong sayang lagi. Abang ada perempuan lain selain sayang.”
Boom!
Bagaikan ada sebutir bom meletup di atas kepalanya.
Ayana bangun daripada duduk. Tangan Johan dilepaskan.
Terkejut dengar kenyataan tulus ikhlas daripada suami
tercinta. Johan Izuddin ada perempuan lain selain Nur
Ayana? Rasa tak nak percaya. Tapi melihat kejujuran lelaki
itu, dia tidak boleh menolak kenyataan itu lagi. Suaminya ada
perempuan lain!
Tanpa kata, Ayana berlalu meninggalkan Johan.
Langsung tidak dikalih pandangannya ke wajah suami apabila
Johan terus menyeru namanya.
“Sayang, please dengar dulu apa yang abang nak
cakap.” Johan mengekori langkah Ayana yang tidak ubah
seperti lipas kudung. Cuba disambar tangan itu, namun
pantas Ayana menyentap.
“I don’t want to hear anything. Aya anggap abang
tak pernah cakap benda ni dengan Aya,” putus Ayana. Cuba
menidakkan kata-kata Johan kepadanya tadi. Anggap itu
sekadar gurauan sahaja.
“No, sayang. Nak tak nak kita dah tak boleh mengelak
lagi. Abang ada perempuan lain dan abang nak kahwin dengan
dia.”
Langkah Ayana mati di tangga. Matanya dipejam
rapat. Remuk hatinya mendengar ayat terakhir Johan. Bagai
dihiris dengan sembilu. Tegarnya Johan menyakiti hatinya.
“Abang tahu sayang terkejut. Tapi abang dah tak
boleh nak bohong lagi. Abang kena berterus terang. Please...
understand me.”
Fahami Johan? Huh! Tidakkah Johan tahu apa yang
sedang lelaki itu lakukan ini sesuatu yang amat menyakitkan
Ayana? Tidakkah Johan mahu memahaminya? Jadi kenapa
perlu Ayana memahami keadaan Johan yang mahu berkahwin
lagi itu?
Langkah yang terpaku di tangga tadi kembali diatur
semula. Panggilan si suami langsung tidak dipedulikan.
Hatinya berkecai seperti kaca yang terhempas jatuh di atas
lantai. Sampai hati Johan melukakan hatinya.
Sebaik pintu tertutup rapat, Ayana bersandar di
muka pintu. Pertahanannya mula goyah. Empangan air mata
yang ditahan sedari tadi akhirnya pecah berderai. Dia duduk
dengan lutut didekatkan ke dada. Dan esakan pun mula
berlagu sayu.

No comments:

Post a Comment