DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 March 2019

Lelaki Terakhir Untukku - Bab 7

KETIKA kereta Erfan berhenti di rumah sewa
aku, jam sudah menginjak ke angka 5 petang. Halaman rumah
aku lenggang menandakan Aunie masih belum pulang. Tadi
sempat aku titipkan pesanan kepada Aunie. Meminta dia bawa
balik kereta aku memandangkan Erfan yang menghantar aku
pulang.
“Terima kasih Encik Erfan.”
Selepas itu, aku buka pintu kereta dan mahu
melangkah keluar. Tapi pergelangan tangan aku pula dilelar
menyebabkan tingkahku terbantut. Saat aku menyedari
jemari halus itu yang memaut lenganku, anak mata aku
spontan mencari wajah anak kecil itu.
“Mama tak nak duduk dengan kami?” Tulus dan
keikhlasan terpancar dari raut wajah yang aku kira berumur
7 tahun itu. Sinar mata Fateh menjelaskan dia berharap aku
menemani harinya.
“Fateh. Ini Aunty Tia, bukan mama Fateh.” Erfan
mencelah menghentikan harapan anak kecil itu. Sekali gus
menerangkan status aku. Nampaknya Erfan juga tak selesa
melihat tingkah Fateh yang menganggap aku ibunya.
Sinar mata Fateh bertukar kelam. Sedikit-sedikit
genggaman tangannya di lengan aku terungkai. Wajah itu
bersalut kecewa.
“Masuklah. Badan you penat dan you perlu rehat
yang cukup. Nanti sakit you makin teruk.” Tidak mahu
keadaan bertukar suram, Erfan bertindak memberi arahan.
Membuatkan aku mengeluh berat.
Sesaat aku merenung Erfan sebelum mengalihkan
pandangan ke wajah Fateh yang menunduk dari
memandangku. Dagu anak kecil itu aku dongak, memaksa dia
memandang aku yang berusaha mengukir senyuman manis.
“Fateh balik dulu ya? Nanti-nanti Aunty Tia balik ikut
Fateh.” Sengaja aku mengeluarkan janji begitu supaya bibir
Fateh kembali berseri dengan senyuman. Tak sanggup tengok
wajah monyok Fateh apabila permintaannya aku tolak.
“Kenapa mama tak ikut Fateh balik sekarang?
Rumah Fateh dan papa besar.”
Aku tersenyum cuma. Telapak tangan bergerak
menyentuh pipi Fateh. Diusap-usap seiring hati disapa
perasaan halus. Sepertinya aku tak sanggup melukakan hati
anak sekecil Fateh yang masih tidak mengenal dunia.
“Sebab rumah Fateh dan papa besar, Aunty Tia takut
nak ikut.” Aku cuba melawak. Berharap bibir Fateh mengukir
senyum.
Sayangnya, suasana digigit hening walaupun aku
sedaya upaya menimbulkan suasana ceria.
“Papa, nanti kita beli rumah kecil. Mama tak nak
duduk rumah besar.” Terus diajukan permintaan kepada Erfan.
Riaknya bersungguh-sungguh menandakan permintaannya
itu bukan satu gurauan.
Lantas aku tergamam seraya membuang pandangan
ke arah Erfan yang turut memusatkan matanya pada aku.
Pergerakan tubuhku seakan disimen. Beku. Lama bertatapan,
aku diserang rasa tak selesa. Runsing andai Erfan salah erti
dengan kata-kata aku tadi.
“Eh, bukan itu maksud saya Encik Erfan! Saya...”
Laju Erfan memangkas bicara aku yang tak sempat
dihabiskan.
“Kalau I beli rumah kecil, you sanggup ke jadi ibu
kepada anak I?”
Pegun. Aku terkebil-kebil mencerna setiap kata
yang terluah di bibir merah terang milik Erfan. Tak percaya
permintaan sebegitu terluah oleh Erfan, lantaran itu aku
hanya mampu merenungnya tanpa sebarang kata. Otak aku
tiba-tiba jadi kosong. Hilang upaya menyusun kata menjadi
sebaris ayat.
“Pergilah masuk, Tia. Anggap saja you tak dengar
apa yang I katakan tadi.” Erfan meluruskan pandangan ke
hadapan. Nampak dengan jelas dia seperti bersalah sebab
terlanjur mengeluarkan bicara seperti itu.
Kerana anak dia ke dia buat permintaan tak masuk
akal begitu? Sungguhlah aku tak berjaya nak faham apa yang
berada dalam pemikiran Erfan Rayyan.
“Aunty Tia masuk dulu.” Kepala Fateh aku
usap perlahan sebelum melangkah keluar. Tidak mahu
melengahkan masa lagi. Takut jika Fateh semakin berat hati
mahu melepaskan aku pergi.
Berdiri di sisi kereta, pandangan sayu Fateh
menjamah pandangan mata aku. Bebola mata anak kecil itu
berkaca. Menunjukkan dia tak sanggup berpisah dengan aku.
Seolah-olah dia tak mahu meninggalkan aku sendirian di sini.
Melambai tangan, kereta mewah milik Erfan
menjalar perlahan meninggalkan perkarangan rumah sewa
aku. Lama aku memerhati kelibat kereta Erfan yang semakin
menjauh. Tak semena-mena aku meletakkan telapak tangan
di atas dada. Denyutan jantung aku dah gaya orang berlari.
Ada sesuatu mengetuk pintu hati aku. Sesuatu yang dah lama
aku tak rasai. Mungkin saja berbeza dari sebelum ini.
Belum sempat aku memusing tubuh, ada sebuah
kereta menghampiri. Menyedari Aunie balik, bibir aku
automatik tersenyum. Berdiri tegak hingga Aunie mendekat.
“Macam mana dengan demam kau? Teruk tak?
Doktor cakap apa? Ada sakit kat mana-mana lagi tak?” Aunie
dah mula belek tubuh aku atas bawah, depan belakang. Risau
mengalahkan aku sakit teruk. Demam aje kut?
“Demam tak teruk pun. Aku alahan. Semalam makan
seafood yang kau tapau dekat luar tu.” Dengan langkah lemah,
aku bergerak masuk. Malas nak layan reaksi melampau Aunie
yang kadang-kadang melebih-lebih.
Ruang tamu aku tuju dan punggung segera
kuhempas sebelum kepala mendongak pandang siling. Masih
terbayang-bayang lagi wajah sedih Fateh dan renungan sayu
Erfan. Apa yang tak kena sebenarnya dekat hati aku ni?
“Degil! Aku dah kata jangan makan. Gatal juga nak
makan!” Aunie ambil tempat bersebelahan aku. Seperti aku,
dia juga merehatkan tubuh dengan kepala menyandar di
kerusi.
Lama aku biarkan suasana didakap sunyi. Memberi
ruang untuk akal aku bertenang. Tapi tak lama ruang sunyi
sepi bila Aunie buka mulut bersuara. Sekelip mata bayang
wajah Erfan dan Fateh menghilang.
“Encik Erfan hantar kau balik ke?”
“Hurmm...” Aku bergumam tanpa mengeluarkan
suara.
“Aku sebenarnya panasaran betul.” Kepala Aunie dah
terangkat merenung aku.
Dan aku masih tak ambil peduli dengan Aunie yang
dah gaya cacing kepanasan saja. Adalah tu mahu ditanya pada
aku.
“Kau dengan Encik Erfan tu ada apa-apa ke?” Nada
orang berbaur curiga sangat jelas menampar cuping telinga
aku.
Tapi aku buat tak tahu saja. Mata aku pejam dan
soalan Aunie aku biar dimamah hening. Tubuh yang sedikit
lesu buatkan aku tak ada mood hendak berbual.
“Ke Encik Erfan ada hati dekat kau?” masih tak
berputus asa membuat aku melayan dia.
Aku buka mata sebelah. Pakej mengerling lagi. Penat
betul nak kena layan Aunie yang terlebih busybody ni. Kalau
ikutkan hati, aku nak biarkan saja dia bercakap sorang-sorang.
Biar padan muka! Tapi mengenangkan Aunie seorang yang
tak mudah mengalah, terpaksalah aku buka mulut.
“Setakat dia bantu aku, boleh cakap dia ada hati pada
aku ke?” Jengkel sungguh aku dengan sikap menyibuk Aunie
ni. Tapi aku tak pernah pula membenci Aunie kerana bersikap
lepas laku begitu. Sebab aku tahu Aunie mengambil berat hal
aku walaupun dengan cara menyebalkan.
“Bergantung pada keadaan.” Aunie menganggukkan
kepala seolah-olah pakar mentafsir sesuatu perkara.
Sekadar menghulurkan bantuan, Aunie tak layak
membuat kesimpulan Erfan ada perasaan pada aku. Dah aku
ni staf bawahan dia, logiklah dia tolong aku. Aunie boleh pula
fikir dan buat kesimpulan sejauh itu.
“Dahlah! Aku nak naik mandi, solat dan tidur.” Aku
bangkit dari kerusi.
“Kau tu jangan lupa solat! Culas aje aku tengok nak
solat!” Sempat aku ‘basuh’ Aunie sebelum memanjat anak
tangga ke bilik aku.
Tapi Aunie buat pekak saja. Masuk saja dalam bilik,
aku terus campak tas tangan atas tilam sebelum bergerak
capai tuala dan masuk bilik air. Nak membersihkan diri
sebelum menghadap Sang Pencipta.
Selesai mandi dan solat, aku rebahkan tubuh atas
tilam. Demam sudah kebah dan kepala aku juga sudah surut
sikit denyutannya. Sekejap lagi sebelum tidur aku telan ubat.
Sekarang mood nak bermalas-malasan.
Merenung siling, wajah Erfan kembali terbayang.
Selama seminggu aku bekerja di bawah Erfan, selama
seminggu itu aku tak pernah tengok dia senyum. Memang
tak pernah. Terkadang aku fikir, wujud ke lelaki seperti Erfan?
Garang dan tegas. Jarang tersenyum. Eh, tak! Tak pernah
senyum. Apa guna bibir dan muka kacak kalau tak pandai nak
senyum?
Lagi satu, sikap Erfan kadang-kadang buat aku salah
faham. Ada ketika dia berubah jadi orang yang sangat caring.
Tapi ada ketika dia berubah jadi lelaki yang sangat dingin.
Pelik bukan? Jadi selama seminggu ini, aku sendiri tak boleh
nak agak apa yang ada dalam hati lelaki seorang Erfan Rayyan.
Masih aku ingat lagi kejadian 3 hari lepas. Masa tu
aku nak balik cepat. Takut bersesak dalam trafik jem.
Nak guna lif, staf ZR Galeri dah penuhkan. Nak tak
nak aku guna tangga supaya cepat sampai. Panjat tangga
pertama tu tenaga aku ada lagi. Masuk tangga ketiga, serius
masa tu aku semput. Nak ambil nafas pun tak lepas.
Masa itulah Erfan muncul tiba-tiba. Terkejut jugalah
aku. Mana taknya, tiba-tiba muncul. Mahu aku tak terkejut?
“You buat apa kat sini?”
Sepatutnya soalan tu aku yang tanya pada dia. Ini
terbalik, dia pula soal aku guna ayat macam tu. Tapi aku
seperti biasa, tayang senyuman apabila berdepan dengan dia.
Biasalah... orang atasan aku, takkan nak tunjuk tak ada adab
pula?
“Nak baliklah Encik Erfan,” tenang aku menjawab
dalam nafas sedikit tercungap.
“Tak guna lif?” Soalan seterusnya buat aku naik
hairan.
Erfan ini satu sikap yang aku tak gemar. Suka
menyoal aku. Tak ada jawapan tapi dia soal aku pula. Kadang
jenuh juga nak balas.
“Lif ramai orang. Eh, Encik Erfan nak ke mana?”
Kali ini aku pula ajukan soalan.
Yalah, pelik tengok dia ada di sini. Selalunya Erfan
gunakan lif khas. Tak perlu bersesak dengan kami yang
macam lipas kudung nak balik.
“Same with you.” Selamba saja dia bagi jawapan.
Aku pula yang pelik. Nak balik juga tapi kenapa guna
tangga?
“Lif rosak ke?”
Aku beranggapan lif yang selalu Erfan guna rosak.
Takkanlah dia rajin sangat nak guna tangga balik kan?
Melainkan lif yang dia guna tu ada masalah atau rosak.
“Ya, rosak.” Dia angguk sekali tanpa pandang muka
aku.
Apabila aku nak buka mulut menyoal, dia
mengisyaratkan aku agar berjalan. Nak memprotes, aku rasa
masa tak mengizinkan. Sudahnya aku mengorak langkah
sedikit kelam-kabut.
“Jalan tu tengok bawah.” Tiba-tiba Erfan tegur aku.
Automatik kaki aku melangkah dengan perlahan.
Mengerling Erfan, lelaki itu masih beriak selamba.
“You ni memang clumsy ke?”
Terus aku pusing kepala pandang dia dengan riak
muka tak puas hati. Nampak gayanya dia nak mencabar
kesabaran aku.
“Encik Erfan pula memang suka jaga tepi kain orang
ya?” aku menempelak berserta jelingan tajam.
Okey! Sebenarnya aku buat-buat berani aje depan
dia. Bukan apa, aku tak naklah dia selalu buli aku. Nanti dia
beranggapan aku ni perempuan yang mudah dibuli.
Sedikit gugup apabila Erfan membalas pandangan
mata aku. Serta-merta aku bawa pandangan ke hadapan.
Entah kenapa, takut pula tengok wajah tanpa perasaannya.
“Boleh ke I jaga tepi kain you?” sarkastik nada Erfan
menerobos deria pendengaran aku.
Damn it, Tia! Kau dah kenapa nak jadi berani tak
tentu pasal ni? Sekarang hadaplah perangai tak cukup sifat
bos kau tu!
Spontan aku senyum seraya menggeleng. Masih
melangkah tapi sedikit tak betul langkahan kaki aku saat
bertembung dengan mata helang milik Erfan. Boleh kecut
usus aku macam ni.
“Kalau boleh, sekarang juga I nak meminang you.”
Dan aku? Dah tayang wajah kosong. Dada dihambat
rasa cemas. Tak menjawab soalan dia, aku melangkah laju.
Disebabkan peristiwa itu, aku tak berani nak tunjuk
berani depan dia. Tapi satu yang aku musykil sampai sekarang,
lif yang dia kata rosak tu sebenarnya elok saja. Buktinya, masa
kami sampai, lif itu elok saja terbuka. Bila aku tanya dia, dia
boleh pula buat tak dengar. Sudahnya sampai sekarang aku
tertanya-tanya.

No comments:

Post a Comment