DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 March 2019

7 Days Of Summer - Bab 2

PERLAHAN-lahan Aimi mendaki anak tangga
dengan membawa dulang berisi secawan teh panas dan sup
ayam yang masih berasap. Gigih pula dia masak hari ni.
Nasib baik dapur tiada siapa yang guna. Berkecah dapur dia
kerjakan pun tak ada hal.
Duduk menyewa bilik macam inilah kaedahnya.
Dapur kena kongsi dengan penyewa lain. Ada yang boleh
bertolak ansur, ada juga jenis yang pentingkan diri sendiri. Nak
tak nak kena hadap juga. Malas dah mahu berpindah-randah
mencari rumah lain.
Final year dah babe, final year dah. Itu yang selalu
Nessa pesan apabila dia bising-bising.
Pintu bilik ditolak dengan berhati-hati. Kepala
menjenguk ke dalam dan Aimi terus tersengih apabila melihat
Nessa yang berkelubung dengan selimut di tengah katil.
“You masak apa, Aimi?”
“You demam lagi ke babe?” Dulang diletak di atas
meja belajar dan Aimi melabuhkan duduk di sisi Nessa.
Tangan kanan naik merasa dahi Nessa yang terdedah.
“Tak panas pun. You ni betul-betul demam ke atau
demam kura-kura?”
Nessa tergelak.
“I demamlah. You sendiri nampakkan I menggigil
semalam.” Tapi hari ni dah elok pula. Ajaib sungguh. Dia pun
tidak faham dengan badan sendiri.
“Sahlah tu you demam kura-kura. Nah, minum teh
ni sikit. I letak lemon dengan madu macam selalu.”
Teh panas yang masih berasap dicecap perlahan.
Disebabkan suhu persekitaran yang sejuk, teh panas berasap
macam ni pun mudah saja diminum. Kalau di Malaysia, mahu
melecur lidah.
Aimi menarik bantal kecil yang terdapat di atas katil
Nessa sebelum menarik sila sambil memeluk bantal tersebut.
Wajah Nessa yang sedang mencicip teh hasil air tangannya
dipandang dengan senyuman.
“You demam sebab terkejut hampir nak kena langgar
ke atau you demam sebab lain ni babe?”
“Sebab apa?”
“Sebab kena peluk oleh jejaka yang tidak dikenali,”
bisik Aimi, mengusik.
Pipi Nessa berubah rona. Kejadian semalam berputar
semula di kotak fikirannya.
Lelaki itu... Pelukannya sangat kemas. Masih
terasa nafas keras di ubun-ubun kepala walaupun berlapik
selendang. Masih terasa kejapnya pelukan. Masih terasa detak
jantungnya yang tidak sekata. Semua itu, dia masih belum
lupa.
Kepala digeleng dengan mata terpejam bagi
mengusir bayangan jejaka yang muncul secara tiba-tiba
dalam hidupnya semalam.
Telatah Nessa itu membuatkan Aimi ketawa. Sah!
Sahabatnya ini masih teringatkan kejadian semalam. Itu yang
badan terasa panas sejuk, siap berkelubung dalam selimut
macam ni.
“Kacak tak babe?”
“Aimi!” Nessa menjulingkan mata ke atas. Sejak
semalam, setelah dia menceritakan semuanya kepada Aimi
memang itu sajalah soalan sahabatnya itu. Kacak tak? Buat
seketika Nessa diam berfikir.
“Kacak juga. Chinese look gitu. Macam artis K-pop
pun ya. Tinggi, putih...”
Semakin galak Aimi melambakkan ketawa.
“Amboi... dalam marah dia tu sempat lagi flashback.
Dalam kekalutan nak kena langgar tu sempat lagi ya you
analisa dia, babe.”
“Well...” Nessa jongket bahu. “Bukanlah beria pun I
scan dia. Tapi itulah, sempat juga pandang muka dia sebelum
I tinggalkan dia dekat situ.” Nessa buat muka poyo. Padahal
dalam hati dia semalam hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa
dup dap dup dapnya jantung ini mengepam darah apabila
terpandangkan wajah si jejaka yang tidak dikenali itu.
“Ouch!” Spontan Aimi melekapkan tangan ke dada.
“Kenapa?”
“You tinggalkan dia dekat situ kedengaran sangat
menyakitkan Ness. Ouch!”
“Eee... dramanya you ni!” Pinggang Aimi
dicucuk-cucuk membuatkan sahabatnya itu menggeliat
kegelian. Kemudian masing-masing rebah di atas katil Nessa
dan terbaring di situ.
“Hari ni takde kelas, kan?”
“Ya. Nasib baik. Kalau tidak tak pasal-pasal I
ponteng.” Nessa urut dada lega.
“Keluar, jom?” Aimi baring mengiring dengan
menongkat kepala.
“Ke mana?”
“Bandarlah. Dah lama tak cuci mata.”
“Aduh, nak cuci mata macam mana sangatlah, Mi?
Karang tercuci sekali dengan dompet.”
“Tak apalah, bukan selalu.”
“Bukan selalu?” Hampir terbeliak mata Nessa
mendengar bukan selalu Aimi itu. “Babe, minggu lepas sakan
dah you shopping. Lupa ke?”
Aimi tayang sengih.
“Alah babe, tak lama dah kita duduk sini. Dah habis
belajar nantikan nak terus balik. Jadi, apalah salahnya masa
yang ada ni kita gunakan sebaiknya dengan menikmati
keindahan kedai-kedai yang ada dekat bandar tu.”
“Masalahnya you menikmati keindahan barang
dalam kedai tu siap dengan hulur duit sekali, babe.”
Sengihan bertukar ketawa. Nessa ni kalau bab
membebel berilah kepada dia. Tangan Nessa ditarik supaya
bangun.
“Dah, jom! Mana tahu kut berjodoh terserempak
dengan jejaka Chinese look lagi ke. Untung-untung boleh
tengok scene superhero selamatkan heroin dia.”
“Aimi!”

USAI TAMAT kelas hari ini, Arief terus bergerak keluar dari
kawasan universiti. Beg galas di bahu kanan yang hampir
melorot jatuh ditarik ke atas semula. Kaki menapak ke arah
deretan kedai. Sempat dia cuci mata melihat barangan di
ruang pamer di bahagian hadapan kedai. Cantik belaka dan
sudah tentu harganya pun cantik juga.
Arief meneruskan perjalanan. Hari ini dia
keseorangan tanpa teman. Rakan yang lain sibuk dengan
aktiviti masing-masing; menguruskan hal pelajaran dan
hal peribadi. Langkah kaki diatur lagi. Menelusuri kawasan
pejalan kaki. Sempat dia tersenyum dan membalas sapaan
setiap kali berpapasan dengan pelajar dari Malaysia.
Kebanyakan daripada mereka memang dia biasa lihat sewaktu
menghadiri aktiviti atau program yang dianjurkan oleh
Malaysia Hall serta pihak persatuan. Kira aktif jugalah dia di
bumi asing ini. Tak adalah ignorant sangat orang kata.
Tidak lama kemudian Arief berhenti di hadapan
sebuah kafe yang agak penuh dengan pengunjung. Malas
mahu berasak di dalam, dia memilih untuk duduk di luar
sahaja. Di meja yang berhampiran dengan kawasan pejalan
kaki. Baru saja dia melabuhkan duduknya di situ, terus dia
disapa oleh Isa, junior yang membuat kerja sambilan di situ.
“Minum apa, bang?”
“Macam biasa Isa.”
“Okey, beres!”
Arief hanya tersenyum memandang kelibat Isa yang
menghilang ke dalam kafe. Apabila melihat Isa, teringat
akan dirinya yang dulu. Sejak mula menjadi pelajar di bumi
asing ini, dia sudah mula membuat kerja sambilan untuk
menampung perbelanjaan di sini. Bolehlah dia minimakan
penggunaan duit biasiswa untuk pelajaran sahaja.
Sejak tahun pertama Arief sudah melakukan pelbagai
kerja. Apabila tiba waktu cuti, lagi bertambah kerja yang dia
lakukan. Hanya itu caranya untuk anak yatim piatu yang tiada
saudara-mara seperti dia bertahan hidup di bumi asing ini.
Masuk tahun akhir, dia mula memperlahankan
aktiviti kerja sambilan. Hanya mahu fokus kepada pelajaran
sahaja. Lagi pula, duit simpanan hasil kerja sambilan yang
dia lakukan beberapa tahun ini mencukupi sehingga dia
menamatkan pengajiannya nanti. Setelah habis belajar, ada
rancangan lain yang telah dia rangkakan. Kesemuanya untuk
kemudahan dan kesenangan hidup dia kelak.
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sejak kecil
dia memang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran di
luar negara. Walau pelbagai halangan yang perlu dia tempuh
untuk sampai ke tahap ini, sedikit pun tiada rasa penyesalan
dalam diri seorang Arief. Dia bangga dengan dirinya dan dia
yakin bahawa dia mampu mencapai lebih lagi. Itu tekadnya.
“Siap, bang.”
Arief tersengih saja melihat gaya bersahaja Isa. Dah
macam dekat mamak pula dibuatnya. Padahal ini kafe mat
salih kut.
“Isa, ada ni tak?” Arief buat isyarat hisap rokok. “Bak
sebatang.”
Isa usap leher serba salah.
“Tapi bang, hari tu Abang Pecal dah pesan, kalau
abang minta jangan kasi.”
“Pecal apa kau ni? Pecal lele?”
Selambak ketawa Isa di situ.
“Abang Faisal.”
“Sebutlah elok-elok, buruk sangat bunyinya.
Bila Faisal pesan kat kau?” ‘Isy, Faisal ni... dah macam
bayang-bayang pula. Takde dengan aku pun sibuk juga nak
jaga aku. Tahulah sayang...’
“Maaf, bang. Hari tu Abang Faisal nampak saya
kongsi rokok dengan abang.”
Arief garu hujung kening. Macam manalah boleh
kantoi.
“Tak apa kau kasi aje, bukan Faisal tahu pun. Nanti
kau janganlah beritahu dia aku minta rokok dengan kau.”
Dengan teragak-agak kotak rokok dikeluarkan.
“Abang takde duit nak beli rokok ke?”
Duh, sentap!
“Bukanlah.”
“Habis tu?”
Alahai macam-macam pula soalan budak ni.
“Aku dalam percubaan nak berhenti merokok ni.”
Jujur dia menjawab, lupa pula yang budak Isa ni lurus bendul.
“Kalau macam tu tak payahlah hisap.”
Kan dah kata! Baru sahaja Isa nak simpan semula
kotok rokoknya, terus Arief menarik keluar sebatang.
“Bukan selalu punlah. Dah banyak hari aku tak
merokok ni, kasi chancelah.”
Isa tayang sengih.
“Yalah tu. Semalam saya nampak abang berasap
dekat tangga.” Sempat dia menjawab sebelum berlalu
meninggalkan Arief. Sebelum kena marah lebih baik dia blah.
“Isy, budak ni. Nampak aje mata dia tu!” Baru saja dia
meletakkan batang rokok di bibir, matanya terpandangkan
seseorang dan seseorang itu adalah...

SEHARIAN NESSA dan Aimi berjalan mencuci mata seperti
yang Aimi katakan. Beg duit Aimi juga hampir separuh dicuci.
Nasib baik dia masih mampu bertahan. Kalau tidak memang
penuh tangannya macam Aimi sekarang.
Sambil berjalan ada saja yang mereka bualkan.
Apabila bercakap tentang sesuatu yang mencuit hati selamba
sahaja mereka lambakkan ketawa. Orang dekat sini mana nak
peduli. Kau berjalan sampai terlingkup badan pun tak ada
siapa yang kisah.
“Aimi, ngopi jom.”
“Kat mana?”
“Mana-mana aje. Dekat hujung sana ada banyak kafe,
bolehlah pilih nak masuk yang mana.”
“Okey, jom.”
Tiba di hadapan sebuah kafe, kaki Nessa terus kaku.
Berkerut-kerut wajahnya memandang susuk tubuh yang
sedang duduk di luar kafe tersebut dan saat sepasang mata
itu memandang ke arahnya, badan terasa seram sejuk.
“Ness? Jomlah.”
Tangannya ditarik oleh Aimi tetapi kakinya bagaikan
terpasak terus di situ. Langsung tidak bergerak.
“Ness? Nessa? Kenapa ni?”
“Aimi...”
“Ya? Kenapa?”
“Lelaki tu...”
“Hah?” Aimi turut memandang ke arah yang sama.
“Babe, itu ke...” Belum sempat Aimi menghabiskan bicaranya,
Nessa terlebih dahulu mengangkat kaki meninggalkan
tempat tersebut.
“Eh Ness, tunggulah...” Berlari anak Aimi mengejar
langkah Nessa.
Arief hanya mampu memandang dari kejauhan
gelagat dua gadis itu. Tiada rasa untuk mengejar. Kalau
dia kejar pun rasanya dah terlambat. Batang rokok dikepit
dengan bibir. Kalau berjodoh, mereka pasti akan bertemu
semula nanti. Pasti!

No comments:

Post a Comment