DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 March 2019

Pabila Kau Hadir - Prolog



GELAK sinis Zainal membuatkan hatiku pecah
berderai. Sendat dadaku menahan rasa pedih. Perasaanku
mula bercampur baur. Tetapi, berpatah arang tidak sama
sekali. Senyum palsu ini masih tersungging di bibir, cuba
mengaburi pandangan Zainal daripada meneka kebenaran
yang terbit daripada sekeping hati. Aku perlu meneruskan
kepura-puraan ini, meyakinkan Zainal bahawa aku begitu
teguh dengan apa yang baru terlontar daripada dua ulas
bibirku.
“Izzah, saya tak setuju. Kenapa awak minta saya
berkorban sampai macam ni sekali? Kenapa saya, Izzah?
Kenapa saya?” Zainal menggeleng-geleng. Hampir tidak
terkeluar suaranya menahan rasa tidak percaya.
“Patutlah awak dah berubah sejak akhir-akhir ni.
Saya call tak jawab, atau kalau jawab pun... selalu mengelak,
kan? Saya mesej, WhatsApp, apa semua awak tak ingin
nak reply pun kan? Jadi... inilah puncanya,” serkap Zainal.
Wajahnya jelas kecewa.
Buat seketika kami berdiam. Kaku bibirku untuk
menepis kata-kata itu kerana semuanya benar belaka.
“Saya juga terpaksa Nal,” keluhku hiba.
“Ulya tak minta, Izzah. Ulya tak pernah cakap apa-apa
pada saya. Kenapa awak pandai-pandai nak tafsirkan semua ni
sendiri? Kenapa awak tiba-tiba buat cadangan gila ni? Saya
tak setuju!” bentaknya berang.
Aku mengetap bibir. Ulya tidak meluahkan kepada
Zainal. Benar, tetapi semua rasa yang terpendam bertahun
lama itu sudah diluahkan kepadaku 2 minggu lepas. Aku
terperanjat besar sehingga hanya mampu membisu sepanjang
dia bercerita. Sungguh sakit dan menyeksakan mendengar
Ulya yang sudah aku anggap bagai saudara kandung sendiri
bercerita tentang lelaki yang sudah lama dia idamkan. Lebih
menyakitkan, kerana lelaki itu Zainal Idham. Lelaki yang
bertakhta di hati ini.
“Saya tak ada apa-apa perasaan pada dia, Izzah. Tak
ada. Tak pernah ada. Zero. Malah, saya tak pernah pandang
dia lebih daripada seorang kawan. Saya berkawan dengan dia
sebab dia kawan awak. Tak lebih daripada itu.”
“Dia sukakan awak. Ulya cintakan awak. Dia dah
lama cintakan awak, Nal.”
“So what???” Zainal menjerit marah. “Dia cintakan
saya, dia suka saya... saya peduli apa? Itu masalah dia. Saya
cuma sayang awak, Izzah. Saya cintakan awak. You know
better. Selama ni, hubungan kita terbina kerana kita berdua
saling mencintai, kan? Sayang, please... dengar sini, kalau
awak rasa tersepit sekarang ni, saya akan berterus terang
dengan Ulya. Saya akan beritahu dia tentang hubungan kita.”
“Nal, jangan!” tegahku. Ada kesal yang datang
singgah di hati. Serba salah. Melihat keruhnya tampang
Zainal, aku tahu dia berduka dengan keputusanku. Aku juga
dalam persimpangan. Bukan sedetik dua aku berfikir untuk
memutuskan hubungan ini.
“Apa yang awak nak sebenarnya ni? Lepas 2 minggu
awak mengelak daripada saya, tiba-tiba awak WhatsApp saya
kata nak jumpa. Lepas tu awak bagi saya khabar berita macam
ni. What do you expect me to do, Izzah? Terima dengan
senang hati? Angguk setuju aje? Awak ingat saya apa, Izzah?
Hati batu? Tak ada perasaan? Saya lelaki. Saya ada ego saya,
Izzah. Saya bukan lelaki yang awak boleh pijak sesuka hati.”
Amarah Zainal membuatkan aku menarik nafas
panjang. Tidak pernah terlintas dalam benak fikiran mahu
menyusahkan dirinya. Rasa cintaku kepada Zainal tidak boleh
dijual beli tetapi aku juga tidak sampai hati melukakan hati
Ulya. Lantas, jalan inilah yang aku rasakan paling tepat buat
masa ini biarpun kesudahannya aku akan derita.
“Saya tak pernah anggap awak macam tu, sebab saya
sayang awak, Nal...” ujarku perlahan membuatkan Zainal
terdiam kaku. Tunak matanya merenungku. Terpaku.
Lama kami saling berpandangan. Bagai terbias di
mataku pandangan kasih yang selalu dia lemparkan tatkala
kami keluar bersama.
“What’s happening to you, Izzah? To our love? Mana
Izzah yang saya selalu sayang? Mana sayang saya?”
Terkedip-kedip mataku.
‘Mana sayang saya?’ Ah! pedihnya mendengar
tuturan lembut penuh makna itu; kata-kata yang selalu
diucapkan Zainal dengan nada mengusik dan aku hanya
mampu tersenyum malu.
“Saya... saya tak jadi nak sambung belajar di
sana. Saya dah terima tawaran di Malaysia. I‘m so sorry.”
Aku dihimpit rasa bersalah. Sedari awal lagi aku sengaja
menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuannya.
“Izzah!” Zainal terperanjat.
“Ulya ada. Ulya akan bersama awak di sana.”
“Ulya! Ulya! Ulya! Dah muak telinga saya dengan
nama tu. No! Stop Izzah. Saya tak nak dengar nama dia lagi.
Saya tak datang ke sini untuk dengar nama dia. Izzah, apa
awak buat ni? Awak dah gila ke? Lagi sebulan kita nak ke sana,
kan? Apa gunanya kita buat persediaan ke luar negara kalau
awak tolak saat-saat akhir macam ni?”
“Ulya sakit Nal, Ulya ada kanser,” luahku tidak
tertahan.
Zainal terlongo dan tersandar di kerusi. Lama.
Matanya terkebil-kebil. Dahinya berkerut sendiri. Akalnya
sedang memproses apa yang baru sahaja didengari.
“Ulya sakit dan abang saya kemalangan. Papa saya
tak bagi saya ke luar negara. He needs me. Sebab tu saya
tak boleh ikut awak dan Ulya,” jelasku. Ada pembohongan
pada kata-kataku. Papa tidak pernah menghalang langkahku
untuk belajar di luar negara.
“Saya... saya baru tahu tentang Ulya. Dia satu-satunya
sahabat saya, Nal. Kawan yang saya sayang dunia akhirat.
Saya tahu dia tak akan setuju dengan keputusan saya, tapi
saya nekad. I have no choice. Jadi Nal, kalau awak sayangkan
saya, kalau awak betul-betul cintakan saya... tolong... tolong
jaga Ulya di sana.” Tersekat-sekat nafasku.
Zainal tergelak kecil. Kehampaan mewarnai anak
matanya.
“Macam ni awak nak saya balas rasa kasih saya pada
awak, Izzah? Sayangkan kawan awak sama?”
“Kahwini Ulya, Nal.”
“Izzah!” Zainal terjerit. Mata-mata sekeliling tertoleh
ke arah kami. Aku segan sendiri.
“Kahwini dia, supaya awak dan Ulya berbahagia di
sana.” Aku pandang dia. Tanpa sedar, juring mataku basah
biarpun sudah aku tahan sekuat hati. Aku tidak ingin
kelihatan lemah di mata Zainal. Aku tidak ingin kelihatan
terpaksa di hadapannya. Tetapi, aku gagal. Aku tetap tewas
mengawal hati yang robek teruk kerana keputusan yang aku
cipta sendiri.
“Sampai hati awak, Izzah. Awak permainkan saya.
Cinta kita tak ada makna pada awak, kan?” Lirih benar suara
Zainal. Air mukanya berubah keruh.
Jawapanku hanya dengan anggukan sahaja. Jika
itu boleh membuatkan Zainal setuju untuk melepaskan aku
daripada hatinya, biarlah dia dengan anggapannya. Dengan
sedikit teragak-agak aku melangkah pergi. Sedikit pun, aku
tidak menoleh lagi. Takut, jika keyakinanku goyah kembali.
Air mataku menitis perlahan. Rasanya baru semalam
aku berangan dan bertekad mahu menjadikan Zainal lelaki
pertama dan terakhir di hati. Ternyata, kehendakku tidak
sama dengan takdir yang terlukis. Detik ini, aku tahu,
aku sudah terpisah jauh dengan dirinya. Aku harus cuba
membuangnya dalam hatiku.
‘Maafkan saya Zainal, maafkan saya kerana tidak
dapat pertahankan cinta kita,’ bisik hatiku pilu.

II
Izzah telah pergi.
Abang sendiri, semangat abang telah
mati.
Tetapi abang akan tetap mencintai
Izzah meskipun bertahun akan berlalu.
Izzah,
Tiada lagi haruman tubuhmu, sayang.
Tiada lagi senyuman manismu, sayang.
Izzah,
Abang rindu... rindu... rindu... rindu...
terlalu rindu...
Seumur hidup abang, abang tidak
pernah bermimpi abang akan jatuh
cinta pada wanita seanggun Izzah.
Tak pernah abang duga, Tuhan
menghadiahkan wanita seistimewa
Izzah untuk abang yang kotor.
Allah berikan Izzah yang penuh kasih
sayang untuk abang cintai.
Izzah ada kisah duka Izzah dan abang
juga ada derita.
Tetapi rupa-rupanya, Izzah lebih kuat
berbanding abang.
Abang lelaki yang lemah. Abang tak
sehebat Izzah!
Sayang,
Abang belum puas hidup bersama
Izzah.
Abang belum puas menghirup kasih
sayang bersama Izzah.
Abang tidak pernah bosan menatap
kecantikan Izzah.
Tetapi hati Izzah telah abang lukai,
jiwa Izzah telah abang lumatkan,
abang hiris perasaan Izzah tanpa belas.
Dan hubungan kita terlerai kerana
abang!
Abang yang bodoh dan lemah!
Abang tak mampu pertahankan kisah
cinta kita.
Izzah...
Maafkan abang.
Maafkan abang, sayang!
Maafkan abang!
Izzah...
Maafkan abang kerana tinggalkan
Izzah.
Izzah... abang sakit sayang... sakit
sangat!
Abang tak mampu bernafas tanpa
Izzah.
Izinkan abang membawa Izzah kembali
ke dalam pelukan abang walaupun
hanya dalam angan-angan.
Iskandar,
15 Feb

No comments:

Post a Comment