DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 24 March 2019

7 Days Of Summer - Bab 10

HUJUNG pen diketuk pada buku di atas riba
dengan tangan kiri menongkat kepala. Matanya melilau
memandang sekeliling. Yang ditunggu masih belum
kelihatan sedangkan dia sudah bosan duduk bersendirian di
sini. Semua yang dibaca pun tidak masuk ke dalam kepala.
Perasan muncung tudungnya sedikit senget, beria-ia Nessa
meniup agar muncung tudungnya itu kembali elok terletak.
Arief yang memandang dari kejauhan mula
mengekek. Hampir terlepas minuman di tangannya kerana
terlalu seronok ketawakan Nessa yang duduk bersila di
bawah pokok. Segala kelakuan gadis itu menjadi santapan
matanya sejak dia tiba 15 minit yang lalu. Perlahan-lahan
dia mendekati Nessa yang masih sibuk meniup muncung
tudungnya itu.
“Haaa!”
“Oh, mak!”
Terpelanting buku di atas ribanya kerana terkejut
dengan sergahan Arief. Pantas dia menoleh dengan muka
yang sedikit pucat dan mata yang tajam menjeling Arief yang
masih mengekek.
“Tak kelakar!”
“Maaf.” Makanan dan minuman di tangan diletakkan
di atas rumput begitu sahaja sebelum dia menghabiskan sisa
ketawanya. Seram juga melihat wajah garang kekasihnya itu.
“Cakap maaf tapi ketawa juga.”
“Maaf sayang, tak boleh tahan. Lawak betul.”
Terkumat-kamit bibir Nessa membebel tanpa suara
dengan mata tajam menikam wajah Arief.
“Haa, tak payah buat muka macam tu eh.”
“Kenapa?”
“Sebab makin cantiklah. Tanya pula dia.” Arief sengih
tetapi jelas kecanggungan pada sengihannya itu. Entah
kenapa dia pula yang malu apabila memuji Nessa begitu.
Sekali lagi Nessa menjeling sebelum bibirnya mula
melorek senyuman.
“Kenapa lambat? Lama tau saya tunggu dekat sini.
Tengok tu, buku pun dah tunggang terbalik.” Bibir Nessa
menjuih ke arah buku yang terlangkup di hadapannya akibat
daripada terkejut dengan sergahan Arief tadi.
Terhambur ketawa mereka berdua melihat keadaan
buku Nessa. Arief mengambil buku tersebut dan diletakkan
ke tepi.
“Black coffee for you and earl grey for me.” Dua
bekas minuman diletakkan di hadapan Nessa. “Lambat sebab
singgah beli ni tadi. Bagel kesukaan awak pun ada ni.”
Bersinar mata Nessa melihat apa yang dihidangkan
oleh Arief.
“So sweet of you, baby. Terima kasih, Arief.”
Arief hanya tersengih membalas ucapan terima kasih
Nessa. Semakin lebar sengihannya melihat buah hatinya
menikmati kopi yang dibawa. Nessa memang sukakan kopi
tapi bukan tahap ketagih. Tak dapat kopi satu hari pun tak
ada hal. Sama juga seperti dia. Tapi dia lebih menggemari teh
berbanding kopi. Baginya teh lebih menenangkan berbanding
kopi. Aroma teh juga lebih harum dan menyenangkan. Dapat
teh O panas pun sudah cukup bagi seorang Arief.
“Tinggal berapa paper lagi?” Buku dan nota Nessa
yang berselerakan di atas rumput diambil dan dibelek
sepintas lalu.
“Tiga.”
“Yang sebelum ni macam mana? Okey tak?”
“Alhamdulillah. Tak susah dan tak senang juga.
Bolehlah jawab. Takdelah hantar kertas jawapan kosong.”
“Saya tahu awak boleh. Awak tu aje yang tak yakin
dengan diri sendiri.”
Nessa tersengih dengan kedua belah tangan
memegang kemas gelas kertas berisi kopi. Malu pula apabila
Arief mula mengungkit macam tu. Apa tidaknya, setiap malam
sebelum tiba hari peperiksaan dia akan menghantar mesej
kepada Arief mengadu tentang macam-macam hal. Sampai
satu tahap rasa nak muntah sebab terlalu risau sekiranya
tidak dapat menjawab periksa keesokannya.
“Saja nak bermanja. Tak boleh?”
Arief melunjurkan kaki ke hadapan kemudian
kedua belah tangan ditongkatkan ke belakang. Sempat dia
mengerling ke arah Nessa di sebelah dengan hujung bibir
yang tercuit senyuman.
“Kalau untuk awak lebih dari boleh.”
Perlahan sahaja jawapan Arief namun sempat
ditangkap oleh pendengaran Nessa membuatkan dia turut
tersenyum dengan hati yang berbunga. Lelaki itu sentiasa
bermanis mulut kalau dengan dia. Tidak pernah kata tidak
kalau bercakap dengan dia kecuali tentang pulang ke Malaysia.
Pendirian Arief yang satu itu memang dia tidak mampu ubah.
Mungkin sampai bila-bila.
Arief memandang lurus ke hadapan. Melihat
pengunjung yang turut bersantai seperti dia dan Nessa. Ada
yang berdua, ada yang berkeluarga. Ada juga yang bersama
rakan-rakan. Hyde Park sentiasa penuh dengan pengunjung
lebih-lebih lagi apabila keadaan cuaca baik begini. Dia dan
Nessa juga suka melepak di sini dan mengulang kaji pelajaran
bersama walaupun mata pelajaran mereka tak sama.
Kota London yang padat dengan bangunan tinggi
masih kaya dengan kehijauan. Hampir 5 tahun menetap di
London, dia senang berada di sini. Untung nasib seorang
Arief, berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke sini walaupun
dia serba kekurangan. Rezeki Tuhan ada di mana sahaja dan
tidak mengira sesiapa. Sudah ditakdirkan rezekinya dapat
melanjutkan pelajaran di sini, maka di sinilah dia pada hari
ini.
“Tiket balik Malaysia dah ada?”
Nessa yang baru sahaja menggigit bagel terus
terdiam. Terus mati seleranya apabila mendengar soalan
daripada Arief. Dikunyah perlahan sisa yang berbaki dalam
mulut. Yang selebihnya terbiar di atas riba. Perlahan-lahan
Nessa menggeleng.
“Tak beli lagi?”
“Tak.”
“Kenapa?”
Wajah Arief mula serius dan duduknya juga kembali
tegak. Dia sangkakan yang Nessa sudah sedia untuk pulang
ke Malaysia memandangkan peperiksaan akhir mereka akan
tamat beberapa hari sahaja lagi. Tetapi lain pula yang terjadi.
Jangan kata yang Nessa tidak jadi pulang ke Malaysia pula.
“I think I’m gonna stay for another week lepas habis
exam nanti.”
“Kenapa?”
Bagel di tangan dicarik-carik menjadi cebisan halus.
“Nak luang masa dengan awak. Dah balik Malaysia,
entah berapa bulan saya dekat sana. Mesti rindu.”
Arief diam lagi. Kejujuran Nessa itu sedikit sebanyak
memberatkan hatinya untuk melepaskan Nessa pergi.
“Nanti saya bawa awak jalan-jalan,” putus Arief.
Kesempatan yang ada akan digunakan sepenuhnya
bagi membahagiakan kekasih hatinya itu. Bimbang kalau
kesempatan ini tidak akan diperoleh lagi di kemudian hari.
“Betul ni?” Dengan mata yang terkebil-kebil Nessa
memandang Arief.
Arief senyum, cuba meyakinkan Nessa.
“Betul. Cakap aje awak nak ke mana, saya bawa.”
Mata Nessa kembali bercahaya dan bagel di tangan
digigit semula dengan sengihan yang tidak lekang dari bibir.
Hati kembali berbunga. Hilang rasa sendu buat seketika.
“Pergi countryside boleh?”
“Hari tu kan dah pergi.”
“Tak puas. Lagipun hari tu tak sempat nak menikmati
sangat.”
‘Masuk desa pun bolehlah Arief. Janji Nessa bahagia.’
“Alright!” Arief kembali memandang ke hadapan
sementara Nessa menghabiskan makanannya.
Tenang. Itu yang dia rasakan kini walaupun jiwa
dan hatinya sentiasa bergolak memikirkan tentang cinta dan
perasaan yang terhalang. Wajah Nessa dicuri pandang dengan
hujung mata. Wajah yang penuh kelembutan.
Selama perkenalan mereka gadis itu tidak pernah
menyusahkan dia. Sangat berdikari dan matang. Sentiasa
menjaga hati orang lain lebih daripada hatinya sendiri.
Bersetuju saja dengan segala perancangannya walaupun
dengan hati yang berat. Juga agak naif. Tidak terniat di
hatinya untuk mengambil kesempatan di atas kenaifan Nessa
itu. Dia cuma ingin memiliki gadis yang dia cintai, itu sahaja.
Tetapi takdir Tuhan menidakkan segalanya dan dia
sebagai manusia yang tidak punyai apa-apa ini harus akur
dengan takdir-Nya.
“Life ain’t easy, right Arief?”
“Huh?”
Nessa tersenyum.
“Selama saya hidup, belum pernah saya rasa hidup
saya ini merumitkan. Macam yang saya pernah cakap, saya
hanya ikut takdir bawa saya ke mana. Membesar ikut acuan
mama dan baba. Habis sekolah, sambung belajar sampai ke
sini. Dalam kepala saya, dah habis belajar nanti boleh kerja
yang bagus-bagus dan pegang duit sendiri. Tak payah nak
susahkan mama dengan baba lagi. But when it comes to love,
saya mula rasa yang hidup ini agak rumit.”
Jeda.
Pandangan turut diluruskan ke hadapan.
“Segala perancangan saya mula berubah. Yang
menjadi keutamaan dalam hidup saya sekarang bukan hanya
belajar, kerja dan cari duit untuk mendapatkan hidup yang
gembira dan selesa. Yang menjadi keutamaan dalam hidup
saya sekarang adalah untuk mencintai dan dicintai.”
Pandangan dikalihkan ke arah Arief, lama.
“Tapi yang sedihnya, banyak pula halangan untuk
saya merasai nikmat cinta itu.” Nessa tersenyum hambar
sebelum menunduk memandang rumput yang menghijau.
Minda Arief mula menyusun kata. Kata-kata yang
mampu menenangkan Nessa dan juga dia.
“Halangan itu menguatkan.” Wajah Nessa direnung
sepuasnya. “Ini cuma sementara, Nessa.”
Dengan berat hati Nessa kembali mengukirkan
senyuman.
“Yeah, I hope so.”

“SAYA NAK hadiahkan awak sesuatu.”
“Apa dia?”
Nessa dan Arief mengorak langkah menuju ke Oxford
Street. Seharian mereka meluangkan masa bersama sebelum
masing-masing kembali sibuk dengan peperiksaan mereka.
“Hmm, apa yang awak suka?”
“Awak,” jawab Arief tanpa teragak-agak.
Nessa menjulingkan mata ke atas.
“Apa Arief... bukan siapa. Kalau siapa memang saya
dah tahu, tak perlu tanya lagi dah.”
Arief ketawa.
“Saya suka apa saja yang awak bagi.”
“Kalau saya bagi hati saya?”
“Bukan dah bagi ke? Atau awak dah ambil semula?”
Giliran Nessa pula yang ketawa.
“Tak, dah bagi hari tu dan tak pernah ambil semula.
Awak pun tak nak pulangkan semula, kan?”
Arief angguk.
“Biar awak takde hati lagi dah untuk diberikan
kepada orang lain.” Arief dan Nessa saling berpandangan.
“Ouch! I won’t give my heart to anyone else, Arief.
That’s my promise.”
Arief kenyit mata dan tersenyum.
“Saya tahu dan saya percayakan awak, sayang.”
Mereka kembali beriringan menelusuri kawasan
pejalan kaki sambil bersembang tentang apa sahaja yang
dilihat. Pelbagai reaksi yang dapat dilihat daripada keduanya
ketika melihat barang yang dipamerkan. Kadang ketawa dan
kadang teruja. Nampak bahagia walaupun kenyataannya
mereka akan berpisah jua.
Tiba di hadapan sebuah butik, Nessa terus menarik
lengan Arief yang berlapik itu masuk ke dalam butik tersebut.
Bersinar matanya melihat pakaian lelaki yang tergantung.
Kemeja yang dipamerkan juga kelihatan kemas dan segak.
Dapat dia bayangkan betapa kacaknya Arief apabila memakai
pakaian itu ke pejabat nanti. Ah, rasa teruja pula untuk
melihat buah hatinya berpakaian kemas begitu.
“Nak kemeja tak?”
Arief menggeleng dan gelengan itu membuatkan
Nessa sedikit kecewa.
“Kenapa? Baru aje berangan nak tengok awak pakai
kemeja kemas-kemas. Mesti kacak.”
Arief tergelak. Mesti Nessa juga seperti gadis yang
lain punyai imaginasi dan bayangan kekasih yang berpakaian
segak.
“Orang dulu-dulu cakap kalau bagi baju hubungan
tak akan kekal lama.”
Nessa mencemik. Mitos apakah pula ni?
“Habis tu kenapa ramai buat hantaran baju lelaki.
Kemeja ada, T-shirt pun ada.”
Arief cuma jongket bahu kerana dia sendiri pun tiada
jawapan untuk soalan Nessa itu. Yang sebenarnya dia pun tak
percaya juga mitos begitu.
“Mengarutlah,” ucap Nessa perlahan dengan mata
yang melilau memandang sekeliling. “Haa, kalau yang itu?”
Arief turut memandang ke arah yang ditunjukkan
oleh Nessa. Agak menarik tetapi mesti mahal. Baru sahaja dia
ingin menggeleng, Nessa terlebih dahulu menarik lengannya
ke arah ruang kotak kaca yang mempamerkan pelbagai jenis
cufflinks di dalamnya.
“Saya nak belikan awak benda ni. No more excuses,
Arief.” Pantas dia memberi amaran apabila perasan akan riak
kurang senang pada wajah Arief. Cufflinks ni pun menarik
juga. Pasti Arief akan lebih kacak jika memakai kemeja kemas
dengan cufflinks pada lengan. Hujung bibir mula tercuit
dengan senyuman apabila membayangkan kekacakan Arief
itu nanti.
“Bila dah kerja nanti kena pakai kemas-kemas. Biar
nampak segak Encik Arief kita ni. Jadi, yang ini sesuai rasanya
untuk awak.” Cufflinks button yang diperbuat daripada logam
itu diangkat tinggi. Terdapat ukiran huruf A dan N pada
permukaan butangnya.
“Kenapa A dan N?”
“Arief dan Nessa.”
“Orang perempuan memang suka benda-benda
macam ni eh? Pilih huruf yang melambangkan nama dia
dengan kekasih.”
Kening Nessa mula berkerut.
“Kenapa? Tak suka?”
“Too mainstreamlah, sayang.”
“Mainstream? Bukan romantik ke macam ni?”
“Romantik sebab bila tengok N, saya akan teringatkan
Nessa. Macam tu?”
Nessa tergelak. Kedengaran lucu pula kata-kata Arief
itu tadi.
“Yalah. Tak eh?”
Arief menggeleng dan mencebik.
“Okey, baik. Kalau macam tu kita pilih yang rare
sikit. Yang punya maksud yang tersirat sebab orang tu sangat
adventurous, tak suka yang easy peasy macam ni.” Sempat
lagi dia menyindir namun Arief hanya tertawa mendengar
sindirannya itu. Langsung tidak ambil hati.
Sepasang cufflinks yang berbentuk butang yang
diperbuat daripada logam dan dihiasi dengan batu permata
dicapai.
“This is amethyst, the birthstone for February. Saya
pilih yang ini untuk awak.” Cufflinks tersebut dihulurkan
kepada Arief. “Tahu tak kenapa saya pilih yang ini?” Nessa
angkat kening saat memandang wajah Arief. Sengaja nak
menguji sama ada Arief tahu ke tidak.
Hujung bibir Arief tercuit dengan senyuman.
“Your birthstone, am I right?” soal Arief dengan
mata yang tidak lepas daripada memandang cufflinks di
tangan Nessa.
Mata Nessa terus membuntang.
“Awak tahu?”
Arief mengerdipkan mata beberapa kali.
“Saya tahu sebab itu tarikh istimewa. Tarikh lahir
orang yang saya cinta.” Arief diam memandang ke dalam
mata Nessa. Lama.
“Arief...”
“Apa?”
“Suka buat saya terharu.” Nessa sudah mencebik
menahan rasa terharu. Kalau dia berdua dengan Arief saja
sekarang, harus pipi dia basah dengan air mata.
Arief ikut mencebik, sengaja mahu mengusik Nessa.
“Dah, tak payah nangis. Pasti nak beli cufflinks ni
untuk saya?”
Nessa angguk dengan bibir yang dikemam.
“Suka tak?”
Arief hanya senyum sebagai jawapan.
“Jom.”
Selesai berurusan di butik pakaian lelaki tersebut,
mereka kembali berjalan-jalan di kawasan kedai yang terdapat
di Oxford Street itu. Penat berjalan, mereka berhenti makan
di restoran pula. Selesai menjamu selera, Arief mengeluarkan
sebuah kotak dari dalam beg sandangnya.
“Saya tak sangka pula yang awak nak belikan hadiah
untuk saya hari ini. Kebetulan sungguh. Saya juga dah
sediakan hadiah untuk awak sebenarnya.” Kotak yang diikat
dengan reben itu ditolak ke hadapan Nessa.
Nessa memandang kotak tersebut dengan rasa
teruja. Gelas di tangan terus diletak ke tepi.
“Kotak pun dah cantik. Isi dalamnya mesti lebih
cantik, kan?”
“Tengoklah.”
Tanpa teragak-agak Nessa membuka ikatan reben
pada kotak tersebut. Kemudian sehelai selendang sutera
bermotifkan bunga dikeluarkan. Lembut rona warna
pada selendang tersebut membuatkan tenang mata yang
memandang.
“Cun!” Nessa mula teruja lebih lagi apabila melihat
corak pada selendang tersebut. Memang kegemarannya.
Arief senyum. Puas hati melihat reaksi teruja kekasih
hatinya itu.
“Suka tak?”
“Mestilah suka. Orang yang saya sayang kut bagi.
Dengan hati kembang setaman saya terima. Elok pula corak
bunga kembang dekat selendang ni.” Selendang tersebut
diacukan ke kepala. “Cantik tak?”
“Beyond beautiful.”
Melebar senyuman di wajah Nessa apabila mendengar
jawapan Arief. Pandai sungguh mengambil hati orang.
“Kalau rindu, bolehlah cium selendang tu nanti. Nak
cium orangnya tak boleh, belum halal.” Sempat dikenyitkan
mata ke arah kekasihnya itu. Aksi nakal Arief membuatkan
pipi Nessa merah menahan rasa.
“Siapa entah rindu dia.”
“Awaklah.”
“Kalau macam tu awak boleh cium cufflinks tu tadi
kalau rindukan saya.”
“Hahaha... kelakar Nessa... kelakar.”
“Eee... Arief!”
Semakin galak Arief ketawa apabila wajah Nessa
yang merah menahan rasa. Sabar sajalah!

SELENDANG PEMBERIAN Arief dilipat kemas. Lama
dia merenung selendang yang berada di atas ribanya itu.
Terkenang kembali kenangan mereka siang tadi, bibir Nessa
mula merekah dengan senyuman.
Arief yang biasa sahaja, tetapi mempunyai karakter
yang menarik di matanya. Lagaknya seperti lelaki budiman
bak kata Aimi. Sentiasa murah dengan senyuman. Lekuk di
pipi setiap kali Arief mengukir senyuman menjadi igauannya.
Lekuk yang menjadi penambah perisa pada senyuman
kekasihnya itu.
Arief... nakal dan ceria tetapi dalam masa yang sama
menyimpan seribu satu rahsia. Kadang hati dia terdera dalam
memahami seorang Arief. Walau nampak bahagia, walau
sentiasa gembira, lelaki itu tetap misteri dan sukar difahami.
Selendang yang berada di tangan dikucup. Lama.
Mengenangkan perpisahan yang bakal tiba, mata Nessa mula
berkaca. Tiba saat bertukar purnama, dia dan Arief akan mula
dijarakkan oleh tempat dan waktu. Akan tiba saat tiada lagi
Arief yang sentiasa menemani. Tiada lagi Arief yang sentiasa
memahami. Tiada lagi Arief yang sentiasa mencintai. Tiada
lagi Arief yang sentiasa menyayangi.
Mata yang basah dipejam rapat. Hatinya tidak pernah
berhenti menitipkan doa agar semua perancangannya dan
Arief berjalan seperti yang dirancangkan. Paling lama 6 bulan
dia akan berada di tanah tumpah darahnya itu. Kemudian
dia akan kembali semula ke sisi Arief bersama restu baba dan
mamanya. Itu harapan Arief dan semestinya itu juga harapan
dia.
Tangan kanan naik melekap ke dada kiri. Jantung
ini sentiasa berdegup laju saat kata putus diberikan. Hatinya
kuat mengatakan ada sesuatu yang sedang menanti di
Malaysia dan sesuatu itu bakal merubah kehidupannya dan
Arief. Mungkinkah benar atau itu hanya sangkaannya sahaja?



***AKAN BERADA DIPASARAN, KELUARAN MAC 2019*** 

No comments:

Post a Comment