DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 March 2019

Lelaki Terakhir Untukku - Bab 1



CINCIN perkahwinan yang melekat erat di jari
manisku menjadi tempat sasaran mataku berlabuh, lama.
Tak pernah sekali pun aku mencuba melepaskannya daripada
jariku walaupun pemiliknya sudah lama pergi membiarkan
aku hidup terkontang-kanting di dunia nyata ini.
Lama mataku menilik cincin bersalut emas putih
itu, ada rindu mengasak sanubari. Terlalu jauh dihanyut
emosi, aku bawa kepala menyandar di kerusi. Mata sedaya
upaya kupejam rapat, berusaha mengusir bayangan wajah
yang dulunya pernah bertakhta di hatiku, menyeri dan
membahagiakan hidupku suatu ketika dahulu. Namun
segigih mana pun aku mencuba, bayang itu terus saja
mampir mengucar-ngacirkan jiwa dan emosiku. Menarik aku
ke dalam lembah derita yang dipenuhi kenangan lama.
Sungguh aku lelah!
Dengan mata yang masih terkatup rapat, aku
menghela nafas perlahan. Hidup tanpa dia, sememangnya
sukar untuk aku lalui. Tetapi untuk kembali kepada dia,
ternyata tindakan itu bakal memusnahkan hidup aku sekali
lagi. Mana mungkin aku meneruskan hidup bersama lelaki
yang tak pernah berpendirian tetap dalam hidupnya; yang
memandang enteng tali ikatan antara kami; yang hanya diam
saat aku ditindas oleh manusia lain.
“Babe! Kau tak nak keluar lunch ke?”
Satu suara yang menegur tiba-tiba berjaya
menghentikan ingatanku pada kenangan lalu. Kelopak mata
terus aku celik dan tubuh kubawa duduk menegak. Sekujur
tubuh Aunie elok menyandar di jenang pintu dengan mata
tertancap ke arah aku yang masih tidak berganjak daripada
duduk.
“Dah pukul berapa?” Berpura-pura sibuk, aku
menyoal Aunie dengan mata memerhati kertas kerja yang
bersepah di atas meja. Tidak mahu Aunie mengesan riak
mendung di wajahku.
“Dah masuk lunch babe!” Nada Aunie kedengaran
tidak berpuas hati. Tentulah kepada aku yang masih
tenggelam dalam timbunan kerja.
“Sorrylah, Aunie. Aku tengah sibuk nak siapkan
kertas kerja untuk mesyuarat kejap lagi.” Alasan kukuh aku
berikan agar Aunie tidak meletakkan kesalahan di bahuku.
“Kerja tak pernah habis, Tia. Sekarang ni waktu
lunch. Apa kata kau berhenti buat kerja dan temankan
aku pergi lunch. Petang nanti senior manager baharu nak
datang.” Entah bila masa Aunie mendekat, tiba-tiba saja dia
sudah elok berdiri di depan meja kerjaku. Air mukanya tak
usah cakaplah, garang bukan main.
Spontan aku menjeling geram. Desakan Aunie
akhirnya buat aku mengalah. Mengemas ala kadar, beg
tangan aku capai.
“Makan ajelah sorang. Mengada-ada nak berteman
dah kenapa?” Sebuah jelingan tajam aku hadiahkan saat anak
mata kami bertembung. Ketika ini kami beriringan menuju
ke kafé di bawah bangunan ZR Galeri.
Sedikit tak puas hati apabila Aunie beria-ia
membangkitkan isu perjumpaan senior manager baharu
yang akan menggantikan tempat Puan Irdina. Bukan aku tak
tahu dia menggunakan alasan itu untuk memerangkap aku
menemaninya makan. Bukan sehari dua aku kenal Aunie.
Perangai dia aku dah boleh jangka.
Semenjak aku diceraikan dan hidup bersendirian,
Aunie yang banyak membantu aku. Menjadi tulang belakang
aku selama ini. Setelah diceraikan 5 tahun lalu, aku hidup
dengan aman dan damai. Cuba menjadi seorang wanita
yang tidak memerlukan lelaki di sisi. Dan sekarang inilah
aku. Bekerja di sini dan hidup bersederhana begini buat aku
tenang tanpa sebarang masalah.
“Senior manager tu sampai pukul berapa?” Selesai
mengambil makanan dan tempat duduk, laju aku menyoal
Aunie yang duduk bertentangan.
“Entahlah. Cuma aku tahu, dia sampai petang ni.”
Aunie menjawab setelah selesai menyedut air minumannya.
Aku mengangguk kepala, berpuas hati dengan
jawapan Aunie. Suasana kembali sepi apabila kami mula
menikmati makanan masing-masing. Ruang kafé sedikit
lengang kerana sesetengah pekerja lebih suka memilih
makan tengah hari di luar. Tapi bagi aku, hanya kafé saja
tempat paling menyenangkan daripada aku harus bersesak
makan di restoran luar. Memanglah makanan di kafé ini tidak
sesedap makanan di luar sana, tapi sekurang-kurang aku tak
perlu membazir waktu hanya untuk memuaskan tekak.
“Tapi aku dengarlah kan, senior manager baharu tu
duda anak satu.” Tiba-tiba saja Aunie bersuara serius.
Terhenti tangan daripada menyuap makanan ke
dalam mulut, spontan anak mataku menala ke wajah ceria
Aunie ketika bercerita tentang lelaki itu. Seolah-olah bayang
lelaki tersebut ada di depan mata kami sekarang.
“Kalau dia duda anak satu pun, ada kena-mengena
dengan kita ke?”
Tak semena-mena bibir Aunie menyengih saat aku
menempelaknya. Aku perhati saja tangan Aunie yang sibuk
menguis nasi di dalam pinggan. Melihatkan tingkah Aunie,
hati dicuit perasaan hairan. Mengapa Aunie berperangai
seolah-olah perempuan gedik saja?
“Ada kena-mengena dengan kitalah!” Bibir Aunie
membentuk senyuman lebar. Meremang bulu roma aku
ketika melihatnya. Tak pernah-pernah aku tengok Aunie
sebegitu teruja menyambut kedatangan orang baharu dalam
ZR Galeri.
“Maksudnya?” Kening aku angkat tinggi. Tidak
memahami apa kaitan kami dan lelaki tersebut dalam
perbualan yang sedang berlangsung sekarang.
“Bolehlah kau test. Mana tahu sangkut?”
Saat jawapan balas Aunie menyerbu halwa telinga,
terasa ringan saja tangan hendak memukul Aunie. Di mana
letak kewarasan Aunie sampai berfikiran jauh sebegitu?
Kepala aku geleng perlahan. Tidak bersetuju dengan
cadangan tak masuk akal Aunie. Mungkinkah Aunie fikir ini
kelab agensi cari jodoh? Senang-senang hendak mengenenkan
aku dengan senior manager baharu yang entah macam mana
rupanya itu.
“Tolonglah... Aunie. Jangan buat aku mual dekat
sini.” Aku berlakon seperti orang mahu muntah. Serius,
tengok muka miang Aunie, rasa mahu terkeluar semula
makanan dalam perut.
Geli-geleman okey!
“Bagus apa kalau ada bos charming dekat ofis kita
nanti.” Aunie tetap saja dengan angan-angan melampaunya.
Dapat aku tangkap di sebalik mata Aunie, ada impian yang
menyimpang dari sudut pemikiran aku.
“Apa yang bagusnya?” Segera aku mencari kewajaran
dalam bicara Aunie yang memberatkan otakku menggali
jawapan.
“Boleh cuci-cuci mata.” Serta-merta ketawa Aunie
kedengaran. Membingitkan telinga aku yang mendengar.
Aku tayang muka macam nak telan orang. Kalaulah
Aunie itu sejenis gula-gula, sudah lama aku kunyah sampai
hancur. Tapi itulah, walaupun Aunie bersikap terlebih hormon
begitu, cuma dia yang aku ada untuk tumpang berteduh.
Waktu aku susah dulu, dia juga yang ada di samping aku.
Memberi kata-kata semangat untuk aku meneruskan hidup
yang penuh liku ini.
“Tu, Encik Fahrul smart jugak aku tengok. Dia pun
dah berkenan sangat dengan kau.” Sengaja aku memetik
nama Encik Fahrul, Pengurus Kanan Bahagian Sumber
Manusia, demi melesapkan keriangan di muka Aunie.
Bukan aku tak tahu, Encik Fahrul sudah lama
menyimpan perasaan terhadap Aunie. Cuma si teman saja
buat-buat jual mahal. Katanya nak cari lelaki yang ada rupa
dan harta. Macam manalah Aunie boleh ada fikiran sempit
begitu? Tidak sedarkah dia, harta dan rupa tak menjamin
kebahagiaan.
“Ei, tak hingin aku!” Aunie tayang memek muka
konon-konon geli. Kononnya tak suka apabila nama si teruna
yang sudah terlajak tua itu disebut-sebut.
Tapi memang aku sudah agak jawapan itu yang akan
keluar daripada mulut Aunie. Dari dulu lagi Aunie memang
tak suka Encik Fahrul. Katanya, Encik Fahrul tu bujang
terlajak tua. Tak ada aura lagi!
Malas menghiraukan Aunie, aku kembali terus
menyuap makanan. Begitu juga Aunie. Beberapa detik kami
tenggelam dalam sepi, tiba-tiba Aunie menepuk lenganku
menyebabkan selera aku sedikit tersasar. Mata pantas aku
angkat memandang.
“Eh, kau pernah nampak tak lelaki tu?”
Aku menoleh mengikut tangan Aunie menunjuk.
Seorang lelaki segak berkemeja biru laut menyapa
pandanganku, membuatkan aku terkaku seketika.
“Aku agak dia kut senior manager tu. Kau rasa?”
Soalan Aunie hanya sipi-sipi saja menyentuh telingaku.
Tumpuan aku kini tertumpah sepenuhnya kepada lelaki
tersebut.
Detik ini wajah yang berdiri di depan sana mendapat
perhatian mataku. Tegak berdiri sambil berbual dengan salah
seorang staf ZR Galeri. Gayanya terserlah walaupun daripada
pengamatanku sepertinya dia tidak murah dengan senyuman.
Raut wajah itu tegang dan garang. Punya aura tersendiri.
Tiba-tiba ada sesuatu menerpa jiwaku. Mengocak
ketenangan hati yang sudah lama tidak terusik. Untuk sesaat
aku terpaku, jantung bagaikan hilang irama. Bertaburan dek
aura si jejaka kacak itu.
“Amboi! Tenung orang macam nak makan. Dah
tangkap cinta ke cik kak?” Aunie bersuara mengusik. Serentak
itu, terasa lengan aku ditepuk perlahan. Serta-merta aku
beristighfar panjang dalam hati. Leka kerana merenung si
jejaka.
Menoleh kembali memandang Aunie, aku tayang
wajah selamba. Tak mahu Aunie membaca air muka aku yang
sedikit bergelora. Bimbang diri dikesan, pantas aku suap
makanan semula. Sedang berusaha mengawal rentak hati
yang mula beralun ganas.
“Handsome dia, kan?” Aunie menggiat lagi. Tapi aku
buat bodoh saja. Malas hendak ambil kisah dengan kata-kata
Aunie yang seakan mahu memancing tumpuanku.
“Boleh tak jangan merepek Aunie?” Aku tayang reaksi
menyampah dengan tingkah miang Aunie yang melebih-lebih
hingga buat aku meluat. Pantang nampak lelaki segak dan
kacak, Aunie pasti berubah jadi sotong menggeliat.
“Ya Allah! Kau tengok tu... baiknya hati dia.”
Tiba-tiba Aunie bersuara penuh teruja. Matanya mengarah
aku mengikut pandang ke belakang, di mana jejaka itu berada.
Dalam malas aku menurut. Lama mata aku terpaku
pada figura tubuh sasa itu. Si jejaka sedang membantu
seorang ibu mengandung menuruni tangga. Dalam diam, ada
rasa kagum menjengah dengan tindakan si jejaka yang begitu
prihatin. Dia berjaya mencuri tumpuanku.
“Susah tau nak cari lelaki gentleman macam mamat
tu zaman sekarang ni.” Aunie memuji lagi untuk kesekian
kalinya.
Sementara aku masih lagi terpaku merenung si
jejaka. Memang nampak gentleman dengan caranya begitu.
Menyedari dirinya diperhati, tiba-tiba si jejaka
menoleh tepat ke arah tempat aku duduk. Sejenak, pandangan
mata kami beradu. Menelusuri ke dalam mata itu, perasaan
aneh yang tiba-tiba muncul mula mengusik sanubari,
menarik aku memakukan pandangan ke wajahnya.
Lama berlawan pandang, dia terlebih dahulu
mengalah, melarikan pandangan. Manakala aku spontan
kalih tubuh menghadap Aunie saat menyedari diri terleka.
Jantung masih tak surut debarannya.
Melantun-lantun deras umpama naik trampolin.
“Untunglah kalau betul dia senior manager tu.
Bersemangat aje nak pergi kerja tiap-tiap hari.” Bebola mata
Aunie masih tertancap pada si jejaka. Dagunya ditongkat
menggunakan kedua-dua tangannya. Kelopak mata tu siap
terkelip-kelip lagi. Melampau sungguh reaksi si Aunie ni!
Aku pula tayang muka meluat apabila tengok cara
Aunie memuji jejaka tersebut.
“Apa kata kau cuba usyar dia?” Aunie memberi
saranan tiba-tiba.
Dan pantas aku geleng kepala. Menolak dengan
yakin cadangan yang Aunie kemukakan.
“Kau gila ke apa nak suruh aku usyar dia?” Aku
besarkan bebola mata. Geram dengan cadangan mengarut
Aunie.
“Apa salahnya? Kau janda, dia pun duda. Sesuai apa?”
Aunie mempamer giginya yang tersusun rapi. Menyeringai
dengan cadangan luar alamnya itu.
Mengarut! Tak mungkin aku menjebakkan diri
dalam perkahwinan lagi. Cukuplah pengalaman lalu yang
mengajar diriku sekarang ini.
“Jangan merepeklah Aunie.” Aku kembali menyuap
nasi ke dalam mulut. Tidak mengendahkan pandangan mata
Aunie yang berubah suram.
“Kenapa kau tak cuba buka hati kau untuk orang
lain, Tia?” Tiba-tiba suara Aunie bertukar serius. Tiada lagi
nada usikan seperti tadi.
Dan soalan Aunie berjaya buat kepala aku lurus
merenungnya. Tergamam sebenarnya. Tak sangka pula Aunie
mengeluarkan soalan yang sudah lama tidak kudengari di
cuping telinga.
Kalau dulu, selepas saja aku ditinggalkan, Aunie
menyarankan aku mencari lelaki lain untuk berpaut. Setiap
kali didesak, setiap kali itulah aku menolak. Bukan sebab aku
tak nak bercinta lagi, tapi aku takut sekeping hatiku bakal
dilukai lagi. Jika itu yang berlaku, pasti akan mengambil
masa yang lama untuk kembali sembuh.
“Untuk apa lagi Aunie? Kau sanggup tengok aku
menderita sekali lagi?” Mood sedih mula merebak dalam
emosiku.
Tanganku Aunie genggam. Pandangan matanya
nampak sayu saat memandang ke wajah senduku.
“Untuk buktikan yang hati kau mampu sembuh, Tia.
Sampai bila kau nak hidup seorang diri macam ni?”
Keluhan berat aku lepas bebas. Sedikit terbeban
mendengar pertanyaan Aunie.
“Aku boleh hidup sendiri. Tak perlu lelaki untuk
aku berteduh. Selama ni, aku okey aje hidup tanpa lelaki.
Boleh aje uruskan diri walaupun tak ada yang bantu.” Aku
menyangkal bicara Aunie.
“Tia...” Bicara Aunie aku pangkas laju.
“Cukuplah, Aunie. Hati aku sekarang dah berkecai.
Tak mungkin boleh dicantum dan diisi dengan rasa cinta. Aku
tak nak lukakan hati lelaki lain dengan keadaan aku macam
ni.” Lemah aku bersuara. Berharap sangat Aunie berhenti
memaksa aku berkahwin dan hidup bahagia.
Sebab hidup aku tak akan menemui jalan penamat
andai duka mengurung kebahagiaanku. Dulu, aku pernah
berasa bahagia. Pernah merasa manisnya berkasih sayang.
Namun untuk seketika dan sekarang untuk menggapai
bahagia, aku jadi takut. Hilang keyakinan. Tak berdaya tangan
aku hendak menyentuh bahagia di kala hati masih berdarah.
Jadi, biarlah hati ini kosong tanpa penghuni.
Mungkin dengan cara ini hidup aku akan jadi lebih baik.

No comments:

Post a Comment