DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 24 March 2019

Kerana Aku Memilihmu - Bab 5

CIUMAN yang mendarat di pipi menyedarkan
Ayana daripada tidur. Johan berada di depannya. Bersama
senyuman manis.
“Kenapa tidur kat sini? Kenapa tak tidur dalam
bilik?” tanya Johan sambil membelai rambutnya.
Ayana bangun dan duduk di atas sofa. Menggeliat
sedikit sebelum anak mata terarah ke dinding, melihat jam
yang melekat elok di tempatnya. 9.15 malam.
“Abang pergi mana?” Pertanyaan Johan kepadanya
tadi dibiarkan sepi tanpa jawapan. Sebaliknya dibalas pula
dengan pertanyaan yang sedari tadi berlegar di minda.
Kehilangan lelaki itu yang akhirnya membawa pertemuan
antara dia dengan Zayn.
“Abang banyak kerja dekat ofis. Kenapa? Sayang
tunggu abang ke?”
Ayana mendecit. Nampak sangat suaminya lupa
tentang janjinya. Terlalu sibuk dengan urusan kerja.
“Takde apalah.” Malas mahu berbalas hujah dengan
Johan, Ayana membalas pendek. Sakit hati mendengar
pertanyaan suaminya tadi. Selamba betul lagaknya.
“Sayang, abang laparlah. Dari siang tadi tak makan
lagi. Sibuk sangat dengan kerja sampai tak sempat nak isi
perut,” rengek Johan mengada-ada. Cuba meraih perhatian
sang isteri.
“Abang nak makan ke? Aya panaskan lauk.”
Bersungguh-sungguh Johan mengangguk. Sambil
menepuk-nepuk perut yang dikatakan sedang kebulur.
“Abang pergilah mandi. Lepas tu turun makan,” arah
Ayana. Dia juga sudah mula bangun dan menuju ke ruang
dapur.
“Okey, sayang. Abang naik dulu ya.”
Menghilang ke atas, Johan melangkah masuk ke
dalam bilik. Butang baju kemeja dibuka sambil melangkah
mencapai tuala yang tersidai di penyidai kayu. Tanpa
membuang masa, dia pun berlalu ke kamar mandi. Badan
sudah mula terasa melekit dan kurang selesa.
Usai membersihkan diri, dia berdiri tegak di depan
cermin solek sang isteri. Wajah dibelek-belek. Saat itu
matanya jatuh pula kepada dua keping tiket yang terletak di
atas meja. Segera dia mencapainya.
Pap!
Dahi ditepuk. Baru teringat yang hari ini dia sudah
berjanji untuk menonton wayang bersama Ayana. Sibuk
melayan Marsha, sampai dia lupa pada janjinya itu. Patutlah
isterinya tanya dia ke mana tadi.
“Apasallah aku ni bodoh sangat!” Johan kutuk
kebodohan diri. Tiba-tiba dia terfikir sesuatu. Hendak
memujuk Ayana kenalah tahu caranya. Senyumannya
melebar. Langkah dibawa ke arah wardrobe. Mencapai seluar
jean dan T-shirt Polo berwarna biru. Lalu disarung kemas ke
tubuh.
Melihat Ayana yang sedang sibuk menyediakan
makan malam untuknya, hati dipukul rasa bersalah. Kasihan
isterinya. Tentu siang tadi Ayana penat menunggu. Salah
dia juga kerana matikan telefon pintarnya sehingga lupa
menghidupkannya semula. Johan mendekati si isteri yang
tidak sedar langsung kehadirannya. Pantas tubuh itu dipeluk
dari belakang.
Chup! Sebuah ciuman didaratkan ke pipi Ayana.
“Abang!” Ternyata Ayana terkejut. Ralit sampai tidak
sedar suaminya sudah turun lalu memeluknya erat.
“Jom, keluar.”
Berkerut dahi Ayana. Malam kian merangkak tua.
Mahu ke manakah pula suaminya hendak mengajak dia
malam-malam begini?
“Kata lapar. Nak ke mana pulak?”
“Tiba-tiba perut ni rasa nak makan burger. Jom,
teman abang makan burger kat luar.”
Ayana mendengus. Tangan Johan yang melingkar ke
pinggangnya dilepaskan. Kini dia berpusing menghadap sang
suami pula. Selamba lelaki itu menayang senyuman manis.
Langsung tiada rasa bersalah.
“Aya penatlah abang. Lagipun Aya dah masak pun
ni. Membazir kalau tak makan.” Ayana beralasan. Sebenarnya
dia tidak penat mana pun. Sengaja tak nak keluar. Mahu
merajuk dengan suaminya yang langsung tidak menyedari
kesalahannya itu.
“Makanan ni boleh simpan dalam peti ais. Esok
boleh panaskan. Bukannya basi pun. Jomlah... teman abang
makan burger kat luar. Dah lama abang tak makan burger
dekat gerai Pak Cik Senin tu.”
Hendak ditolak, rasa kasihan pula tengok mimik
Johan yang sudah mencemik bagai anak kecil itu. Minta
simpati.
“Abang ni kan... menyampah!”
“Ya ke menyampah?” Sengaja Johan dekatkan muka
ke wajah Ayana yang cemberut.
Laju Ayana menjarakkan kedudukan. Tahu sangat
perangai gatal suaminya yang suka cium dia apabila buat
muka macam itu.
“Yalah Aya temankan. Kejap, Aya nak tukar baju dan
pakai tudung.”
“Orait, mem! Abang tunggu kat sini.” Tersenyum
Johan melihat si isteri yang mula bergerak naik ke atas.
Menurut kehendaknya saat hati terluka dengan apa yang
dia lakukan. Ayana, wanita itu memang baik. Tapi mengapa
dengan mudah dia menduakan cinta Ayana?
Johan mengeluh berat. Apabila hati sudah terlanjur
cinta, inilah padahnya. Semakin lama dia begini, semakin
terbeban jiwanya. Barangkali, sudah tiba masanya untuk
berterus terang kepada Ayana tentang hubungan dia dan
Marsha.
“Abang!”
Johan tersentak. Kembali ke dunia nyata.
“Kata nak keluar makan burger, Aya dah siap ni.
Jomlah!”
Melihat Ayana yang sudah bersiap ringkas, Johan
cuba mengukir senyum. Jemari sang isteri dikait. Digenggam
sebelum mengheret Ayana pergi bersama.

“SEDAPNYA... DAH lama abang tak makan burger sambil
duduk tengok pemandangan malam macam ni.” Johan
menghabiskan baki terakhir burger Pak Cik Senin yang sudah
lama tidak dijamah. Sedap kerana dagingnya dibuat sendiri.
Bukannya diambil atau dibeli dari kedai-kedai sejuk beku.
Ayana menjeling. Tersenyum. Nampak sangat
suaminya memang teringin makan burger. Sampaikan tidak
sedar ada sisa mayones melekat di tepi bibir. Jari dibawa naik
mengesat kesan mayones pada bibir Johan.
“Macam budak-budak!” komen Ayana setelah bibir
Johan yang agak kemerahan itu kembali bersih.
“Kotor ke? Hah, itu tandanya abang memang dah
lama kebulur burger Pak Cik Senin.” Selamba Johan lepas
tawa.
Ayana mencebik. Anak mata kembali ditala ke depan.
Menikmati pemandangan malam dari lereng bukit tempat dia
dan Johan sering menghabiskan masa satu ketika dulu. Di
sini juga sejarah tercipta apabila Johan melamarnya menjadi
suri hati. Tanpa ragu-ragu, dia menerima lamaran tersebut.
Pertemuannya dengan Johan terjadi dalam keadaan
yang kurang baik. Ayana bencikan Johan ketika itu. Meluat
dan menyampah. Bermati-matian dia menegaskan pendirian
takkan jatuh cinta dengan lelaki perasan kacak seperti Johan.
Tapi sudahnya, lelaki itu juga yang menjadi suami dia. Menjadi
imam dan nakhoda dalam melayari bahtera rumah tangga.
Banyak kenangan manis yang tidak mampu Ayana
lupakan. Johan merupakan lelaki kiriman Tuhan kepadanya.
Dia bahagia di samping lelaki itu. Meski adakala mereka
bergaduh dan berselisih pendapat, tetapi itu adat dalam
berumah tangga.
“Sorry.”
Perkataan yang lahir daripada mulut Johan
mengembalikan Ayana ke dunia nyata. Kepala ditala ke sisi
kiri. Lelaki itu menatapnya dengan raut bersalah.
“Abang tak patut mungkir janji. Mesti sayang tunggu
abang lama siang tadi kan?”
Ya! Ayana tunggu hampir sejam. Naik lenguh kaki
dia. Sudahnya, dia pergi dengan rasa hampa dan kecewa.
“Sayang mesti marah abang kan?”
Siang tadi memang Ayana marah dengan Johan dek
penat menunggu. Sudahnya, Johan langsung tak kunjung
tiba. Lupa pada janji temu mereka. Tapi itu cerita siang
tadi. Malam ini rasa marah itu sudah hilang entah ke mana;
berganti pula dengan rasa bahagia. Mudahnya hati Ayana
terpujuk. Jemarinya dikait ke jemari kasar Johan. Senyuman
ditarik segaris. Kepala pula sengaja dilentokkan manja.
“Bohonglah kalau Aya tak marah. Aya pun ada
perasaan jugak. Aya marah sangat! Sampai hati abang lupa
janji nak tengok wayang. Aya dah beria-ia pakai lawa-lawa
tau. Sudahnya, abang tak datang pun. Sia-sia aje Aya melaram
bagai nak rak.”
Ketawa kecil Johan mendengar aduan Ayana. Timbul
juga rasa kasihan. Ayana sanggup berhias demi dia. Tapi dia?
Ke manakah dia pergi waktu itu? Hmmm...
“Tapi malam ni Aya dah tak marah lagi. Tak dapat
tengok movie, sekurang-kurangnya malam ni Aya dapat
dating makan burger dengan abang.” Pelukan ke lengan
Johan dikemaskan. Menikmati bahagia.
Sejujurnya Johan kagum dengan kehebatan Ayana.
Isterinya itu seorang wanita yang tidak banyak kerenah.
Mudah dipujuk dan diajak berbincang. Perkahwinan selama
10 tahun ini menjadikan Ayana wanita yang matang.
“Huargh...” Ayana menutup mulut dengan tangan.
Matanya mula terasa kantuk. “Abang, Aya mengantuklah.
Jom, balik.” Manja Ayana bersuara.
“Apa kata sayang masuk dalam kereta dan tidur dulu.
Abang masih nak tengok pemandangan kat sini kejap. Dah
lama tak datang sini. Tak puas rasanya nak tengok bintang.
Nanti sampai rumah, abang kejut.”
Ayana mengangguk. Menurut tanpa banyak bicara.
Mata yang memberat disebabkan rasa kantuk memaksanya
melangkah masuk ke dalam perut kereta. Mata dipejam.
Cuma seketika, dia sudah masuk ke alam mimpi.
Dari luar, Johan menatap indah paras Ayana yang
sudah pun terlena. Tidak dinafikan isterinya itu seorang
wanita yang cantik. Sempurna sebagai isteri dan ibu. Tapi,
mengapakah dia tegar menduakan cinta Ayana?
Huh! Satu dengusan dilepas keluar. Rasa bersalah
kerana mengkhianati cinta sang isteri. Kalaulah dia tidak
bertemu Marsha, mungkin semua ini takkan terjadi. Namun
dia tidak menyalahkan Marsha dalam hal ini. Bertepuk
sebelah tangan takkan berbunyi, kan?
Wajah diraup sebelum rambut yang terjuntai ke
depan dikuak semula ke belakang. Marsha kian mendesak
mahu hubungan mereka diikat dengan ikatan perkahwinan.
Tapi bagaimana? Dia tidak tahu cara terbaik memberitahu
Ayana tentang perkara itu.
Buat sekian kali, Johan mengeluh lagi.

No comments:

Post a Comment