DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 March 2019

Aku Bukan Penggoda - Bab 10

“JANGAN lupa, petang nanti ada hi-tea, anjuran
ACE Vision Art untuk meraikan kerjasama dengan firma
kita.” Aizat senyum penuh makna.
“Kau yakin?”
Aizat angguk.
“Pembuka jalan untuk kita merebut setiap peluang
yang datang. Aku kena dapatkan kepercayaan Tengku Yahya
dulu sebelum fikirkan langkah seterusnya. Target aku dalam
masa 2 tahun kita dapat apa yang kita nak,” tegasnya. Segala
tindakannya telah dirancang dengan teliti.
“Tapi majlis macam ni malas aku nak join. Lebih-lebih
lagi nak berpura-pura di depan orang,” balas Zamri.
“Kau kena tunjuk muka juga. Ini penting untuk
firma kita,” tekan Aizat.
“Firma kita takkan beri khidmat perundangan untuk
orang yang tak beretika macam Tengku Yahya tu.”
“Percayalah pada aku. Aku tahu apa yang aku buat.”
Tanpa kata Zamri keluar dari pejabat Aizat.
Walaupun dia tidak setuju, tapi dia terpaksa akur. Aizat lebih
bijak mengatur strategi dan melaksanakan rancangannya.
Dia yakin, dalam tidak lebih dari 2 tahun, apa yang mereka
mahu pasti akan berjaya diperolehi.

“ALAMAK, DAH lambat! Mesti daddy marah ni!”
Kelam-kabut Tengku Lily bersiap. Padahal daddy
awal-awal lagi sudah pesan supaya datang ke Hotel Hilton
petang ni. Ada hi-tea bersama penasihat perundangan syarikat
yang baru dilantik. Kata daddy lagi dia patut ambil peluang
ini untuk berkenalan dan belajar daripada Aizat, rakan kongsi
Tetuan Aizat, Zamri & Co.
Entah apa istimewanya Aizat ni sehingga daddy
bagi arahan, wajib hadir. Dia belum fikir pun lagi mahu kerja
dengan daddy atau praktik undang-undang. Masih ada masa
untuknya berfikir kerjaya mana yang lebih sesuai dengan
dirinya.
Lagipun namanya semakin naik. Instafamous
katakan. Pengikutnya sudah mencecah berpuluh ribu. Setiap
kali dia kemas kini statusnya, banyak juga tawaran iklan
diterimanya. Jadi untuk apa dia bersusah bekerja sedangkan
apa yang dilakukan ini pun mendatangkan hasil lumayan.
Laju Tengku Lily melangkah ke keretanya. Ini
semua gara-gara keluar berkaraoke dengan Katty dan Lana.
Lepas gian. Lama tidak diasah bakat nyanyiannya. Mahu
jadi penyanyi daddy tak bagi. Sedangkan itulah minat dan
impiannya. Terpaksa dia ikut sebab daddy bagi alasan arwah
mummy tak izinkan anak-anaknya menjadi artis. Hampa dan
kecewa namun tidak dibantah.
Dan sekarang dia berkejar ke majlis hi-tea. Ihsan,
PA daddy sudah tiga kali menghubunginya. Namun satu pun
tidak diangkat. Tahu akan salahnya.
“Masa ni juga kau nak jam, jalan...” dengusnya
geram. IPhone diambil dan pantas jemarinya menaip
whatsApp kepada Ihsan.
Lily on the way.
Tidak mahu Ihsan berterusan cuba menelefonnya.

“SAYA HARAPKAN dengan adanya Aizat sebagai penasihat
undang-undang, syarikat ini akan terus maju dan berkembang
sehingga ke luar negara. Kita sasarkan pasaran ke Eropah
tahun depan.”
Aizat angguk dan senyum. Dalam kepalanya
telah terangka segala strategi. Dalam membantu dia akan
merampas. Jadi biarlah mereka bergembira hari ini. Setiap
perbuatan ada balasannya. Aizat angkat gelas berisi jus oren
separas dada.
“Saya yakin syarikat Tengku akan mampu
menembusi pasaran antarabangsa tidak lama lagi,” balasnya.
Disisip jus itu sedikit. Mata melilau melihat sekeliling.
Majlis minum petang sempena termeterainya
perjanjian kerjasama mereka, diraikan dengan kehadiran
orang-orang penting dalam dunia perniagaan. Semua yang
hadir atas kepentingan masing-masing.
“Daddy...” Kedua-dua lelaki itu berpaling.
Seorang gadis manis serta anggun menghampiri mereka.
Senyumannya manis. Pesonanya membuatkan dia
menjadi tumpuan berpasang-pasang mata. Malah ada yang
berbisik-bisik memuji kecantikannya.
Tengku Lily melangkah dengan yakin. Sesekali
dilemparkan senyuman kepada yang memandang. Namun
tumpuannya pada lelaki di sebelah daddynya. Bagaikan
tarikan magnet, terus melekat pada wajah kacak itu. Dia
bagaikan mempunyai auranya sendiri membuatkan Tengku
Lily jatuh cinta pandang pertama.
“Sampai pun. Daddy ingatkan dah sesat ke Bukit
Bintang.”
“Daddy... jalan jamlah. Bukan daddy tak tahu KL ni
sesak 24 jam.” Tangan Tengku Yahya dipaut, manja. Sengaja
dilentokkan kepala ke bahu daddy. Mata menjeling manja
ke arah jejaka tampan itu. Jantung berdegup kencang. Mata
mencuri pandang dari mata turun ke bibir dan dada bidang.
Sudah tentu bentuk tubuhnya tegap dan sasa.
Aizat senyum segaris melihat kemesraan dua
beranak itu. Kagum dengan kemesraan mereka. Tapi tidak
pula dia berminat untuk kenal lebih dekat dengan anak gadis
Tengku Yahya itu. Baginya gadis seperti Tengku Lily sudah
terlalu biasa dilihatnya. Melihat lirikan mata gadis itu pun dia
sudah tahu, anak gadis Tengku Yahya telah menaruh minat
untuk mengenalinya.
“Siapa ni daddy?” Mata si gadis cantik anggun itu
memandang lelaki di hadapan mereka. Hatinya berdebar.
Pandang pertama hati dah terjatuh suka. Auranya
membuatkan matanya terus melekat memandangnya.
“Ni penasihat undang-undang syarikat kita yang
baru. Yang daddy cakapkan semalam, Aizat Ahmad. Anak
saya, Tengku Lily.”
Aizat angguk. Tengku Lily senyum manis. Senyuman
segaris Aizat membuatkan hatinya terpesona.
“Hai. Apa khabar? Saya Tengku Lily.” Tangan
dihulurkan. Lemah gemalai lagaknya.
Aizat menyambutnya dalam separuh ikhlas.
“Lily ni baru habis belajar undang-undang dekat
UK.”
Aizat angguk.
“Aizat, I serahkan anak I ni di bawah jagaan you. Biar
dia belajar daripada you.”
Aizat pandang kedua-dua beranak di hadapannya.
Tak wajar menolak. Sedangkan mereka baru sahaja
menandatangani perjanjian kerjasama.
“Sure, no problem. You datang lapor diri Isnin
depan,” jawab Aizat tanpa berbasa-basi. Dalam masa yang
sama dia nampak Zamri berjalan ke arah mereka.
“Excuse me, I ke sana dulu.”
Tengku Lily pandang belakang Aizat. Hatinya dah
terpikat.
“Ehem. Suka?”
“Daddy...” Kembali memandang Tengku Yahya
dengan senyuman malu. Tertangkap merenung lelaki lain.
“Daddy suka Aizat. Dia layak jadi menantu daddy.
Daddy dah buka peluang Lily mendekati dia. Gunakan
sebaiknya.”
Tengku Lily angguk dan tersenyum sampai ke
telinga.
Chup!
“Sayang daddy!” Hati Tengku Lily kembang setaman.
Mendapat lampu hijau daripada daddy bukan senang. Jika
bukan berdarah kerabat atau golongan elit, tak mungkin
dapat bergandingan dengannya. Tengku Lily senyum. Peluang
ini tidak akan dilepaskan.

“LAMBAT KAU datang.”
Zamri sengih.
“Kita menang kes lagi hari ni, sebab itu aku lambat.”
Sebenarnya dia tiada hati pun nak datang. Tapi mengenangkan
rakan kongsinya ini, datanglah juga tunjuk muka.
“So, how? Semua berjalan lancar?”
Aizat angguk. Hujung bibirnya terjongket ke atas.
Sinis.
“Smooth. Siap perkenalkan anak dara dia pada aku
lagi.”
Zamri tepuk bahu Aizat.
“Cantik. Itu ke?” Mata Zamri memandang Tengku
Yahya bersama dengan seorang gadis cantik. Dia pernah
berjumpa dengan Tengku Lily dulu. Gadis itu sejak kecil
sudah mementingkan kecantikan berbanding Baizura yang
agak tomboi.
“Yup, Tengku Lily. Minggu depan mula chambering
di pejabat kita.”
“What? Takkan kau...”
“Relaks, man. Aku tahu apa yang aku buat,” pintas
Aizat. Meraih kepercayaan Tengku Yahya melalui anaknya
merupakan jalan yang lebih mudah. Jadi apa salahnya
menggunakan peluang yang ada untuk melaksanakan
misinya?
“Uya?”
“Tetap Uyalah.”
Pandangan Zamri tajam ke arah Aizat.
“Jangan sesekali kau lukakan hati Uya. Nanti tahulah
akibatnya!” Amaran diberikan. Baizura seperti adik dan juga
anaknya. Ditatang penuh dengan kasih sayang. Walau sekeras
mana didikan maknya, dia sentiasa ada memberi sokongan
dan dorongan.
“Aku buat ini untuk Uya juga. Bagi aku masa 2 tahun,
Zam. Dan selepas itu semuanya akan kembali seperti biasa.”
Zamri angguk.
“Aku sokong tapi kau jangan sampai terpedaya.”
“Musuh keluarga kau, juga musuh aku.”
Dalam masa yang sama Tengku Lily mencuri-curi
pandang ke arah kedua-dua lelaki sama tinggi dan tampan
itu. Hatinya berbuak ingin mendekati mereka berdua.
‘Tak apa, Isnin ini adalah permulaannya. Sabar...’
bisik hati kecilnya.

***AKAN BERADA DIPASARAN, KELUARAN MEI 2019***  

No comments:

Post a Comment