DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 March 2019

Aku Bukan Penggoda - Bab 3

“TERIMA kasih cikgu.”
Nurul melangkah keluar dari kelas tingkatan 3.
Kelas terakhirnya untuk hari ini. Penat tetapi hatinya senang.
Melihat wajah polos anak-anak didikannya seakan memberi
kepuasan kepada dirinya. Ini adalah cita-citanya sejak kecil.
Dia kagum dengan Cikgu Bedah. Walaupun air
muka Cikgu Bedah garang, namun hatinya baik. Sentiasa
mengambil berat tentang masalah pelajarnya.
Nurul masih ingat saat dia kehilangan ayah,
kemudian ibu. Cikgu Bedahlah yang memujuk dan berada di
sampingnya. Di sekolah, dia selalu berada dalam pemerhatian
cikgu itu. Sikap keibuan Cikgu Bedah membuatkan dia
memasang impian untuk menjadi seorang guru. Kini
impiannya telah tercapai.
Baru saja punggungnya berlabuh di kerusi, telefon
pintarnya berbunyi. Senyum merekah di bibir. Yatim piatu
ketika berusia 13 tahun, hidupnya tidak pernah susah dan
kekurangan. Dia dikurniakan pula keluarga angkat yang baik.
“Assalamualaikum, kak ngah.”
“Waalaikumussalam Nurul. Dah habis kelas ke?”
“Haah, baru habis kak ngah,” balasnya.
“Balik nanti singgah rumah. Mak rindu. Kata dah
lama Nurul tak datang ke rumah.”
Senyum melebar di bibirnya. Lama apa, padahal baru
dua hari lepas dia bermalam di rumah keluarga angkatnya.
“Baik, nanti Nurul singgah. Kirim salam dekat mak.
Kak ngah ada nak pesan beli apa-apa tak?” soalnya prihatin.
“Tak ada. Semua cukup. Kau tu yang tak ada. Mak
suruh tinggal di sini tak mahu. Nak juga duduk menyewa.”
Kak ngah sudah masuk mood membebel. Tak pernah jemu
mengulang cerita yang sama.
Nurul sebenarnya segan. Budi baik mak dan
kak ngah sekeluarga tidak mampu dibalasnya. Lagipun
bukan jauh sangat dia menyewa, jalan kaki pun sampai.
Sekurang-kurangnya dia masih ada ruang sendiri apabila
anak cucu mak balik melawat nanti. Tidaklah dia macam
kera sumbang. Walaupun semua ahli keluarga angkatnya
melayannya dengan baik.
Sepintas lalu terlintas satu wajah. Sebenarnya sebab
pemilik wajah itulah yang membuatkan dia segan dan malu.
Hati walaupun dicuba menyahkan putik-putik bunga rindu
berkembang, tertumbuh juga benih cinta dalam diam.
“Okey, kak ngah. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”

“BALIK SEKOLAH nanti Nurul singgah, mak.”
“Hmm.” Itu sahaja reaksi Puan Aminah.
Zuliana diam memerhati. Jika mak diam begitu
pasti sedang berfikir sesuatu. Mungkin ada kaitannya dengan
Nurul.
“Mak nak Zamri kahwin dengan Nurul hujung tahun
ni.”
Zuliana tersentak. Dia mengamati raut wajah
maknya. Ada kesangsian dalam hati. Cadangan mak itu bagus
tetapi sudikah mereka berdua disatukan? Setahunya Zamri
dan Nurul tidak pernah berhubung selama ini walaupun
mereka berdua tahu kewujudan masing-masing dalam
keluarga ini.
“Kena tanya mereka dulu, mak. Jangan paksa. Mana
tahu Zam dan Nurul ada pilihan masing-masing,” saran
Zuliana. Memaksa tidak akan memberi bahagia melainkan
menyeksa hati.
“Cipta peluang untuk mereka saling mengenali. Mak
yakin mereka berdua mampu hidup bahagia bersama,” tegas
Puan Aminah. Dia menyayangi Nurul seperti anaknya sendiri.
Nurul tabah mengharungi kehilangan demi
kehilangan ahli keluarganya. Biarpun matanya selalu basah
namun dia tidak pernah mengalah. Wajahnya lembut, hatinya
kental. Inilah calon isteri sepadan buat anak bongsunya,
Zamri.
Zuliana pula terdiam. Mencipta peluang? Bagaimana?
Sedangkan Nurul di sini, Zamri di Kuala Lumpur. Ah, payah
pula. Menyesal pula cakap jangan paksa tadi. Sekarang dia
pun terlibat untuk mencipta peluang mereka berkawan.
Serasi terus berkahwin.
“Mak tak nak Nurul jadi menantu keluarga lain.
Mak nak Nurul jadi menantu mak. Mak nak dia menjadi ahli
keluarga kita yang sebenarnya.”
“Tapi mak...” Zuliana buka mulut untuk
menyuarakan pendapatnya, namun termati kata apabila Puan
Aminah memintas percakapannya.
“Nurul hatinya kental. Wajahnya lembut mampu
melenturkan hati Zamri. Dan dia juga tidak terlibat dalam
dunia perniagaan. Mak mahu dia menjadi tonggak kekuatan
Zamri. Biar ada tempat yang boleh dia melarikan diri seketika
dari dunia perniagaan. Jadi Nurullah paling sesuai. Dan mak
tak restui hubungan Zamri dengan Hasya. Gadis tu tak ikhlas
sayangkan anak mak.”
Dahi Zuliana berkerut. Dalam matanya ternampak
tanda soal. Dari manakah mak tahu tentang Hasya? Siapakah
dia? Sedangkan dirinya sendiri pun tidak tahu apa-apa pasal
kisah percintaan adiknya.
“Macam mana mak tahu tentang Hasya?”
Puan Aminah diam tidak menjawab soalan Zuliana.
“Kami dah balik!” Dua suara menjerit nyaring
mengejutkan mereka berdua.
Zulaikha sengih-sengih muncul bersama Zarul.
Mereka baru pulang dari Kota Bharu. Jam di dinding
dipandang sambil angkat ibu jari.
“Tengok mummy, kami ngam-ngam sampai pukul
2.” Zulaikha berhenti di belakang Puan Aminah. Dilingkarkan
tangan ke leher neneknya. Wajah tunduk mahu mencium
pipi tua itu.
Puan Aminah melarikan kepalanya. Tangan tepuk
manja lengan Zulaikha di lehernya.
“Busuk-busuk peluh ada hati nak cium mak tok.
Lepas. Lemas mak tok dengan bau peluh kamu ni.”
Zulaikha sengih. Sikit pun dia tidak terasa. Namun
dilepaskan juga pelukan itu.
“Mak tok dengan mummy cakap pasal siapa? Serius
je muka.” Zulaikha mula menyibuk ingin tahu. Zarul pula
telah menghilang ke biliknya.
“Jangan nak menyibuk. Budak-budak tak perlu
ambil tahu tentang orang tua.”
Zulaikha cemik bibir. Tidak puas hati.
“Assalamualaikum.”
“Haa, mak su datang.” Sengih Zulaikha sampai ke
telinga. Dia berkejar ke pintu depan.
“Mak su?” Zuliana dah pelik. Dipandang wajah
selamba maknya. Bila masa pula Nurul naik pangkat jadi mak
su kepada anak-anaknya?
“Walaikumussalam, Kak Nurul. Masuk, masuk.
Mummy dan mak tok ada kat dapur,” ramah dia mempelawa
masuk. Sampai saja Nurul di muka pintu, Zulaikha terus
menyauk lengannya, lalu mereka berjalan bergandingan
menuju ke dapur.
“Bila balik? Cuti lama ke?” Nurul menyoal. Dia
sudah biasa dengan Zulaikha. Setiap kali Baizura pulang ke
kampung, Zulaikha akan menjadi peneman Baizura ke mana
saja dia pergi. Jadi dia kenal baik dengan sepupu Baizura yang
seorang ini.
“Petang semalam. Seminggu je. Lepas tu balik KL
start praktikal.”
Nurul angguk.
“BRO, TAK keluar lunch hari ni?” Aizat jenguk kepala ke bilik
Zamri.
“Aku ada kerja nak selesaikan sikit. Kau dah lunch?”
Aizat geleng. Dia melangkah masuk ke dalam.
Melabuh punggung sofa di sudut bilik. Dua butang baju
teratas dilepaskan. Penat.
“Aku makan nasi lemak pagi tadi.”
“Anak Tengku tu tak merengek ke tak ajak lunch
dating?” sinis Zamri menyoal. Kadangkala tu berbulu
matanya memandang gelagat si anak Tengku itu.
Aizat ketawa segaris.
“Aku cakap ada lunch date dengan kau hari ni.”
Kening Zamri terangkat. Jari telunjuk dituding ke
dada sendiri.
“Tak ada orang lain ke kau nak jadikan kambing
hitam bro?” Zamri geleng kepala.
Aizat tidak menghiraukan rungutan Zamri itu. Hari
ini hatinya lapang. Usaha selama 2 tahun mula menampakkan
hasilnya. Tidak lama lagi tempoh 2 tahun bakal berakhir. Dan
dia berjaya melaksanakan kerjanya tanpa sebarang masalah.
“Pagi tadi aku pergi jumpa Lilian Tan.” Aizat buka
cerita. Dipandang wajah Zamri, dia senyum. Senyum
kemenangan.
“Lilian Tan? Setiausaha syarikat tu?”
Aizat angguk.
“Kena gertak sikit dah kecut. Dia bongkar cerita
12 tahun lalu. Dokumen asal masih dia simpan. Jadi senang
kerja aku nanti.”
Zamri angguk.
“Apa langkah kau seterusnya?”
“Syarikat tu masih lagi hak milik pemilik asal. Jadi
aku nak pemilik asal hadir ke mesyuarat agung pemegang
saham pertengahan tahun ni. Aku akan bongkar segala
penipuan Tengku tu nanti,” jelas Aizat. “Dan... aku nak
jemput dia balik ke sisi aku...” tambah Aizat.
Zamri ketawa.
“Aku rasa kau perlu tengok ni dulu.” Dia bangun dan
melangkah mendekati Aizat. IPhone bertukar tangan.
“Bila masa pula aku bercinta?” Hati Aizat panas.
Zamri angkat bahu.
“Dia tahu?”
“Mungkin. Bekas kawan baik ni. Haa, ada follow,”
beritahu Zamri selepas dia menekan-nekan iPhonenya.
“Gila perasan!”
“Baru kau tahu? Bermain dengan api, tanggunglah
akibatnya. Sepupu kau tu bila-bila masa tunggu nak masuk
line...”
“Esok hari jadi Uya. Jangan lupa pula,” Zamri
mengingatkan.
Kening Aizat ternaik sebelah. Dia bangun.
“Esok aku cuti!” Dan tanpa menunggu jawapan balas
daripada Zamri, dia melangkah keluar.

No comments:

Post a Comment