DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 March 2019

Janda Itu Milik Aku - Prolog 1



“SIAPA budak bandar tu?” Dia pandang budak
lelaki yang duduk bersandar pada Hilux dengan gadget di
tangan. Kacak! Rambut budak lelaki itu dirapikan dengan
gaya pacak. Kulit putihnya menyerlahkan lagi kekacakan
remaja lelaki itu.
Dia intai dalam rumah yang kedengaran riuh suara
mak bersembang. Dia yang sedang sembunyi di bawah rumah
memasang telinga. Mesti budak lelaki ini anak kawan mak.
“Terima kasih Datin sebab tolong Far. Tak tahu saya
nak balas budi macam mana nanti,” ujar mak.
“Sama-sama. Tak apa, saya tak minta balas cuma
kalau nanti boleh kita berbesan.” Meletus tawa keduanya.
Dia yang sedang mencuri dengar berkerut kening.
Berbesan? Apa tu? Apalah yang budak baya dia faham akan
perbualan orang tua seperti itu. Eh, mana pula diaorang ni?
Matanya melingas mencari kelibat teman-temannya. Tiada!
Kaki dibawa keluar, lenguh dia mencangkung bawah
rumah. Baru saja dia keluar, kelibat Fatihah terlihat di mata.
Kelam-kabut dia lari mahu menyorok sehingga melanggar
tubuh remaja yang sedang bersandar pada kereta itu.
“Auch!” Remaja itu mengerang kesakitan.
Masing-masing jatuh ke tanah. Disapu pasir yang melekat
pada seluar dan tangannya. Matanya sudah berair, takut
melihat pandangan menyinga si remaja.
“Buta ke?” sergah remaja itu. Gadget yang jatuh
dikutip kembali. Dia bangun perlahan-lahan, tapak tangan
yang terasa perit membawa anak matanya mengintai. Bulat
matanya melihat calar di tapak tangannya. Pedih!
“Mommy!” jerit remaja itu.
Terangkat bahu si kecil. Bibirnya sudah menceber,
menahan tangis.
“Kenapa Mus?”
“Budak ni, dia langgar Mus sampai luka.” Mus tunjuk
tapak tangannya yang terluka.
“Ya Allah, sikit ajelah tu,” ujar mommy bersama
gelengan panjang. Kaki yang mahu melangkah turun ditukar
naik ke dalam rumah kembali diikuti tuan rumah.
Mus menjeling si kecil yang sedang menunduk
sambil mengutil jarinya. Mus sedar bahu kecil itu bergerak
kecil. Melihat wajah mendung itu, kasihan pula dia. Perlahan
dia menapak dan berdiri di hadapan si comel itu. Muka comot
tapi masih comel di matanya.
“Dahlah. Tak payah nangis. Aku tak marah kau dah,”
pujuknya.
“Betul?” soal si kecil. Wajah diangkat memandang
remaja bernama Mus itu.
Mus mengangguk kecil. Dia pamerkan senyum
manis. Melihat bibir comel si kecil mengorak senyum, Mus
terpanar. Cantik. Kalau sekecil ini sudah cantik, dewasa nanti
lagi cantik.
“Besar nanti cari abang tau. Kita kahwin!”
Mulut comel itu ternganga. Terkelip-kelip matanya
melihat remaja itu sedang ketawakannya. Sungguh dia tidak
faham dengan apa yang baru remaja lelaki itu katakan tadi.

No comments:

Post a Comment