DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 March 2019

Pabila Kau Hadir - Bab 3

DALAM sedar dengan tidak, Ramadan menjengah
lagi. Syukur buat Ilahi yang memegang sekeping hati. Dia
yang menganugerahkan nikmat iman dan Islam, lantas
menjadikan aku hamba yang masih setia, tunduk dan patuh
dengan kebesaran-Nya. Dalam kesyukuran, Ramadan tahun
ini sebenarnya tidak berbeza dengan tahun-tahun yang lepas.
Selain bertarawih di masjid, rutin harianku tidak banyak
yang berubah.
“Jeff... bangun sahur!” Berkerut dahiku apabila Jeff
tetap tidak bereaksi. Mengejutkan lelaki seorang ini memang
memerlukan kesabaran yang tinggi. “Jeff!” Hujung kakinya
aku sentuh lembut. Spontan, Jeff menggumam entah apa.
“Bangun! Sahur! Dah pukul 5 ni. Cepat! nanti Sera
habiskan makanan, baru padan muka!” ugutku, biarpun aku
tahu ugutanku tidak pernah berkesan untuk pemilik nama
Jeffry Ishan ini.
“Ehmm...” Lambat-lambat Jeff mencelikkan mata.
“Ngantuklah Izzah. Aku sahur dengan air masak ajelah. Tak
larat nak bangun. Aku tidur pukul 2 pagi tau. Macam-macam
ragam manusia kat set tu. Haishh...”
Aduhai... aku pula yang menjadi mangsa bebelannya.
“Bangunlah, isi perut tu sikit. Tak bangun pun
nanti dalam setengah jam kena bangun solat juga. Bangun,
mandi... baru segar sikit badan tu.”
“Izzah, alahh... malaslah! Nanti aku bangun subuh
punya.” Bantal dicekup dan ditekup ke muka. Petanda dia
tidak mahu diganggu.
Dengan rasa ralat, aku berlalu daripada kamar Jeff.
Sudah kerap kali, aku mendengar papa menasihati Jeff supaya
mengurangkan aktiviti lakonan terutamanya pada bulan
puasa. Kerana impaknya kurang baik untuk amalan puasa.
Malamnya ke tempat penggambaran, siangnya berkubang di
dalam bilik. Penat!
“Kuruslah si Jeff ni. Tidur memanjang aje. Aku
tahulah kalau bulan puasa, tidur tu ibadah, tapi kalau dah
separuh hari tidur, bukan ibadah lagi namanya tu,” ngomel
Sera di meja makan.
Aku tergelak kecil.
“Tak larat dah Izzah nak bangunkan Jeff. Biarlah dia.
Agaknya dia dah kenyang tu.”
“Papa ajak berbuka sama di hotel hari ni. Jom!”
Spontan aku membisu. Jika berbuka bersama,
tentulah mummy ada sekali. Arghh! Entahlah, terlalu sukar
untuk aku memberi jawapan. Biar betapa dalam rinduku pada
kasih sayang mummy, dalam lagi rasa sayuku dilayan seperti
tidak wujud tatkala mummy ada bersama.
“Aku tahu apa yang kau fikirkan, Izzah. Yeah, I know
it hurts. Aku dan Jeff dah banyak kali nasihatkan mummy,
tapi kau tahulah orang tua ni, mana dia nak dengar nasihat
kita. Tapi apa-apa pun aku yakin jauh di sudut hati mummy,
dia sayangkan kau. Cuma mungkin mummy tak pandai nak
zahirkan rasa sayang tu. Dah bertahun mama kandung kau
meninggal, takkan sampai sekarang mummy masih marah,”
hujah Sera penuh keyakinan.
Aku tidak menonjolkan reaksi. Aku kalihkan
pandangan kepada Sera. Sera yang selalu berkeyakinan dan
selalu juga ditakdirkan apa yang dituturkan dengan penuh
keyakinan itu menjadi kenyataan. Melainkan hal tentang aku
dengan mummy.
Dari dulu lagi, tahun demi tahun, Sera tidak pernah
gagal mengatakan bahawa mummy selalu sayangkan aku
sepertimana mummy kasihkan dirinya dan Jeff, namun
semuanya meleset sama sekali. Aku tidak pernah merasakan
kebenaran di sebalik kata-katanya yang penuh keyakinan itu.
Masakan mummy malu? Tidak mungkin! Entahlah,
sukar benar aku mahu menyelami hati mummy.
“Pergilah ya Izzah. Papa harap sangat kau datang.
Kita pergi sekali. Jeff pun kata dia tak ada shooting malam
ni.”
“Nantilah, Izzah fikir dulu.”
“No! No! No! Tak ada apa nak difikirkan. Kau jangan
berhelah. Aku tahu kerja kau tak adanya sampai malam buta.
I’m going to say yes to papa,” pangkah Sera.
Aku menarik nafas sebelum mengangguk setuju.
“Macam tulah adik aku, baru aku bertambah sayang.”
Lebar sekali senyuman Sera. Aku tersenyum cuma. Dan
dinihari itu, kami menikmati juadah sahur dengan penuh
selera. Tanpa Jeff, selera kami langsung tidak berkurang.
20 minit kemudian, kedengaran azan dilaungkan
menandakan masuknya waktu subuh. Aku dan Sera bergegas
membersihkan diri sebelum sama-sama bersedia untuk solat
berjemaah.
“Pssttt... awek-awek cun terr, tunggu abanglah. Kita
solat sama-sama. Apa pahala nak kaut sorang-sorang ni?”
Muncul pula si Jeff yang sudah siap berkain pelekat.
“Aik, bila kau bangun? Tak dengar sebarang bunyi
melainkan bunyi cengkerik semata-mata,” sergah Sera.
Aku pandang Jeff atas bawah. Lelaki itu tersengih.
“Masa korang tengah mandilah aku bangun. Bangun
perlu kecoh-kecoh ke? Tak perlu, kan?”
Sera mencebik.
“Macam perompak. Dah, jom... cepat jadi imam.”
“Yalah, inilah tujuan aku masuk bilik kau ni.”
Tidaklah rutin, tetapi jika ada masa, kami tiga beradik selalu
mencuri peluang untuk berjemaah bersama. Doaku, ikatan
ukhuwah ini akan kekal berpanjangan dalam rahmat Yang
Maha Esa.

PETANG ITU, seperti yang dijanjikan, aku, Jeff dan Sera
menaiki kereta milik Jeff ke The 39 Restaurant. Jeff ramah
bercerita mengenai penggambaran drama yang sedang
dijalaninya sepanjang Ramadan ini. Sera sesekali menyampuk
dan memberi kritikan terhadap lakonan Jeff di kaca televisyen.
“Orang duk bercerita, dia duk berangan ke lain, dah
kenapa?” Sera menjerit kuat.
Aku kembali ke dunia realiti, lantas mengukir
sengih.
“Tak ada apa. Izzah tengok pemandangan malam
Kuala Lumpur ni. Cantik. Sera tanya apa?”
“Syed Hafizi lamar aku. Dia ajak kahwin tahun ni.
Tak payah tunang katanya.”
“Wow! That's good news for you. Sera kan dah lama
bercinta dengan dia. Should be no problem.” Teruja aku
mendengarnya. Nampaknya aku bakal berabang ipar.
“Aku okey aje kalau kau nak go on dengan dia. Cuma,
buat kesejuta kalinya, aku nak ingatkan kau yang kawan aku
tu playboy. Dari dulu aku cakap dengan kau jangan layan
mamat tu, tapi kau terjatuh juga!” Jeff merengus sedikit.
Melalui cermin pandang belakang, aku dan Sera saling
berpandangan.
“Dah 10 tahun Jeff, boleh tak kalau kau ubah
persepsi negatif kau pada dia? We are in love. He will be
your brother-in-law soon. Aku dah lama tahu dia tu playboy,
tapi tak salah kan kalau aku bagi dia peluang? Dan, aku
rasa dia memang gunakan peluang yang aku bagi dengan
sebaik-baiknya. Dia dah berubah, Jeff...” balas Sera agak
lantang.
Jeff merengus lagi.
“Sera, how sure are you? Kau adik aku, Sera. Aku tak
nak apa-apa jadi kat kau bila kau kahwin dengan dia.”
“Disebabkan aku adik kau, kau sepatutnya sokong
pilihan aku, bukan sebaliknya, Jeff. Kau patutnya cuba buka
hati kau untuk maafkan dia. Sampai bila kau nak berdendam
dengan dia?”
“Aku tak berdendam, Sera.”
“Tapi, cara kau bertekak dengan aku ni jelas
menunjukkan yang kau masih berdendam dengan dia, Jeff.”
“Jeff, Sera, janganlah gaduh bulan puasa ni. Tak baik.
Jeff, kalau dah Syed Hafizi tu jodoh Sera, kita terima ajelah.
Lagipun zaman dia playboy, zaman dia bertumbuk dengan
Jeff tu zaman sekolah. Macam-macam boleh berlaku dalam
tempoh 10 tahun,” pujukku tidak mahu terus menghangatkan
suasana.
“Kau tak tahu apa-apalah, Izzah.”
“Ya, Izzah tak tahu apa-apa. Tapi, Izzah tahu yang
Jeff masih tak puas hati dengan dia, kan? Sebab dia pernah
tumbuk Jeff dulu.”
“Jangan ingatkan aku pada kenangan bodoh itulah.
Menyakitkan jiwa. Berapi hati aku ni.”
“Dah nak dekat 10 tahun peristiwa tu, Jeff. Masa tu
pun bukan kau diam aje. Sama-sama lebam biji mata, kan?
Oh, lupa... masa tu jatuh standard kau sebab kena pukul depan
awek.” Sera separuh mengejek. Aku nampak raut wajah Jeff
yang sudah bertukar warna. Hatinya dijentik berang.
“Aku tak nak cari gaduh dengan kau fasal dia lagi.
Aku nak berterus terang dengan papa dan mummy. Syed
Hafizi dan keluarga dia nak datang ke rumah lepas raya,”
putus Sera selamba.
“Whatever.” Nampaknya Jeff juga bukan dalam mood
hendak mengekalkan keegoannya.
Akhirnya, kami tiga beradik beriringan masuk ke
The 39 Restaurant. Jeff dan Sera sudah kembali ke roman
biasa. Dua beradik itu memang tidak betah bermasam muka
berpanjangan. Mummy dan papa sudah sedia menunggu.
Setelah masuk azan maghrib, kami mula menjamu hidangan.
Aku nampak mummy begitu gembira dapat makan bersama
kami. Melihat mood ceria mummy, aku turut berselera.
Aku mengharapkan aku turut menjadi asbab kegembiraan
mummy walaupun mungkin hanyalah angan-angan aku
sahaja.
“Syed Hafizi yang kita pernah terserempak di butik
Datin Solehah tu, kan?” soal mummy inginkan kepastian
apabila Sera membuka mulut mengenai Syed Hafizi.
Mummy dan papa tidak menunjukkan riak
terperanjat apabila dikhabarkan Syed Hafizi akan merisik
Sera kerana sebelum ini Sera sudah pun memberi hint kepada
mereka. Jeff sahaja yang beraksi beku. Menghadap makanan
tak pandang kiri kanan. Aku tahu masih ada rasa tak puas hati
di jiwa Jeff. Dia kurang berkenan. Entah apalah yang pernah
digaduhkan Jeff dengan si Syed Hafizi itu sehingga setelah
hampir 10 tahun berlalu, Jeff seakan-akan menutup pintu
hatinya untuk menerima kebaikan Syed Hafizi.
Sera mengangguk.
“Ya mummy.”
“Papa tak ada masalah. Papa gembira anak manja
papa ni dah ada yang berkenan,” usik papa mencuit pipi Sera.
Sera tersengih malu.
“Tapi pastikan datang selepas kita balik dari Swiss
ya. Oh, ya... tahun ni, papa nak Izzah beraya dengan papa,
mummy, Sera dan Jeff di Swiss.”
Aku terkedu mendengar permintaan papa secara
tiba-tiba. Terkelip-kelip mataku mencerna kata-kata papa.
Lemah. Aku mengeluh lembut.
“Papa.”
“Kita pergi Swiss ya. Kita raya kat sana. Dengan
keluarga mummy,” pujuk papa lagi apabila aku sekadar
berdiam diri.
Aku senyap. Serta-merta, ruangan itu terasa hening.
Pandangan Jeff dan Sera memaku ke arahku. Mereka berdua
juga turut membisu. Namun, dalam lembut pandangan Jeff
dan Sera yang memohon pengertianku, aku mencari anak
mata mummy. Kecewa, kerana mummy berlagak seperti
tidak mendengar permintaan papa.
Aku menggeleng pula.
“Papa, tak apa. Izzah beraya di Al-Ihsan ya. Izzah kan
memang selalu beraya di sana. Kasihan nanti tak ada yang
nak beraya dengan diaorang.”
“Izzah, kali ni aje. Dah lama papa tak bersama-sama
dengan anak perempuan papa ni pada 1 Syawal.”
Tidak, aku tidak mahu! Aku sungguh-sungguh
tidak mahu. Hatiku makin kuat menolak apabila melihat
respons daripada mummy. Aku tahu benar, mummy tidak
suka. Tetapi mengenali mummy, dia memang tidak pernah
memberontak keterlaluan. Tidak pernah juga tangannya naik
mengasari mahupun memukulku. Aku tahu mummy bukan
ibu yang jahat, tetapi cukuplah untuk aku katakan, mummy
tidak pernah menginginkan aku hadir dalam hatinya.
“Maaf, papa. Izzah dah janji dengan umi nak balik
kampung umi di Perak.” Kata-kataku mematikan pujukan
papa. Arghh, helah apa yang sedang aku cipta ini? Baru tadi
kononnya hendak beraya di Al-Ihsan, kali ini aku kaitkan
nama umi sekali.
Aku mendongak mencari anak mata papa. Terbias
kesayuan di mata tuanya dengan penolakanku. Perasaan
bersalah sedikit demi sedikit naik ke hati.
“Izzah, tahun ni aje, jomlah!” gesa Jeff pula. Dia
menyiku lenganku. Tetapi, aku tetap menggeleng. Bukan aku
tidak mahu Jeff, tapi mummy...
“Maafkan Izzah,” ungkapku lagi. Lauk yang dikunyah
terasa tidak lekat di kerongkong.
Maafkan Izzah, papa. Bukan... bukan aku tidak mahu
ke sana. Tetapi, aku sudah cukup letih dikeji dan dihina
keluarga sebelah mummy.
‘Anak haram! Keturunan haram!’
‘Anak perempuan sundal, perempuan penggoda!’
‘Baguslah mati awal, hidup menyusahkan orang!’
Tersiat luka hatiku mendengar patah demi patah
kata-kata yang keluar daripada bibir mereka yang begitu
lancang mempersoalkan takdir Ilahi. Aku, Izzah Ferhad.
Benihku daripada seorang Ferhad. Aku dibintikan dengan
Ferhad. Sama seperti Sera dan Jeff. Tetapi mengapa kutukan
mereka seperti aku ini bukan darah daging papa? Sedangkan,
jika mengikut nasab, aku anak kandung papa. Aku, Sera dan
Jeff, tidak ada bezanya dari segi pembatalan wuduk mahupun
pembahagian harta.
Sampai bila harus aku mendengar kejian terhadap
arwah mama? Aku bersendirian menghadapi kebencian
itu. Mereka juga pandai, menghina dan mengutuk ketika
ketiadaan papa. Dan aku pula tidak berani mengkhabarkan
kepada papa. Tidak sanggup mengeruhkan keadaan yang
sebenarnya tidak pernah jernih antara aku, mummy dan ahli
keluarganya.
Mama... Sekali pun aku tidak kenal mama. Aku tahu
mama perempuan yang baik-baik. Aku terasa cukup dekat
dengan arwah meskipun hanya melalui cerita papa dan umi.
Aku sayang mama... tapi aku...
Pandangan kasih aku lemparkan buat mummy yang
menyudu makanan ke mulut. Aku juga sayang mummy.
Sayang sepenuh hati.

KATA UMI, dia akan mengambil aku pada pukul 8 pagi, tetapi
jam di dinding sudah menginjak ke angka 9. Satu-satunya
anak umi yang belajar di Sabah belum sampai. Jadi, terpaksa
ditunda. Sudahnya, kereta umi muncul di halaman rumah
sewaktu hampir jam 11. Aku menjemput umi, suami umi, Pak
Cik Ishak dan anak perempuan mereka, Syaza masuk, tetapi
umi menolak lembut dengan alasan mereka sudah terlewat.
“Bye Izzah. Happy Eid in advance.” Runtun hatiku
mendengar ucapan Sera, biarpun dia selamba sahaja. Kami
berpelukan erat.
“You too, Sera. Have a good eid celebration in
Swiss. Kirim salam dekat Jeff, papa dan mummy ya.” Jeff
tidak sempat mahu menghantar pemergianku. Penghujung
Ramadan, dia masih ada shooting.
Sera mengangguk.
“Remember, walaupun kita jarang beraya bersama,
di pagi mulia, kau selalu ada dalam doa kami.”
Bergenang mataku. Benar kata Sera, kami jarang
beraya bersama kerana aku selalu membawa diri. Seingatku,
semenjak aku bergiat aktif dengan Al-Ihsan, sambutan hari
rayaku dengan mereka boleh dibilang dengan jari.
“Ada barang-barang lagi nak bawa ke Kak Izzah?
Syaza boleh tolong,” ramah Syaza menawarkan diri sesudah
menyalamiku. Pipi umi aku kucup lembut.
“Tak ada dah. Rasanya dah boleh gerak ni, umi.” Pak
Cik Ishak memulakan pemanduan setelah semuanya selesai.
Syaza tidak henti berceloteh.
“Tahun ni raya meriah, Izzah. Ramai anak cucu yang
balik,” ujar Pak Cik Ishak.
Aku tersenyum membalas. Sedikit gentar untuk
menghadapi suasana yang tidak pernah aku alami selama ini.
Bukan umi tidak pernah mengajak, tetapi aku yang sering
mengelak untuk meraikan Aidilfitri di kampung umi. Kekok
dan malu. Tahun ini pun aku bersetuju hanya kerana mahu
mengelak daripada desakan papa. Eskapisme.
“Inilah saat-saat yang ditunggu Syaza, ayah. Rindu
rendang tok, rindu laksa Penang, rindu lemang...”
“Syaza tu semua rindu, tapi bukan nak tolong pun,”
perli Pak Cik Ishak.
Syaza menjuihkan bibir.
Seperti yang sudah dijangka, lebuh raya sesak.
Kereta kiri kanan menghimpit, tujuannya pasti sama. Beraya
di kampung halaman. Agaknya, siput lebih laju daripada
pemanduan Pak Cik Ishak. Dalam kelambatan perjalanan,
aku nyata teruja. Oh indahnya! Tidak pernah aku menghadapi
keadaan ini seumur hidupku.
Bak kata umi, bertolak lambat memang begini. Umi
dan Pak Cik Ishak, mungkin sudah terbiasa. Relaks sahaja
aku melihat pasangan suami isteri itu. Syaza? Gadis itu sudah
tersengguk-senguk di sebelahku. Aku pula, dalam keterujaan,
hatiku digigit keresahan. Diri diterjah galau dan runsing.
Takut dengan penerimaan keluarga umi. Ah! Apalah yang aku
bimbangkan sangat? Melihat peribadi dan akhlak umi yang
mulia, keluarganya pasti begitu. Hmm... mudah sekali aku
membuat kesimpulan.
Disebabkan kesesakan, setelah hampir 4 setengah
jam perjalanan, barulah kami berhenti di R & R Tapah.
“Kita rehat sejam di sini ya. Boleh terus solat jamak
qasar.”
“Syaza, bangun! Hei budak ni memang membuta aje
kerjanya,” bebel umi melihat Syaza yang masih lena.
“Syaza,” panggilku perlahan. Bahu Syaza aku usap
lembut.
“Hmm... ya Allah... rendang mak tok... mana rendang
mak tok? Opah!”
Ketawaku meletus mendengar jeritan Syaza. Syaza
terpinga-pinga memandangku. Dia menoleh ke kiri kanan
sebelum raut wajahnya berubah kecewa.
“Ala... baru sampai sini ke?”
“Ya, baru sampai sini. Pak cik dan umi nak rehat
kejap. Solat. Diaorang dah turun. Syaza lambat sangat
bangun. Lena betul tidur,” komenku.
“Letih sangatlah kak. Dalam kapal terbang tadi, tak
boleh nak lelap mata. Duk teringat kat opah,” omelnya.
“Jom turun!”
“Jom!”
Setelah mengunci kereta, kami beriringan ke
ruangan rehat. Syaza kulihat mencapai telefon daripada tas
tangan. Dia memberi isyarat supaya aku bergerak dahulu. Aku
mengangguk. Lantas, mengorak langkah terlebih dahulu.
Subhanallah, ramainya manusia di hentian ini. Nak
bersolat pun kena tunggu giliran. Liar juga mataku mencari
kelibat umi tetapi hampa. Nanti sahaja aku telefon umi.
Usai menunaikan solat jamak qasar, aku berjalan-jalan
di sekitar ruang makan. Ramai yang lepak-lepak. Aku
berhenti membeli buah-buahan. Tiba-tiba, hatiku dipenuhi
dengan wajah-wajah kesayanganku. Papa, Sera, Jeff, mummy,
malah semua penghuni Al-Ihsan berlegar-legar di benakku.
Tahun-tahun sebelum ini, dua tiga hari menjelang raya, pasti
Al-Ihsan berhias indah. Tahun ini, hanya ada Kak Hasnah.
Rindu rasa hati kepada mereka yang selalu menemani hari
indahku.
Keluargaku akan bertolak ke Switzerland malam ini.
Sedih, tetapi aku segera sedar diri. Aku juga bersalah kerana
akulah yang sering kali beralasan sehingga ada ketika Jeff
dan Sera merajuk panjang kerana keenggananku mengikut
mereka ke Switzerland.
Jeff dan Sera, tidak pernah berada di tempatku.
Mereka tidak pernah mengerti hati yang terkoyak lebar, tidak
mudah untuk dijahit kembali. Sesungguhnya aku berdegil,
menolak kerana menjaga kesucian dan kemurnian seorang
Masliana Sucharate Abdullah, wanita yang melahirkan aku
ke dunia. Cukuplah mencaci dan menghina kerana arwah
mama tidak mampu lagi bangun daripada kubur untuk
mempertahankan diri. Aku tidak mahu telingaku bernanah
dengan setiap hinaan yang dilemparkan terhadap arwah
mama. Kerana sejahat-jahat dia di mata orang, dia ibuku dan
sungguh bermakna di hati ini.
Dalam lamunan, tidak semena-mena, bebola mataku
menangkap kelibat seorang jejaka bert-shirt ungu muda.
Kasual. Lelaki itu sedang menepuk-nepuk anak kecil di
dakapannya yang nyaring mengeluarkan suara halusnya.
Dalam kekabutan, sesekali bibirnya disua pada pipi si anak,
memujuk barangkali. Begitu kebapaan di mataku. Bagusnya
dia. Di sebelah lelaki itu, seorang wanita hamil kelihatan agak
kelam-kabut melihat tangisan yang semakin lantang itu.
Sedikit teruja aku melihat suasana itu. Entah
bila agaknya aku akan merasai kehidupan sebegitu. Punya
suami dan anak sebagai harta yang tidak ternilai. Allah...
perancangan Allah adalah yang terbaik. Bahagia ada di
mana-mana. Bahagia bukan hanya punya suami dan anak.
Bahagia itu akan datang menyapa hati-hati yang percaya dan
yakin bahawa kebahagiaan itu daripada Yang Maha Esa.
Tidak lama kemudian, ketika aku berada di kaunter
pembayaran, meja pasangan itu didekati seorang lelaki
berkumis tipis. Dihulurkan tangan kepada bayi di dukungan
lelaki bert-shirt ungu tadi. Err... yang mana satu si suami ni?
aku tergelak kecil dengan andaian bodohku. Biarlah mereka.
Agaknya lelaki yang sedang mengendong anak itu keluarga
terdekat atau rakan mereka.
“Kak Izzah, hei merata Syaza cari tau. Nasib baik
jumpa. Dah agak dah mesti akak merayau cuci mata kat sini.
Tak boleh makan, tengok pun jadilah kan?” Bahuku dipeluk
daripada belakang. Syaza tertawa.
“Kenapa tak call akak aje, umi ada nombor akaklah.”
“Saja, nak test ketajaman mata. Haha... Oh ya, ni
Syaza nak beritahu, tadi sepupu Syaza telefon. Sebenarnya,
dia telefon saja bertanya Syaza dah balik ke belum. Tanya
punya tanya, rupa-rupanya mereka dah berehat sejam kat
sini. Syaza beritahulah umi melalui phone, umi kata Kak
Aza pun dah call umi. Umi tengah berbual dengan diaorang
agaknya. Jom kak, kita cari ayah dan umi. Kat sini pun bukan
boleh makan. Dah nak meleleh air liur Syaza terhidu-hidu
bau makanan ni.”
“Kan musafir, kalau nak berbuka, boleh.”
“Ala, sayanglah. Lagipun Syaza kena ganti 8 hari
tahun ni tau. Tak mahu, tak mahu, tak mahu!” rengeknya.
“Dah tu, jom balik. Buka puasa dengan rendang tok!”
Segera kami mengorak langkah. Sempat mataku mencari
kelibat pasangan bahagia itu tetapi ruangan tempat duduk
itu sudah dipenuhi pengunjung lain.
Kami sampai di bahagian parkir.
“Kak, tu umi dan ayah. Eh, tu mesti Kak Aza!” Syaza
menjerit keriangan melihat umi berbual terpacak berdiri,
berbual dengan seorang wanita di dalam kereta.
Ketika Syaza sudah laju ke hadapan, aku memilih
untuk berdiri di kereta milik Pak Cik Ishak. Segan pula
mahu mengikut sama. Dari jauh, aku melihat mereka rancak
berbual.
Setelah hampir 10 minit berlalu, barulah mereka ke
kereta. Aku tersenyum menyambut.
“Izzah, kita tunggu anak saudara umi dulu ya. Tak
sangka betul jumpa mereka di sini. Kecil sungguh dunia ni.”
“La... Kak Izzah, ingat Kak Izzah mengekor jugak.
Eh, cari-cari tertinggal kat sini pula. Baru nak suruh
berkenalan dengan sepupu Syaza yang cun tahap tak hengat.”
“Eh, dah, dah... jom ikut mereka, mereka dah tunggu
kita tu.”
“Anak saudara umi tinggal mana, umi?”
“Kuala Lumpur juga. Suaminya pensyarah di UKM.”
“Abang Sham tu kawan Kak Aza daripada zaman
hingusan lagi. Kami semua satu kampung,” sampuk Syaza.
“Kak Aza dulu kerja, tapi berhenti lepas dapat baby.
Terpengaruh dengan cerita baby kena dera, Kak Aza tak
sanggup nak ambil risiko, kan umi?”
“Hmm... yalah, zaman sekarang ni, macam-macam
boleh jadi. Umi puji sikap Aza, belajar tinggi, gaji pun
lumayan, tapi demi anak-anak, sanggup berkorban. Untuk
melihat anak-anak terjamin, seorang ibu sanggup lepaskan
semuanya. Nasib baiklah Hisham setuju. Suka umi tengok
keluarga mereka.”
“Tapi itulah Izzah, umi dah teringat pada Al-Ihsan ni.
Penghuni di sana hidup terbiar, padahal bila tengok laporan
tentang ahli keluarga, anak-anak masih ada. Pandai-pandai
pula tu. Sedih hati umi,” luah umi tika Pak Cik Ishak sudah
perlahan-lahan memandu, mengekori Toyota Unser berwarna
hitam milik anak saudara umi.
Dalam diam, aku bersetuju. Kata-kata umi, terselit
seribu kebenaran.

No comments:

Post a Comment