DAPATKAN TEASER PERCUMA!
Sunday, 24 March 2019
7 Days Of Summer - Bab 1
“HEY mate! Dekat sini kau rupanya.” Faisal
melabuhkan duduk di atas tangga bersebelahan dengan
Arief. Punyalah dia mencari merata tapi sahabatnya ini elok
saja tersadai di atas tangga tidak jauh dari universiti mereka.
Kawasan yang agak sesak dengan orang awam lalu lalang, tapi
boleh pula Arief melepak di sini. Siap berasap pula tu.
“Dia dah mula balik dah...” Arief menjeling dan
tersengih. Puntung rokok yang belum habis dihisap ditekan
lumat ke lantai sebelum dicampak ke dalam tong sampah
yang berdekatan.
“Sejuk sangat tadi. Kasi chancelah aku panaskan
badan sekejap.” Jaket yang tersarung di badan ditarik kemas.
“Dapat ke apa yang kau cari?”
Faisal angkat kening.
“Dapatlah. Siap dapat pakej kombo nombor telefon
kau tahu tak.”
Berkerut dahi Arief yang mendengar.
“Melangut aku tunggu kau dekat sini, boleh pula kau
mengurat dekat dalam tu. Gadis blonde mana pula yang kau
tangkap kali ni?”
Dush!
Bahu Arief ditumbuk geram.
“Mana pernah aku tangkap gadis blonde. Tahu kat
keluarga aku ni mahu kena ceramah tujuh hari tujuh malam.”
Arief buat tak endah dengan kata-kata Faisal.
“Mana?”
“Apa?”
“Bahan kajian kau tulah.”
“Oh...” Faisal tersengih. “Ini haa...” Satu per satu
kertas di tangan dibelek dengan mulut yang tidak berhenti
bercakap.
Arief memandang kertas di tangan Faisal tanpa
ada rasa untuk membelek sama. Telinganya pula fokus
mendengar penerangan Faisal tentang bahan yang dikumpul
oleh rakannya itu. Dah masuk tahun akhir mana boleh mainmain
lagi dah. Hari ni sehari suntuk dia menemani Faisal di
perpustakaan sampai naik kematu punggungnya. Tapi apa
ada hal, semalam pun dah seharian Faisal temani dia keluar
mencari bahan. It is now or never. Kalau tak score, harus
berkampung dekat universiti ni lagilah dia tahun depan.
“Jadi, dah sudahlah semua?”
Faisal angguk. “Mana yang belum cukup aku cari
kemudian. Sekarang aku rasa nak balik aje. Muak dah aku
duduk dekat perpustakaan tu.”
“Ingatkan seronok duduk situ. Siap dapat kombo
tadi kan?” usik Arief seraya bangun dari duduk. Penat duduk,
berjalanlah pula. Balik baring atas katil pun syok juga ni.
Rebah belakang kasi relaks sikit tulang belakang yang dari
tadi membengkok saja.
Faisal ikut bangun dan beriringan dengan Arief.
“Habis kalau seronok kena berkampung dekat
situlah?”
Arief cuma angkat bahu dengan sengihan.
“Eh, aku lupa nak beritahu kau.”
“Apa dia?”
“Aku nak singgah beli barang sekejap. Rasa nak
masaklah malam ni. Nak ikut aku tak?”
Arief menggeleng.
“Lain kali aku ikut kau ya.”
“Okey, takde hal. Kalau macam tu aku singgah kedai
sekejap, kau jalan dulu.”
“Baik. Jumpa dekat rumah.”
Dari situ Arief dan Faisal berpecah. Faisal membelok
ke kanan, manakala Arief pula meneruskan perjalanan
lurus ke hadapan. Jaket yang terbuka ditarik rapat ke badan
sebelum dia berjalan sambil memeluk tubuh sendiri.
Bumi UK, walau cerah dengan pancaran sinaran
matahari tetap juga sejuk seperti baru lepas hujan jika di
bumi Malaysia.
Lurus saja langkahan kakinya sebelum matanya
menangkap satu figura yang biasa dilihat sejak sebulan yang
lalu. Terus langkah kakinya mula terpesong. Diam-diam
dia mengekori susuk tubuh yang berjalan tidak jauh di
hadapannya itu. Matanya tunak memandang sambil dia
menjaga jaraknya dengan figura tersebut. Bimbang kalau
yang diekori terlepas daripada pandangan.
Sedang dia leka memandang, tiba-tiba badan
gadis itu terhuyung-hayang setelah terlanggar seorang
lelaki asing yang agak tinggi. Tak semena-mena gadis itu
terpaksa menahan telinga mendengar bebelan lelaki asing
tersebut walau berkali-kali dia tunduk memohon maaf.
Arief menggeleng dan hujung bibirnya mula tercuit dengan
senyuman. Clumsy!
Dia meneruskan perjalanan apabila gadis itu kembali
melangkah. Namun semasa tiba di satu selekoh, Arief mula
berlari laju dan terus ditarik gadis tersebut ke dalam pelukan.
Jantung keduanya berdegup kencang bagai mahu pecah.
Segalanya terjadi dalam sekelip mata dan masing-masing
dalam keadaan tidak bersedia. Kepala si gadis ditarik rapat ke
dada sementara tangan kanannya memeluk kemas belakang
gadis itu.
Jeda.
Sumpah seranah daripada lelaki Inggeris yang berada
di dalam van langsung tidak masuk ke dalam pendengaran.
Tidak lama kemudian van itu berlalu meninggalkan mereka.
“Be careful, miss,” bisik Arief dengan dada yang
sesak. Perlahan-lahan pelukan pada gadis itu dileraikan
dan dia mula menjarakkan diri mereka. Buat seketika Arief
tunduk mencari wajah si gadis yang masih kaku berdiri di
situ. Langsung tidak diangkat wajahnya, jauh sekali untuk
bersuara.
“Hati-hati.”
Arief mula berundur. Baru tiga langkah ke belakang,
gadis itu mengangkat wajah memandang. Lama pandangan
mata mereka bertaut sebelum gadis itu berlalu dan tidak lagi
menoleh ke arah Arief yang masih tegak di situ.
PINTU APARTMEN ditolak. Riuh kedengaran suara rakan
serumahnya bersembang dan bergelak ketawa dari arah
dapur. Apartmen tiga bilik yang tidaklah besar mana tetapi
boleh tahan mahal sewanya bagi pelajar seperti mereka. Jadi
untuk mengurangkan rasa terseksa membayar sewa yang
mahal, ditambah ahli rumah agar berat sama dipikul, ringan
sama dijinjing seperti sekarang.
Arief menjengah ke ruang dapur. Macam tongkang
pecah gayanya apabila lima jejaka berkampung main
masak-masak di dapur. Huru-hara!
“Korang buat apa?”
Serentak lima kepala menoleh ke arah Arief.
“Haa, balik pun kau. Pergi mana sekarang baru
nampak batang hidung?”
Faisal dah nak masuk mood membebel manakala
yang lain pula hanya mampu tayang sengih sahaja. Kasi
peluang kepada Faisal bebelkan teman sebilik dia.
“Aku ada hal sikit tadi. Masak apa ni?” Arief mencuri
pandang masakan yang masih berada di atas dapur. Sedap
betul baunya. Untung tinggal serumah dengan jejaka pandai
masak macam ni. Kenyang perut senang hati.
“Kevin masak kari hari ni. Meleleh air liur aku,
mate,” jawab Jinhai, salah seorang rakan serumahnya yang
berbangsa Cina.
“Amma aku pos serbuk kari hari tu. Sedap. Serbuk
kari baru katanya.” Tersengih bangga Kevin dengan serbuk
kari di tangan.
“Dah bertahun tinggal dengan korang, makin ke
depan perut aku. Ini belum kahwin lagi ni,” canda Fikri yang
berada di penjuru dapur. Tergelak mereka yang mendengar
termasuklah Arief.
Memang betul apa yang Fikri katakan itu. Rezeki dia
dapat rakan serumah yang baik dan rajin masak walaupun
berbeza agama dan bangsa. Fikri dan Kevin, walaupun
berbeza agama tiada masalah untuk mereka tinggal sebilik
dan melakukan rutin seharian seperti beribadah. Mereka
serumah masing-masing saling menghormati agama yang
dianuti. Baru hidup harmoni.
“Pergi mandi dululah Arief. Dah siap semua nanti
boleh kita makan sama-sama.” Vincent, teman sebilik Jinhai
turut bersuara. Dia pula sibuk membancuh minuman di
atas meja. Yang lain angguk setuju dan meneruskan tugas
masing-masing.
Tanpa lengah Arief terus berlalu ke bilik yang
diduduki oleh dia dan Faisal. Badan direbahkan di atas katil
bujang miliknya sebelum fikiran kembali ligat berputar
memikirkan tentang kejadian perlanggaran itu tadi. Kalau
dia tiada di situ pada ketika itu, pasti gadis bertudung itu
terlibat dalam kemalangan. Nafas ditarik dalam dan mata
dipejam rapat. Entah kenapa, dia risau.
“KENAPA KAU nak risaukan dia pula?”
Faisal duduk bertenggek di balkoni luar. Menemani
Arief menghirup udara malam. Selesai makan malam
bersama, masing-masing mula membawa haluan sendiri. Ada
yang keluar berhibur, ada yang memerap dalam bilik. Dia dan
Arief pula, memilih untuk melepak di balkoni sahaja sambil
mendengar cerita Arief tentang kejadian petang tadi.
“Aku pun tak tahu kenapa, Sal.”
Tangan menggagau poket seluar. Seketika kemudian
perbuatannya itu terhenti apabila dia menyedari apa yang
dicari tiada lagi dalam simpanan.
“Nak berasaplah tu.”
Arief menghela nafas tanpa mempedulikan sindiran
Faisal. Sebenarnya dia masih dalam fasa untuk berhenti
merokok. Itu yang tangan asyik menggagau mencari rokok
saja. Gian tu susah benar nak hilang. Mujur ada Faisal dekat
sebelah tolong jadi tukang pantau. Tapi kadang terbabas juga,
macam siang tadi.
“Siang tadi kau ambil dekat mana?”
“Junior.”
Faisal menggeleng dengan muka acah garang.
“Dengan junior pun jadi kau ni.”
Hujung kening digaru dengan hujung jari. Malas
mahu layan bebelan rakannya itu. Kalau dilayan makin
panjang pula bebelan Faisal karang.
“Kau kenal dia dekat mana sebenarnya Rief?” Faisal
kembali semula ke topik asal.
“Kat Malaysian Hall, masa sambut raya bulan lepas.”
“Kau nampak dia dekat situ ke?”
Arief angguk.
“Masa kau dengan yang lain sibuk kira berapa cucuk
sate dah yang korang bedal, masa itulah aku nampak dia.”
“Aduh, timingnya pun...”
Arief sengih. Memang kalau orang dengar pun tidak
berapa nak indah. Tapi momen itu saja yang dia ingat tentang
pertemuan pertama dia dengan gadis itu. Walaupun si gadis
langsung tidak menyedari kehadirannya di situ.
“Lepas tu, apa jadi?”
“Takde apa-apa yang jadi pun. Aku nampak dia, kepala
aku ni terus set memori tentang dia. Sebulan kemudian aku
terserempak lagi dengan dia dan pertemuan kali ini sangatlah
tak seronok.”
“Dia hampir kena langgar?”
Arief angguk mengiakan.
“Sebab itulah kau risaukan dia?”
Sekali lagi Arief angguk.
Tiba-tiba Faisal ketawa. Berdekah-dekah pula tu.
“Aku rasa kau dah jatuh cintalah, Arief.”
Arief kejung di situ.
“Kau takkan risau kalau kau tak suka dia. Kau suka
dia dan kau dah jatuh cinta dengan dia. Love at first sight
ni mate. Perghhh!” Bahu Arief ditepuk-tepuk dengan ketawa
yang masih bersisa. Beria sungguh dia gelakkan kawannya tu.
Arief menjeling dengan mata tajam. Kalau ya pun dia
dah jatuh cinta tak payahlah gelakkan dia beria macam tu.
Kecil besar saja dia tengok si Faisal ni.
“Dahlah, aku nak masuk sambung buat research.”
“Arief dah jatuh cinta wooo!”
Arief hanya mampu menggeleng mendengar jeritan
Faisal di belakangnya. Kawan dia ini memang. Gila!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment