DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 24 March 2019

Kerana Aku Memilihmu - Bab 10

MELIHAT nama yang tertera pada skrin telefon
pintarnya, senyuman Ayuni melebar. Tidak mahu si pemanggil
menunggu lama, segera dia menekan tanda hijau.
“Assalamualaikum,” sapanya. Riang dan ceria.
“Waalaikumussalam. Kak long, Arisa dengan Ariz
mana?” Di hujung talian, suara Ayana bergema. Bertanyakan
perihal kedua anak kesayangannya.
“Ada ni ha... tengah makan buah durian dekat dusun
durian Tok Dalang.” Satu per satu wajah insan tersayang
dipandang. Bukan main gembira lagi semua menikmati
buah-buahan di dusun buah Tok Dalang. Bukan selalu dapat
merasai keseronokan begini. Alhamdulillah, hari ini rezeki
mereka.
“Oh... ya ke? Arisa dengan Ariz tak rindu aku ke?”
tanya Ayana lagi.
“Huh! Takde maknanya. Anak-anak kau happy
sangat dapat balik kampung. Langsung tak ingat kau dengan
Han,” beritahu Ayuni tentang anak-anak saudaranya yang
gembira dapat bercuti di kampung.
“Oh...” sayu Ayana menjawab. Terkenangkan
anak-anak yang jauh di mata, ditambah dengan masalah yang
melanda, murah sahaja air matanya jatuh ke pipi.
“Itulah kau, aku ajak balik bercuti di kampung
kau tak nak. Sibuk memanjang. Rugi kau Aya. Tak dapat
makan durian segar dari dusun Tok Dalang.” Ayuni sengaja
menyuntik rasa cemburu di hati adiknya. Tahu sangat Ayana
yang hantu durian itu. Kalau adiknya itu ada sekali, mesti
suasana bertambah seronok. Berebut makan durian dengan
Ayana. Ayuni suka menyakat adiknya itu.
Tangisan Ayana bergema.
“Aik? Takkan gara-gara tak dapat makan durian kau
menangis macam orang hilang suami?” Tersembur tawa
Ayuni. Menjadi juga usikannya. Sampaikan Ayana menangis
tersedu-sedan.
Ayana menangis kuat. Betullah tu. Dia bakal
kehilangan Johan tidak lama lagi. Sedih.
“Aya! Dahlah tu. Nanti balik KL aku bawakan durian
untuk korang suami isteri. Dapatlah kau makan puas-puas.
Dah, dah... toksah menangis lagi. Dapat aku bayangkan
keburukan muka kau sekarang ni,” pujuk Ayuni setelah
esakan Ayana semakin menjadi-jadi.
“Kak long...” Ayana bersuara. Serak.
“Kau ni kenapa?” Hati Ayuni mula dilanda rasa tak
sedap. Dia bangun daripada duduk. Pergi menjauh daripada
orang-orang kesayangan yang sedang menikmati buah
durian. Lagipun, daripada suara adiknya di hujung talian
seperti ada sesuatu ingin dikongsi. Dia tidak mahu ada yang
menelinga.
“Johan...” Tersekat suara Ayana. Tak mampu
meneruskan ayat selanjutnya.
“Kenapa dengan Han?”
“Johan nak kahwin lagi.”
Ayat seterus daripada Ayana menggegarkan
gegendang telinga Ayuni.
“What???” Bergema kuat suaranya. Sehingga
mata-mata yang berada di pangkin Tok Dalang mengerling
ke arahnya.
Tidak mahu menimbulkan syak wasangka, dia
mengangkat dua jari tanda damai. Langkah dibawa sejauh
yang boleh. Tidak mahu perbincangannya dengan Ayana
menarik perhatian Hajah Aminah, maknya.
“Kau biar betul Aya? Jangan nak bergurau perkara
macam ini, boleh tak? Kenapa Han nak kahwin lagi? Dia dah
buang tabiat ke apa? Siapa penyondol tu?” Kerana terkejut,
Ayuni terus bertanya. Bertubi-tubi.
“Aku tak gurau, kak long. Aku serius. Johan nak
kahwin lagi. Aku sendiri tak percaya dia tergamak buat aku
macam ni.” Ayana menangis lagi.
Ayuni hilang kata. Diam seribu bahasa.
“Apa salah aku, kak long? Aku dah cuba jadi isteri
yang terbaik buat dia. Tapi dia...” Ayana menangis lagi. Setiap
kali perkara itu terlintas dalam benaknya, hati bagai dihiris
sembilu.
“Okey. Aku tak tahu apa yang dah jadi. Tapi aku nak
kau sabar. Jangan buat benda gila. Tunggu aku balik KL.
Nanti kita cari jalan penyelesaian bersama. Buat masa ni kau
relaks aje dulu. Jangan stres, okey?”
Orang stres ni kena pujuk elok-elok. Ayuni tidak
mahu adiknya buat perkara tak betul. Masih berbaki 4 hari
lagi dia duduk di kampung. Terasa macam lama sangat nak
balik Kuala Lumpur dan jumpa Ayana.
Ayana diam di sebelah sana. Cuma esak tangis
adiknya masih menyapa pendengaran Ayuni. Semakin buat
hatinya digigit resah.
“Aya! Kau dengar tak apa aku cakap ni? Jangan buat
benda gila. Besar macam mana pun masalah, kau kena ingat
Allah. Kena ingat anak-anak. Waktu macam ni, syaitan suka
hasut buat perkara yang tak betul.”
Tidak mahu kakaknya dilanda bimbang, Ayana
bersuara.
“Aku dengar, kak long. Kau janganlah risau. Aku
takkan buat perkara gila. Aku masih ingat Tuhan. Aku cuma
perlukan kawan untuk dengar luahan aku. Aku sedih, kak
long. Sampai hati Johan buat aku macam ni.”
“Aku faham. Kau mesti sedih. Takpe, tunggu aku
balik nanti kita cari jalan selesaikan masalah kau.”
“Ayu!” Suara Hajah Aminah yang kedengaran tidak
jauh dari situ membuatkan Ayuni berpaling. Tangan dilekap
ke telefon pintar. Bercakap seakan berbisik.
“Aya! Aku kena pergi ni. Mak panggil. Aku tak nak
mak syak apa-apa. Kau jaga diri baik-baik tau. Ingat janji kita.
Tunggu aku balik. Bye, Aya.”
Klik.
Setelah talian ditamatkan, Ayuni segera
mendapatkan Hajah Aminah. Senyuman ditebar walaupun
hati mula dikocak risau memikirkan Ayana yang bersendirian
di Kuala Lumpur. Bimbang adiknya melakukan sesuatu di
luar akal fikiran.
“Aya ke yang telefon?” tanya Hajah Aminah.
Ayuni mengangguk.
“Ya, mak.”
“Kenapa Aya telefon? Ada sesuatu ke?” Gerak hati
keibuannya bagai berkata, ada sesuatu telah terjadi kepada
anak perempuannya seorang itu.
“Eh, takdelah mak. Aya saja call. Rindu dekat Arisa
dengan Ariz. Maklumlah... inikan kali pertama Aya berjauhan
daripada anak-anak dia. Tu yang rindu katanya,” bohong
Ayuni. Tidak mahu memberitahu Hajah Aminah perkara
sebenar. Takut maknya risau.
“Oh...” Hajah Aminah hanya mengangguk. Menjawab
kata-kata si anak.
“Jom mak, kita sambung mendurian lagi.” Ayuni
paut bahu Hajah Aminah.
“Mendurian?” berkerut dahi tua itu.
“Mendurian tu maksud dia, makan durian. Macam
mengeteh.”
Hajah Aminah menggeleng. Ada-ada saja anak
sulungnya ini. Merosakkan bahasa sahaja.

“THANKS LOVE sudi datang jumpa papa.” Marsha mengayun
tangan Johan yang sedang menggenggam erat jemarinya.
Senyumannya merekah dengan lebar. Gembira tak terkata
apabila lelaki itu menepati janji bertemu papa hari ini. Tidak
lama lagi, dia dan Johan akan bersatu.
Johan sekadar tersenyum. Mengangguk sebagai
jawapan. Entah kenapa, dia tidak begitu gembira dengan
pertemuan hari ini. Bukan kerana dia tidak menyayangi
Marsha, tapi barangkali disebabkan masalahnya dengan
Ayana. Buat dia jadi tidak seronok dengan pertemuan ini.
Masalah yang menimpa menjadikan dia kurang gembira
membincangkan hubungannya dengan gadis itu.
“So, lepas ni you nak ke mana?” tanya Marsha lagi.
Berura-ura hendak mengajak Johan keluar pula. Masih tak
puas bersama lelaki itu. Lagipun, di depan papa dan mama
dia kenalah jaga tingkah laku sikit. Tidak bolehlah hendak
melebih-lebih sangat.
“I nak balik. Penatlah sayang.” Jujur Johan menjawab.
Hari ini dia tidak rasa mahu ke mana-mana. Kecuali balik dan
bersemuka dengan Ayana. Masih banyak perkara yang mereka
perlu bincangkan.
Mendengarkan itu, serta-merta muka Marsha
cemberut.
“Awalnya you nak balik? Takkan rindu orang kat
rumah tu kut?” Ada nada cemburu pada bicaranya. Walaupun
rela menjadi isteri kedua, tapi itu tidak bermakna dia suka
melepaskan Johan pergi kepada isterinya. Memikirkan segala
kemungkinan yang terjadi antara Johan dengan wanita yang
hanya diketahui namanya sebagai Ayana itu, hati Marsha sakit
bagai dicucuk duri.
“Sayang, you cemburu ke?” giat Johan. Walhal dia
sudah tahu Marsha cemburu. Sengaja mahu menguji.
“Of course I cemburu. You boleh aje ada masa berdua
dengan dia. Tapi I? Sampai bila nak macam ni? I pun nak you
stay dengan I jugak.”
Tanda-tanda merajuk mula kelihatan. Kalau Johan
tak bertindak awal, mahu seminggu Marsha menarik muka
dengannya. Pantas jemari si kekasih yang berada dalam
genggaman dilepaskan. Beralih naik mengelus pipi halus
mulus itu.
“Sayang, bagilah I sikit masa lagi. I janji, sampai
masanya nanti kita pasti bersama.”
“Sampai bila? I dah fed-up dengan semua ni. I need
you...” Di hujung ayatnya, Marsha sedikit merengek. Meraih
perhatian Johan.
“Yeah, I know. Tapi you kenalah sabar sikit. I kena
pujuk Ayana dulu sebelum kita kahwin.”
Dengusan dilepaskan. Sakit hati apabila Johan asyik
beralasan hendak memujuk isterinya itu. Susah sangat, biar
dia saja yang berjumpa Ayana. Habis cerita!
“Susah sangat ke nak pujuk? Kalau macam tu bagi I
ajelah yang cakap dengan wife you. Kan senang.”
“Marsha...”
Baru nak merajuk, lenggok Johan yang mengharap
pengertiannya buat hati Marsha mencair. Terbantut rajuknya.
“I’m giving you a month. Kalau tak berjaya, I sendiri
akan jumpa wife you minta kebenaran.” Rasanya sebulan
sudah mencukupi untuk Johan memujuk Ayana supaya
membenarkan mereka berkahwin.
“Cepatnya? Sekurang-kurangnya bagilah I masa
sampai hujung tahun ni. Please?” Bukan perkara senang
hendak memujuk Ayana membenarkan dia berkahwin lagi.
Dia perlukan masa untuk semua itu.
Mendengus. Marsha tak suka dengan apa yang dia
dengar.
“Please... baby.” Johan terus memujuk. Mata juga
sengaja dikerdip-kerdip. Meraih simpati dengan lagak paling
gedik.
“Huh! Mengada-ada. Okay, I’ll give you two months
instead. Kalau you tak dapat juga, I akan jumpa sendiri
dengan wife you. You tak boleh nak halang I lagi.”
“Okay, I promise.” Barulah senyuman Marsha
kembali mekar di bibir.
Melepaskan Johan pergi, bukanlah sesuatu yang dia
harapkan. Tapi buat sementara waktu, biarlah dia beralah.
Kerana dia tahu suatu hari nanti Johan pasti akan menjadi
miliknya. Milik Marsha seorang.


***AKAN BERADA DIPASARAN, KELUARAN APRIL 2019*** 

2 comments:

  1. Replies
    1. boleh dapatkan dipasaran atau boleh wasap nombor bawah ni naaa..

      019-3729676 (cik shida)

      013-4888095 (kak peah)

      Delete