DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 24 March 2019

Lelaki Terakhir Untukku - Bab 4

APABILA keluar ke ruang tamu selepas solat
isyak, aku nampak tubuh Aunie sudah elok berbaring di atas
kerusi dengan mata menala ke TV. Entah cerita apa yang
menarik perhatian si teman sampai aku lalu pun dia tak
perasan. Kakiku melencong ke dapur tanpa menegur, mahu
membasahkan tekak sebelum tidur.
Namun niatku terbantut apabila teguran Aunie
menyapa. Memaksa kakiku menghentikan langkah di depan
pintu masuk, kepala pantas kubawa memandang. Bertembung
pandang, lantas Aunie menggamitku.
“Nak apa? Aku nak minum air ni.” Menolak
menggunakan alasan, aku kembali meneruskan langkah.
Tidak menghiraukan panggilan si teman yang tidak jemu
memanggil.
Selesai membasahkan tekak dengan segelas air
mineral dari dalam peti, aku mengayun kaki menuju ke
tingkat atas. Badan yang penat menuntut aku merehatkan
diri. Malas nak hiraukan Aunie yang sibuk memanggil.
“Tia!” Sekali lagi Aunie menyeru nama aku. Kali ini
lebih nyaring berbanding tadi.
“Nak apa? Aku nak tidur ni. Esok nak kerja.” Aku
panggung muka. Beri alasan lain pula.
“Sekejaplah. Aku ada hal nak cakap dengan kau.”
Kesungguhan Aunie sudah menjelaskan perkara yang mahu
diberitahu itu penting. Kalau tidak, dia tak beria-ia panggil
aku.
Dengan langkah malas, aku menghampiri. Belum
sempat punggung mencecah kerusi dengan selamat, jemari
Aunie sudah bertindak menarikku. Menggesa agar aku
melabuhkan duduk dalam kadar segera.
“Kau ni dah kenapa, Aunie?” Terbangkit geram aku
dengan perbuatan Aunie yang aku kira tak menyempat mahu
berbual. Sedas jelingan tajam dilempar memberi maksud
ketidakselesaanku dengan tindakannya.
Namun Aunie hanya melebarkan senyuman. Seperti
dia langsung tidak terkesan dengan kemarahan yang aku
tonjolkan. Melihat tampang Aunie, aku yakin ada sesuatu
yang dia mahu soalkan. Bertahun mengenali Aunie, setiap
tingkah dan bahasa tubuhnya mudah saja aku tahu.
“Petang tadi aku dengar kau dengan Encik Erfan
dekat parking kereta. Betul ke?”
Soalan yang Aunie ajukan buat tubuh aku terkaku.
Cepat betul berita tersebar.
Kepala aku toleh pandang Aunie.
“Dari mana kau dapat cerita?” Aku cuba korek rahsia
dari mana datangnya berita tentang aku dan Erfan. Nampak
gayanya Erfan Rayyan tu dah jadi perhatian setiap orang di
pejabat.
“Ada budak ofis cakap kat aku tadi. Jadi betullah
kau dengan dia?” desak Aunie lagi. Bersungguh-sungguh dia
pandang aku sebab nak aku jawab soalan dia.
Aku mengerling seraya tangan menongkat kepala.
Terasa malas mahu berbahas mengenai siang tadi.
“Ada masalah ke Tia?” Nampak sangat Aunie tak
berputus asa buat aku buka mulut.
“Tak ada masalah apa pun. Kereta aku kebetulan
waktu tu rosak. Dia tolonglah aku.” Sambil lewa saja aku
balas. Tak pandang langsung muka Aunie.
“Rosak? Lagi? Kenapa kau tak tukar aje kereta baharu
Tia? Kereta kau tu layak masuk bengkel dah. Tak pun kedai
besi buruk!” Ringan betul mulut Aunie mengutuk kereta aku.
Terus aku pandang Aunie dengan pandangan tajam.
Jemari aku laju saja bergerak mencubit paha Aunie yang
berlapik seluar tidur.
“Aduh, Tia! Eiii, apa hal cubit-cubit aku pulak?”
Aunie mengaduh seraya tangan menggosok kesan cubitanku.
“Kereta aku tulah yang bawa kau pergi kerja tau!”
Aku tunjuk muka tak puas hati dan terus Aunie tersengih
macam kerang busuk. Tahu sangat aku tengah marah. Kereta
aku tu walaupun dah lama, tapi masih berjasa pada aku lagi.
“Dah tu macam mana kau balik?” Aunie bertanya
lagi.
Terdiam beberapa minit, aku cuba memikirkan
baik buruk kalau aku bercerita mengenai Erfan membantu
membaiki keretaku. Kalau tak cerita, aku pasti Aunie mesti
mendesak. Tapi kalau beritahu, aku yakin pasti Aunie mahu
tahu lebih banyak. Aku garu belakang kepala. Pening nak
buat keputusan.
“Cepatlah, Tia! Kau balik macam mana?” Aunie dah
mula mendesak apabila tengok aku teragak-agak hendak
bercerita.
Bibir aku automatik mencebek geram. Terkadang
sikap Aunie begini melelahkan akal aku mencari cara untuk
mengelak. Dia mudah mengesan sesuatu jika melibatkan aku.
Seolah-olah antara kami mempunyai pertalian darah yang
kukuh. Walhal, Aunie itu cuma kawan sekampung merangkap
satu sekolah aku saja. Mungkin juga kerana sikap ambil
beratnya menjadikan hubungan kami seperti adik-beradik.
“Aku balik dengan kereta akulah.”
“Kata kereta rosak?” Dahi Aunie berkerut diterjah
tanda tanya.
“Encik Erfan tolong bantu aku baiki kereta aku tu.”
Dalam malas aku mengungkap kebenaran. Sedar,
dengan mengelak tidak akan membawa aku ke jalan
penyelesaian. Kerana sikap Aunie tidak mudah mengalah
mengenal pasti sesuatu perkara.
Bereaksi terkejut, telapak tangan Aunie melekap
di dada. Aku yang ketika itu mengerling dihambat perasaan
meluat. Reaksi Aunie tika ini benar-benar melebih. Setakat
mendengar cerita mengenai Erfan sudah bereaksi begitu
sekali, macam mana kalau tiba-tiba Erfan melamar aku,
harus Aunie orang paling teruja.
“Oh my God, Tia! Unbelievable!!! Encik Erfan yang
gantikan Puan Irdina tu yang tolong baiki kereta kau?”
Bukan ke aku dah cakap, pasti Aunie teruja lebih
daripada aku. Kepala aku menggeleng. Menyampah pula
tengok reaksi melebih Aunie ini.
“Dengan abang duda hot tu ke?” Masih dalam mood
tak percaya, Aunie melemparkan kembali soalan meminta
kepastian.
Berdecit mulut aku menyatakan kemarahan dalam
tingkahku. Menegak kembali pandangan, anak mata Aunie
aku pandang dengan wajah kosong.
“Ada orang lain nama Erfan ke?” Aku menyinis.
Jelingan tajam kuberi sekali.
“Omo! Omo! Omo! Tiaaa!!! Aku rasa korang berdua
ada jodohlah!” Aunie dengan teori meraban berpisah tiada.
Aku menggeleng untuk sekian kalinya. Muak tengok
Aunie yang terlebih riang ini. Macam kanak-kanak riang
dapat gula-gula!
“Dia baiki kereta aku aje kut. Dah kenapa nak kait
dengan jodoh pulak?” Aku sedikit tak berpuas hati. Apa kaitan
jodoh dengan bantuan Erfan pula? Tak faham aku dengan
cara Aunie berfikir. Jauh benar menyimpang.
“Kau tak faham ke Tia? Bila dia bantu kau, pasti
ada sesuatu yang sedang berlaku. Cuba kau fikir, dalam
banyak-banyak staf ZR Galeri, kenapa dia yang datang?”
Aunie makin melebarkan senyuman nakalnya. Sengaja buat
otak aku bekerja lebih masa.
“Sebab dia kebetulan lalu kat situ.” Malas-malas aku
menjawab. Sudah terang cuma Erfan saja yang ada di situ.
“Nah, sebab itulah!” Aunie petik jarinya dengan
wajah super excitednya.
Tolonglah Aunie. Aku dah tayang muka kelat.
“Sebab Allah pertemuan korang berdua dalam
keadaan macam tu. Nampak tak hubung kait yang aku cuba
sampaikan?”
“Tak!” pantas aku geleng kepala laju-laju. Malas nak
serabutkan otak aku dengan teori Aunie.
“Bukan ke jodoh tu perlukan pertemuan?” Aunie
masih berusaha mencuri tumpuan aku.
“Apa yang kau merepek ni Aunie? Encik Erfan tu
pekerja, dan aku pun pekerja. Sah-sahlah dia bantu aku.”
Kerlingan tajam aku beri kepada Aunie yang masih dengan
pemikiran tak logiknya.
Kali ini Aunie mengubah posisi duduknya
berhadapan dengan aku.
“Jodoh ini tak kira masa. Sekarang ni, Allah temukan
jodoh kau dengan cara begini. Kau tak rasa apa-apa?”
Bersungguh-sungguh Aunie membuat aku memikirkan
semua bicaranya.
“Aku rasa kau yang tak betul!” Terus aku tolak dahi
Aunie menjauh. Mengusir pergi segala bicaranya yang tak
membawa erti itu.
Kembali menonton TV, Aunie di sebelah aku buat tak
tahu saja. Macam manalah Aunie boleh berfikir sejauh itu?
Membayangkan wajah Erfan saja, aku rasa tak selesa. Apatah
lagi nak bayangkan Erfan jadi suami aku. Memang taklah!
Aku dengan Erfan tu jauh beza. Si Erfan tu dingin 24 jam.
Macam manalah agaknya hubungan aku dengan dia nanti.
Mahu janggal setiap masa.
“Kan bagus kalau kau dengan dia boleh
together-together. Nampak sesuai tau. Seorang duda, seorang
janda. Auwww!!! So sweeettt...” Otak Aunie ni memang layak
dicuci guna Clorox. Biar bersih daripada segala perkara
negatif.
Boleh pula dia melangkaui pemikiran aku detik ini.
Untuk bersama Erfan tak mungkin akan berlaku. Sudahlah
tahu membeku saja! Tak adanya hati aku hendak terpaut
dengan lelaki muka ketat macam tu.
“Bercakap dengan kau memang takkan habis!
Daripada aku layan kau, baik aku tidur. Ada juga faedahnya.”
Aku bangun daripada duduk. Niat hendak merehatkan diri,
sekali gus melarikan diri. Tetapi baru sebelah kaki kuayun
melangkah, Aunie pantas menarik tanganku. Tindakannya itu
buatkan aku kembali menghempaskan punggung. Riak tak
puas hati aku tunjuk, namun Aunie masih beriak selamba.
“Kau nak tahu pasal abang duda tu tak?”
Soalan Aunie buat kening lurusku bercantum rapat.
Aku pandang muka Aunie yang bersungguh-sungguh mahu
berkongsi cerita tentang Erfan.
“Bab gosip memang kau juara.” Sebuah jelingan
aku hadiahkan dan balasannya, Aunie menghambur ketawa
berdekah-dekah. Tidak mempedulikan sindiranku yang jelas
sedang mengutuknya.
“Encik Erfan tu duda sebab isteri dia meninggal.
Orang kata bercerai mati.” Aunie mula bercerita sebaik
ketawanya reda. Matanya dipasak ke wajahku.
Perhatian aku dicuri tatkala mendengar cerita Aunie.
Memanggung kepala, tumpuan aku berikan sepenuhnya.
Tidak mahu terlepas satu cerita pun mengenai Erfan Rayyan.
Bukan maksudku untuk menjadi busybody, cuma aku mahu
tahu serba sedikit tentang mamat muka ketat itu. Tidaklah
kata aku berminat, tapi tak salah nak tahu pasal Erfan, kan?
“Macam mana kau tahu?” soalku dengan dahi
berlapis seribu. Pelik! Dari mana Aunie mengaut informasi?
Mengosongkan minda, memadatkan cerita-cerita Erfan
daripada Aunie, sedikit sebanyak aku tertarik.
“Adalah.” Aunie senyum jahat, menutup ruang aku
mengorek ceritanya.
Sekejapan ruang dilanda sepi. Otak aku mula
mencerna sebaris kenyataan yang Aunie hidangkan. Bercerai
mati? Mungkin saja sikap dingin Erfan berkaitan arwah
isterinya. Barangkali ditinggalkan orang tersayang mengubah
sisi seorang Erfan Rayyan yang sebenar.
“Har, are you okay?”
“Berapa kali abang cakap, nak melintas tu tengok
kiri kanan!”
Kata-kata Erfan kembali mengetuk minda aku. Har?
Mungkinkah Har itu arwah isterinya?
“Nama arwah isteri Encik Erfan kau tahu?” Terus
aku bertanya kepada Aunie. Mana tahu, Aunie tahu mengenai
arwah isteri Erfan?
“Tak tahulah pula. Aku lupa nak tanya budak sebar
gosip tadi.” Aunie garu keningnya sambil tayang wajah
sedang berfikir.
Kepala aku menggeleng. Kata tahu semua perkara?
Hal kecil itu pun Aunie terlepas. Membiarkan ruang
dihurung sepi, aku menetapkan pandangan pada siaran yang
berlangsung. Tidak mahu terjebak dalam perihal Erfan lagi.
“Eh, kau nak tahu gosip paling hot tak?” Lenganku
dicuit Aunie sebelum kepalanya mendekat di telingaku. Gaya
mahu berbisik. Sedangkan dalam rumah hanya ada kami
berdua saja.
“Dia tengah cari babysitter untuk anak dia.”
Automatik aku jauhkan sedikit muka. Disumbat
maklumat Aunie, aku jadi bingung. Otak hilang daya mencari
maksud di sebalik kata-kata Aunie.
“So?” Aku melepaskan soalan. Berkali-kali cuba
mencerna, namun otak masih kosong untuk memahami.
Kalau Erfan mahu cari pengasuh untuk anaknya, apa
kena-mengena dengan aku? Aku tak berminat untuk tahu.
“Cubalah! Mana tahu peluang kau usyar dia makin
luas.”
Dan apabila dengar Aunie cakap begitu, aku terus
pukul bahunya. Makin geram pula apabila aku tengok Aunie.
Rasa nak saja aku selam Aunie dalam air. Biar mulut dan otak
yang banyak buat teori tu hilang terus!
“Merepek tak sudah!” Aku tahan geram.
“Ke kau masih ingat jantan tak guna tu?”
Tebakan Aunie buat aku kejung. Ingatkan dia yang
dah tinggalkan aku? Bodoh sangat ke aku? Tak! Aku tak
bodoh untuk ingat lelaki yang dah tinggalkan aku atas alasan
tak masuk akal begitu! Segala tentang dia aku dah campak
jauh. Dan aku tak mungkin kutip kembali memori tentang
dia kalau hati aku dah tawar.
Sudahnya soalan Aunie tergantung begitu saja.

No comments:

Post a Comment