DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 24 March 2019

Pabila Kau Hadir - Bab 10

DALAM diam, aku mencongak sendiri.
Menghitung hari. Sudah genap 2 minggu. Aku memandang
Vivo di tangan. Menunggu-nunggu bunyi beep atau deringan
nyaring muncul. Tidak cukup dengan itu, aku menekan pula
aplikasi WhatsApp, segera aku mencari profilenya. Namun
ternyata, kesudahannya tetap mengecewakan. Dia tidak
online. Takkanlah 2 minggu ini dia tidak online langsung?
Kuota dah habis ke? Internet dah habis ke? Telefon rosak
ke? Takkanlah tak ada akses Internet di tempat kerjanya?
Tanpa sedar, terbit keluhan daripada bibirku. Terasa sunyi
hari-hariku tanpa mesej dan soalan tanya khabar daripada
Iskandar.
Aku tahu aku punya pilihan untuk memulakan
perbualan, tetapi entah mengapa aku malu. Sebenarnya, malu
dan takut. Malu kalau dikatakan mahu menggatal sedangkan
Iskandar tidak sudi pun hendak melayan. WhatsApp
terakhirku dulu pun tidak dilayannya. Takut, kalau-kalau
panggilan daripadaku mengganggu atau menceroboh waktu
peribadinya. Ah, agaknya aku terlalu banyak berfikir. Sebab
itulah satu apa pun tak menjadi.
“Kenapa Kak Izzah ni asyik termenung aje dari tadi?
Lepas tu siap dengan pakej mengeluh lagi? Akak ada masalah
ke?” Suara prihatin Fiqa membuatkan aku kembali ke alam
realiti. Lantas, aku cuba melontar senyuman.
“Tak ada apa-apalah, Fiqa. Lama tak termenung. Best
juga termenung ni rupanya. Hilang sekejap masalah dunia.”
Hah! Ya sangatlah tu. Makin bertambah adalah! Hatiku
langsung tak bersetuju dengan suara hati sendiri.
Fiqa ketawa.
“Ada pulak macam tu akak ni. Daripada akak
termenung, lebih baik akak cari jalan penyelesaian pada
masalah akak tu. Settle. Lepas tu, akak boleh senyum puas
hati. Pelik tau saya tengok akak muncul weekend macam ni.
Al-Ihsan tak busy ke kak?”
Err... soalan tu memang susah untuk dijawab.
Soalan urusan hati kata orang. Ini semua Iskandar punya
fasal. Siapa suruh dia selalu hantar baju ke Dobi Mama setiap
hujung minggu sahaja? Mengikut kata Fiqalah. Jadi aku pun
datanglah juga hujung minggu ni, dengan harapan dapatlah
aku bersua muka dengannya. Namun sudah pukul 12 tengah
hari begini, langsung tidak aku nampak bayangannya.
Agaknya dia sudah cari servis lain kut? Hendak bertanya
kepada Fiqa, aku segan pula.
“Saja aje akak datang, Fiqa. Dah Nana kata dia ada
hal emergency, akak datanglah. Takut nanti awak tak menang
tangan pula.” Wah, bijak juga aku meloloskan diri dan
mencari jawapan. Nana, salah seorang pekerjaku yang baru
2 bulan bekerja di sini tiba-tiba meminta cuti dengan alasan
ada kecemasan pagi tadi.
“Eh, akak ingat tak Encik Is?”
Gulp! Kalau Encik Is itu yang Fiqa maksudkan,
tentulah aku kenal. Aku pandang Fiqa, pendengaranku
menjadi tajam serta-merta, tidak mahu terlepas sepatah pun
kata-kata Fiqa tentang Encik Is itu.
“Kenapa dengan dia?” Sudah berkali-kali juga dia
datang ke Dobi Mama pada hari bekerja dan kami bertembung
pandang, berbual dan kadangkala dia akan mengajakku
melepak sama di Restoran Selatan, selang dua buah dari
Dobi Mama. Nasibku baik kerana setiap kali aku bertembung
dengan Iskandar, setiap kali itulah Fiqa tiada.
“Fiqa rasa dah 2 minggu dia tak datang. Pelik juga
tu.” Ya, sebab pelik itulah aku melangut menunggu dirinya
hujung minggu begini. Parah!
“Agaknya dia dah beli mesin basuh kut kak.
Belajar-belajar basuh sendiri.” Mahu ketawa pun ada aku
dengan kata-kata Fiqa. Positif sungguh adik aku seorang
ni. “Ataupun dia dah jumpa servis yang lebih baik atau yang
lebih dekat. Hmm... ala... tak bestnya macam tu. Encik
Is baik. Antara pelanggan yang Fiqa suka. Cara dia susun
pakaian kotor tu Fiqa dah dapat agak personaliti dia. Kemas
dan teratur orangnya.” Bersungguh-sungguh Fiqa melontar
pujian.
Aku ketawa kecil. Aku juga suka! Sudahnya,
Fiqa meminta diri. Aku juga mula melakukan kerja-kerja
membasuh. Tengah malam semalam memang banyak yang
menghantar pakaian. Maklumlah, hujung minggu.
Dalam ralit menyiapkan kerja, Vivoku berdering.
Aku terperanjat. Cepat sahaja kakiku menerjah ke ruangan
aku meletakkan beg tangan. Aku terpaku.
Ulya!
Segera terbang ingatanku kepada Zainal. Ya Allah...
kenapa Ulya telefon aku? Bimbang menerjah ke sudut
hati. Hatiku terasa tidak tenang. Ah! Mengapa perlu aku
merasa begini seperti aku ada berbuat salah kepadanya?
Hesy, ini semua gara-gara Zainal yang tidak henti-henti
menggangguku. Lama juga aku merenung telefon itu
sebelum memutuskan untuk menekan butang hijau.
“Izzah, aku kat depan Dobi Mama ni. Jom lunch,”
terjah Ulya seperti tidak sabar.
Aku merenung ke luar pintu masuk. Kelibat Ulya
yang baru keluar daripada kereta menyapa pandanganku.
Dia menerjah masuk ke dalam Dobi Mama dan tersenyum
suka. Aku turut menyambut dengan senyuman manis. Kami
berpelukan erat.
“Perghh... awesome Izzah. You have done a great
job. You should be proud of yourself. Dah banyak kali I nak
datang sini. Tapi tak ada masa. Nal cakap dia pernah datang
sini sekali, dia kata dia ternampak you berjalan dekat area
sini. Lepas tu, dia tegur you. You cakap...”
Aku tersentak. Zainal menipu? Apa perlunya dia
berbohong sedemikian rupa? Bila pula aku terserempak
dengan dia? Seingat aku, kali pertama dia menjejakkan kaki
ke sini, dia memang sudah tahu hala tujunya. Tidak perlulah
berdrama siap terserempak lagi.
Celotehnya penuh ceria. Ulya tidak banyak berubah.
Dia masih teman rapat yang ada dalam kenanganku. Orangnya
bertenaga dan ceria selalu. Ketika dia sakit dahulu pun, dia
memang begini. Perwatakannya masih juga sama. Kerana itu
tidak ramai yang tahu dia menderita penyakit kanser.
“Bila you nak datang rumah I lagi, Izzah? Eh, by the
way, I lupa nak beritahu, Nal baru beli rumah dekat Bukit
Antarabangsa. A condo to be precise. Come. Sekali-sekala
bolehlah kita hang out hujung minggu.” Ulya kenyit mata.
Aku ketawa.
“Ala... hujung minggu masa you nak hang out
dengan Zainal, tak naklah I kacau daun pula.”
“Hesy, apa pulak kacau daun? I bukan daun tau.
Alah, Nal tu kadang-kadang hujung minggu pun luang
masa dengan kerja dia. Bosan I. Dah banyak kali I nasihat,
bukannya nak dengar pun. Even masa kita orang kat overseas
dulu pun, perangainya sama juga. Tak berubah laki I sorang
tu. Kadang-kadang naik tension juga I dibuatnya, tapi itulah
Izzah, I sayang sangat dengan Nal tu. I biarkan saja. I tak nak
dia fikir I ni mengongkong dia. I percaya dia tak akan khianati
I.”
Mendengar harapan dan kepercayaan Ulya terhadap
Zainal, entah mengapa aku menjadi sedih dan tidak keruan.
Bagaimana agaknya reaksi Ulya kalau dia tahu perbuatan
Zainal sejak akhir-akhir ini? Akan marahkah dia kepadaku?
Buat masa ini, aku terlalu gerun untuk memikirkannya.
“I tak pasti lagilah Ulya. Lain kali kita confirm lagi
ya. You tahulah I kerja macam ni, kadang-kadang hujung
minggu pun I tak free. You tengoklah I tengah buat apa
ni,” balasku seraya melarikan anak mata pada buku niaga di
tangan.”
Ulya tergelak.
“You are right, Izzah. Tak ada masa kan untuk diri
sendiri? I terfikir jugak, kita ni terlalu sibuk kejar dunia,
kejar harta benda, especially duit, sampai abaikan keluarga.
Maksud I, contohnya... tak ada masa nak luangkan pada
keluarga padahal keluargalah harta yang tak ada nilainya.”
Aku bersetuju dengan pandangan Ulya. Bernas
fikirannya. Fikiranku menerawang teringatkan papa dan
mummy. Sering kali aku seperti lari sahaja daripada ahli
keluargaku sendiri. Tetapi, salahkah aku?
“I selalu juga nasihat Zainal. Hmm... tetapi hampeh,
bukan dia nak dengar pun pandangan daripada bini dia yang
comel lagi gorgeous tahap petala kelapan ni.” Ulya tergelak
lagi memuji diri sendiri. Alangkah seronok menjadi dirinya.
Ketawa dan ketawa. Punya keluarga bahagia.
Sejenak aku beristighfar, mengingatkan diri,
bersyukurlah dengan apa yang dimiliki.
Kami saling bertukar cerita. Senyuman tak lekang
daripada bibirnya. Aku memperkenalkan Ulya kepada Fiqa.
“Berapa orang pekerja bawah you?”
“Setakat ni dua orang aje, Ulya. Insya-Allah, plan nak
menambah tu ada.”
“Mestilah Izzah, I dapat bayangkan perniagaan you
ni akan berkembang. You kan berwawasan tinggi. Dua tiga
tahun lagi mesti buka cawangan kat tempat lain pula.”
Pujian yang melangit tinggi itu sekadar membuatkan
aku ketawa. Aku aminkan sahaja, mudah-mudahan menjadi
kenyataan.
“Ulya, bukan tujuan you nak ajak I keluar makan ke?
Let’s go, babe. Sambung cerita kat kedai makan pulak. Baru
ada feel.”
Aku dan Ulya segera melangkah kaki ke arah pintu
setelah aku menitipkan pesan kepada Fiqa. Namun, langkah
kami serentak terpasak.
Zainal!
Aku terpaku. Terasa hilang darah daripada muka.
Agaknya kalau ditoreh ketika ini, pasti tidak berdarah. Ulya
juga terkesima di situ.
“Nal, you buat apa kat sini?”
Soalan itu bukan daripada aku, tetapi daripada Ulya.
Dan Zainal kulihat menelan liur.
“I jumpa kawan kat sini.”
“Tapi tadi you cakap you nak ke Kepong, macam
mana pula boleh melencong sampai ke sini?” Pertanyaan itu
lebih kepada mahukan penjelasan. Tidak kedengaran sinis,
tetapi aku tahu, tentulah ada detik aneh di hati Ulya tentang
‘ziarah’ sang suami ke tempat kerjaku.
“Meeting kat Kepong tu cancel. Lepas tu Aizat ajak
I temankan dia tengok showroom dekat area sini. I saja aje
jenguk Izzah, lagipun tak salah, kan? She’s our friend.” Kali
ini riak Zainal bersahaja. Ekor matanya mengerling aku yang
masih setia membisu.
“I tak kata salah pun, Nal. Cuma I terkejut as I was
not expecting to see you here. Yalah... dah pagi tadi I merayu
minta you temankan I pergi Padini, you tak nak. Alih-alih I
jumpa you kat sini pulak. Mestilah I tak sangka.”
“Sorry darling. You tahukan... I kalau bab-bab
shopping ni... ermm...” Zainal mempamerkan riak cemberut.
Aku mencari akal untuk turut sama wujud dalam
perbualan ini.
“Dah alang-alang Nal kat sini, jomlah kita pergi
makan bertiga,” sampukku perlahan.
“Yup, that’s a good idea, Izzah. Hah, mari Nal. You
join kita orang lunch sekali. Lepas tu...” Ulya tersengih nakal
kepada Zainal.
‘”What? What?” Zainal sudah mengangkat-angkat
kening bertanya. Ulya pula dengan selamba menyendengkan
kepalanya pada dada bidang Zainal.
“Temankan I shoppinglah sayang.”
“You nak join, Izzah?” Aku tersentak dengan
pertanyaan Zainal. Hatiku serta-merta membentak marah.
Perlukah Zainal menyoal aku ketika isteri sendiri merengek
kepadanya?
“No, thanks Nal. I banyak kerja.”

“DAH KENAPA muka macam tak bermaya ni? Kau tak ke
Al-Ihsan ke?”
Soalan Sera aku biarkan.
“Yalah Izzah, kau ada masalah ke?” Giliran Jeff pula
menunjukkan keprihatinan.
“Tak adalah. Just a bit tired.”
“Aku pergi dulu.”
“Aku pun dah lewat ni.”
“Pergilah cepat. Dari tadi tau cakap aje dah lewat,
tapi perginya tak,” bebelku buat-buat marah.
Sera dan Jeff ketawa serentak.
“Sekejap, aku nak ambil barang kat atas dulu.” Sera
memanjat anak tangga.
“Aku pergi dulu,” pamit Jeff.
Sepeninggalan Jeff, aku melabuhkan punggung di
sofa. Aku tiada mood mahu ke tempat kerja awal pagi. Bibir
kuketap. Fikiranku dibelenggu dengan masalah yang tak
sepatutnya aku hadapi. Tersepit. Diluah mati emak, ditelan
mati bapa. Begitulah keadaanku ketika ini. Kemarahanku
kepada Zainal menjulang naik sejak pertemuan tiga mata di
Dobi Mama. Sungguh bijak lelaki itu mengawal permainan.
Dipergunakan aku yang tidak berani bersuara dan isterinya
yang naif.
Sudah dua tiga kali Ulya mengajak aku keluar
bersamanya, keluar shopping, keluar makan dan jemputan ke
majlis perkahwinan abang Zainal. Aku ingin menolak, tetapi
sudahnya aku mengiakan juga. Ah! Bukan senang mahu
menolak jika Ulya sudah merengek-rengek dan berkeras tidak
mahu menerima sebarang penolakan. Dalam keterpaksaan,
ajakannya aku penuhi. Malang nasibku kerana setiap kali Ulya
mengajak aku, Zainal turut memunculkan diri. Zainal yang
dikatakan susah mahu mengikut ajakan isteri itu sentiasa
pula mengekori kami. Rimas aku dibuatnya.
‘Tak tahulah kenapa Nal ni asyik mengekor I aje,
Izzah. Entah-entah dia mengekor you tak?’
Terngiang-ngiang di telingaku Ulya berkata dalam
ketawa, tetapi entah mengapa aku terasa disindir. Tetapi
Zainal, masih dengan riak bersahaja.
Kejadian petang semalam di majlis perkahwinan
abang Zainal terlayang di mindaku...
“Hai Izzah, cantik you pakai jubah tu.”
Aku tersentak disapa Zainal. Liar mataku
memandang sekeliling. Takut jika ada mata-mata yang
memandang gelagatnya.
“Ulya kat atas. Tengah touch up make-up lagi sekali.”
“Nal, I datang sini nak makan. Sebagai abang
pengantin, I rasa you sepatutnya menyibukkan diri di sebalik
tabir. Tak perlu nak menegur I di sini.” Aku sudah hilang
ghairah hendak memilih makanan. Penyepit ayam di tangan
tak bergerak.
“Eh, kenapa pula? You tetamu I. Melayan tetamu
dapat pahala.”
“I tetamu Ulya, bukan tetamu you.”
“Tak jauh berbeza pun. Tetamu Ulya, maknanya
tetamu I.”
“Okey, I tetamu you tapi masih ramai lagi tetamu
yang lain. Apa kata you pergi menyapa orang lain juga?
Macam yang you kata, boleh juga menambah pahala. So,
can you make some space, please?” Mulalah aku menyesal
datang bersendirian. Sepatutnya aku menyeret Jeff atau Sera
bersamaku. Hendak menyeret Iskandar, lelaki itu seperti
sudah hilang daripada radar.
“No!”
“Goodness, please Nal. Jangan ganggu I.” Jujur aku
katakan, aku tidak selesa dengan Zainal. Dia bukan lagi lelaki
yang aku senangi sebagaimana bertahun-tahun lalu.
“Kenapa you tak putus asa jauhkan diri you daripada
I, Izzah? I sayang you sangat-sangat. Kalau boleh, I nak
jadikan you isteri I. I masih sayangkan you. I janji I akan
berlaku adil. Atau kalau you nak, I boleh ceraikan Ulya.”
“Nal! You dah gila ke?” jeritku kuat.
“Izzah, Nal, what’s going on?”
Argh!!! Aku memejamkan mata. Ketika Ulya
menyapa kami, sungguh aku seperti mahu berlari keluar dari
dewan itu. Aku tidak mahu bersoal jawab dengannya. Namun
seperti biasa, Zainal bijak memutar belit keadaan sehingga
pertengkaran halus itu kelihatan seperti tiada apa-apa. Hanya
sekadar gurauan manja katanya.
Lamunanku dikejutkan dengan bunyi hon di laman
rumah. Aku segera bangkit. Siapa? Jeff kan baru keluar tadi?
Aku mengintai di balik pintu.
Eh, Ulya! Aku terperanjat menerima kunjungannya.
Ulya menolak pintu kereta BMW dan melangkah keluar.
Segera aku mencapai tudung dan membuka pintu.
“Assalamualaikum Ulya, terkejut I tengok kereta
you muncul tiba-tiba depan rumah I.” Aku melorek senyum
namun gelagat Ulya yang sekadar berpeluk tubuh dan
membalas salamku dengan senyum sinis membuatkan
senyumanku pudar. Reaksinya menghantar curiga.
Aku menghulurkan kedua belah tangan mahu
memeluk tubuhnya seperti selalu, tetapi sedikit terpinga-pinga
apabila Ulya sengaja mengeraskan tubuh dan mendengus
kuat. Bahasa tubuhnya memberi petanda kurang baik.
Pang!!!
Tamparan kuat yang mengena pipi kananku
membuatkan aku tergamam. Perit!
“Perempuan sundal!”
Berdesing telingaku. Aku tersentak, lantas menoleh
menatapnya. Tersilap dengarkah aku?
“Apa yang you cakap ni, Ulya?” Aku cuba meraih
tangannya tetapi laju dia menepis kasar.
“Stop acting, Izzah. Jijiknya aku dengan watak kau
ni.”
“Ulya, kenapa ni? Kita duduk dulu ya. Kalau you ada
apa-apa nak cerita pun, kita masuk dulu,” ujarku lagi cuba
berlembut.
“Hei! Jangan berlagak suci depan aku! Perempuan
tak tahu malu!”
Menggeletar batang tubuhku mendengar hinaan
dan maki hamun Ulya terhadapku. Sudah hilang kelembutan
suaranya, bahkan panggilan juga sudah bertukar. Ulya
sungguh marah kepadaku. Tidak pernah aku duga Ulya akan
menghamburkan kata-kata kesat begini terhadapku.
“Kau ni memang binatang, Izzah! Dah tak ada jantan
lain ke sampai suami aku pun kau nak try? Kau goda dia!
Kau goda Zainal!!!” jerkah Ulya lagi sehingga tiada ruang dan
peluang untuk aku mencelah.
Ya Allah... fitnah apakah ini? Gementar perasaan
apabila nama Zainal terkait sama. Sudah aku tahu penyebab
Ulya berubah laku. Zainal! Ketakutanku terhadap tingkah
Zainal selama ini menjadi nyata. Kerisauanku berasas.
“Aku ni memang bodoh, bodoh sangat sebab
percayakan perempuan macam kau! Rupa-rupanya kau tikam
aku daripada belakang. Kau dan Zainal ada hubungan sulit di
belakang aku.”
Tidak! Batinku menjerit menidakkan. Tidak pernah
terlintas di hatiku mahu memusnahkan hubungan mereka,
bahkan akulah yang membuatkan Zainal dekat kepadanya.
“Ulya, dengar dulu penjelasan I.” Aku cuba memohon
simpati tetapi dibalas dengan herdikan sinisnya. Kemarahan
Ulya begitu memuncak. Dadanya berombak kasar menahan
api yang membakar di dada.
“Pergi mampus dengan penjelasan kau. Bukti dah
ada dekat tangan aku.” Dia membuka fail di tangan dan
melemparkan sekeping gambar ke mukaku. Perit terkena
pipi kanan. Dari ekor mata, aku memandang gambar yang
bergolek jatuh ke lantai. Berderau darahku melihat foto itu.
“Apa? Kau nak cakap apa lagi? Betul kan, selama ni
korang memang ada hubungan!” jerit Ulya sekali lagi melihat
aku yang kematian kata.
“Bertahun-tahun aku diperbodohkan. Oh, patutlah
Zainal suka benar nak balik sini. Masa kenduri hari tu, mata
dia tak lepas tengok kau. Sekarang ni, kau nak putar belitkan
apa lagi? Semuanya dah jelas. Hei, aku bukan bodoh, Izzah.
Aku tak akan sesekali lepaskan Zainal pada perempuan sundal
macam kau!”
Ambillah! Ambillah lelaki itu kerana aku tidak
pernah tergedik-gedik menginginkan dia kembali.
“Dalam mimpi pun, kau jangan berangan nak
dapatkan Zainal!”
Sudah lama aku kuburkan impian untuk bersama
Zainal. Bahkan, di alam mimpi juga aku tidak membenarkan
Zainal hadir mengganggu lenaku.
“Ulya, gambar ni tak ada makna apa-apa. You pun
boleh nampak, gambar ni dah terlalu lama,” ujarku masih
lembut dan perlahan. Jika Ulya masih mahu meledak bagaikan
api, biarlah aku menjadi air yang memadam hangat hatinya.
Galak Ulya mentertawakanku. Apakah aku kelihatan
dungu di matanya?
“Hei, berhenti berlakonlah Izzah. Mata aku ni tak
buta. Aku tak perlukan satu lagi pembohongan daripada kau.
Kau dah gatal sangat nak berlaki kan Izzah, sampai suami
kawan sendiri pun kau nak kebas!” hamunnya lagi.
Sesak nafasku mendengar caci maki Ulya. Benar,
aku tidak pernah ada lelaki lain selain Zainal, tetapi aku dan
Zainal tidak pernah berlebih-lebih. Ketika kami menjalinkan
hubungan dulu, pergaulan kami sangat terbatas. Aku begitu
takut terjebak ke lembah maksiat.
Fikiranku menjadi kusut dan berserabut.
“Oh... apa alasan Zainal, meeting di Kepong tu cancel
dan dia saja-saja nak datang lawat kau. Bullshit! Kau ingat
aku bodoh? Lakonan kau dengan Zainal hancur! Langsung
tak nampak real di mata aku. Sejak hari tu aku jadi curiga.
Aku kenal suami aku. Dia bukan jenis yang suka-suka singgah
rumah kawan lama ajak berbual. Kalau tak ada apa-apa antara
korang, Zainal tak akan buat perangai macam tu. Ini semua
salah kau!”
“Kau tahu kenapa aku ajak kau keluar dua tiga hari?
Sebab aku nak kumpul bukti, Izzah. Aku nak tahu sampai
bila kau nak pergunakan aku.” Ulya ketawa sinis. “Tapi kau
memang bodoh dan kejam. Setiap kali aku ajak, kau tak
pernah tolak. Aku tahu kau mesti nak korek rahsia tentang
suami aku. Kau tahu tak, betapa sakitnya hati aku ni melihat
Zainal terkinja-kinja nak ikut bila aku kata nak keluar dengan
kau.”
Kalau itu anggapannya, besar sekali salah faham Ulya
terhadapku. Aku juga selalu dalam persimpangan apabila dia
mengajak aku keluar. Dan puncanya adalah Zainal.
“You dah salah faham, Ulya. Antara I dan Zainal dah
tak ada apa-apa. I mengaku waktu sekolah dulu memang I ada
perasaan pada Zainal, tetapi selepas Zainal bernikah dengan
you, kami tak pernah berhubung. I berani bersumpah.”
“Aku tak hadaplah dengan sumpah perempuan
sundal macam kau.”
“Hoi perempuan! Hari-hari kau basuh mulut tu
dengan air longkang ya? Jangan nak main sedap hati aje hina
adik aku. Kalau tak nak tangan aku yang mulus ni naik pada
pipi kau, lebih baik kau berhambus dari sini.” Tempikan Sera
mengejutkan kami. Berubah wajah Ulya memandang Sera
yang bercekak pinggang dengan muka yang sudah merah
padam.
“Sera!” Aku juga terperanjat melihat kemunculan
Sera secara tiba-tiba. Ya Allah, aku terlupa yang Sera masih
ada di tingkat atas.
“Diam, Izzah. Kau dah berdiam terlalu lama. Biar
aku pulak yang bercakap. Kau dengar sini, perempuan. Izzah
yang kau hina ni adik aku. One more word to her, you are
dead. Mark my word! Kalau dia ada salah apa pun, kau tak
perlu herdik dia depan pintu rumah macam ni. Kalau kau
tak tahu nak jaga maruah diri kau, adik aku ni terhormat dan
tinggi maruah diri dia. So, please... have some respect for her
pride.”
Hilang rasa terkejutnya, Ulya mencebik cuma.
Gertakan Sera tidak masuk ke hatinya.
“I tak ada masalah dengan you.”
“I pun tak ingin nak ada masalah dengan perempuan
yang kurang bermaruah macam you ni. Tapi, bila you
sedap-sedap mulut aje mengata adik I, secara tak langsung
dah jadi masalah I.”
“Hei Izzah, kau cakap dengan kakak kau ni, tak
perlu nak cover line bagi pihak kau. Ini amaran aku pada kau,
Izzah. Jauhkan diri kau daripada Zainal. Kalau aku dapat tahu
kau ada hubungan dengan dia lagi, aku akan lakukan sesuatu
yang tak pernah kau jangka,” ugutnya marah sebelum berlalu
pergi.
“Oh my God, so bitchy. Your friend must be mentally
depressed. You can suggest her husband to take her for
treatment,” bebel Sera agak kuat.
Air mataku berderai tanpa dipinta. Aku terduduk
meladeni rasa sedih yang bukan kepalang. Terngiang-ngiang
herdikan Ulya. Hatiku hancur dengan hinaan dan fitnah Ulya
terhadapku.
“Izzah, hey wake-up. Bangun! Kau tak bersalah. Kau
tak boleh tunjuk kau lemah. Kau kena kuat lawan perempuan
gila tu.” Kakiku dikuis dengan kakinya. Hampir aku tergelak
dengan tindakan Sera. Teknik memujuknya menghiburkan
lara di hati.
“Sera, apa dah jadi ni?” Bunyi hon dan suara kuat
yang menjerit bertanya mengalihkan pandanganku.
Jeff memandang aku dan Sera silih berganti. Macam
mana pula Jeff boleh balik time-time getir begini?

“AKU BALIK sebab shooting cancel, tak sangka pulak ada
shooting syok sendiri depan rumah. Come on Izzah, kau biar
aje perempuan tu kutuk-kutuk kau?” Tinggi juga suara Jeff
menyindir dan menempelakku.
“Alah... kau macam tak kenal si Izzah ni. Rasa
nak tonyoh aje mulut tu biar melawan sikit. Aku tunggu
punya tunggu, dia senyap aje weh.” Meleret-leret suara Sera
menceceh bercerita tadi. Tinggi nada suaranya membebel
akan sikapku kepada Jeff. Jeff yang tidak tahu hujung pangkal
cerita mulalah panas punggung.
Aku membisu seribu bahasa. Fikiranku buntu dan
berserabut. Dunia terasa berputar.
“Nak tahu tak apa yang dia cakap, Jeff? Ulya, sabar
dulu, mari kita bincang elok-elok. Siap nak pegang tangan
perempuan tu lagi. Mesti kalau dia ikut tadi, kau nak layan
buat minuman dulu ek, Izzah? Belanja makan satu round.”
Aku memandang Sera dengan kerutan di dahi. Eh, ini
sudah lebih. Sudah ditokok tambah pula mahu menyedapkan
jalan cerita.
“Adoilah Izzah... sabar ajelah aku dengan kau ni
weh.”
“Mana ada sampai macam tu, Sera,” tukasku.
“Dia marah-marah aje, kan? Tak ada tampar-tampar
bagai?” asak Jeff dengan pertanyaan.
“Tak ada apanya, drama ni start dengan sebiji
penampar, okey. Note my sarcasm, please!” Sera bersuara
lagi.
“Dia ada ugut kau apa-apa lagi tak, Izzah? Nak bunuh
ke?”
“Allah, tak adalah sampai macam tu, Jeff.” Akalku
menerawang lagi pada peristiwa tidak sampai sejam tadi.
Memetir suara Ulya melemparkan amarah tanpa peduli kiri
kanan. Setiap bait-bait kata yang meluncur laju dari dua
ulas bibirnya ibarat bahan bakar yang menghanguskan hati.
Maluku tidak tertanggung. Aku bagaikan perempuan yang
tidak bermaruah di matanya. Sungguh hiba aku rasakan.
Tegarnya Ulya menuduhku tanpa usul periksa. Di mana nilai
persahabatan kami bertahun-tahun lamanya?
“Buat laporan polis ajelah!”
Cadangan Jeff membuatkan aku termangu. Aku
beristighfar melihat raut mukanya yang serius.
“Takkanlah sampai macam tu sekali, Jeff. Benda ni
boleh dibawa berbincang.”
Meledak ketawa Sera.
“Oh, tadi tu berbincanglah ya? Kepala otak kau,
Izzah!” tempelaknya tidak puas hati.
“Aku teman kau ke balai,” Jeff bersungguh.
Aku menggeleng.
“Janganlah Jeff, bukannya dia acu pistol dekat aku ke
apa. Biasalah... gamaknya emosi dia tak stabil. Manalah tahu
baru bergaduh dengan Zainal ke apa.”
“Eleh! Hari ni dia serang kau dengan mulut lancang
dia tu, esok-esok dia simbah asid kat muka kau, mahu?”
bentak Sera lagi. Terdiam aku mendengar kelancangan bicara
Sera.
“Insya-Allah, tak ada sampai macam tu. Janganlah
risau. Izzah okey.”
“Husnuzon sangatlah kau ni. Husnozon tu memang
baik, tapi otak kau tu kena fikir juga benda yang negatif. Aku
tengok gaya perempuan tu memang dah tak tahu erti malu
dah.”
“Kau dengan Zainal tu memang ada hubungan betul
ke tak?”
Soalan Jeff menyentakkanku. Aku tidak nampak
pilihan lain kecuali berterus terang bahawa sememangnya
aku dengan Zainal pernah menjalin kasih suatu ketika
dahulu. Namun, bersungguh aku mengakui bahawa sayang
itu sudah lebur sejak 7 tahun lepas. Aku rahsiakan sebabnya.
Bagiku, perihal itu biarlah menjadi rahsia antara aku dengan
Zainal.
“Jadi, si Ulya tu jumpa gambar ni dan syak yang
bukan-bukan,” rumus Sera pada akhirnya.
“Peliklah perempuan sorang ni. Dah dia jumpa
gambar ni daripada simpanan suami dia, pergilah serang
suami dia dulu. Nak serang kau kenapa? Adoilah, gila biar
bertempat cik adik.”
Aku terpegun. Bicara Sera menyedarkan aku
akan sesuatu. Mungkin? Mungkinkah Ulya terlebih dahulu
menyerang Zainal dan Zainal membongkar memori cinta
kami? Hatiku merusuh dengan kemungkinan itu.
“Kalau bab berebut lelaki ni, perempuan boleh
jadi gila,” gerutu Jeff membuatkan aku dan Sera saling
berpandangan. Spontan, Sera menjuihkan bibir.
“Ini bukan drama lakonan kau, okey. Face the real
world.”
Jeff ketawa rancak.
“Aku cakap secara umum. Buktinya dah ada.
Tanda-tanda orang gila adalah bercakap tak guna otak. Macam
kawan adik kau inilah.”
Sera tiba-tiba memetik jari di depan mukaku.
“Cara paling senang, kau kena kahwin, Izzah. Tak
ada siapa akan tuduh kau macam-macam. Aku rasa kahwin
tu boleh selesaikan masalah gila macam ni. Patutlah Tuhan
kata, kahwin tu banyak manfaat. Eh, jom kahwin Jeff!”
“Hoi... sumbang mahram betul minah ni. Kalau
nak kahwin pun, carilah yang halal...” tempelak Jeff dalam
gurauan membuatkan aku melarik senyum kecil.
Masih ada galau dan hiba yang belum berlalu pergi.
Jiwa dan ragaku masih sakit mengenangkan tindak-tanduk
Ulya. Sesungguhnya aku berada dalam persimpangan. Aku
tidak bersalah. Namun, jalan untuk menegakkan kebenaran
bagaikan tiada lagi untukku.



***AKAN BERADA DIPASARAN, KELUARAN MAC 2019***  

No comments:

Post a Comment