DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 March 2019

Pabila Kau Hadir - Bab 9

LANGKAHKU mati sebaik sahaja terpandangkan
figura seseorang di balik pintu Dobi Mama. Kami bertatapan
agak lama. Dan aku terkelu apabila lelaki itu menarik lembut
pintu yang tertera tanda “OPEN” dan melangkah tenang ke
arahku.
“Hai.” Sapaannya terdengar janggal sekali di
gegendang telingaku. Bibir terasa kaku untuk membalas
sepatah sapaan itu meskipun hanya dengan sekilas senyuman.
“You apa khabar, Izzah?” Aku tersedar, ah... mengapa
soalan itu yang engkau lontarkan? Seperti sukar benar untuk
aku cernakan.
Lama aku bungkam. Kata ‘saya-awak’ sudah
bertukar menjadi “I-you’. Tapi, apalah yang nak dihairankan,
musim berlalu, manusia juga berubah. Agaknya Zainal sudah
terbiasa begitu dengan Ulya.
“Izzah.”
“I was not expecting to see you here, Nal.”
Kelat senyuman Zainal, terpaku dengan kata-kataku.
“Itu bukan caranya menyapa teman lama, Izzah.”
“Betul apa yang I cakap. I tak sangka akan jumpa you
di sini. Mana you tahu I kerja di sini?”
“Tak susah nak cari keberadaan you, Izzah. I tak
pernah lupa impian dan angan-angan you.”
Aku lantas terdiam. Tidak sedikit pun terasa mahu
bertanya lebih lanjut kerana aku sudah tahu, Zainal tentu
sekali mahu aku mengimbas kembali episod cinta semalam.
Cinta berputik, segala-galanya terukir indah. Telah aku
ceritakan segala impian dan keinginanku kepada lelaki
seorang ini. Dahulu, aku terlalu yakin, bersamanya akan aku
habiskan sisa hidup ini. Namun, Allah SWT punya rencana
tersendiri buat kami berdua.
“Benci sangat ke you pada I, sampai tak sudi pun nak
jemput I duduk, Izzah?”
Dalam tergamam fikiran, baru aku sedar dari tadi
lagi Zainal kubiarkan terpacak di muka pintu. Lantas, aku
mempelawanya duduk biarpun separuh hatiku terasa berat
sekali. Aku ingatkan diri sendiri, layananku terhadap Zainal
hari ini hanya sebagai seorang kawan lama. Tidak lebih
daripada itu. Aku mahu menganggap pertemuan kami hari
ini sebagai satu kunjungan kepada sahabat lama.
“You datang sini, tak ada apa yang dapat I sediakan.
Di sebalik pintu ni, ada baju-baju kotor aje.” Aku memulakan
kata dengan ketawa kecil.
Zainal ketawa.
“Eh, tak apalah. I datang sini nak jumpa you. Bukan
nak minta you hidangkan apa-apa pun. Nanti kalau I insist
juga, takut pula you hidangkan I air sabun,” balas Zainal
mengenakanku.
Tidak semena-mena, perkataan ‘air sabun’ itu
mengingatkan aku pada gurauan Iskandar malam tadi. Rindu
kepada lelaki itu berdesir di hati.
“Tak sangka dah 7 tahun berlalu. Lama rupanya kita
terpisah, kan Izzah?”
“Ermm... cepat masa berlalu, Nal. Alhamdulillah,
Allah masih berikan kasih sayang pada kita semua untuk
menghirup udara milik-Nya. I ingat you dengan Ulya tak nak
balik sini lagi dah. Bertahun-tahun dekat sana, manalah tahu
dah dapat PR jadi orang sana.”
Zainal tersenyum.
“Hidup I di sinilah, Izzah. Sejauh mana I merantau,
keluarga I masih ada di sini. Bertahun kat sana pun, jiwa dan
raga I masih tertinggal di Malaysia.”
Semangat patriotik Zainal membuahkan
senyumanku.
“Like old days, you memang berjiwa patriotik.
Subjek Sejarah jadi makanan you,” usikku selamba.
Zainal memusatkan pandangannya ke segenap
wajahku membuatkan aku terdiam tanpa kata.
“Yes, our old days. I betul-betul rindukan
kebahagiaan kita dulu, Izzah. I teringat. I rasa...”
Aku berdehem perlahan, sengaja mahu menghentikan
kata-kata Zainal. Aku tidak mahu dia larut dalam rasa yang
sudah lama ditinggal pergi. Mengenang kisah lalu memang
indah, namun adakalanya bertukar menjadi pahit kerana ia
tidak seindah yang diangankan.
“You datang sini, Ulya tahu tak?”
“Tak.”
“Kenapa tak beritahu dia dulu? I tak nak dia salah
sangka.”
“Seorang suami tak perlu minta izin untuk keluar ke
mana-mana. Hak keizinan bukan pada isteri,” pintas Zainal.
Berkerut dahiku mendengar jawapan balas daripada
Zainal. Naik sebal aku mendengarnya yang seperti megah
sahaja dengan kuasa veto seorang lelaki bergelar suami.
“Memanglah tak. Tapi, you dah berkongsi hidup
dengan Ulya. Ulya berhak tahu ke mana you menghilang.
Taklah nanti dia tercari-cari.”
“Ulya percayakan I. Tak ada apa-apa nak dirisaukan.”
“Baguslah kalau macam tu. Janganlah pula you
senang-senang nak runtuhkan kepercayaan dia selama ini.
Bukan apa Nal, you should know, perempuan ni kalau sekali
dia percaya, Insya-Allah, dia akan betul-betul percayakan you,
tapi kalau you tiba-tiba buat benda tak elok belakang dia, rasa
percaya tu boleh hilang dalam sekelip mata, Nal.”
“I jumpa youlah, Izzah. Itu pun dikira tak elok jugak
ke?”
“Maybe. Sebab kita tak ada apa-apa hubungan.
Walaupun boleh dikira sebagai kawan, tapi tetap ada hadnya,
Nal. Actually, I wouldn't mind meeting you if Ulya was also
here,” dalam diam aku berkias. Jika tanpa Ulya, aku tidak
mengharapkan sebarang pertemuan, baik secara sengaja
ataupun tidak dengannya.
Zainal mengeluh keras.
“Listen here! I don’t mind talking about your
boyfriend, your business, your family or anything but not
Ulya.” Tinggi nada Zainal.
Aku tersentak.
“Apa kena dengan you ni, Nal? Ulya is your wife.”
“Sebab Ulya, you tinggalkan I. Sebab Ulya, you
putuskan hubungan kita.”
“Kita sama-sama setuju. Kenapa you nak ungkit
kisah lalu? Dah 7 tahun, Nal. Dah tak ada apa-apa yang tinggal
antara kita. Move on!!!”
“Setuju? Siapa yang setuju? I never said I agreed.
You yang buat keputusan sendiri.”
“You penuhi permintaan I dan kahwini Ulya. I guess
that was the way you agreed to that. Sekali lagi I nak ingatkan
you, Nal... kisah kita adalah kisah lama yang sudah bertukar
menjadi sejarah.”
“Kisah lama yang masih I ingat. Yang mengubah
arah hidup I dan you. I tak boleh, Izzah. I tak dapat nak move
on. I masih sayang. Dari dulu dalam hati I cuma ada you.”
Aku mengeluh kuat. Kegilaan apa yang sedang
berlaku hari ini? Malapetaka apakah ini? Virus apa yang sudah
menjangkiti Zainal sehingga dia terfikir untuk melawatiku
semata-mata mahu menyelongkar cinta yang telah terkambus
mati? Kalau ikutkan hati yang mula membara, ingin sekali
aku menghalau. Namun kerana dari awal aku menganggap
kedatangan Zainal atas tiket kawan lama, aku tidak sampai
hati pula.
“Nal, kalau you datang sini sekadar nak kenangkan
kembali kisah kita dulu, I minta maaf banyak-banyak sebab I
tak mahu lagi buka apa yang I dah tutup. Mungkin benar apa
yang you kata, I ada silap I sendiri. Tapi I percaya you bahagia
dengan Ulya. I tahu I tak salah pilih you untuk menemani
Ulya. You lelaki yang baik dan boleh bahagiakan Ulya.” Aku
berkata perlahan.
Riak Zainal berubah. Dia merenungku dengan
sepasang mata yang penuh kelabu.
Aku tahu dia sedang mencerna setiap patah
kata-kataku.
“I faham kalau you nak tuding jari pada I. Tapi hari
ni I mohon pengertian you. I buat semua ni bersebab.”
“Bersebab?” soalnya penuh sindiran. “Bahagiakan
Ulya dan lukakan hati sendiri? Hati I? Itulah sebab you, kan?
You nak tahu, Izzah. Kadang-kadang I rasa kagum dengan
pengorbanan ni. Tapi, kadang-kadang I juga rasa betapa
bodohnya you dan I sebab sama-sama berkorban begini. Di
mana keadilan untuk diri I? Sampai satu tahap, I dah tak tahu
sama ada I ikhlas ataupun tidak,” luah Zainal padu.
“Cubalah ikhlaskan hati, Nal.”
“Baik. Kalau you ikhlas, tell me, kenapa sampai
sekarang you masih sendiri? You masih cintakan I, Izzah.
Admit it,” selar Zainal.
Aku tercengang dengan terjahan Zainal. Adakah
kerana aku masih sendiri, mudah benar dia merangka
kesimpulan?
“Terpulanglah apa you nak fikir. I tengah banyak
kerja ni. I tak ada masa nak jawab soalan-soalan you. I minta
maaf,” tegasku dalam diam mengharapkan pengertian bahawa
aku sebenarnya tidak mahu lagi membicarakan hal itu.
“Yeahh... again! As usual, you memang akan jadi
macam ni. Keras kepala. You cuma nak menang, Izzah. You
tak sedar betapa lama you kecewakan hati I dengan perangai
you ni.”
“Kenapa you datang sini, Nal? Apa tujuan you
sebenarnya ni? I mati-mati ingat you datang untuk melawat
I di sini sebagai kawan lama, tapi sebenarnya you nak ungkit
cerita-cerita dulu, ya?”
“Cerita dulu itulah cerminan hari ini, Izzah. Cerita
dulu tentang kita dan untuk pengetahuan you, kisah kita
belum tamat lagi.”
“Nonsense! Dah tak ada ‘kita’ lagi dalam diari hidup
I.”
“I masih cintakan you. Sejak kita jumpa balik hari
tu, fikiran I tak mampu berhenti ingatkan you, ingatkan
balik kenangan kita. Dan I terpaksa sedar pada satu hakikat,
you masih ada dalam hati I, Izzah. I tak boleh buang you. I
tak pernah buang you dalam jiwa raga I. Sayang I pada you
semakin menggebu sejak kita bertemu semula. I love you
even more. I nak kahwin dengan you.”
Aku tersentak, lantas mengundur ke belakang dua
tiga tapak. Cukuplah pertemuan hari ini. Semakin lama aku
membiarkan lelaki ini berbicara, semakin lebar olahnya.
Pergelangan tanganku ditarik Zainal. Aku pantas
merentap.
“Jaga tangan you, Nal. Hormati I sebagai seorang
perempuan yang tak suka disentuh sewenang-wenangnya,”
tegang suaraku menahan perasaan.
“I belum habis cakap lagi dengan you.”
“Bukan urusan I! Yang I tahu, I tak nak dengar
apa-apa daripada you lagi. Mulai hari ni, jangan you berani
jejakkan kaki you ke sini lagi!” marahku dengan nada yang
cukup tinggi. Jika begini tingkah Zainal, aku benar-benar
tidak ingin bersua muka dengannya lagi. Takut menjadi
fitnah yang boleh merosakkan kerukunan rumah tangganya
bersama Ulya.
“Izzah!”
“You are going crazy. Keluar daripada kedai I, Nal!”
“Izzah!”
“Now!!!”

SEMINGGU BERLALU pergi. Sukarnya menggambarkan
perasaanku. Namun, aku tahu ia bukan satu perasaan yang
baik. Zainal... Sepotong nama itu membuatkan tidurku tidak
lena. Sejak akhir-akhir ini atau lebih tepat lagi sejak lelaki itu
menjejakkan kaki ke Dobi Mama, perasaanku tidak tenteram
angkara Zainal.
Jauh di sudut hati, aku khuatir andai kegilaan Zainal
berjaya dihidu oleh Ulya. Di mana hendak aku sorokkan
wajah jika dikaitkan dengan suaminya? Aku terperangkap
dengan gelagat Zainal yang aku rasakan sudah bertukar
perwatakan. Suka mendesak. Tiada lagi tolak ansur. Berbalas
kata dengannya, dia selalu mahu menang.
“Sudahlah, Nal. You nak apa call I lagi? Go back
to your wife. Forget me and our so called stupid memory,”
hamburku kuat. Dadaku berombak-ombak menahan
kemarahan.
“Izzah...”
Hening. Sepi. Aku terpegun di talian. Iskandar!
“Awak marah siapa?” Nada itu bertanya lembut
namun berbaur musykil.
“Maaf jika saya mengganggu awak malam-malam
begini.”
‘Taklah. Saya tak marah awak pun. Saya tersilap
orang tadi. Maafkan saya.”
“Awak kena ganggu ke? Ada yang kacau awak?” Tidak
bertangguh, laju sahaja Iskandar menuturkan persoalan.
Aku membisu. Hendak mengiakan, aku takut juga
Iskandar memandang serong kepadaku. Berkata tidak, aku
merasakan aku perlu meluahkan semua beban ini kepada
seseorang. Tapi... ahh! Iskandar tak perlu tahu. Aku tidak
mahu menambah bebannya.
“Tak ada apa-apalah awak. Ada manusia salah telefon
tadi, lepas tu telefon balik banyak-banyak kali padahal dia
dah tahu dia salah orang,” dalihku biarpun aku rasakan
maklumat itu langsung tidak tepat dengan apa yang aku
jeritkan di corong telefon tadi. Ah, biarlah Iskandar dengan
kesimpulannya.
“You jerit ‘go back to your wife. Forget me and our
so called stupid memory’, pelik juga ya cara you balas pada
orang yang tersilap call tu.”
Sudah aku agak, masakan Iskandar mahu
mempercayai kata-kataku bulat-bulat sahaja. Keraguannya
memang berasas tetapi aku malas hendak memanjangkan
cerita.
“Saya tersilap cakap,” balasku selamba.
“Are you sure?”
“Hmm...”
“Senang cerita, awak blok ajelah nombor tu.”
Kalaulah sesenang itu...
“Sekarang ni banyak scammer. Be careful. Ada
kawan saya terkena scammer menyamar kononnya daripada
CIMB. Pusing punya pusing, akhir sekali kawan saya letak
phone. Pelik semacam katanya.”
“Minta jauhlah benda-benda macam tu, awak. Awak
telefon saya ni ada apa-apa ke?” soalku lembut. Keluh-kesah
angkara Zainal serba sedikit terbang melayang apabila
terdengar ucapan lembut Iskandar.
Aku tidak dapat menyembunyikan rasa. Aku sukakan
karakter Iskandar yang penuh kesopanan dan kelembutan
dalam berbicara. Teringat pula kata Sera, kalau sudah suka,
semua menjadi indah. Elok sahaja di mata kita. Cuba kalau
benci, dengar nama sahaja terasa mahu termuntah.
“Saja... nak dengar suara merdu awak tu.”
Opsss... aduhai... mulalah hatiku berbunga-bunga.
Ada senyuman bergayut di bibirku. Pandai sahaja dia
mengambil hati. Entah betul entahkan tidak.
“Rindu sangat, tapi letak aje phone kat telinga,
macam suara puntianak pula keluar,” usiknya dalam ketawa.
Aku tergelak.
“Padan muka! Tu namanya wrong timing. Lain kali
nak call kena baca bismillah dulu.”
“Next time I'll do that. Puntianak mesti lari kalau
saya baca bismillah.”
“Eh, kita ni cakap fasal puntianak pula malam ni
ya. Puntianak tu lebih famous rupanya. Awak hari ni, apa
khabar?”
“So far so good. Everything went smooth. Kalau
busy pun, busy dengan pelajar-pelajar saya sajalah.”
“Alhamdulillah.”
“Setiap hari cabarannya mesti berbeza Izzah, sebab
hidup memang akan selalu ada ujian.”
Aku berdiam diri, mengiakan kata-kata Iskandar.
Tiadalah manis kehidupan kalau tak merasai pahitnya sakit.
Stres itu perkara biasa. Yang berbeza, bagaimana setiap orang
menanganinya.
Aku tersenyum. Iskandar, pertama kali bersua
dengannya, aku tahu, lelaki itu telah mendapat tempat di hati
kecilku.
Menjelang jam 11.30 malam, kami akhiri perbualan
dengan ucapan salam. Bibirku tak lekang dengan senyuman.
Ah, rasa macam nak telefon lagi aje. Hesy, gatalnya aku!
Beep! Tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi
WhatsApp masuk. Lekas-lekas aku mencapai telefon pintarku.
Terima kasih layan saya berbual. Malam
esok kita chit chat lagi ya.
Aku ketawa.
‘Nak chit chat sekarang pun boleh, awak.’ Hatiku
nakal menjawab. Aku ketawa lagi. Apa sudah jadi dengan aku
agaknya? Laju aku membalas.
Sama-sama. Terima kasih juga. Eh,
awak... lupa nak tanya, awak tak ada
adik-beradik lain ya?
Hah, ni namanya balasan yang hendak
memanjangkan perbualan sebabnya aku sudah tahu. Dulu
kan aku pernah mengorek cerita Iskandar daripada Syaza.
Hmm... sebenarnya, aku cuma bertanya beberapa patah
sahaja, Syaza yang rela membuka mulut.
Tak ada.
Aku mencebik. Apa class jawab sepatah aje?
Ooo... it’s okay awak. Mesti awak
jadi kesayangan ibu dan ayah awak
kan, since awaklah satu-satunya anak
mereka.
Aku membalas berserta emoji senyum. Harap-harap
kali ini Iskandar tidak membalas pendek.
Seminit... 2 minit... 3 minit... Masuk minit yang ke-5
barulah ada balasan daripadanya.
Ibu dan ayah saya pergi ketika saya
masih kecil. Setelah itu, hidup tak
semudah yang saya impikan. Tetapi,
saya tetap bersyukur.
Terpaku aku menatap balasan mesejnya. Rasa
bersalah menyelit ke lubuk hati. Seperti sedih sahaja balasan
Iskandar. Segera aku teringatkan perlakuannya di kubur
ketika hari raya dulu. Agaknya, aku telah mengembalikan
memori sayu ketika dia kehilangan ayah dan ibunya. Oh,
alangkah kasihannya dia!
Maafkan saya jika soalan tu
mengingatkan awak pada arwah.
Kali ini, aku cukup berhati-hati menaip.
Izzah...
Aku mengangkat kening. Apa pula main
panggil-panggil ni? Leka aku memandang skrin telefon.
Lama juga si Iskandar ini typing. Sungguh, hati aku tidak
sabar hendak tahu apa yang ingin dia luahkan.
Ramai orang kata, tak perlu menjadi
sempurna untuk hidup bahagia.
Aku mengerutkan kening. Apa ni? Sungguh aku tak
faham. Orang kata? Siapa yang kata begitu? Aku mula mahu
menekan keyboard tetapi melihat ada lagi tanda typing di
atas, aku mematikan niatku.
Tetapi saya memang tak sempurna.
Segera aku sedar akan sesuatu. Aku suka lelaki ini.
Aku gemar tutur bahasanya yang penuh makna. Biarpun
terkadang aku tidak mengerti ungkapannya yang selalu
penuh rahsia dan terselit seribu makna, aku tetap suka. Aku
merenung skrin telefon, agaknya kalau mata aku ini berapi,
sudah hancur Vivoku disambar api. Aku menatap tanpa jemu.
Hilang sudah tanda typing mahupun online.
‘Ramai orang kata, tak perlu menjadi sempurna
untuk hidup bahagia, tetapi saya memang tak sempurna.’
Apakah makna kata-katanya? Dia tidak sempurna, jadi dia
tidak bahagia. Jadi apa??? Apa? Terasa sakit pula kepala
aku memikirkan makna di sebalik ungkapan Iskandar itu.
Sungguh, lelaki itu menyimpan seribu rahsia.
Lama merenung, barulah aku terfikir hendak
membalas.
Maksud awak?
Tetapi hanya ada satu tanda tick sahaja di situ.
Iskandar sudah tidak online. Agaknya dia sudah tidur. Kenapa
dia meninggalkan aku dalam tanda tanya seperti ini?
10 minit berlalu, aku menanti dalam panasaran.
Tiada tanda-tanda ada tindak balas daripada Iskandar.
Marahkan dia?
Aku menunggu, menunggu dan terus menunggu.
Namun aku mengeluh dalam kehampaan. Kali terakhir aku
memandang jam di dinding, jarum panjang menuju ke angka
12, jarum pendek pula bergerak ke angka 2.

AKU MENGUCAP panjang apabila terpandangkan batang
tubuh Zainal yang terpacak di hadapan Dobi Mama. Bibir
kuketap kejap. Tidak faham bahasa agaknya lelaki seorang
ini. Berkali-kali aku katakan aku tidak ingin lagi bersua
dengannya, dia masih juga dengan sikapnya yang tidak mahu
berkompromi.
Tanpa berfikir panjang, laju sahaja aku memusingkan
badanku. Namun, ternyata aku tewas kerana sorotan mata
Zainal terlebih dahulu beralih kepadaku.
“Boleh tak you jangan berlagak seperti tak kenal I,
Izzah?” ujar Zainal apabila dia berjaya menyaingiku.
“You nak apa lagi, Nal?” Ya Allah, hampir-hampir tak
terkeluar suaraku dek menahan berang. Besar kecil sahaja
aku nampak Zainal ini. Sudah tiada kerja agaknya lelaki ini
asyik mengekor aku sahaja.
“Izzah, we need to talk.” Nada suaranya bertukar
lembut.
Aku menarik nafas perlahan, membiarkan
paru-paruku dipenuhi dengan udara segar pagi ini.
“Zainal, kenapa dengan you ni? You nak cakap apa
lagi dengan I? Tak ada apa yang perlu diperkatakan lagi. Kalau
you bertemu dengan I dan tak nak anggap I ni hanya sekadar
teman lama, sekali lagi I tekankan pada you, I tak nak jumpa
you. Come on, Nal! Make some sense in your head. Cuba you
bayangkan, kalaulah Ulya nampak you datang sini awal-awal
pagi, apa tanggapan dia pada you dan I? Dia isteri you, Nal.
Dan dia kawan I. I tak nak sakitkan kawan I sendiri. You kenal
I, kan?”
“Ya. I terlebih kenal you, Izzah. Sanggup lukakan
hati sendiri demi kebahagiaan kawan baik you. Oh, tak...
bukan hanya lukakan hati sendiri, tapi juga lukakan hati I.”
“Itu sajalah modal you, Nal. Dari hari tu sampai
sekarang, tak habis-habis you nak kenangkan kisah tu. 7
tahun, I percaya tempoh tu cukup panjang untuk buat you
lupa tentang hubungan kita. Ulya jadi isteri you lebih lama
daripada I jadi girlfriend you. Kenangan manis dia dengan
you pun lebih banyak berbanding I. Zaman kita dulu hanyalah
zaman cinta anak-anak sekolah. Realitinya sekarang, semua
dah berubah. Jadi, lebih baik you balik dan belajar cara-cara
untuk menghargai Ulya daripada terhegeh-hegeh kat kedai I,”
balasku cukup lantang.
Aku sudah malas mahu bercakap perlahan-lahan
dengan gaya memberi nasihat kerana sebelum ini, aku
bertindak sebegitu. Langsung tidak aku nampak hasilnya.
Zainal merenungku tajam.
“Jujurlah dengan diri you, Nal. Jangan terlalu
dibayangi kenangan silam. Tanpa kejujuran, hati dan perasaan
you akan terluka sendiri. I tak nak apabila you dah sedar
semua ni salah, you akan mengemis cinta isteri you sendiri.”
“Izzah...”
Aku mengangkat tangan kananku, tanda tidak
mengizinkan sebutir bicara daripada bibirnya.
“Buat sekian kalinya Nal, I rayu pada you. Jangan
datang sini lagi dan mengenang kisah-kisah yang dah lama
mati dalam hati I. I tak nak kita bertegang urat di tempat
I mencari rezeki. Tolong hormat keputusan I,” balasku lagi,
segera mengangkat kaki meninggalkan Zainal terkulat-kulat
di situ.

No comments:

Post a Comment