DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 March 2019

Lelaki Terakhir Untukku - Bab 9

APABILA kereta Erfan berhenti di sebuah
rumah yang nampak mewah dan gah itu, hampir saja
bibir aku melorot jatuh ke bawah. Bertambah terkejut
apabila Erfan mengarahkan aku keluar. Fikiran aku mula
diracuni anasir-anasir jahat. Apa motif dia bawa aku ke sini?
Jangan-jangan...
“Jangan nak fikir buruk sangat. I tak ada niat pun
nak buat apa yang ada dalam otak you tu. Banyak sangat
tengok drama sampai otak pun ikut tak betul!” Nampaknya
dia sudah menangkap anggapan buruk yang ada dalam otak
aku ni.
Entah kenapa, aku boleh ikut dia sampai ke sini
tanpa bantahan. Mungkin juga sebab aku percaya yang dia
takkan buat jahat dekat aku. Perasaan aku kuat mengatakan
Erfan bukan lelaki yang jenis begitu.
“Kita datang sini untuk apa?” Kepala aku bergerak
kiri dan kanan, memandang rumah yang terletak gah di
kawasan yang agak lapang dan dikelilingi pokok Ru. Di
belakang rumah banglo 3 tingkat itu terdampar laut yang
begitu luas untuk tatapan.
“Jom.” Dia keluar dari kereta sebelum aku turut
melakukan hal yang sama.
Bagaikan dipukau, anak mata aku bergerak di
segenap sudut rumah. Cantik dan pemandangannya pun
damai. Tempat begini sangat sesuai untuk melepaskan
tekanan.
Apabila dia buka langkah, aku mengekori di
belakangnya. Tak jauh dan tak juga dekat. Sambil berjalan
aku perhatikan setiap sudut rumah. Di halaman rumah, ada
gazebo kecil berhampiran kolam renang. Di sebelah kanan
pula, ada tempat beristirahat. Kiri, ada taman mini yang
nampak cantik dan rekaan taman itu juga sangat kreatif.
“Ini rumah siapa, Encik Erfan?” Dalam sibuk
memerhati, aku menyoal. Hairan kerana tidak kelihatan
seorang pun penghuni di rumah ini.
Erfan lebih suka diam daripada menjawab. Sampai di
pintu utama, kami berhenti seketika. Tapi tak sempat Erfan
buka, daun pintu sudah ditarik dari dalam. Fateh muncul di
sebalik pintu dan matanya terus melekat ke arahku.
“Mama?” Bersinar anak mata Fateh saat nampak aku.
Serta-merta tubuh aku dirangkul dan wajahnya disembamkan
pada perutku.
Aku yang tergamam tak berupaya bereaksi.
Terkebil-kebil pandang Erfan yang berdiri dengan tangan
menyeluk poket seluarnya.
“Ini rumah I.” Dia menjawab dan matanya berlabuh
ke arah Fateh yang masih kemas memeluk tubuhku.
Bagaimana seorang pekerja yang berpangkat biasa
boleh beli rumah sebesar ini? Tak logik, tapi inilah yang
dihidangkan di depan aku. Maklumat yang Erfan beri buat
otak aku tak boleh berfikir dengan lancar. Kalau nak ikutkan
penampilan, Erfan itu nampak biasa-biasa saja. Tak ada gaya
orang kaya pun.
“I bawa you ke sini sebab Fateh nak jumpa. Seminggu
ini dia asyik tanya you aje.” Erfan memusing tubuh sebelum
buka langkah masuk ke dalam rumah, menjelaskan sebab dia
mengheret aku ke mari.
“Masuklah.” Dia mempelawa apabila menyedari aku
hanya kaku tak bergerak.
Aku salah dengar ke? Dia suruh aku masuk dalam
rumah yang ada dia dengan aku saja? Gila ke apa? Aku tak
sebodoh itu membiarkan diri terjerat.
“Jangan risau. Bukan I sorang saja duduk dekat sini.”
Dia meyakinkan aku apabila perasan aku seperti teragak-agak
mahu menerima pelawaannya.
Lambat-lambat aku angguk kepala. Saat aku
memandang Fateh, ada senyuman yang melatari bibirku.
Senang hati aku melihat wajah Fateh. Entah kenapa, aku
boleh ada rasa begini. Mungkin sebab aku tak mampu
melahirkan zuriat sendiri.
“Jom masuk, mama?” Fateh dah tarik-tarik tangan
aku mengikuti langkahnya. Nak tak nak aku paksa kaki
melangkah.
Masuk saja, aku terpegun sejenak. Dekorasi rumah
Erfan sangat memukau. Latar warna merah putih menjadi
warna utama rumah ini. Tak tergambar rasa kagum apabila
dapat tengok dengan mata sendiri kecantikan dan keunikan
rumahnya.
“Besar juga rumah Encik Erfan ya?” Dalam
menganalisis, aku turut mengomen. Tak dapat aku alihkan
mata apabila seluruh tumpuan aku dicuri dengan dekorasi
dan susun atur rumahnya yang nampak sangat elegan.
“Suka?” Dia menyoal dan tanpa sedar aku
mengangguk teruja.
Gila tak suka kalau dapat rumah macam ni. Orang
gila saja menolak. Dengan rekaan yang terasa auranya,
memang taklah nak lepaskan peluang. Lagi untung kalau
orang bagi percuma saja! Untunglah badan...
“Kalau macam tu, be my wife?”
Spontan aku heret pandangan ke arahnya yang
santai menyandar tubuh di pintu gelangsar. Fateh pula sudah
hilang entah ke mana. Yang tinggal hanya aku dan Erfan.
“Pandai juga Encik Erfan buat lawak.” Aku ketawa
penuh palsu. Terkejut kut bila dengar permintaan dia.
Tapi apabila nampak wajah serius dia, aku tak
rasa yang dia sedang buat lawak. Letak duduk aku mulalah
tak menentu. Menggariskan senyuman, aku melilaukan
pandangan ke serata tempat. Cuba mengabaikan apa yang
didengari tadi.
“Cantik rumah Encik Erfan. Berapa harga rumah
Encik Erfan ni?” Sengaja aku lencongkan topik, mengabusi
suasana janggal antara kami.
Tapi Erfan diam tak menjawab soalan dan apabila
menyedari dia menghampiri, anak mata aku automatik
membesar. Dia sedang mendekati dengan langkah yang
sangat perlahan. Kedua-dua tangannya elok terbenam dalam
poket seluarnya. Auranya terserlah.
Dan saat jarak semakin rapat, dada aku tiba-tiba
berdebar. Merapatkan jarak muka kami, dia merenung aku
dengan pandangan yang tak mampu aku tafsir.
“I tak buat lawak, Tia. Right now, I'm proposing to
you. I want you to be my wife.” Nada dan pandangan mata
yang nampak menggoda itu berjaya buat aku terkulat-kulat.
Menjarakkan kedudukan, aku membuka ruang
udara untuk mencelah. Sekali gus memberi peluang dada
aku bertenang. Dari tadi, dia bijak membuat jantung aku
berdegup tidak sekata.
“Siapa lagi tinggal dalam rumah Encik Erfan?” Bibir
bawah aku gigit. Cuba menimbus perbualan yang sudah jauh
menyimpang ini.
“Tia...”
Nada suara yang kedengaran perlahan dan penuh
emosi menarik tumpuan aku yang baru saja beralih.
Terkelip-kelip aku melawan pandangan matanya yang sarat
dengan emosi.
“I perlukan seorang isteri.”
Membahang kedua-dua pipi aku. Terpempan. Sesak
dada aku hendak mengatur nafas. Riak tenang cuba kutayang
biarpun sudah kelihatan jelas yang aku sedang berada dalam
mood terkejut.
Erfan mula mendekat sekali lagi. Tingkah lakunya
menyesakkan kerongkong aku. Tubuhnya sedikit condong
ke arah aku yang menjarakkan wajah daripadanya. Hangat
nafasnya menampar kulit wajahku.
“Dan anak I perlukan seorang ibu yang boleh
berikan kasih sayang dan perhatian.” Dengan bersahaja
dia menegakkan tubuhnya dengan mata masih mengawasi
gerak-geriku. Selamba dia bercakap seolah-olah apa yang
diluahkan itu terlalu mudah.
Bibir aku paksa senyum pendek. Peluh yang mula
merecik aku biarkan mengalir lesu. Dia berjaya menyulitkan
aku untuk berfikir dengan akal waras.
“Apa yang Encik Erfan tengah cakapkan ni? Anak?
Kahwin? Apa yang sebenarnya Encik Erfan maksudkan?”
Terasa sukar, tapi aku memaksa kerongkong melontarkan
soalan. Aku perlu bijak mengawal emosi. Tidak mahu jika dia
mengesan kekalutan dan kegelisahan di laman wajah aku.
Walau hakikatnya, aku mahu angkat kaki lari dari rumah ini.
Belum jauh perbualan kami, Fateh muncul bersama
sehelai kertas. Menghampiri aku, kertas yang dibawa
ditunjukkan kepadaku. Serta-merta tumpuan aku beralih.
Memandang penuh teliti atas kertas yang dilukis Fateh. Di
atas kertas tersebut, ada gambar orang lidi. Tiga orang dan di
atas lakaran itu sudah dinamakan.
Nama Erfan, Fateh dan siapa lagi seorang?
“Cantiknya. Siapa lukis?” Menjatuhkan kedua-dua
lutut ke bumi, bahu anak kecil itu kutekan lembut. Manakala
mata berpusat pada kertas lukisan tersebut.
“Gambar kita.”
Terperanjat. Serta-merta pandangan aku beralih
ke wajah Fateh. Simpati menjalar ke hati dek kesungguhan
Fateh melakarkan gambar sebuah keluarga bahagia.
“Ni, papa.” Telunjuk jari Fateh menekan orang lidi
di bahagian kanan.
“Ni, Fateh.” Ditunjuk pula orang lidi di tengah.
“Dan ini mama.” Seiring tangan menunjuk,
pandangan manis Fateh turut menyapa wajah aku. Bibir anak
kecil itu bukan main lagi tersenyum lebar.
Melihat Fateh, aku dapat rasai kerinduan dia
terhadap ibunya yang tekah dijemput Ilahi. Tanpa sedar, aku
menarik senyum, dan ubun-ubun kepala itu aku usap penuh
kasih. Hatiku sudah terjatuh sayang pada anak kecil ini.
“Kawan-kawan Fateh cakap, Fateh tak ada mak.
Kalau tak ada mak, diaorang tak nak kawan dengan Fateh.
Tapi hari itu, Fateh beritahu yang mama dah balik dan Fateh
dah ada mak. Mama takkan tinggalkan Fateh, kan?”
Lebur hati aku mendengar cerita Fateh. Ada juga
kanak-kanak yang mendera mental dengan cara begitu.
Adakah salah kerana tak punya seorang mak? Adakah tak
layak berkawan kerana tak punya seorang mak? Beginilah
yang berlaku dalam masyarakat sekarang. Yang lebih
berumur menunjuk sikap yang tak sopan hingga kanak-kanak
seawal ini sudah pandai membanding-bandingkan kelayakan
seseorang.
“Aunty Tia bukan...”
“Mama takkan tinggalkan Fateh, kan?” Fateh
menagih jawapan hingga membantutkan ayatku.
Aku melemparkan pandangan sayu. Bibir mahu
berterus terang tapi hati melarang keras. Aku tak sanggup
melukakan hati seorang anak yang merindukan belaian ibu.
“Fateh bagi mama lukisan ni dan mama kena janji,
mama tak boleh tinggal Fateh lagi?” Kertas lukisan dihulur
pada aku. Makin buat aku dihimpit rasa bersalah.
Mendongak pandang Erfan, riak wajah itu hanya
nampak kosong saja. Seolah-olah dia tak cemas mendengar
permintaan si anak. Atau dia sebenarnya suka bila anaknya
meminta-minta begitu? Bukankah itu satu peluang untuk dia
memaksa aku berkahwin?
“Aunty Tia tak boleh berjanji.” Pandangan aku
berlabuh pada Fateh. Menggariskan senyuman, pipi itu aku
usap lembut.
“Kenapa? Mama dah tak sayang Fateh ke? Tak sayang
papa dah?” jujur Fateh meluahkan soalan. Jelas kerisauan di
wajahnya. Langsung tangan halus itu menyentuh pipi aku.
Ditekup dengan dua-dua telapak tangannya.
“Mama nak pergi lagi?” Mata coklat itu dah berkaca.
Sikit masa lagi pasti pecah berderai.
Apabila aku diam saja, Fateh terus berlari ke luar.
Meninggalkan aku yang mula kesal. Aku memejamkan mata
seketika dan bila kelopak mata dibuka, wajah Erfan menyapa
pandangan.
“Sejak seminggu ni dia kurang makan. Kurang
bercakap. Kurang nak bermain. Dia asyik tanya you. Bila I
cakap you bukan mama dia, dia akan berubah diam sepanjang
hari. I risau, Tia.” Pandangan mata Erfan lurus merenung
Fateh di gazebo dengan tangan memegang kertas tersebut.
Aku turut melemparkan pandangan ke tempat sama.
Tak semena-mena aku mengeluh berat. Apakah ini juga
bentuk dugaan untuk aku?
“Sebab tu I bawa you ke sini. I nak minta bantuan
you.”
Sekali lagi aku mengeluh. Tak perlu cakap aku dah
boleh agak bentuk bantuan yang bagaimana Erfan mahukan.
Pastinya mahu aku mengahwininya dan menjadi ibu kepada
Fateh.
“Bantuan yang macam mana Encik Erfan nak?”
Tidak memandang, aku hanya mengajukan soalan untuk
memastikan anggapan aku tidak tersasar.
Tiba-tiba pandangan mata aku terhalang dengan
tubuhnya. Erfan menutup pandangan mata aku yang
memerhati Fateh dari jauh. Spontan aku angkat pandangan,
memberanikan diri membalas pandangan matanya.
“Tolong jadi isteri I.”
Dan aku hanya mampu mengedipkan kelopak mata
saja. Tak tahu reaksi macam mana harus aku tunjuk saat ini.
Adakah ini dinamakan lamaran yang tidak terjangka? Jawapan
apa yang patut aku berikan supaya Fateh tidak perlu terluka?

No comments:

Post a Comment