TERJAGA daripada tidur, Ayana perasan Johan
tiada di sisi. Melilau dia mencari. Namun bayang-bayang
suaminya itu tidak kelihatan di dalam bilik yang hanya
diterangi cahaya lampu tidur. Pantas dia bangun daripada
perbaringan. Jam loceng dikerling. Tepat menunjukkan
angka 11.45 minit malam.
“Mana pulak dia pergi?” soal Ayana sendiri. Jubah
baju tidur separas lutut yang terhampar di atas lantai dicapai.
Disarung ke tubuh.
Sambil mengikat tali jubah melilit pinggang, dia
mengatur langkah keluar. Menjenguk ke bawah. Biasan
cahaya lampu dari ruang dapur dapat dilihat dengan jelas.
Yakin sang suami ada di sana. Lalu dia melangkah turun.
Suara Johan sedang bercakap mencuri pendengaran.
Namun butirnya tidak pula jelas kedengaran. Seperti
sedang berbisik. Entah dengan siapa suaminya itu berbual
malam-malam begini.
Berdiri di muka pintu, Ayana melihat Johan sedang
tersenyum sambil merenung telefon di tangan. Namun cuma
sesaat apabila pandangan Johan jatuh ke wajahnya, senyuman
lelaki itu tiba-tiba pudar. Berganti pula dengan rasa terkejut.
“Sayang?” sapa Johan. Tersentak melihat Ayana
di muka pintu. Sejak bilakah isterinya itu berdiri di situ?
Dia langsung tidak menyedarinya. Adakah Ayana dengar
perbualannya sebentar tadi? Hati mula diburu resah. Ini
bukanlah masa sesuai untuk memberitahu isterinya tentang
perkara itu.
“Abang cakap dengan siapa tu?” Soalan yang berlegar
dalam kepala dilontar.
“Oh, abang cakap dengan klien. Dia tanya fasal kereta
yang nak beli siang tadi,” bohong Johan. Tidak berniat mahu
berterus terang. Masanya belum sesuai memberitahu Ayana
tentang Marsha.
“Ya ke? Malam-malam macam ni pun nak tanya
fasal tu ke? Tak boleh nak tunggu esok?” rungut Ayana.
Kurang senang apabila sesetengah pelanggan Johan sering
mengganggu masa lelaki itu. Tak bolehkah tunggu hari
siang? Malam seperti ini juga mereka nak mengganggu.
Menyembunyikan debar di hati, Johan leret senyum.
Mula yakin Ayana tidak mendengar perbualannya sebentar
tadi. Langkah diheret mendapatkan isterinya yang masih
tegak di muka pintu. Tangan sebelah kanan meraih bahu
Ayana masuk ke dalam rangkulan.
“Sayang kenapa bangun?”
Ayana hela nafas. Bibir sengaja dimuncung.
“Macam mana tak bangun, kalau bantal peluk
Aya takde? Berjalan entah ke mana.” Nakal dia menjawab.
Sehingga terkoyak lebar sengihan pada bibir Johan.
“Sorry, sayang. Abang haus tadi. Turun nak minum.
Lepas tu kawan pulak call tanya fasal kerja.”
“Lain kali pesan kat klien abang jangan ganggu
waktu malam. Malam masa untuk Aya dan anak-anak.”
Rangkulan dilepaskan. Beralih dekat ke kepala.
Lagak memberi tabik hormat. “Baik, puan!”
Tersenyum Ayana melihat tingkah Johan. Masa
seperti ini sempat lagi hendak bergurau. Tak berubah
langsung perangai suaminya itu. Masih sama seperti Johan
yang dia kenali dulu.
“Okeylah, jom kita sambung exersice.” Johan
kembali memaut bahu Ayana ke dalam rangkulan. Mengajak
isterinya itu melangkah. Namun Ayana memaku langkah
di atas lantai. Terkejut mendengar ayat yang meluncur laju
daripada mulut suami.
“Abang!” Ayana jegil biji mata. Takkan mahu ulang
sekali lagi? Biar betul!
“What abang? Abang serius tau. Masa anak-anak
pergi bercuti macam nilah kita kena exercise lebih sikit.
Biar kempis perut yang dah buncit ni.” Selamba Johan
menepuk-nepuk perut Ayana yang kempis. Niat sekadar mahu
mengusik. Dia tahu isterinya pandai menjaga badan. Bentuk
badan isterinya itu masih sama seperti dulu. Tak gemuk, tidak
juga terlalu kurus. Ayana amat mementingkan penampilan.
“Abang! Apa ni? Bila masa perut Aya buncit?
Takmolah kawan!” Berpura-pura merajuk, Ayana menepis
tangan kanan Johan yang merangkul bahunya. Melangkah
ke depan meninggalkan suami yang mula ketawa sakan.
Seronoklah dapat kenakan dia. Orang perempuan memang
pantang kalau ada yang mengata buncit. Tak suka!
Mencicit Johan mendapatkan Ayana. Tubuh isterinya
itu disambar lalu didukung. Jeritan Ayana yang minta
dilepaskan langsung tidak dipedulikan. Macam dia kata tadi,
semasa anak-anak tiada di rumah inilah peluang untuk dia
dan Ayana hendak bersenam terbuka luas. Nak golek atas
bawah pun tak ada yang dengar. Jika Arisa dan Ariz ada,
peluang itu tidak terbuka luas seperti ini. Kena kawal dek
tidak mahu mengejutkan anak-anak yang sedang tidur.
Tubuh Ayana direbahkan di atas katil. Dia turut
merebahkan badan sama. Sambil sebelah tangan menongkat
kepala sendiri. Menahan ketahanan tubuh. Manakala
sebelah lagi sibuk bermain pada rambut Ayana yang hitam
berkilat. Aroma syampu yang dipakai isterinya itu semerbak
harumnya. Menggoda.
“Abang tahu tak, exersice ni bukan boleh
mengempiskan perut pun. Silap langkah, memboyot sembilan
bulan. Abang takpelah, Aya ni yang kena tanggung.”
Terlepas tawa Johan mendengar leteran Ayana itu.
Senaman suami isteri ini memang agak merbahaya jika
tersilap langkah. Tapi itu perkara biasa. Tak perlu dirisaukan.
Lagipun, andai ditakdirkan Ayana mengandung lagi, itu
adalah anak mereka. Anak yang lahir daripada hubungan
yang halal. Tak siapa boleh mempertikaikan.
“Abang ni... ketawa pulak!” Lengan sang suami
dipukul lembut. Acah-acah memberontak. Padahal dia pun
suka juga. Cuma tak nak mengaku saja. Biasalah, orang
perempuan memang macam itu. Malu tapi mahu.
“Sayang nak bimbang fasal apa? Sayang kan ada
abang. Kalau betul perut sayang memboyot 9 bulan, itu anak
kita. Abang akan jaga sayang sepanjang tempoh kehamilan.
Promise.” Johan ukir janji. Menghalau galau di hati sang
isteri.
Sebenarnya Ayana tak kisah mengandung lagi. Cuma
apabila memikirkan sakit kontraksi ketika hendak bersalin,
kecut juga perutnya ini. Sakit yang bukan main-main. Duduk,
baring, berdiri dan berjalan, semua itu jadi serba tak kena.
Teringat kenangan bersalinkan anak kembarnya Arisa
dan Ariz 8 tahun yang lalu. Tuhan sahaja yang tahu betapa
dia sakit ketika melahirkan pasangan kembar itu. Sakit yang
akhirnya menginsafkan Ayana. Betapa besar pengorbanan
seorang ibu. Bercucuran air matanya mengucup tangan
Hajah Aminah sebaik proses bersalin selesai.
“Sayang...” gemeresik suara Johan menyapa.
Mengembalikan Ayana ke alam nyata.
Tanpa menunggu bicara daripada sang isteri, Johan
menarik tubuh itu dekat ke sisinya. Menggelung Ayana dalam
pelukan. Matanya terus melekat ke wajah cantik wanita di
depannya ini. Hujung jari mula bermain pada bibir Ayana
yang merah bak buah delima. Dielus lembut sebelum dagu
yang sedikit melekuk itu diangkat supaya selaras dengan
kedudukannya. Kemudian, bibir merah itu menjadi sasaran.
Sensasi yang Johan cipta pada bibirnya membuatkan
mata Ayana pejam mata. Membiarkan Johan membawanya
sekali lagi ke pelayaran indah mereka berdua. Bayangan
kesakitan semasa melahirkan hilang serta-merta. Johan
membelainya sehingga dia lupa pada rasa yang amat ditakuti
itu.
No comments:
Post a Comment