DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 30 May 2022

Pernah Benci - Bab 2


ENJIN motosikal dimatikan terlebih dahulu. Topi keledar ditanggalkan sambil anak matanya meliar mencari kelibat Raiqa. Nampak saja bayang gadis itu sedang duduk di tepi tasik, bergegas dia berjalan ke sana.

“Rai.”

Raiqa angkat wajahnya. Saat ternampak wajah Daim di sini, makin laju air matanya mengalir ke pipi. Makin tak senang duduk Daim melihat tingkah kekasih hati. Dia duduk di sebelah gadis ini.

“Kenapa ni sayang? Bergaduh dengan mak su lagi?”

Hanya anggukan yang diberi. Kepalanya dilentokkan ke bahu lelaki di sisinya.

“Benci sangat ke mak su dekat Rai? Mak su tak habis-habis nak menangkan jantan tak guna tu. Dia lebih percayakan orang luar daripada darah daging dia sendiri,” teresak-esak Raiqa.

Tipulah kalau dia tak terasa dengan kata-kata mak su. Sebelum ini hubungannya bersama wanita itu sangat baik. Selama ini, dia dilayan seperti anak kandung. Namun sejak mak su berkahwin ketika dia berusia 15 tahun, dia seperti baru tersedar daripada mimpi indah.

Sikap wanita itu semakin berubah gara-gara melayan kerenah pak su. Paling menyakitkan hati, sudah acap kali lelaki itu cuba mencabulnya.

“Apa yang mak su buat kali ni?” soal Daim sambil merangkul bahu si gadis.

“Mak su halau Rai lagi. Rai rasa nak keluar dari rumah tu. Rai dah tak sanggup nak hadap muka orang tua tu lagi.”

“Rai nak pindah ke mana?”

“Entah. Tengoklah dulu.  Sekarang Rai dah 18 tahun. Rai berhak nak buat keputusan sendiri. Mak su dah tak boleh halang Rai lagi.” Pipi yang basah dikesat kasar.

Kali ini dia sudah membuat keputusan untuk keluar dari rumah itu. Dia perlu mencari kerja lain untuk menyara kehidupannya selepas ini. Cukuplah selama ini dia bertahan.

“Bukan mudah nak pindah keluar. Nanti abang tolong carikan kalau ada rumah sewa ya. Bagi abang masa.”

Terus bersinar mata Raiqa. Dia sudah mengagak lelaki ini pasti tidak akan membiarkan dia berpindah begitu saja. Memang tak salah dia memilih Daim sebagai tempat dia bersandar.

“Merah pipi ni. Mak su ke yang tampar?”

Mencemik bibir Raiqa. Hanya anggukan yang diberi. Boleh tahan sakit juga pipinya ditampar.

Haish... tak suka betul abang dengan perangai mak su ni. Kalau nak marah, janganlah naik tangan.” Pipi si gadis diusap lembut.

Walaupun dia belum pernah bertemu dengan orang tua itu, melalui cerita Raiqa dia dapat mengagak wanita itu seorang yang panas baran. Pantang dilawan, pasti tangan mak su hinggap ke tubuh gadis kesayangannya.

“Berapa lama nak Rai tunggu?”

“Tunggu abang habis exam. Esok kertas abang yang terakhir. Lepas semuanya selesai, abang carikan rumah sewa. Sementara waktu ni, Rai cuba bersabar dulu dengan mak su. Kalau pak su masih lagi nak apa-apakan Rai, kita buat laporan polis.” Tegas nada suara Daim.

Tertelan air liur Raiqa. Perkara itulah yang dia mahu elak selama ini. Jika sampai ke pihak polis, dah tentu maruah mak su terpalit sama. Tak mustahil jiran tetangga akan mengata.

“Rai lapar. Belanja Rai makan.” Sengaja dia menukar topik perbualan.

“Tak makan lagi ke?”

Kepala digeleng laju. “Pagi tadi perut ni kurang sihat. Rai datang bulan. Biasalah kalau kawan baik Rai tu datang.”

Daim mengangguk faham. Tangan si gadis diraih dan digenggam kemas.

“Jom abang belanja makan. Rai cakap aje nak makan apa.”

“Betul?” Lebar senyuman Raiqa.

“Ya.” Daim turut tersenyum. Melihat senyuman Raiqa, sungguh hatinya terasa damai.

Ceria wajah Raiqa. Lengan lelaki ini dipeluk kemas. Dalam hati dia sudah bersorak riang. Tak sabar untuk berpindah ke tempat lain. Dengan kekayaan Daim, pasti dia bakal mendapat rumah yang selesa.

Walaupun dia sendiri tidak pasti perasaannya terhadap Daim, yang penting dia perlu harapkan lelaki ini sebagai tempat dia berpaut. Tak rugi pun kalau dia menggunakan Daim untuk keluar daripada hidup mak su. Bagi Raiqa, Daim umpama lubuk emas dalam hidupnya.

 

PULANG DARIPADA makan bersama Daim, Raiqa berlagak selamba di hadapan mak su. Terpaksalah dia bertahan sementara berpindah keluar. Dia yakin Daim takkan berbohong untuk mencari rumah sewa.

Selepas membersihkan diri, dia terus ke dapur untuk membasuh ayam. Kesemua ayam ini perlu dipotong terlebih dahulu. Sudah menjadi rutin harian dia menyediakan bahan memasak supaya mak su mudah melakukan kerja memasak pada hari esok.

Sewaktu dia sedang ralit memotong ayam, terasa pinggangnya dirangkul dari belakang. Terjerit kecil Raiqa gara-gara terkejut. Dia terus berpaling ke belakang. Pisau masih berada di tangannya.

Terundur ke belakang Encik Ghani. Seram juga dia melihat pisau tajam di tangan gadis ini.

Woi... sabar. Letak pisau tu, sayang. Nanti cedera pula anak saudara kesayangan pak su ni.”

“Pergi! Jangan sampai pisau ni aku tetak di kepala kau!”

Tergelak orang tua itu. Selamba saja dia duduk di kerusi di meja makan. Dagunya digosok perlahan sambil merenung tubuh si gadis.

“Rai... Rai. Jangan nak jual mahal sangat. Kalau Rai tak melawan, kita mesti hidup dalam keadaan aman.”

“Aman? Sejak kau muncul dalam hidup kami, hidup aku dah jadi huru-hara. Dengan mak su kau boleh nak bodohkan tapi bukan dengan aku.”

Kalau dulu mungkin dia masih mentah untuk melawan. Tapi bukan lagi sekarang. Dia sudah cukup dewasa untuk memastikan lelaki ini tidak sesekali menghancurkan masa depannya.

“Rai ni memang keras kepala. Sebab tulah mak su tu makan hati.”

“Aku jadi macam ni pun sebab kau.” Raiqa masih tidak mahu mengaku kalah. Biar lelaki ini sedar selama ini dia cukup membenci lelaki ini.

“Susah sangat ke Rai nak terima pak su? Pak su sayangkan Rai.”

Nak tergelak Raiqa. Sayang konon. Macamlah dia tak tahu selama ini Encik Ghani cuba mengambil kesempatan ke atasnya.

“Kau cakap apa tadi? Sayang? Nak termuntah aku dengar. Aku ni tunggu masa aje nak keluar dari rumah ni. Masa tu nanti, muka kau pun aku tak ingin nak tengok.”

Terketap-ketap rahang Encik Ghani. Dia terus berdiri tegak.

“Rai nak keluar ke mana?”

“Suka hati akulah. Kau tak perlu tahu.”

Panas hatinya mendengar kata-kata Raiqa. Jarak umur mereka berdua hanya 17 tahun. Ketika dia berkahwin dengan Puan Rosmah, isterinya baru berusia 30 tahun.

Pertama kali dia diperkenalkan kepada Raiqa, hatinya sudah tertawan dengan wajah manis gadis itu. Lama-kelamaan cintanya beralih arah kepada anak saudara isterinya sendiri. Sedaya upaya dia cuba mendekati Raiqa. Namun gadis ini terlalu liat untuk didekati.

Selama 4 tahun mereka berkahwin, mereka masih belum dikurniakan anak. Mungkin itu yang terbaik kerana dia tak bercadang untuk hidup lama di sisi wanita itu.

“Rai tak boleh keluar dari rumah ni.”

“Kenapa pula tak boleh?” pelik pula Raiqa.

“Sebab aku cintakan kau. Aku tak benarkan kau keluar dari rumah ni.”

Terbeliak biji mata Raiqa. Sah orang tua di hadapannya dah tak betul. Berkahwin dengan mak saudara tapi hati terpaut kepada anak saudara isteri sendiri.

“Kau memang jantan tak guna. Aku akan beritahu...”

“Nak beritahu mak su? Beritahulah. Aku yakin dia takkan percaya.” Encik Ghani tersenyum senget.

Raiqa gigit bibirnya menahan geram. Jika membunuh bukan kesalahan yang besar, dah lama dia menikam tubuh lelaki ini sehingga nyawa dan jasad terpisah.

“Kenapa kau buat mak su macam tu? Selama ni mak su layan kau dengan baik. Ini balasan yang kau bagi lepas apa yang mak su korbankan.” Raiqa benar-benar kecewa.

“Mak su kau tu yang bodoh. Dia fikir aku cintakan dia. Tapi dia silap. Aku kahwin dengan dia sebab aku tahu dia pandai cari duit. Nak-nak lagi dia ada anak saudara yang cantik,” kata Encik Ghani sambil kenyitkan mata.

Merinding bulu roma Raiqa mendengarnya. Mahu saja dia menjerit supaya mak su muncul di sini. Saat ini dia sangat bersimpati dengan nasib mak su. Terlalu bodoh kerana mencintai orang yang salah.

“Abang...”

Encik Ghani lekas berpaling ke belakang. Wajahnya dimaniskan di hadapan si isteri.

“Abang buat apa dekat sini? Lama betul abang buat air,” ujar Puan Rosmah.

“Ooo... abang berbual kosong dengan Rai. Dia minta maaf dengan abang tadi. Abang tak ada terasa apa-apa dengan Rai,” jawab Encik Ghani selamba.

Raiqa segera berpusing menghadap singki. Kedua-dua tangannya dikepal kuat.

“Baguslah. Dah buat salah, pandai pula minta maaf,” sindir mak su.

“Sayang pun janganlah marah lagi. Jom naik ke atas. Biar abang urutkan sayang. Bagi hilang lenguh-lenguh tu,” pujuk Encik Ghani.

Nak termuntah Raiqa mendengarnya. Berlagak seperti suami misali konon. Sebaik saja kelibat pasangan itu beredar, pisau dicampak kasar ke dalam singki. Turun naik nafasnya menahan marah.

Beberapa kali dia menepuk dadanya yang terasa sebak. Sakit hati dengan sikap penghuni yang tinggal di rumah ini. Disebabkan itu, dia sudah tidak sabar untuk keluar dari rumah yang dianggap seperti neraka ini.

Berkenaan tentang perasaannya terhadap Daim, biarlah dia dianggap berdosa mempergunakan kebaikan lelaki itu. Selama 3 tahun mereka berkawan, tak pernah sekali pun dia menaruh perasaan cinta. Jujur dia tak percayakan cinta seorang lelaki selepas mengenali pak su.

No comments:

Post a Comment