DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 30 May 2022

Mama Untuk Suraya - Bab 1

 

 

4 tahun lalu...

 

            GHAZ meraup wajah sebaik melihat isterinya menarik bagasi keluar dari kamar beradu mereka. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Sesekali dia meramas rambut dan jambang yang agak lama tidak dicukurnya itu. Hatinya walang dan gelisah melihat tingkah laku Sarah.

“I tak nak teruskan hidup dengan orang macam you, Ghaz. I dah penat. Jalan terbaik, kita bercerai.”

“You dah gila ke Sarah? Anak kita baru 6 bulan. Dia masih kecil, masih perlukan kasih sayang seorang mama,” suara Ghaz merayu.

Sarah ketawa. Namun, tangannya tetap menarik bagasi sehingga ke pintu utama. Pintu kayu yang sedia terkuak lebar itu dipandang lama sebelum mata kembali memandang Ghaz.

“Berhenti menipu diri sendiri, Ghaz. You kena terima kenyataan yang hubungan kita dah tak macam dulu. In fact, benda ni dah berlarutan sejak 2 tahun yang lepas. You sibuk dengan kerja you, I sibuk dengan hidup I. Kita tak ubah macam kawan, Ghaz. Hubungan antara kita ni masih ada sebab kebetulan I mengandung. Itu pun satu kesalahan yang tak sepatutnya berlaku. Kalau tidak, tentu kita lebih awal dah bercerai.”

“I ingat lepas kita ada anak, hubungan kita akan kembali macam dulu. Bahagia seperti masa kita mula-mula kahwin.” Ghaz cuba mendekati Sarah. Tangan wanita itu cuba dipegang, tetapi Sarah lebih pantas mengelak dan terus keluar dari rumah lalu menyarung selipar.

Gugusan kunci diletakkan di atas kabinet kasut. Sempat Sarah menoleh kepada si kecil yang sedang lena tidur di ruang tamu.

“You jagalah Suraya. I tak akan minta hak penjagaan dia. Lagipun you yang gesa I supaya tak gugurkan kandungan dulu. Kalau ikutkan, I tak mahu ada apa-apa yang mengaitkan kita.”

“Begitu bencinya you terhadap I dan anak kita...” rintih Ghaz.

“I tak benci. I cuma mahu teruskan hidup seperti yang I mahu. I tak nak anak, Ghaz. I belum bersedia. You yang paksa I. Jadi, jangan salahkan I kalau I memilih apa yang I rasa terbaik untuk diri I. Nanti segala urusan perceraian, peguam I akan hubungi you.” Usai berkata Sarah terus masuk ke dalam keretanya dan menderu pergi.

Ghaz mengetap bibir. Tubir mata yang basah diseka dengan hujung jari. Teganya wanita itu meninggalkannya dan bayi mereka. Ghaz menarik nafas dalam-dalam. Hati lelakinya menangis dengan apa yang berlaku tika ini.

 

TOK! TOK! TOK!

Bunyi ketukan pada tingkap kereta mengejutkan Ghaz daripada lamunan panjang 4 tahun yang lalu. Dia melihat Awang, si tukang kebun kepunyaan rumah orang tuanya sedang berdiri di sisi kereta. Ghaz lantas mematikan enjin lalu melangkah keluar. Dia tidak lupa untuk mengambil beg kertas yang diletakkan di kerusi belakang.

“Lama saya tengok Encik Ghaz termenung dalam kereta,” tegur Awang.

Ghaz sekadar ketawa.

“Saya ke dalam dulu ya.”

Selepas berpamitan, dia mengorak langkah masuk ke dalam rumah. Seperti hari-hari biasa, dia sudah ada tempat yang hendak dituju. Ghaz terus naik ke tingkat atas dan menuju ke kamarnya. Pintu warna putih itu dikuak.

“Aya sayang...” Nama puteri kecilnya itu dipanggil perlahan.

Suraya yang ketika itu sedang berbaring di katil terus bangkit lalu melompat turun. Tubuh papanya dipeluk. Ghaz meletakkan beg kertas yang dipegang tadi ke lantai lalu tubuh Suraya didukung tinggi.

“Aya buat apa hari ni? Nakal tak?”

“Tak. Aya dengar cakap Nek Ton. Aya tak nakal.”

Good girl. Papa ada beli hadiah untuk Aya.” Ghaz meletakkan Suraya di atas katil sebelum dia berjalan mengambil beg kertas di lantai yang berlogo Smiggle itu lalu dibawa mendekati puterinya.

Yeay!” Suraya melompat suka sebaik beg kertas tersebut dihulurkan kepadanya. Smiggle Poppies berbentuk unicorn dan berwarna-warni itu dikeluarkan dari beg tersebut. Makin lebar senyuman di bibirnya. Nampak teruja dan gembira.

“Aya suka tak?” Ghaz menggosok kepala puterinya.

Cuka! Cuka!”

Ghaz mengulum senyum. Melihat keceriaan pada wajah itu mengundang sebak di hatinya. Suraya tidak seperti anak kecil yang lain. Walaupun luaran nampak normal, tetapi si kecil ini sebenarnya buta pada sebelah mata kirinya. Hanya mata kanan yang mampu melihat.

“Nanti mama balik, Aya nak tunjuk mainan ni dekat mama.”

Ghaz tergamam. Tidak sangka itu ayat yang keluar daripada bibir si kecil ini. Bukan dia tidak perasan, sejak dua menjak ini Suraya sering menyebut tentang mamanya. Namun, kenyataannya hanya Ghaz yang tahu

‘Maafkan papa sayang... mama tak akan kembali kepada kita,’ desis Ghaz dalam hati.

No comments:

Post a Comment