DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 30 May 2022

Mama Untuk Suraya - Bab 6


GHAZ memerhatikan Durrani yang sedang membuka pintu kereta untuk Suraya. Dilihat wanita itu menyambut mesra tangan Suraya seperti mereka sudah kenal lama. Dia tersenyum pendek. Usai mengunci kereta, dia berjalan laju untuk membuka pintu rumah. Tidak menunggu lama, Suraya terus menarik Durrani masuk apabila pintu rumah terbuka luas.

Err...” Nampak Durrani serba salah.

“Tak apa. Jemputlah masuk,” pelawa Ghaz. Sengaja pintu rumah dibiarkan terbuka luas. Hanya pintu grille saja yang berkunci. Takut jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Setelah itu dia menuju ke dapur. Ghaz membiarkan Durrani bersama Suraya di ruang tamu. Memandangkan gadis itu tetamunya, dia mengambil satu jag plastik dan membancuh minuman.

“Buat susah-susah pula encik buatkan air.” Durrani terbangun daripada duduk apabila melihat Ghaz menatang dulang minuman dan diletakkan di atas meja yang terletak di hadapan televisyen.

No problem. Aya, nanti pergi mandi. Dah pukul 6.30 petang ni,” Ghaz mengingatkan puterinya itu.

Suraya mengangguk. Gadis kecil itu memandang Durrani sambil tersenyum.

“Aya nak mandi dengan mama,” pintanya.

“Jangan nak macam-macam. Biasa kan Aya mandi sendiri.” Laju Ghaz memberitahu.

Suraya mula tersengih-sengih. Pantas dia bangun dan menarik tangan Durrani lalu memeluk wanita yang dianggap mamanya. Seperti tidak mahu lepas.

“Hari tu tak ada mama. Sekarang ada mama.” Pintar si cilik ini menjawab.

Ghaz menggeleng. Kalah dengan anak sendiri. Dia tahu hari ini Suraya terlebih manja. Agaknya anak itu sudah terlalu merindui kasih sayang seorang wanita bergelar ibu. Sebagus mana pun dia membesarkan Suraya sendirian, anak gadis itu tetap memerlukan seorang wanita di sisi.

“Tak apalah encik. Saya teman dia mandi.” Durrani mengangguk bersama senyuman. Kemudian pipi Suraya dicubit manja. “Hari ini mama temankan Suraya.” Durrani buat suara ceria.

Suraya terjerit kecil. Gembira. Dicapai tangan Durrani dan menuju ke biliknya meninggalkan Ghaz sendirian di ruang tamu.

Ghaz mengeluh. Perlahan tangannya membuka butang kemeja sehingga paras dada. Kemudian dia melipat kedua-dua belah lengan baju sehingga ke siku dan berjalan ke kamarnya. Teringat akan sesuatu, langkah kakinya dibawa ke almari pakaian dan mengeluarkan sepasang telekung. Telekung lama milik Sarah yang tertinggal di sini.

Ghaz keluar dan menuju ke bilik anaknya. Pintu bilik yang sedia terbuka itu diketuk perlahan. Sebagai isyarat memberitahu dia ada di situ. Durrani yang ketika itu sedang memegang kain tuala terus berpaling. Ghaz mampir lalu telekung tadi dihulurkan kepada Durrani.

“Kalau awak nak solat, bolehlah guna telekung ni.”

Erm, terima kasih encik.”

Tidak menunggu lama, Ghaz terus beredar dari situ. Tidak manis pula jika dia berlama-lamaan di dalam bilik itu dengan Durrani.

Durrani memegang telekung di tangan bersama senyuman lebar. Hatinya berdegup kencang dengan kehadiran Ghaz di hadapan pintu tadi. Penampilan santai lelaki itu dengan butang kemeja yang terbuka hingga paras dada dan lengan baju berlipat ke siku. Nampak semakin kacak. Tidak pasal-pasal dia rasa berdebar.

“Mama! Mama!”

Panggilan Suraya dari dalam bilik air menyedarkan Durrani ke alam nyata. Buru-buru dia meletakkan telekung di atas katil dan mendapatkan gadis kecil itu. Suraya sedang berendam di dalam tab mandi kecilnya dengan rambut panjangnya dipenuhi buih-buih syampu. Durrani tertawa.

“Nak bilas rambut ya?” soalnya.

Suraya mengangguk suka. Di tangan si kecil itu ada beberapa mainan plastik berbentuk hidupan laut. Sekejap-sekejap Suraya bercakap dengan alat permainan tersebut.

“Selalunya siapa yang teman Suraya mandi?” tanya Durrani sambil tangannya lembut mengurut kepala dan rambut si kecil yang masih bersabun. Suka dia dapat berbuat begitu. Tanpa sedar, Durrani merasakan dia semakin jatuh sayang kepada Suraya.

“Nek Ton.”

“Nek Ton tu siapa?”

“Neneklah. Papa punya ibu.” Pelat Suraya menjelaskan.

Durrani mengangguk. Kemudian dia membuka air pancuran dan mula membasuh rambut Suraya sehingga bersih. Suraya pula menjerit-jerit kegembiraan. Sesekali dia ketawa. Nampak bahagia benar.

“Dah, dah... jangan main air lama sangat. Tengok jari dah kecut ni.” Durrani menunjuk ke arah jari-jemari Suraya. Dia membantu Suraya keluar dari tab mandi dan mula mengelap dan membalut tubuh kecil itu dengan tuala.

Mereka berjalan ke katil lalu Durrani membantu Suraya memakai baju tidur. Suraya kelihatan comel dengan baju gambar kartun berwarna merah.

“Dah wangi pun.”

“Mama... mama janganlah tinggal Aya lagi. Aya janji tak nakal. Aya dengar cakap papa. Aya jadi budak baik.”

Ketika Durrani sedang menyikat rambut Suraya, gadis kecil itu tiba-tiba bercakap begitu. Terhenti terus tangan Durrani. Sayu dia mendengar luahan Suraya. Tubuh kecil itu ditarik ke dalam pelukannya. Sebesar manakah rasa rindu Suraya pada kasih seorang ibu? Durrani rasa hendak menangis.

“Assalamualaikum!”

Tiba-tiba ada suara orang memberi salam di luar rumah. Pelukan dileraikan. Belum sempat dia membuka mulut, Suraya sudah berlari keluar dari bilik. Durrani hanya mengikut. Dia melihat Suraya berdiri di sebalik pintu grille sambil memandang luar.

“Assalamualaikum!”

Terdengar lagi suara orang di luar. Durrani menoleh ke belakang untuk melihat Ghaz, namun lelaki itu tidak ada. Sudahnya dia mencapai kunci yang Ghaz letakkan di atas kabinet kasut lalu membuka pintu itu.

Waalaikumussalam.” Durrani menjawab salam sambil mengangkat muka ke hadapan. Melihat gerangan yang sedang berdiri di luar pagar itu membuatkan keningnya bertaut rapat. Lama diamati sebelum pandangannya beralih kepada Suraya yang sedang menyorok di belakangnya. Macam orang takut.

Err... nak cari siapa ya?” Durrani bertanya. Serba salah pula kerana dia hanyalah orang asing. Memandai-mandai pula dia bertanya kepada wanita yang sedang berdiri di luar pagar itu.

“Ini rumah Ghaz, kan?”

“Haah, ya. Dia ada dekat dalam. Nanti saya panggilkan.”

Durrani tersenyum pendek. Dia hendak masuk ke dalam rumah, tetapi tangan Suraya masih memegang belakang bajunya. Dia tidak jadi melangkah. Mata menyoroti perlakuan Suraya yang rapat di badannya.

“Kenapa Suraya?” soalnya.

Suraya hanya diam sambil mata sesekali mengerling ke arah wanita di luar pagar itu. Mungkin Suraya memang sudah diajar untuk tidak bercakap dengan orang asing. Kerana itu tingkahnya seperti berjaga-jaga.

“Itu... Suraya?”

Soalan yang keluar daripada mulut wanita di luar pagar menarik perhatian Durrani. Lama dia memandang wanita berambut pendek separas leher itu. Diamati lagi buat kesekian kalinya.

‘Ah, dia ke?’

Muncul persoalan itu dalam benak Durrani. Tanpa amaran, jantungnya tiba-tiba berdebar kencang. Seperti dia ada buat satu kesalahan yang sangat besar.

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

No comments:

Post a Comment