DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 30 May 2022

Pernah Benci - Bab 6


AWAL pagi lagi Daim dah bergegas keluar untuk bertemu Raiqa. Semalam dia hanya dapat tidur untuk beberapa jam saja. Malah dia sudah berfikir masak-masak untuk masa depannya bersama gadis itu.

Pagi ini sengaja dia membawa kekasihnya bersarapan di tempat yang agak jauh sedikit. Dia tidak mahu ada sesiapa yang mengenali mereka. Ada perkara yang perlu dia bincangkan secara serius bersama Raiqa.

“Abang tak makan ke?” Pelik pula hanya sepinggan nasi lemak yang dipesan oleh Daim.

“Makanlah. Abang dah sarapan di rumah.” Sudu dan garpu dihulurkan kepada gadis di hadapannya.

Berselera Raiqa menjamah makanan. Semalam memang dia tak berselera gara-gara perbuatan pak su.

“Keluarga abang tak pelik ke abang keluar awal pagi?”

“Abang cakap keluar jumpa kawan.” Memang itu alasan yang diberi kepada emak sebelum dia keluar dari rumah.

“Mesti seronok kan dapat tinggal dalam keluarga yang lengkap.” Raiqa tersenyum kelat. Sungguh dia sangat rindukan suasana hidup bersama arwah ibu dan bapanya. Kenangan bersama mereka, masih kekal dalam ingatannya sehingga sekarang.

“Rai nak keluarga lengkap macam abang ke?”

“Mestilah nak. Tapi mustahil semua tu berlaku. Arwah mak dan ayah dah lama pergi. Mak su pun dah buang Rai.”

“Siapa kata mustahil? Rai masih boleh hidup macam abang.”

Berkerut dahi Raiqa. “Macam mana?”

“Kita kahwin.”

Tak berkelip mata Raiqa. Kahwin? Terkejut juga dia menerima lamaran daripada Daim. Tiba-tiba saja lelaki ini bercakap tentang perkahwinan.

“Abang dah fikir masak-masak. Hanya ini saja cara untuk abang jaga Rai. Abang dah tak sanggup nak biarkan Rai hidup seorang diri dekat luar. Abang yakin mampu untuk jaga Rai.”

Selepas berbual bersama abah semalam, dia terus melakukan solat istikharah. Di penghujung solat, dia berdoa semoga diberi petunjuk untuk membuat keputusan. Ketika  dia bangun daripada tidur, dia terus teringatkan Raiqa.

Malah dia yakin untuk membuat keputusan berkahwin dengan gadis itu. Cukuplah selama ini mereka berdua melakukan dosa dengan berpegangan tangan tanpa hubungan yang halal.

“Abang tak bergurau kan?”

“Tak. Abang memang nak Rai jadi isteri abang. Kita kahwin ya?”

Serba salah Raiqa. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Kalau ikutkan hati, memang dia nak terima lamaran Daim. Dapat juga dia lari daripada masalah yang sedia ada. Cuma yang jadi masalah, dia belum yakin tentang perasaannya terhadap lelaki ini.

“Bagi Rai masa untuk buat keputusan.”

“Rai fikir apa lagi?”

“Abang pun tahu kan keluarga Rai macam mana. Abang dah cukup duit ke nak kahwin?”

“Mestilah ada. Duit simpanan abang dalam bank tu ada. Abang sanggup tak sambung belajar untuk bekerja dulu. Dah stabil, baru abang fikir untuk sambung belajar.”

“Macam mana dengan keluarga abang?”

“Abang ada rancangan untuk buat mak dan abah setuju. Yang penting, Rai setuju kahwin dengan abang.”

Makin lebar senyuman Raiqa. Tangan kekasihnya diraih dan digenggam kemas. Akhirnya dia mengangguk setuju. Tersenyum Daim. Dia turut membalas genggaman tangan Raiqa.

“Esok abang beritahu mak dan ayah.”

“Rai harap mereka boleh terima Rai.”

“Insya-Allah. Mereka tentu terima.”

Lega hati Raiqa. Tak perlulah dia peningkan kepala. Yang penting, dia dapat bergelar isteri kepada lelaki ini dan hidup senang. Bukan calang-calang juga latar belakang keluarga Daim. Paling penting, dia akan buktikan kepada mak su yang dia mampu hidup tanpa wanita itu.

“Cepat habiskan makanan. Kejap lagi abang nak balik. Kalau tak ada masalah, petang ni abang datang bawakan makanan.”

“Okey.” Cepat-cepat dia habiskan makanan.

Daim masih ralit melihat wajah kekasih hatinya. Tak sabar untuk dia menghalalkan Raiqa dan menjadi sebahagian ahli keluarganya nanti.

 

SELEPAS BERJUMPA Raiqa, Daim bergegas pulang ke rumah. Ketika dia tiba di rumah, ibu bapanya sedang menonton televisyen. Peluang ini diambil untuk berbincang tentang rancangannya bersama Raiqa.

“Daim ke mana ni? Awal pagi keluar, sekarang baru balik.” Hajah Rogayah menjeling tajam. Geram juga dengan anak tunggalnya. Tak pernah duduk diam di rumah walaupun hari minggu.

“Kan Daim dah cakap jumpa kawan tadi.”

“Siapa kawan Daim tu? Lelaki ke perempuan?” Kali ini Haji Daus yang bertanya. Sakit telinganya mendengar kata-kata orang di surau pagi tadi. Kononnya anak tunggalnya sedang hangat bercinta dengan seorang bohsia. Malah dia sangat kenal dengan budak perempuan itu.

“Perempuan,” jujur Daim menjawab.

Tegak terus tubuh Hajah Rogayah. Hanya Haji Daus masih beriak tenang.

“Perempuan mana pula ni?”

Daim menarik nafas dalam-dalam. Wajah emak dan abah dipandang silih berganti. Sudah tiba masanya untuk dia berterus terang.

“Aimy Raiqa. Dia kekasih Daim. Dah lebih 3 tahun kami berkawan.”

Tercengang orang tua itu.

“Jadi betullah khabar angin kononnya Daim bercinta dengan budak tu? Sampai sanggup tolak tawaran belajar.” Nada suara Haji Daus sudah berubah serius.

Terdiam Daim. Wajahnya masih menunduk menekur lantai.

“Abang cakap apa? Dia tolak tawaran belajar sebab perempuan!” Mengucap panjang Hajah Rogayah. Tajam anak matanya merenung wajah si anak.

“Kamu dah hilang akal ke? Umur Daim baru 20 tahun. Dah gatal nak bercinta.” Meninggi suara Hajah Rogayah. Kalau tak mengenangkan anaknya sudah besar, teruk dikerjakan dengan paip getah.

“Jawab, Daim. Abah nak tahu kesahihan cerita yang tersebar di taman kita ni.” Makin keras nada suara Haji Daus.

“Ya, abah. Sebab dia Daim tak nak sambung ke mana-mana. Dan Daim bercadang nak kahwin dengan dia dalam masa terdekat,” jawab Daim.

Ternganga orang tua itu. Hajah Rogayah terus meluru ke arah si anak. Bertubi-tubi dia memukul bahu anak lelakinya.

“Jangan nak buat kerja gila. Mak takkan benarkan Daim kahwin lagi!”

Terpejam rapat matanya. Dia sudah dapat mengagak bukan mudah untuk mendapat persetujuan daripada ibu bapanya. Disebabkan itu, dia terpaksa menggunakan cara yang lebih kejam agar dia dan Raiqa dapat bersama.

“Minta maaf, mak... abah. Daim kena juga kahwin dengan dia walaupun mak dan abah tak bersetuju,” tegas Daim.

Berkerut dahi orang tua itu. Haji Daus semakin keliru. “Apa maksud Daim?” Jantungnya berdegup laju.

Daim kelihatan serba salah. Belakang lehernya diusap perlahan. Dia sudah tiada cara lain lagi.

“Jawab!” Bergema suara Haji Daus.

“Kami dah terlanjur,” balas Daim.

Tergamam kedua-dua orang tua itu. Wajah masing-masing berubah pucat. Hanya Daim saja masih nampak tenang di tempat duduknya. Apa-apa pun yang berlaku selepas ini, dia berjanji akan bertanggungjawab. Semuanya kerana Aimy Raiqa.

“Daim jangan bergurau. Mak tahu anak mak takkan buat kerja terkutuk tu.” Menggigil tangan Hajah Rogayah.

“Daim minta maaf. Daim gagal jadi anak yang baik. Tolong restu perkahwinan kami, mak. Daim nak jaga Rai.” Tanpa sedar, dia turut menangis. Sedih kerana dia terpaksa melukakan hati ibu bapanya.

Haji Daus bersandar lemah di sofa. Perbualannya bersama si anak semalam, berlegar dalam fikirannya. Patutlah Daim seperti ada masalah.

“Budak tu ke yang Daim ceritakan semalam?”

Hanya anggukan yang diberi. Haji Daus menarik nafas panjang sebelum dilepaskan perlahan-lahan.

“Baiklah. Abah izinkan Daim berkahwin dengan dia,” kata Haji Daus.

“Abang!” Hajah Rogayah tercengang.

Terkejut Daim. Tak sangka semudah itu abah bersetuju.

“Tapi ada syaratnya,” tegas Haji Daus.

Tertelan air liur Daim. Gugup untuk dia mendengar syarat yang bakal dikenakan ke atasnya nanti.

“Pertama... bawa abah dan mak jumpa dengan keluarga mereka dulu. Nak berkahwin pun kita kena ada adat.” Haji Daus menyambung kata.

Pucat wajah Daim. Perkara itulah yang dia mahu elak.

“Kedua... segala perbelanjaan Daim selepas berkahwin, kami takkan bagi walau satu sen pun. Abah nak Daim belajar bertanggungjawab. Kalau Daim dah buat keputusan nak berkahwin, dah tentu perkara ni Daim dah fikir.” Haji Daus bersuara lagi.

Daim mengangguk lemah. Dia sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab selepas berkahwin.

“Dan yang terakhir, jangan tinggal di rumah ini selepas Daim berkahwin,” Haji Daus bertegas.

Hajah Rogayah terus mendekati si suami. Semua syarat yang diberikan oleh suaminya, tak ada satu pun dia setuju.

“Yah tak setuju. Anak kita muda lagi,” bantah Hajah Rogayah.

“Habis tu, Yah nak biar budak tu mengandung dulu baru mereka kahwin!” Haji Daus lantang bersuara.

Terkunci rapat bibir Hajah Rogayah. Tubir matanya terasa hangat.

“Abang buat semua ni supaya anak kita sedar. Perkahwinan bukan satu permainan. Abang nak dia belajar jadi ketua keluarga yang bertanggungjawab. Biar dia bermula dari bawah. Kesenangan yang ada sekarang ni, abang takkan berikan kepada dia sehingga abang yakin dia betul-betul layak jadi suami yang baik.” Usai berkata, Haji Daus terus naik ke atas.

Hajah Rogayah menangis di situ. Sejujurnya dia tak sanggup berpisah dengan si anak. Daim satu-satunya anak yang dia ada.

“Mak...” Daim duduk di sisi wanita itu. Bahu emak dirangkul erat.

“Daim minta ampun.”

“Kenapa Daim sanggup hancurkan perasaan mak dan abah? Kenapa?” Lirih nada suara Hajah Rogayah. Terkilan kerana anak tunggalnya sanggup mengkhianati kepercayaan yang diberi.

Daim hanya mampu berdiam diri. Apa yang dijelaskan oleh abah tadi, dia sudah cukup faham. Jika ini jalan yang dipilih, dia harus bertanggungjawab terhadap sebarang risiko yang bakal berlaku nanti.

No comments:

Post a Comment