DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 30 May 2022

Pernah Benci - Bab 1


PERIT telinganya mendengar bebelan Puan Rosmah. Sejak tadi tak habis-habis nak salahkannya. Hanya disebabkan dia tak membantu orang tua itu, dia dituduh seorang pemalas.

Bukan dia sengaja tak membantu mak su di gerai hari ini. Awal pagi lagi perutnya dah meragam. Setiap kali dia datang bulan, pasti dia akan meringkuk kesakitan.

“Kau dengar tak apa aku cakap ni?”

“Dengar...” Malas-malas dia menjawab. Kalau dia menjawab panjang, silap hari bulan, ada juga makan penampar.

“Hari ni kau jangan nak merayap. Tolong cuci ayam tu. Potong kecil-kecil. Esok ada orang nak tempah nasi lemak ayam 50 bungkus. Lagi satu, gas dah habis. Pergi kedai Ah Wong, suruh dia hantar.”

“Suami kesayangan mak su tu tak boleh tolong ke belikan gas? Semuanya nak suruh Rai.”

“Eh, budak ni! Kau dah pandai nak arahkan aku!”

“Salah ke apa yang Rai cakap? Dah 4 tahun dia jadi  suami mak su. Tapi mak su aje yang bekerja. Kerja dia tu makan tidur aje dalam rumah ni.”

Menyirap darah orang tua itu. Dia berjalan laju ke arah Raiqa. Telinga gadis ini dipulas kasar. Menjerit Raiqa dek terlalu sakit.

“Kau tak payah nak ajar aku. Dia tu suami aku. Apa yang dia buat, bukan urusan kau!”

Tangan mak su ditepis kasar. Dia turut berdiri. Kali ini dia sudah tidak mampu bersabar lagi. Selama 4 tahun mak su hidup bersama pak su, dia sendiri melihat betapa bodohnya mak su dipergunakan.

“Mak su tak nampak lagi ke permainan pak su? Selama ni, dia minta duit daripada mak su dengan alasan nak cari kerja. Takkan selama 4 tahun ni tak pernah ada kerja. Tolonglah mak su, jangan jadi buta disebabkan cinta.”

“Kau diam! Dari dulu lagi kerja kau tak habis-habis nak cari kesalahan suami aku. Setahu aku, pak su tu layan kau macam anak sendiri!”

Tergelak Raiqa. Berbulu telinganya mendengar kata-kata emak saudaranya. Anak sendiri konon. Kalau dianggap anak sendiri, tak perlu sampai nak ambil kesempatan.

“Mak su tanyalah apa yang pak su cuba nak buat kat Rai. Selama ni mak su susah sangat nak percaya. Kalau sampai ceroboh masuk dalam bilik Rai pagi tadi, apa maksudnya?”

Terus berubah wajah Puan Rosmah. Tak mungkin suaminya sanggup berbuat begitu. Dia yakin anak saudaranya cuba membuat cerita.

“Memang pak su masuk bilik Rai. Pak su sebenarnya nak bagi hadiah sempena hari jadi Rai.”

Tiba-tiba muncul Encik Ghani dengan riak wajah yang polos. Makin meluat Raiqa. Ada saja akal orang tua ini untuk menutup kesalahan.

“Jadi betullah abang masuk bilik Rai?” soal Puan Rosmah.

“Ya, sayang. Abang masuk dalam bilik dia sebab nak bagi hadiah kat Rai. Kan abang ada tunjuk dekat Mah hari tu. Abang ingat nak letak dalam bilik dia. Tak sangka Rai tak pergi kerja pagi tadi,” jawab Encik Ghani.

Puan Rosmah mencerlung tajam ke arah Raiqa. Kedua-dua tangannya sudah bercekak pinggang. “Kau dengar apa yang pak su cakap tadi?”

“Semudah tu mak su percaya.” Raiqa kecewa. Setiap kali dia mengadu, pasti ada saja alasan yang diberi oleh lelaki jahanam itu.

“Dah tentu aku percaya dia. Dia suami aku. Kau tu tak habis-habis nak cari kesalahan pak su. Agaknya kau tak suka aku berkahwin agaknya!” tempelak Puan Rosmah.

Tersentak Raiqa. Sampai begitu sekali tuduhan yang diberi oleh mak su. Bibirnya diketap menahan geram. Tajam dia merenung wajah lelaki ini. “Puaslah hati kau. Dapat hancurkan hubungan aku dan mak su!”

Terkulat-kulat Encik Ghani. Sehabis baik dia cuba bertenang. Puan Rosmah yang semakin berang terus menampar pipi anak saudaranya. Raiqa yang tak bersedia jatuh tersembam ke lantai.

“Mah!” Encik Ghani terus meluru ke arah si gadis. Dia cuba membantu tapi cepat saja Raiqa menepis tangannya daripada terus menyentuh tubuh itu.

“Sejak kau dah makin besar ni, makin kurang ajar. Kalau kau rasa diri kau tu dah hebat sangat. Mampu hidup tanpa aku, kau berhambus dari rumah ni. Aku nak tengok siapa yang sanggup jaga budak tak kenang budi macam kau!” Puan Rosmah sudah hilang sabar.

“Mah, jangan cakap macam tu. Dia tu anak saudara kita.” Encik Ghani cuba memujuk. Habislah rancangannya jika Raiqa keluar dari rumah ini. Dah lama dia mengidam untuk menjamah pucuk muda itu.

Tubir mata Raiqa terasa hangat. Kali kedua dia mendengar dirinya dihalau. 4 tahun lepas, ayat inilah yang menyebabkan dia membuat kerja gila.

Tanpa membalas kata-kata mak su, dia melangkah keluar dari rumah. Suara jeritan wanita itu tak dihiraukan. Lantaklah kalau orang tua itu nak mengamuk. Yang penting, dia perlu bertemu seseorang untuk merawat sakit dalam hatinya.

 

DAIM BERSANDAR di kerusi sebaik saja dia selesai membuat ulang kaji. Esok kertas peperiksaan STPM yang terakhir. Selepas hari esok, dia sudah bercadang untuk mencari kerja sambilan. Mungkin keputusan ini bakal membuatkan ibu bapanya mengamuk.

Selepas dia mendapat keputusan SPM yang cemerlang, dia membuat keputusan drastik dengan menolak tawaran ke IPTA. Semuanya disebabkan seseorang. Dia tak sanggup untuk berjauhan dengan gadis itu. Lebih-lebih lagi setelah dia mengetahui keperitan hidup Raiqa.

Kali pertama mereka bertemu, hatinya sudah tertawan. Walaupun usianya masih 17 tahun ketika itu, dia gagal untuk melupakan Raiqa. Siapa sangka sejak detik itu, hubungan mereka semakin rapat.

Bunyi ketukan pintu melenyapkan kisah beberapa tahun yang lepas. Buku latihan ditutup terlebih dahulu. Dia berjalan ke arah pintu bilik. Pintu bilik dibuka sedikit.

“Abah ganggu ke?”

“Tak, abah. Daim baru habis buat ulang kaji.”

“Boleh abah masuk?”

Daim sekadar mengangguk. Pintu dibuka luas. Dia duduk di atas katil. Sementara abah pula, lebih selesa duduk di kerusi yang ada di bilik.

“Esok hari terakhir Daim jawab kertas peperiksaan. Dah rancang Daim nak belajar kat mana lepas ni?”

Terdiam Daim. Jujur buat masa sekarang dia belum terfikir untuk sambung belajar. Nak luahkan, dia tak sampai hati. Dia sedar orang tuanya sangat berharap kali ini dia menyambung pelajarannya ke luar negara. Itulah salah satu impian Daim sejak kecil.

“Kenapa diam?” Nada Haji Daus sudah bertukar serius. Dulu anaknya pernah menolak dengan alasan mahu mengambil peperiksaan STPM. Kononnya tak sampai hati meninggalkan mereka berdua.

Namun sejak akhir-akhir ini dia sering terdengar kata-kata yang kurang enak daripada jiran tetangga. Tentang anaknya sedang bermain cinta bersama gadis liar.

“Daim masih belum fikir lagi abah.”

“Tak fikir atau niat Daim tak nak sambung belajar lagi.”

Tertelan air liur Daim. Abah seolah-olah sudah dapat menghidu hubungannya bersama Raiqa. Masak dia kalau ibu bapanya tahu tentang Raiqa.

“Mestilah Daim nak sambung belajar. Cuma buat masa ni, Daim tak fikir lagi tempat yang sesuai.”

“Baguslah kalau itu rancangan Daim. Abah dan mak hanya harapkan Daim. Daim satu-satunya anak kami. Besar harapan kami nak tengok Daim berjaya. Jangan kecewakan abah dan mak. Paling penting, jangan musnahkan kepercayaan kami.”

Penuh makna Haji Daus memberikan nasihat. Selama ini dia tak pernah menyekat dengan siapa anaknya berkawan. Tapi itu tidak bermakna Daim boleh memusnahkan kepercayaan yang diberi.

Daim sedikit terpukul. Sungguh dia kehilangan ayat. Lidahnya menjadi kelu untuk membalas setiap kata-kata si abah. Memang selama ini dia terlalu banyak rahsia. Duit bulanan yang diberi oleh orang tuanya, banyak diberikan kepada Raiqa. Dalam diam juga dia pernah keluarkan duit simpanan di bank. Semuanya kerana Raiqa.

“Abah keluar dulu. Abah doakan esok anak abah dapat jawab soalan dengan tenang.” Haji Daus bangun dan berjalan mendekati si anak. Bahu anaknya ditepuk lembut.

Tersentuh hati Daim mendengar kata-kata itu. Sebaik saja orang tua itu menghilang, dia rebahkan diri di atas tilam. Lama dia merenung ke arah siling bilik. Antara kasih sayang ibu bapa dengan cintanya terhadap Raiqa, dia tak mampu memilih. Mujurlah dia tidak mengabaikan pelajarannya walaupun dia dan Raiqa bercinta.

Bunyi deringan telefon mengejutkan Daim. Lekas dia mencapai telefon bimbitnya di atas meja belajar. Senyuman lebar terukir di bibirnya saat nama Dayyan muncul di skrin. Dia sengaja menggunakan nama itu agar hubungannya  bersama Raiqa tidak terbongkar di hadapan orang tuanya.

“Helo sayang.”

“Abang...”

Tegak terus tubuh Daim. Suara esakan Raiqa jelas kedengaran.

“Kenapa ni Rai?”

“Nanti Rai beritahu. Abang datanglah sini. Rai betul-betul tertekan sekarang.”

Makin tak senang duduk Daim. Dia pandang ke arah jam dinding. Baru pukul 4 petang. Bolehlah dia berjumpa gadis itu sekarang.

“Tunggu abang. Abang datang sekarang.”

Talian terus dimatikan. Dia capai kunci motosikal dan bergegas keluar dari bilik. Ketika di ruang tamu, dia terserempak dengan Hajah Rogayah. Berkerut dahi orang tua itu melihat wajah Daim yang gelisah.

“Daim nak ke mana?”

“Jumpa kawan. Kawan Daim ada masalah.”

“Masalah apa pula ni?”

Err... hal peribadi. Daim keluar sekejap aje, mak. Pergi dulu.” Tangan emak diraih dan dikucup terlebih dahulu.

Keluhan kasar terlepas dari bibir orang tua itu. Esok  nak periksa pun, masih lagi nak merayap.

“Kenapa dengan muka Yah tu?” soal Haji Daus yang baru muncul dari dapur. Tadi dia ada terdengar suara anaknya berbual. Tak ada pula bayang Daim di ruang tamu.

“Anak bertuah abang tulah. Keluar merayap lagi. Kali ni tak tahulah jumpa siapa. Suka sangat berahsia.”

Terus berubah wajah orang tua itu. Baru sebentar tadi mereka berbual. Sekarang dah menghilang pula.

“Yah tak tanya dia nak jumpa siapa?”

“Dah tapi macam biasalah. Katanya nak jumpa kawan.”

Haji Daus mengeluh. Hatinya bertambah gusar dengan sikap perahsia si anak. Dia berharap khabar angin yang didengarnya selama ini hanya salah faham. Masa depan anaknya masih cerah. Tahun hadapan anaknya berusia 20 tahun. Dia tidak mahu Daim tersalah langkah dalam membuat percaturan hidup pada usia muda.

No comments:

Post a Comment