DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 30 May 2022

Mama Untuk Suraya - Bab 3


GHAZ termenung. Lama dia memandang Suraya yang sedang bermain dengan patung arnab di ruangan rehat bilik pejabatnya. Perlahan satu keluhan terlepas daripada bibirnya. Dia terkejut dan terkesima dengan apa yang berlaku di lobi syarikatnya tadi. Sekilas wajah pekerjanya yang bernama Durrani itu terlayar di minda.

“Kebetulan apakah ini?” Dia menggumam. Ghaz bersandar pada kerusi sambil tangan kanan mengetuk permukaan meja kerja.

4 tahun dia berpisah dengan Sarah. Tidak pernah dalam fikiran dia melupakan wajah wanita yang pernah dicintainya sepenuh hati itu. Dan hari ini dia bertemu dengan seorang gadis yang mempunyai wajah iras-iras bekas isterinya. Sekali pandang memang nampak serupa. Tapi, apabila diperhatikan lama, ada sedikit perbezaan antara mereka. Mungkin cuma 60 peratus sama. Pelanduk dua serupa.

“Aya?” Ghaz memanggil puterinya yang dari tadi leka bermain.

Suraya bangkit lalu berjalan mendekati papanya. Ghaz merenung anak mata Suraya. Walaupun hanya sebelah anak mata yang sempurna, dia tetap suka memandang. Baginya Suraya terlalu istimewa.

“Lain kali jangan buat macam tadi lagi. Papa tak benarkan Aya pergi mana-mana seorang diri. Bahaya, tahu tak?” tegurnya. Dia lihat Suraya sudah menunduk sambil memuncungkan bibir. Air muka puterinya itu nampak sedih apabila ditegur begitu. Ghaz terus memeluk badan Suraya. Rambut panjang anaknya dicium lama.

“Papa bukannya marah, papa takut Aya jatuh.” Ghaz cuba menerangkan. Kerisauannya sentiasa ada kerana Suraya adalah anak istimewa dek pandangan yang terhad dan terbatas kerana mampu melihat sebelah mata sahaja. Sebab itu dia takut untuk membiarkan Suraya bersendirian. Namun, si kecil ini baru berumur 4 tahun. Apalah yang difahaminya jika Ghaz menjelaskan semua ini.

Sorry papa...” Dengan suara manja Suraya berkata. Tangan kecilnya memeluk leher Ghaz lalu pipi papanya dicium.

Ghaz tersenyum.

“Kali ni papa maafkan. Lain kali kalau nak pergi mana-mana kena pergi dengan orang dewasa. Okey, sayang?”

“Okey papa!”

Suraya buat tabik hormat mengundang tawa di bibir Ghaz. Surayalah nyawanya. Ubat kala dia bersedih dan berduka. Tuhan benar-benar telah menghantar seorang bidadari kecil untuk menjadi buah hati pengarang jantungnya.

Erm, lagi satu... macam mana Aya kenal mama?” Penuh musykil Ghaz bertanya. Setahunya, Suraya tidak pernah mengenali Sarah kerana bekas isterinya itu meninggalkan rumah ketika usia Suraya masih bayi. Gambar dia bersama Sarah juga telah disimpan kemas di dalam almari tinggi. Jadi, bagaimana Suraya boleh tahu Durrani itu ada iras Sarah?

“Aya ada gambar mama.” Suraya segera melompat turun dari pangkuan Ghaz. Dia menuju ke ruang rehat tempat dia bermain tadi. Sebuah beg galas kecil berwarna merah jambu diheret dan dihulur kepada Ghaz. Setelah itu, dia kembali memanjat paha si ayah dan duduk.

Beg merah jambu itu dibuka lalu Suraya mengeluarkan sesuatu. Sekeping gambar yang penuh dengan kesan lipatan.

Tanpa menunggu lama, Ghaz terus mencapai foto tersebut. Tergamam dia.

“Mana Aya jumpa gambar ni?” soalnya kepada si kecil.

Suraya hanya tersengih-sengih tanpa menjawab. Jarinya menunjuk ke arah figura yang berada dalam gambar itu.

“Ini mama. Ini papa,” beritahunya.

Mata Ghaz jatuh pada foto kenangan tersebut. Itu adalah gambar ketika dia dan Sarah berada di universiti. Gambar pertama yang diambil ketika mereka baru mula bercinta. Gambar hampir 10 tahun yang lalu.

Ghaz mengetap bibir. Ada sayu bertamu di hati. Melihat senyuman di bibir Sarah ketika foto itu diambil, hatinya semakin merindu. Rindu yang menyakitkan.

“Nanti kita jumpa mama, kan?”

Soalan Suraya mengejutkan Ghaz. Fokusnya kembali kepada si anak yang sedang memandang. Patutlah Suraya salah sangka. Dia telah melihat gambar lama Sarah dan menyangka Durrani itu mamanya. Ghaz jadi serba salah. Kegembiraan di wajah puterinya saat menyebut ‘mama’ itu sangat berharga. Dia tidak betah hendak melukakan hati kecil Suraya.

“Sekejap lagi mama datang sini.” Sudahnya Ghaz mencipta janji lagi. Dalam hati dia berharap agar gadis bernama Durrani itu akan muncul di tingkat 10 ini seperti yang dimintanya tadi. Untuk hari ini sahaja, dia akan membiarkan Suraya merasai perasaan ada bersama ‘mama’ walaupun ia cuma lakonan semata-mata.

Tok! Tok!

Pintu bilik Ghaz diketuk dari luar. Terjojol kepala setiausahanya di situ.

Yes, Nadia?”

“Ada staf nak jumpa Encik Ghaz. Dia tunggu di luar,” beritahu Nadia.

Mendengarkan itu, Ghaz terus tegakkan badan. Nasib baik Suraya yang masih berada di pangkuannya tidak jatuh tergolek. Hari ini dia tidak punya janji temu dengan sesiapa kecuali Durrani!

“Okey, bagi dia masuk.” Pantas Ghaz memberi arahan.

Nadia segera beredar dan kurang dari seminit, pintu bilik Ghaz kembali diketuk. Dia memberi kebenaran masuk.

“Mama!”

Sebaik muka Durrani muncul di situ, Suraya terus melompat turun. Tanpa amaran, si kecil berlari laju dan tiba-tiba kakinya tersadung di sofa. Tubuh Suraya jatuh tersembam ke hadapan membuatkan Ghaz sepantas kilat bangun lalu berlari mendapatkan puterinya itu.

Shh... jangan nangis sayang.”

Ghaz mengangkat Suraya dan dipeluk erat. Tangisan si kecil itu mula kedengaran teresak-esak. Mata Ghaz beradu pandang dengan Durrani yang sudah berada di sisi. Wajah gadis itu nampak risau dan tangan Durrani sedang menggosok belakang Suraya memujuk. Ghaz hanya membiarkan.

Cakit...” Suraya mula mengongoi dalam pelatnya. Muka kecilnya penuh dengan air mata.

Ghaz meleraikan pelukan. Dia memerhatikan seluruh wajah Suraya, takut-takut ada berlaku pendarahan atau luka di bibir si kecil itu. Nasib baik tiada. Lantas tangan kanannya menyeka air mata di wajah itu.

Shh... sayang papa ni kan kuat. Strong girl.” Ghaz memujuk.

Huaa!!!” Suraya masih teresak-esak.

“Suraya... jangan menangis.” Kini suara Durrani pula memujuk.

Seraya itu, tubuh Suraya berpaling ke sisi dan mendepangkan tangan ke arah Durrani. Durrani kaget. Dia dan Ghaz saling bertukar pandangan. Ghaz mengangguk memberi kebenaran untuknya menyambut pelukan Suraya itu.

“Mari dekat mama.”

Durrani mula memainkan peranan. Tubuh Suraya yang sudah bertukar ke dalam pelukannya dikemas erat. Belakang anak kecil itu digosok-gosok perlahan. Durrani melihat Suraya sudah melentokkan kepala di bahunya. Tangisan pula beransur sunyi.

Shh... tak mahu menangis. Suraya kuat, kan?” Durrani bersuara halus.

Sesekali matanya mengerling Ghaz yang sedang memerhatikan dia dan Suraya. Dalam hati berdebar kencang apabila bosnya itu berdiri agak rapat di sisinya. Dan mata mereka kerap berpandangan sesama sendiri. Menghantar isyarat yang hanya difahami mereka.

“Aya rindu mama...”

Dalam esakan yang hampir bersisa itu, Suraya berbisik pelat sekali gus membuatkan Durrani tersentuh. Dia mengeratkan lagi pelukan pada badan si kecil. Dia tidak tahu apa yang telah berlaku terhadap ibu sebenar Suraya, tetapi yang dia tahu sekarang, Suraya sedang menganggap dia sebagai mamanya.

“Mama pun... rindukan Suraya.” Tanpa sedar dia membalas begitu. Mungkin hati wanitanya tertarik untuk memujuk si kecil itu.

Dari ekor mata, Durrani dapat melihat panahan Ghaz terasa tajam merenung ke arahnya. Dia menelan liur. Alang-alang dia sudah mulakan lakonan, apa salahnya dia berlakon betul-betul.

“Malam ni mama balik rumah kita ke?”

“Hah?” Soalan cepumas Suraya itu mengejutkan Durrani. Manakala Ghaz pula berdeham seraya mahu mengambil Suraya dalam dakapan gadis itu. Ditarik perlahan, namun si kecil itu mengeratkan pelukan di badan Durrani.

“Aya, mari dekat papa,” panggil Ghaz.

Suraya menggeleng-geleng.

“Aya nak mama. Aya nak mama dan papa sama-sama.”

Petah. Kelu lidah Ghaz mendengar permintaan bidadari kecilnya itu. Inilah kali pertama dia mendengar isi hati sebenar Suraya mengenai perkara ini. Ghaz mengetap bibir. Kini matanya jatuh pula ke wajah Durrani. Layanan gadis itu kepada Suraya membuatkan nafasnya seperti tersekat. Rasa berat dan terhimpit.

‘Takdir apakah yang sedang berlaku ini?’ desis Ghaz.

No comments:

Post a Comment