DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 30 May 2022

Pernah Benci - Bab 5


TELEFON bimbitnya masih berdering. Sengaja dia tidak mahu mengangkat panggilan daripada Daim. Selepas apa yang berlaku petang tadi, dia semakin rasa bersalah.

Nafas dihembus kasar. Rambutnya yang semakin panjang diramas kuat. Makin kusut dia memikirkan hubungannya bersama Daim.

Sudah acap kali dia bertanyakan kepada diri sendiri. Adakah dia pernah mencintai Daim sepanjang mereka berkawan? Namun sehingga sekarang, dia masih gagal mencari jawapan. Apa yang dia tahu, dia cukup selesa berada di sisi lelaki itu. Malah dia hanya mempergunakan kebaikan Daim untuk terus bertahan sehingga sekarang.

Sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi. Bulat matanya saat terlihat nama mak su di skrin telefon. Tanpa teragak-agak, dia segera menjawab panggilan itu.

“Mak su...”

“Dasar anak tak kenang budi! Lepas ni kau jangan lagi jejakkan kaki ke rumah aku. Aku malu ada anak saudara macam kau. Kenapalah kau tak mampus aje masa kakak aku meninggal!”

Tergamam Raiqa. Mulutnya ditekup laju. Tergamak ibu saudaranya bercakap begitu.

“Kau dah bawa jantan masuk dalam rumah aku. Bila pak su nak halau budak tu, kau pukul suami aku sampai pengsan. Nasib baik suami aku tak nak buat laporan polis.”

Menggigil tubuh Raiqa gara-gara terlalu marah. Hebat permainan orang tua itu. Sekarang dah berani menuduh dia membawa lelaki masuk ke dalam rumah.

“Mak su percaya cakap dia?”

“Memang aku percaya! Aku menyesal bawa kau tinggal dalam rumah aku. Esok kau datang sini, ambil semua kain baju kau. Aku tak nak tengok muka kau dalam rumah aku lagi.”

“Sampai hati mak su. Mak su langsung tak nak dengar penjelasan Rai. Rai tak salah. Suami mak su yang...”

“Cukup!”

Terperanjat Raiqa dengan jerkahan wanita itu. Bibirnya tertutup rapat.

“Kau dari dulu tak habis-habis nak buat fitnah. Kali ni aku dah tak boleh bersabar lagi. Kalau kau bencikan suami aku, itu bermakna kau dah bencikan aku juga.” Bergetar nada suara Puan Rosmah.

Tubir mata Raiqa terasa hangat. Bila-bila masa saja empangannya akan pecah.

“Kau pandai-pandailah hidup dekat luar sana. Jangan lagi ganggu hidup aku. Aku anggap kau dah mati dalam hidup aku.”

Sebaik saja talian dimatikan, Raiqa terbaring lemah di atas katil. Makin nyaring esakannya di bilik itu. Perkara yang dia paling takut berlaku juga. Satu-satunya ahli keluarga yang dia ada sudah membencinya.

Dengan tangan yang masih menggeletar, dia mendail nombor seseorang. Tak sampai seminit, panggilannya sudah dijawab.

“Sayang, kenapa abang call banyak kali Rai tak jawab?”

Raiqa menekup mulutnya dengan kuat. Makin sebak dadanya mendengar nada suara Daim yang cemas. Hanya lelaki ini saja yang percayakan dirinya.

“Sayang...”

“Mak su dah buang Rai.”

Terdiam Daim di hujung talian. Masing-masing tidak bersuara. Hanya esakan Raiqa saja yang kedengaran.

“Mak su sanggup buang Rai. Dia tak nak tengok muka Rai lagi. Kenapa hati Rai sakit sangat? Memang Rai nak sangat keluar dari rumah tu tapi bukan dengan cara macam ni.” Lirih dia bersuara.

“Rai tak ada sesiapa sekarang.”

“Abang masih ada untuk Rai. Sentiasa ada.”

Mati esakan Raiqa.

“Abang janji akan selalu ada dengan Rai tak kira susah atau senang. Rai tak perlu takut. Rai takkan keseorangan tanpa abang.”

Bibirnya digigit kuat. Jujur dia tak sanggup untuk mendengar pengakuan Daim. Setiap patah kata yang keluar dari bibir lelaki itu, hanya menjerut ke leher sendiri.

“Kenapa abang tetap pilih Rai? Rai banyak kekurangan sejak awal kita berjumpa lagi.”

“Sebab perempuan tu ialah Aimy Raiqa. Itu yang buat abang gagal untuk lupakan Rai.”

Kelu lidah Raiqa. Jawapan yang diberi oleh lelaki itu membuatkan dia gagal untuk bersuara.

 

SELEPAS BERBUAL bersama Raiqa, dia gagal melelapkan mata. Mahu saja dia ke sana untuk menenangkan gadis itu.

Dia masih ingat ketika pertama kali mereka bertemu. Ketika itu, dia terserempak dengan Raiqa di sebuah kedai aksesori rambut. Hatinya tersentuh saat ternampak senyuman kendur di wajah Raiqa. Jelas gadis itu seolah-olah tidak mampu untuk mendapatkan seutas getah rambut.

Disebabkan itu, dia sanggup membeli pengikat rambut tersebut dan bergegas mengekori gadis itu. Dan di situlah bermulanya detik perkenalan mereka. Sehingga ke hari ini, dia masih tertawan dengan lesung pipit di kedua-dua belah pipi Raiqa.

“Kenapa tak tidur lagi?”

Nyaris dia terjerit. Tiba-tiba saja dia ditegur oleh Haji Daus. Dari berbaring di sofa, dia bangun lalu duduk bersandar. Haji Daus duduk di sebelahnya.

“Ada masalah ke?”

“Tak adalah, abah. Tak boleh nak tidur. Itu yang Daim duduk sini.”

“Abah kenal Daim. Dah nak masuk 20 tahun abah besarkan Daim. Jadi abah dah boleh tahu kalau anak abah ni ada masalah. Tentang hal apa ni? Cuba kongsi dengan abah.”

Tertelan air liurnya. Nak bercakap tentang Raiqa, memang dia tak bersedia. Sejak dulu lagi ibu bapanya tidak membenarkan dia bercinta selagi masih belajar.

“Kawan Daim ada masalah.”

“Berat ke masalah tu?”

Hanya anggukan yang diberi.

“Dia kena aniaya dengan ayah saudara sendiri. Sekarang ni dia dah kena halau. Buat sementara waktu, dia tinggal di hotel. Mungkin tak lama lagi dia pindah ke rumah sewa.”

Hmmm... berapa umur dia?”

“Muda setahun daripada Daim.”

Haji Daus menarik nafas panjang. Dia turut bersandar di sofa.

“Masalah dia dah selesai ke?”

“Alhamdulillah. Buat masa ni dah dikira selesai.”

Terpaksalah dia berbohong. Hakikatnya dia tahu masalah akan semakin rumit selepas ini.

“Kawan Daim tu perempuan ke?”

Daim berdeham perlahan. Serba salah dia nak menjawab. Melihat kebisuan si anak, dia sudah tahu jawapannya.

“Abah bukannya nak menghalang Daim nak bantu sesiapa. Kalau Daim mampu, tolonglah setakat yang boleh. Cuma kalau boleh, abah tak nak Daim libatkan diri dalam masalah orang lain.”

“Maksud abah?” Hampir tak terkeluar suara Daim.

“Bila melibatkan hubungan lelaki dan perempuan ni, pasti ada satu perasaan asing yang muncul. Sebelum perkara tu wujud, elakkan.”

“Salah ke kalau Daim nak bantu dia?”

Haji Daus tersenyum nipis. Bahu anaknya dirangkul mesra.

“Tak salah. Yang salah bila masalah dia tu buat fikiran anak abah ni terganggu. Tadi Daim cakap masalah dia dah selesai. Jadi tak perlu lagi nak peningkan kepala.”

Daim tersenyum pahit. Kalau semudah itu untuk dia lupakan, dah lama dia lakukan. Tapi jika perkara itu berkaitan dengan Raiqa, mustahil untuk dia berdiam diri. Ada masanya dia mahu gadis itu sentiasa berada di sisinya. Biarlah dia yang menjaga Raiqa.

Tiba-tiba dia terfikirkan perkara yang dibualkan ketika di meja makan. Anak matanya menjamah ke wajah abah. Dia teragak-agak untuk bertanya.

“Kenapa pandang abah macam tu?”

“Betul ke abah dan mak kahwin muda?”

Terjongket kening Haji Daus. Terkejut juga apabila diajukan soalan itu. Pelik.

“Ya. Abah dan mak berkawan sejak di sekolah menengah. Kami tak pernah bercinta. Habis belajar, abah dan mak semakin rapat. Disebabkan kami nak elak daripada maksiat, kami ambil keputusan untuk berkahwin. Alhamdulillah, perkahwinan kami direstui.” Senyuman lebar terukir di bibir orang tua itu.

“Maksiat? Maksud abah, terlanjur ke?”

Mengecil anak mata Haji Daus. Kepalanya digeleng.

“Maksiat ni bukan merujuk kepada terlanjur saja. Contoh berpegangan tangan, berpelukan tanpa hubungan yang halal dah dikira maksiat atau zina. Daripada kami terjerumus ke arah keburukan, lebih baik kami buat perkara yang halal iaitu berkahwin.”

Terpukul Daim dengan kata-kata itu. Selama dia dan Raiqa bersama, dia sudah banyak melakukan dosa. Berpelukan dan berpegangan tangan sudah menjadi perkara biasa bagi mereka berdua.

“Dah lewat ni. Kalau tak boleh tidur, lebih baik buat solat sunat dan mengaji. Ada juga faedahnya.” Bahu anak lelakinya ditepuk perlahan sebelum dia beredar dari situ.

Kata-kata abah masih tersemat dalam fikirannya. Dia sayangkan Raiqa seperti nyawanya sendiri. Tak sepatutnya dia membawa gadis itu ke arah dosa. Langkahnya diatur menuju ke tingkat atas. Malam ini dia perlu melakukan solat sunat istikharah sebelum dia membuat keputusan yang sangat besar dalam hidupnya.

No comments:

Post a Comment