DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 30 May 2022

Pernah Benci - Bab 4


TUBUHNYA menggeletar menahan takut. Masih terbayang lagi kejadian yang hampir meragut maruahnya tadi. Dia bernasib baik kerana berjaya melarikan diri. Jujur dia dah tak sanggup untuk pulang ke sana.

Pipinya yang basah diseka dengan hujung baju. Sekarang dia tiada tempat untuk melarikan diri. Wang yang ada di tangannya hanya beberapa puluh ringgit saja. Hanya Daim tempat dia bergantung harap.

“Rai!”

Terdengar suara Daim, dia lekas berdiri. Laju dia berlari ke arah lelaki itu. Tubuh itu didakap kemas. Teresak-esak dia menangis di dada Daim.

Syhhh... semuanya dah selamat. Kita masuk dalam kereta dulu.” Jaket di tubuhnya ditanggalkan dan disarung ke tubuh Raiqa.

Menyirap darahnya melihat baju-T Raiqa terkoyak di bahagian dada. Tangan si gadis ditarik agar mengikutnya masuk ke dalam kereta. Mujurlah hari ini dia meminjam kereta abah untuk berjumpa dengan Wafiq.

Di dalam kereta, dia berusaha menenangkan gadis ini. Luluh hatinya melihat wajah Raiqa pucat dan mata itu sudah bengkak gara-gara banyak menangis. Masih terasa lagi gigilan di tubuh gadis ini.

“Rai dah tak sanggup nak balik sana. Rumah tu dah tak selamat.”

“Abang temankan Rai balik. Kita beritahu mak su apa orang tua tu buat kepada Rai.”

Laju dia menggeleng. Mustahil mak su percayakan dia. Sudah tentu lelaki itu bijak mencipta alasan. Selama Encik Ghani tinggal di sana, tak pernah sekali pun mak su percayakannya.

“Kita buat laporan polis,” cadang Daim.

Tersentak Raiqa. Sekali lagi dia menggeleng. Ada sebab dia tak nak perkara ini sampai ke pihak berkuasa.

“Sampai bila sayang nak biarkan kes ni berlarutan? Abang tak nak orang tua tu makin naik lemak. Sekurang-kurangnya lepas kita buat laporan polis, dia dah tak berani nak apa-apakan Rai.”

Raiqa tunduk menekur jari sendiri. Fikirannya semakin buntu.

“Rai sayangkan mak su.”

Terkelu Daim. Mereka saling berpandangan.

“Mak su terlalu sayangkan lelaki tu. Kalau hal ni sampai ke pihak polis, dah tentu orang tua tu akan didakwa. Rai takut mak su makin bencikan Rai.” Makin deras air matanya mengalir.

Daim bersandar di kerusi. Dahinya dipicit. Dia faham situasi Raiqa. Seburuk-buruk perangai Puan Rosmah, hanya wanita itu saudara Raiqa yang masih ada di dunia ini.

“Dah. Jangan menangis lagi. Rai lapar tak?” Pipi si gadis dielus lembut.

“Rai tak lapar. Rai cuma nak berehat. Badan Rai penat sangat.” Kepalanya dijatuhkan ke bahu Daim.

Sejak dia melarikan diri dari rumah mak su, segala urat di tubuhnya terasa lemah. Dia mahu tidur untuk melupakan apa yang berlaku hari ini.

“Abang hantar Rai ke hotel dulu. Buat sementara waktu, Rai tidur di sana. Tentang rumah sewa, jangan risau. Abang dah dapat. Kalau tak ada masalah, nanti Rai boleh tinggal di sana.”

Tercengang Raiqa. Hampir saja dia terlupa yang beberapa bulan yang lepas, dia ada menyuruh Daim mencari rumah sewa. “Tak menyusahkan abang ke? Rai tak ada duit.”

“Apa-apa perkara yang ada kaitan dengan Rai, tak pernah menyusahkan abang. Abang buat semua ni sebab abang sayangkan Rai. Tentang duit, serahkan semuanya kepada abang.”

Terhenyak Raiqa dengan pengakuan Daim. Anak matanya dilarikan ke luar tingkap. Timbul rasa bersalah melihat keikhlasan lelaki ini sepanjang mereka berkawan. Nampak jelas lelaki ini terlalu cintakan dia.

Daim memandu dalam keadaan tenang. Sesekali Raiqa menoleh ke sebelah. Lama dia menatap wajah kacak itu.

“Abang percayakan Rai ke?” Tiba-tiba soalan yang terlintas dalam fikirannya itu disuarakan.

“Mestilah abang percaya. Rai tak mungkin akan  khianati abang. Dari hari pertama kita kenal, abang tahu sayang bukan orang jahat. Dan abang tak menyesal kenal Rai.”

Bergenang tubir mata Raiqa. Bibirnya digigit kuat. Entah kenapa dia berasa takut dengan diri sendiri. Takut andai suatu hari nanti Daim akan membenci dirinya jika kebenaran terbongkar.

 

SELESAI SOLAT maghrib, dia bergegas turun ke dapur untuk makan malam. Malam ini Daim tak banyak bercakap. Fikirannya masih teringatkan Raiqa. Selepas dia menghantar

gadis itu di hotel bajet, dia terus pulang ke rumah.

Sudah acap kali dia cuba menghubungi gadis itu tapi tiada satu pun panggilannya dijawab. Mungkin Raiqa masih tidur atau ingin bersendirian.

Nafas dihela sedikit berat. Selagi masalah Raiqa tak selesai, selagi itulah dia tak mampu bertenang. Esok dia akan ke rumah keluarga Wafiq untuk bertanyakan tentang rumah sewa. Dengan wang simpanan yang ada, cukuplah untuk dia membayar duit deposit rumah.

“Kenapa termenung tu? Tak sedap ke mak masak?” tegur Hajah Rogayah.

Tersentak Daim. Dia cuba memaniskan wajahnya.

“Sedap, mak. Daim cuma penat sikit.”

“Lupa pula, mak. Tadi kata keluar dengan Wafiq. Kenapa tak ajak dia ke rumah? Sejak dia belajar di UiTM, susah betul nak jumpa,” soal Hajah Rogayah.

“Saja aje kami nak lepak di luar. Dah lama tak borak. Tu yang Daim balik lambat,” jawab Daim. Daim habiskan makanan di pinggan. Cepat habis, cepatlah dia masuk ke bilik. Dia dah tak sabar untuk menghubungi Raiqa. Entah makan ke tidak kekasih hatinya itu.

“Abang kenal anak Encik Rasyid tu?” tanya Hajah Rogayah.

“Anak dia yang mana?” Berkerut dahi Haji Daus.

“Yang bongsu tulah. Dengar cerita, awal bulan depan dah nak kahwin. Muda lagi anak dia tu. Sebaya dengan anak kita. Kan tahun ni Daim dah masuk 20 tahun.”

Tegak terus tubuh Daim. Dia sekadar memasang telinga.

“Dah jodoh dia. Baguslah dia nak kahwin. Dari buat perkara yang tak elok, lebih baik kahwin.” Haji Daus menjeling ke arah si anak.

Terkesan juga Daim mendengarnya. Kepalanya menunduk ke bawah.

“Hesy... muda sangatlah abang. Budak tu masih belajar. Besar tanggungjawab nak kahwin muda ni,” ujar Hajah Rogayah.

“Tak payah nak sibuk hal orang lain, Yah. Sebelum dia nak buat keputusan tu, memang dia dah fikir masak-masaklah. Kita pun dulu kahwin muda juga. Yah dah lupa ke?” Haji Daus sengaja ingatkan isterinya.

Berbahang wajah Hajah Rogayah apabila tiba-tiba kisah lama mereka diungkit. Memang mereka berdua berkahwin awal ketika usia 20 tahun. Namun mereka mendapat rezeki anak selepas 5 tahun berkahwin. Walaupun hanya Daim permata hati mereka, itu pun sudah cukup melengkapkan kehidupan mereka suami isteri.

“Yang Yah risau sangat ni kenapa? Macamlah anak kita yang nak kahwin muda,” seloroh Haji Daus.

Hampir tersedak Daim. Cepat-cepat dia mencapai gelas minuman di atas meja. Kedua-dua orang tua itu saling berpandangan.

“Daim okey tak ni?” soal Hajah Rogayah.

“O... okey. Err... Daim nak masuk bilik. Malam ni rasa nak tidur awal.” Daim meminta diri.

Orang tuanya tidak membantah. Daim bawa pinggan kotor ke singki. Selepas membasuh pinggan yang digunakan tadi, dia bergegas naik ke atas.

“Kenapa pelik sangat dengan anak kita tu?” soal Hajah Rogayah.

“Biasa aje. Perasaan Yah agaknya.”

Cemberut wajah wanita ini. “Abang ni memang dari dulu suka sangat ambil mudah. Anak kita dah 20 tahun. Walaupun dah besar, Yah tetap risau kalau dia buat perkara yang tak elok di belakang kita.”

Menggeleng Haji Daus.

“Suka sangat cakap yang bukan-bukan. Selama ni ada ke Daim buat hal di sekolah? Tak ada kan?”

“Yalah. Yah cuma rasa tak sedap hati bila dia tolak tawaran sambung belajar. Yah harap kali ni dia sambunglah belajar. Macam si Wafiq tu.”

“Tak perlu nak bandingkan anak kita dengan anak orang lain. Abang yakin Daim tu tahu nak tentukan masa depan dia sendiri. Tak perlu nak bagi tekanan sangat dekat anak kita.”

Hajah Rogayah menjeling geram. Entah kenapa naluri seorang ibu dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena dengan sikap si anak.

No comments:

Post a Comment