DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 30 May 2022

Mama Untuk Suraya - Bab 4


DURRANI memandang hujung kaki sendiri. Sesekali dia mengerling Suraya yang sudah tertidur di sofa. Selepas menangis tadi, tidak lama kemudian si kecil itu terus terlelap di pangkuannya. Kini hanya tinggal dia dan bos besarnya sahaja. Lelaki itu sedang berdiri sambil berpeluk tubuh. Wajah itu pula nampak serius. Berbeza benar ketika dia melayani Suraya tadi.

Err... Encik Ghaz...” Durrani memberanikan diri memanggil. Dari tadi Ghaz hanya diam. Dia pula yang sasau menunggu butir bicara lelaki itu.

Satu keluhan keluar daripada mulut Ghaz, menarik minat Durrani. Dalam senyap dia memerhatikan papa Suraya itu. Mukanya kacak dihiasi dengan jambang halus. Kulitnya tidak terlalu cerah, tidak juga terlalu gelap. Tubuh pula agak sasa dan tinggi.

“Ehem!” Ghaz berdeham kuat.

Buru-buru Durrani mengalih pandangan ke tempat lain. Mampus kalau lelaki itu tahu dia sedang ralit memerhati figura itu sejak tadi. Sudahlah ini baru hari pertama dia bersua muka dengan pemilik syarikat ini.

Durrani membetulkan duduk. Tangan kanan mengemaskan tudung di kepala. Waktu itulah dia perasan yang Ghaz sedang menghampirinya. Debaran di dada mula berdetak perlahan.

“Cik Durrani.”

“Ya, saya.” Hampir tergagap Durrani dibuatnya.

“Dah berapa lama awak bekerja di syarikat ni?”

Erm, nak masuk 4 tahun, encik.” Sambil menjawab mata Durrani mengerling ke arah Ghaz. Entah kenapa, dia jadi segan apabila perasan mata bosnya masih menikam tepat kepadanya. Mulalah timbul rasa takut dek dia memandai-mandai berlakon menjadi mama Suraya tadi.

“Encik... pasal tadi tu... saya...”

“Awak dah kahwin?”

Soalan Ghaz memotong kata-kata Durrani. Kali ini anak matanya terus menikam pandangan lelaki itu. Terkejut dengan soalan di luar jangkaan begini. Perlahan dia menggeleng.

“Belum.”

“Dah bertunang?”

Err... belum juga.” Tangan kanan Durrani naik menggaru dahi. Lain macam sungguh kena soal siasat begini.

Good.” Ghaz mengangguk.

Dan anggukan itu membuatkan dahi Durrani berkerut.

“Apa yang good, encik?”

Soalan itu mengundang jelingan maut Ghaz. Terus Durrani mengunci mulut. Salah cakap nanti mahu dia kena sembur. Sudahlah lelaki yang berdiri di hadapannya ini ialah bos besar. Silap-silap boleh hilang kerja!

Erm... terima kasih sebab awak pujuk anak saya tadi.” Beberapa minit berdiam diri, Ghaz mula membuka mulut. Nada suaranya sedikit rendah.

Durrani tersenyum.

“Tak ada apalah, encik. Saya memang suka budak-budak.”

“Suraya tu istimewa. Dia cacat penglihatan di sebelah mata kirinya. Sebab itu dia tak nampak kalau ada objek atau sesuatu yang berbahaya dari sudut pandangan kiri.”

Durrani diam. Tidak dia sangka anak seceria itu rupa-rupanya terlalu istimewa. Semakin tumpah rasa simpatinya terhadap Suraya. Kepalanya saat ini timbul tentang soal isteri Ghaz, tetapi mulutnya berat hendak bertanya. Lagipun sedar dia orang luar, tak akan mahu sesuka hati bertanya isu peribadi lelaki itu.

“Dan... Suraya tak pernah kenal mama kandung dia,” tambah Ghaz.

Sunyi. Hanya helaan nafas Ghaz dan Durrani kedengaran memenuhi ruang pejabat itu.

Durrani mengerling Ghaz. Roman lelaki itu kelihatan tenang saja selepas memberitahu hal tersebut. Sudahnya dia mengangguk saja.

“Boleh saya tanya encik sesuatu?”

“Silakan.”

“Kenapa Suraya panggil saya mama? Maksud saya, atas sebab apa benda ni boleh berlaku? Rupa saya ni ada macam isteri encik ke?” Akhirnya Durrani bertanya apa yang bermain dalam fikirannya sejak tadi. Lega apabila berjaya meluahkan.

Dia lihat Ghaz berjalan menghampiri meja kerja dan mengambil sesuatu. Kemudian lelaki itu kembali mendekatinya. Sekeping foto dihulurkan di hadapan muka. Penuh keraguan, Durrani mengambil gambar tersebut.

“Eh!” Dia terkejut sebaik melihat wanita di dalam foto tersebut. Mata kembali memandang Ghaz.

“Ini... ini isteri encik?”

Ghaz mengangguk.

“Kalau sekali tengok memang macam muka saya. Tapi tak adalah sama sangat,” Durrani memberi komen.

“Betul. Tapi, mungkin sebab keirasan tu yang buatkan Suraya salah faham dan ingat awak mama dia.”

Kini Durrani pula mengangguk.

“Habis, kita nak buat apa sekarang, encik? Kita perlu jelaskan kepada Suraya hal sebenar. Kasihan dia kalau dia terus berharap yang saya ni mama dia.”

Ghaz meraup wajah. Sebenarnya dia dalam persimpangan yang sangat rumit dan tidak disangka-sangka. Dalam ramai-ramai orang di dunia ini, boleh pula pelanduk dua serupa Sarah ini bekerja di syarikatnya. Kebetulan sangat!

“Kalau tak keberatan, boleh saya minta tolong dengan Cik Durrani?”

“Tolong apa?”

“Untuk sementara waktu, boleh awak terus berlakon sebagai mama Suraya? Sebab saya tak nak kecewakan dia. Hari ini buat pertama kalinya dia memanggil seorang wanita sebagai ‘mama.’ Saya tak sampai hati nak beritahu hal sebenar. Lagipun dia masih kecil, belum faham apa-apa.”

Permintaan Ghaz itu mengejutkan. Durrani menelan liur. Dalam sekelip mata dia berada dalam situasi ini. Dia seorang gadis bujang perlu berlakon menjadi seorang ibu? Ini kalau ibu bapanya masih hidup dan dapat tahu, tentu mereka terkejut beruk.

“Saya tak paksa. Awak boleh fikirkan dulu permintaan saya ini.”

Perbualan mereka terganggu apabila terdengar suara dari arah sofa. Durrani dan Ghaz sama-sama berpaling ke arah Suraya. Anak kecil itu masih tidur, tetapi mulutnya bercakap seperti mengigau.

“Papa... mama...”

Durrani dan Ghaz berlaga pandangan. Lama merenung satu sama lain. Durrani mengetap bibir. Tanpa sedar dia perlahan-lahan sudah ‘tersangkut’ dalam kemelut dan perjalanan kisah dua beranak ini.

Dia jadi mama Suraya? Ayat itu berlegar-legar dalam kepalanya.

No comments:

Post a Comment