SEBAIK saja dia membuka pintu, pandangan sebal bernada tidak puas hati dilontarkan kepada kedua-dua tetamu yang tidak diundang di hadapannya ketika ini. Langsung tidak memberinya peluang untuk menenangkan diri.
“Hai kakak!” sapa Megat Amirul dengan riang.
Sapaan Megat Amirul diabaikan.
“Kenapa abang boleh ada kat sini?” soal Alyssa dengan nada tidak berpuas hati.
“Ayah suruh abang dan Mirul cari Lyssa,” balas Megat Aiman sebelum melangkah masuk tanpa menanti pelawaan Alyssa. Dia sangat tahu Alyssa bengang dan mungkin terkejut dengan kedatangannya dan Megat Amirul di tempat persembunyian gadis itu.
“Macam mana abang tahu Lyssa ada kat sini?” soal Alyssa lagi setelah menutup dan mengunci kembali pintu di belakangnya.
“Hanya abang aje yang tahu tempat persembunyian Lyssa ni,” balas Megat Aiman dengan senyuman. “How are you?”
“Definitely better than before,” jawab Alyssa tidak ikhlas.
“Ini favourite Mirul.” Megat Amirul lihat Carbonara Spaghetti di atas meja. “Can I have some?” soalnya tanpa segan-silu.
Walaupun tidak menggemari kedatangan kedua-dua lelaki di hadapannya, Alyssa tetap mengangguk dengan permintaan adik lelakinya.
Megat Amirul kemudian melangkah ke arah dapur, mengambil pinggan sebelum kembali ke meja makan.
“So, abang dengan Mirul nak apa datang sini?”
“Lyssa tahu kan dua hari lagi kita akan berjumpa dengan...” Belum sempat Megat Aiman menyudahkan ayatnya, Alyssa mencelah pantas.
“Lyssa tak nak pergi.”
Megat Aiman terkesima. Begitu juga dengan Megat Amirul yang berada di meja makan. Hampir saja dia tersedak mendengar ayat kakaknya sebentar tadi.
“Ayah cakap Lyssa perlu pergi. You must be there, Lyssa.”
Ayat Megat Aiman membuatkan Alyssa melepaskan keluhan. Dia tahu itu. Sebelum dia membuat keputusan untuk ‘menyembunyikan diri’, berulang kali ayah mengeluarkan ayat yang sama.
“Ayah ada cakap apa-apa?”
Alyssa andaikan Megat Zahari terlampau marah kepadanya disebabkan ‘kehilangannya’ secara tiba-tiba. Lihatlah, segala akaun peribadi dan kad kredit miliknya dibekukan untuk sementara waktu. Nasib baik dia telah mengeluarkan wang tunai yang mencukupi untuk lapan hari persembunyiannya.
“Ayah dan mama risau.”
“Ayah tentu risau kalau Lyssa akan memalukan dia. Oh, tak! Lyssa sememangnya dah malukan ayah.” Nada Alyssa kedengaran sarkastik.
“Alyssa...” tegur Megat Aiman sambil menggelengkan kepala. “Ayah tak ada pilihan, Lyssa.”
Dia sangat tahu sebab utama adik perempuannya berperangai memberontak begini. Semuanya disebabkan persetujuan ayah mereka terhadap aturan perkahwinan adiknya itu dengan keluarga diraja.
“Ayah tahu keputusan Lyssa. Ayah sendiri cakap dia akan ikut kehendak Lyssa. Tapi, sekarang... Lyssa rasa dikhianati.” Alyssa memeluk tubuh sambil memandang Megat Aiman di hadapannya.
“Ayah cuma nak yang terbaik untuk Lyssa. Ayah, mama, abang dan Mirul semuanya nak yang terbaik untuk Lyssa.”
“Dengan biarkan Lyssa kahwin dengan lelaki yang Lyssa tak suka?”
“Kenapa kakak tak suka Tengku Adrian?” Megat Amirul yang berada di meja makan mula bersuara. “Dia kacak, baik, gentleman. Budak-budak perempuan kat kolej Mirul semuanya gila bayang dengan dia.”
Alyssa diam, tidak menjawab soalan adiknya. Dia bukanlah tidak suka Tengku Adrian. Dia cuma tidak berminat dengan perkahwinan yang diatur. Tambahan lagi, dengan status dan darjat Tengku Adrian Eiman sebagai pewaris takhta Negara Eurovia membuatkan dia fikir dia akan punya tanggungjawab yang lebih besar daripada sebelum ini jika dia berkahwin dengan lelaki itu nanti.
“Kalau kakak tak suka dia sebab gosip-gosip tentang dia dulu, kakak sendiri tahu tu semua gosip. Tak ada yang betul. Termasuklah gambar-gambar dia yang... you know... itu gambar lama. Lagipun, ayah cakap setiap orang tak pernah lari daripada kesilapan dan masa silam yang buruk,” sambung Megat Amirul.
“Tak ada kaitan dengan semua tu, Amirul...” balas Alyssa dengan nada mendatar.
“Habis tu, apa?” Megat Amirul memandang kakaknya dengan riak ingin tahu.
“Kakak tak fikir dia yang terbaik untuk kakak.”
Ayat Alyssa itu membuatkan Megat Aiman tersenyum hambar. Walaupun Alyssa jujur, tapi dia faham maksud tersirat ayat adiknya.
“Abang tahu tak ada sesiapa pun yang mampu gantikan Aariz dalam hidup Lyssa. Tapi, sampai bila Lyssa nak hidup macam ni? Riz...” Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Alyssa telah mencelah dengan berang.
“Ini tak ada kaitan dengan dia, abang!” Alyssa tiba-tiba saja bengang apabila nama bekas teman lelakinya dibangkitkan. “Lyssa tak faham kenapa semua orang nak kaitkan orang yang dah tak ada dengan apa yang Lyssa buat. Apa yang Lyssa buat sekarang ni langsung tak ada kaitan dengan dia.”
“Lyssa pasti dengan apa yang Lyssa cakap tu?”
Soalan yang senang. Namun, entah mengapa Alyssa tiada keberanian untuk menjawab soalan Megat Aiman itu. Sudahnya dia dan lelaki itu saling memandang antara satu sama lain untuk beberapa ketika sebelum Megat Aiman kembali bersuara.
“Abang faham situasi yang Lyssa alami sekarang ni. Tapi, macam yang abang cakap tadi, kami semua nak yang terbaik untuk Lyssa.”
“Abang fikir dia yang terbaik untuk Lyssa?”
Megat Aiman menelan liur, tidak pasti bagaimana mahu menjawab soalan adiknya.
“Lyssa aje yang boleh jawab soalan Lyssa tu.”
“Lyssa dah beritahu yang...”
“Lyssa belum cukup kenal dia lagi,” celah Megat Aiman tenang.
Ayat Megat Aiman membuatkan Alyssa melepaskan keluhan berat. Dia akui apa yang dikatakan oleh abangnya. Dia sememangnya tidak mengenali Tengku Adrian dengan baik. Segala yang diketahuinya mengenai lelaki itu hanyalah berdasarkan apa yang dibacanya di laman sesawang. Walaupun dia sering kali bertemu dan punya perbualan ringkas dengan Adrian, semua itu masih belum mencukupi untuk dia katakan dia mengenali Tengku Adrian Eiman secara peribadi.
“Abang minta maaf sebab tak dapat pertahankan Lyssa ketika keputusan ni dibuat,” sambung Megat Aiman. “Tapi abang nak Lyssa tahu yang abang, Amirul, mama dan ayah akan selalu berada di pihak Lyssa walaupun Lyssa tak fikir macam tu.”
Ayat Megat Aiman yang ini membuatkan Alyssa tiba-tiba saja berasa terharu. Entah berapa lama dia mendiamkan diri sebelum dia kembali bersuara. Megat Aiman dipandang.
“I guess I need to really let it go this time. I just have to move on. Right?”
Megat Aiman mengangguk lemah sambil tersenyum hambar.
No comments:
Post a Comment