DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 1 November 2022

Pelangi Selepas Hujan - Bab 10

 

Kalau kita tidak bergalah,

Jangan takut membentang kajang,

Kalau kita tidak bersalah,

Jangan takut ditentang orang.

 

RYAN menyiapkan sarapan ala kadar saja. Dia mahu keluar berjoging. Musim bunga memang saat yang menyeronokkan. Ia memberi tenaga yang berbeza. Malah emosi juga turut berbeza. Sangat rugi jika momen ini dibiarkan berlalu tanpa menikmatinya.

“Assalamualaikum bang,” tegur Thaqif. Dia senyum memandang Ryan. Rajin pula dia lihat Ryan buat sarapan pagi. Selalunya waktu pagi begini Ryan masih bertapa di dalam bilik kerjanya hingga ke tengah hari.

Waalaikumussalam. Jom Qif, sarapan dulu sebelum ke kelas.”

“Abang masak apa?”

“Nasi goreng je. Yang lain mana?”

“Tidur. Diaorang tak ada kelas hari ini bang,” jelas Thaqif menarik kerusi lalu duduk.

“Dah tu Qif ni pula nak ke mana?” Ryan memandang anak muda itu. Segak berpakaian dengan beg di bahu. Dia ingatkan ada kelas tadi.

“Nak ke library.” Thaqif tersengih.

“Oh, ingat jumpa awek,” giat Ryan.

Meletus tawa Thaqif. Awek? Memanglah gadis Turki semua cantik-cantik, tapi dia masih ingat misi asal dia jejak kaki ke negara ini. Cita-cita dan harapan orang tuanya tergalas di bahu. Jadi selagi dia tidak berjaya menjadikan itu kenyataan, dia takkan peduli tentang perempuan dan cinta.

“Qif makanlah. Abang nak keluar joging dulu,” ujar Ryan seraya melangkah ke pintu. Menyarung kasut kemudian dia terus keluar. Menapak ke jalan dia berhenti sekejap. Panaskan tubuh sebelum memulakan larian, tapi matanya menangkap satu susuk yang sedang melilau.

Mata dipicingkan lagi. Dia seakan kenal susuk itu. Tapi tak mungkinlah si pemilik susuk itu datang ke Turki.

‘Dah kenapa pula dia tak boleh datang Turki, Ryan? Hesy!’ Hendak saja dia mengetuk kepala dengan soalan sendiri. Kaki menapak perlahan mendekati figura tadi. Hanya beberapa langkah saja yang memisahkan mereka, Ryan menghentikan langkah.

“Ehem!” Dia berdeham kecil.

Erk! Reyhan tegak tubuh. Siapa pula yang berdeham ni? Dengan hati-hati dia menoleh ke belakang. Hesy! Takkanlah baru jejak kaki ke sini dah ada masalah? Dia menelan liur melihat figura di depannya.

What are you doing here?” soal Ryan keras. Wajah sengaja diketatkan. Dia memandang Reyhan atas bawah. Dengan beg tersandang di belakang. Ryan yakin gadis itu baru sampai di sini.

Bibir dikemam menahan tawa. Melihat olah si gadis yang kekalutan sangat menghiburkan. Dia memang langkah kanan agaknya. Jujur, dia tak pernah jangka akan bertemu lagi dengan gadis itu. Tidak di bumi Turki. Jauh dari Malaysia.

Zenia Reyhan...

Teringat kata Qadr selepas mereka pulang dari kedai buku dulu. Tanpa sengaja dia tertangkap dek Qadr ketika meninggalkan buku untuk Reyhan.

“Kalau dia ditakdirkan muncul dalam hidup kau macam mana?”

“Qadr...”

“Sampai bila kau nak berharap pada yang tak mungkin. Allah itu Maha Bijaksana. Dia bisa mengatur apa saja yang Dia rasakan terbaik buat hamba-Nya.”

Terus dia mati kata dan sekarang melihat Reyhan di depan matanya, mula dia rasakan apa yang dikatakan Qadr itu betul. Mereka ditakdirkan bertemu? Tapi bukankah terlalu awal untuk dia membuat kesimpulan?

Reyhan pula kerut kening dalam kekalutan. Soalan lelaki itu seperti menyatakan yang dia salah berada di sini. Dah kenapa? Ini negara dia ke? Mulalah dia rasa jengkel tapi ditenangkan dirinya. ‘Ingat, kau berada kat negara orang, Reyhan. Jangan buat sikap keras kepala kau.’

“Awak buat apa kat sini?”

“Oh, boleh bercakap bahasa Melayu?” soal Reyhan sinis.

“Saya orang Malaysia...” jelas Ryan.

“Oh, orang Malaysia! Bukankah patut bagi ucapan salam, bukan kejutkan orang dengan ‘ehem’,” ejek Reyhan. Dia memeluk tubuh memandang tajam ke arah lelaki itu. Orang Malaysia maksudnya sekampung dengannyalah. Tapi lelaki ini seperti dia pernah lihat, tapi di mana ya?

“Sebab saya ingat awak menghendap nak mencuri. Ada ke nak sergah orang mencuri dengan bagi salam?”

Melotot mata Reyhan memandang Ryan.

‘Eh, suka hati dia saja kata aku ni nak mengendap. Apa gila aku nak mencuri di siang hari dan di tempat asing pula tu. Aku belum cukup gila lagilah!’ Haih, ini semua salah pihak pengurusan sebab tak maklumkan awal bahawa pemandu yang mereka upah tak dapat datang. Terpaksalah dia mengambil teksi. Dahlah mahal. Dicampaknya dia di sini. Sejak tadi dia mencari tempat dalam alamat yang diberikan, namun tidak ketemu.

“Apa gila datang jauh-jauh nak mencuri.” Sebal Reyhan.

Ryan ketap bibir menahan tawa yang hampir terhambur. Boleh tahan sinis juga Reyhan ini. Dia semakin asyik memandang seraut wajah... manis? Eh, sejak bila pula dia pandai menilai rupa perempuan ini? Pandangan dijatuhkan ke bawah. Ryan tarik nafas perlahan. ‘Jangan melebih Ryan. Ingat sikit, dia bukan perempuan yang halal untuk ditenung dan direnung. Dia perempuan asing yang boleh membuatkan kau tergoda.’

Ah, gila! Dia takkan tergoda dengan Reyhan. Dia...

Hmm, mana aku nak cari tempat ni?” omel Reyhan perlahan. Dibawa keluar telefon. Cuba memasukkan alamat yang diberikan dalam aplikasi Waze, tapi itulah... mungkin aturan berbeza atau dia yang tak mahir. Sebab dia ikut Wazelah dia sesat hingga ke sini.

Kaki dibawa melangkah lalu melabuhkan duduk di kerusi. Tidak dia pedulikan lelaki itu. Kepala menunduk ke bawah. Perut berbunyi.

“Lapar ke?” soal Ryan.

Reyhan memejamkan mata dalam keadaan menunduk. Digigit bibirnya. Menyumpah diri sendiri. Sungguhlah perutnya ini memalukannya. Dan lelaki ini pula kenapa masih di sini?

“Awak lapar?” tanya Ryan sekali lagi.

“Kalau saya lapar apa kaitan dengan awak?” Jengkel Reyhan rasa. Perlukah tanya dua kali? Memang laparlah kalau dah perut berbunyi. Dalam kapal terbang pun dia tak makan banyak sangat.

Kali pertama naik kapal terbang, bermacam perasaan ada. Bermacam imaginasi datang. Semuanya bukan indah-indah okey. Itu yang dia tak lalu nak makan walaupun hidangan yang disajikan mampu menarik seleranya. Dan sekarang dia rasa menyesal sangat. Kalaulah dia makan, taklah dia kelaparan. Haih, apalah nasib badan. Baru jejak kaki di Turki, dah macam-macam masalah. Tujuh hari nak tinggal di bumi asing ni! Macam mana dia nak anggap ini sebuah percutian yang membuka hati dan fikiran kalau hari pertama pun dah ada dugaan?

Ryan hela nafas berat. Nak buat baik pun susah.

“Kalau lapar saya nak ajak ke rumah saya.”

“Untuk apa?” soal Reyhan ragu-ragu. Dah kenapa baik sangat lelaki ini? Mereka tak kenal pun.

Ryan rasa nak tepuk dahi sendiri. Belum lagi dia lihat pandangan curiga Reyhan. Takut sangat dia apakan Reyhanlah tu? Tapi bagus juga sikap begini. Dalam dunia yang mencabar ini perlu ada prejudis. Jika tidak, diri akan sentiasa diambil kesempatan oleh orang lain. Satu lagi jika hidup tidak berpengetahuan; tidak berprinsip.

“Untuk makanlah, untuk apa lagi? Atau awak nak...”

“Apa?” Reyhan mencerlang garang. “Kenapa awak baik sangat? Kita tak kenal pun,” ajunya terus terang. Tak payah nak berkias. Memang dia rasa curiga kepada lelaki ini. Tapi dia sedikit lega apabila melihat makin ramai manusia yang melalui jalan itu. Kenapalah tadi masa dia terhendap-hendap tak ada orang yang lalu?

Tercengang Ryan sekejap. Baru tadi dia mengeluh nak buat baik susah, sekarang gadis ini terang-terang bertanya. Bukan marah cuma dia tercengang dan lucu melihat reaksi si gadis. Dia jadi tertanya, apakah reaksi Reyhan jika tahu yang mereka pernah jumpa? Dia pernah menolong Reyhan dan dia...

Hello sir!” sergah Reyhan. Dah kenapa lelaki ini memandangnya tak lepas? Mulalah rasa cuak itu mencanak-canak naik.

“Ehem.” Ryan membetulkan tekak. “Kita memang tak kenal, tapi sesama dari Malaysia. Tak salah kan saya tolong? Lagi pula awak lapar. Kat rumah saya ada makanan.”

“Saya bukan pengemis!” bidas Reyhan.

Kalau tadi Ryan rasa nak tepuk dahi, kali ini dia rasa nak hentak kepala. Bila masa pula dia cakap Reyhan pengemis?

“Awak nak ikut ke tak? Atau kat sini awak ada kenal orang lain?” soal Ryan dengan tangan menyilang dada.

Terkebil-kebil Reyhan memandang si jejaka.

“Kalau tak ada, jom ikut saya.”

“Saya tak kenal awak.” Perlahan Reyhan bersuara.

“Saya Ryan. Manusia juga. Bukan alien yang makan orang,” ujarnya bersama gelak kecil.

Reyhan mencebik mendengar bicara lelaki itu. Dia bangun. Lama dia memandang Ryan kemudian memandang sekeliling. Dia tak kenal sesiapa di sini. Kalau dia tolak pertolongan Ryan, dengan siapa dia nak minta tolong lagi?

“Okey. Tapi selepas tu boleh awak tolong bawa saya ke alamat ni?” Reyhan menunjukkan kertas yang tertulis alamat yang sepatutnya menjadi tujuannya.

Melihat sekilas, Ryan mengangguk.

“Tak jauh dari sini pun. Jom,” ajaknya. Janganlah nanti Qadr terkejut lihat dia membawa pulang perempuan. Tak pernah dia membuat kerja gila begini.

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 

011-40049752 (Admin Nina) / 019-3729676 (Admin Shida)

No comments:

Post a Comment