DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 30 November 2022

Suri Hati Sang Putera - Bab 1

 

FAIL kertas di tangan diletakkan dengan kasar sebelum memandang kedua-dua wanita di hadapannya. Yang sejujurnya, dia agak terkejut dengan apa yang didengarnya sebentar tadi. Memanglah dia mendengar khabar angin tentang apa yang bakal berlaku kepadanya nanti. Namun, tidak pula dia menyangka pilihan keluarganya ialah gadis itu!

“Kenapa dia?” soalnya dalam nada yang kedengaran sedikit tidak puas hati.

“Dia layak sebagai bakal permaisuri.”

Keluhan berat dilepaskan. Dia tahu itu. Tanpa fail yang mengandungi butiran gadis itu di hadapannya ketika ini sekalipun, dia sangat tahu siapa gadis itu sebenarnya. Dan ya, dia terpaksa akui apa yang wanita di hadapannya katakan tadi. Gadis itu selayaknya berada dalam senarai calon isterinya.

“Bonda tahu kamu dah ada pilihan sendiri. Tapi, Majlis Diraja cadangkan dia. Ayahanda dan bonda pun fikir perkara yang sama,” sambung Tengku Yuhanis. Dia mengerling ke arah anak perempuan sulungnya yang turut menyertai perbincangan ketika ini. Dia mengharapkan anak perempuan sulungnya itu akan berkata sesuatu bagi memujuk si adik.

Adrian mula tidak selesa dengan apa yang didengarnya. Dia sangat faham siapa yang dimaksudkan oleh ibunya. Setiap media dalam negara ini pernah melaporkan perihal yang sama. Bahawasanya dia dan model terkenal itu punya hubungan sebagai kekasih. Tapi, semua itu kisah lama yang dia tak mahu ingat lagi.

“Ed memang dah tak ada apa-apa dengan dia,” balasnya dengan nada mendatar. 

Tengku Yuhanis percaya apa yang dikatakan oleh anak lelakinya. Cumanya, bukan sekali dia mendengar gosip hubungan Putera Mahkota Negara Eurovia dengan model terkenal itu. Akan ada saja berita dan gosip berkaitan dua orang manusia itu sehinggalah ke hari ini walaupun ia hanyalah gosip lama yang dikitar semula.

Walaupun tiada pengesahan keluar dari pihak mereka, media telah menghebohkan kononnya Tengku Adrian Eiman dan model itu sedang mengenali hati budi masing-masing. Disebabkan itu, rakyat mula membuat andaian mengenai perkahwinan diraja yang bakal berlangsung antara dua orang itu.

“Kalaulah perempuan tu tak buat hal...” Tengku Sofia bersuara sambil menggelengkan kepala, mengingatkan perihal yang berlaku setahun yang lalu.

Adrian mula mengeluh kecil. Makin bertambah tidak selesa dirinya mendengar ayat kakak sulungnya itu.

“Berhenti mengungkit benda yang dah lepas, kak long.” Dia merenung tajam Tengku Sofia. “Ed tak nak cakap atau dengar tentang perempuan tu. Ed nak bercakap tentang dia.” Mata dan jari telunjuknya kemudian dihalakan pada fail di atas meja, berhadapan dengannya.

“Dia tak adalah teruk pun, Adrian.” Tengku Yuhanis menarik keluar sekeping gambar dari fail di atas meja. Gambar tersebut memaparkan seorang gadis berambut panjang yang sedang tersenyum. “Cantik. Berpelajaran tinggi. Berprofil tinggi.”

“Tentulah dia berprofil tinggi. Dia daripada keluarga bangsawan,” balas Adrian dalam nada seperti tadi.

Tengku Sofia mula mengeluh malas. Bosan pula dengan kerumitan yang sedang dicipta oleh adik lelakinya ketika ini. Berbanding mengeluarkan soalan bertubi-tubi, lebih baik saja memberikan jawapan sama ada bersetuju atau tidak dengan apa yang dibincangkan oleh mereka ketika ini.

“Habis tu, kenapa kau tak suka dia?”

“Ed tak cakap pun yang Ed tak suka dia. Ed cuma...” Adrian menghela nafas. Tidak pasti bagaimana dia mahu memulakan penjelasannya. Apa yang bakal keluar daripada mulut dia nanti adalah sesuatu yang berkaitan dengan masa silam gadis itu. Masa silam yang kadangkala membuatkan dia sedikit kecewa setiap kali dia teringatkan itu.

“Kau... apa?” Tengku Sofia kembali bersuara. Hairan dengan diam Adrian yang tiba-tiba.

Nothing. Tak penting pun,” jawab Adrian dengan nada malas.

“Apa-apa pun, cubalah kenal dia dulu. Maksud bonda, kenal dia dengan lebih mendalam. Bonda tahu Ed dengan dia dah kenal antara satu sama lain. Cumanya...”

Belum sempat Tengku Yuhanis menyudahkan ayatnya, Adrian mencelah.

“Dia tahu tak hal ni?”

“Tak pasti. Alyssa sekarang ni berada di luar negara, menghabiskan tahun terakhir pengajiannya. Tapi, keluarganya dah dimaklumkan.”

“Bonda kata dia hanya calon sahaja. Kenapa keluarga dia perlu dimaklumkan?” Adrian pandang Tengku Yuhanis dengan dahi berkerut. Langsung tidak memahami apa yang sedang berlaku ketika ini.

Tengku Sofia turut memandang ibunya. Dia juga pernah bertanyakan perkara yang sama kepada wanita itu semalam tapi ibunya hanya tersenyum mendengar soalannya.

“Mungkin sebab ayahanda dan Megat Zahari tu kawan baik. Lagipun, hanya Alyssa saja yang berada dalam senarai calon isteri kamu. Tak ada persaingan. Melainkan kamu nak masukkan juga kawan model kamu tu,” jawab Tengku Yuhanis dengan nada tenang seperti selalu.

Adrian diam seketika, menghadamkan ayat ibunya. Dia sangat mengetahui hubungan baik ayahandanya dan Megat Zahari, ayah Alyssa. Tambahan pula, Megat Zahari selalu saja menyumbangkan dana pada yayasan kebajikan yang ditubuhkan oleh mereka.

“Keluarga dia cakap apa?”

“Megat Zahari mungkin suka Ed. Tapi dia beritahu dia tetap akan ikut keputusan Alyssa. Dia bersetuju atau tak bersetuju, semuanya dalam tangan Alyssa.”

Tengku Yuhanis teringatkan perbincangan dengan keluarga sahabat suaminya itu beberapa hari yang lalu. Dia sebenarnya agak tidak berpuas hati disebabkan mereka masih belum mencapai keputusan muktamad untuk menjadikan Irene Alyssa sebagai menantunya. Namun begitu, dia menghormati keputusan Megat Zahari dan mengharapkan Alyssa akan bersetuju dengan aturan perkahwinan ini nanti.

Adrian hela nafas. Dia sebenarnya risau dengan penerimaan Alyssa apabila berita ini sampai ke pengetahuan gadis itu. Mungkin juga dia risau jikalau Alyssa menolak cadangan untuk menjadi isterinya.

“Kalau Alyssa tak setuju, kak long akan tolong kau,” Tengku Sofia kembali bersuara.

“Tolong apa?” Adrian kerut dahi, tidak memahami apa yang kakak sulungnya sedang katakan.

“Masuk campur. Pujuk Alyssa terima kau.”

“Kita tak patut paksa orang, kak long, bonda.” Mata Adrian terarah pada kedua-dua wanita di hadapannya.

“Memang. Tapi, bonda mahu Alyssa jadi menantu bonda,” ucap Tengku Yuhanis tenang disertakan senyuman kecil. 

Adrian telan air liur. Tidak pasti bagaimana mahu membalas ayat ibunya itu. Dia mungkin simpati kepada Alyssa. Tapi, dia lebih mahu simpati kepada ibunya jikalau dia tidak mampu menunaikan permintaan wanita itu.

“Alyssa sangat bertuah. Dia tak perlu buat apa-apa pun, dah dapat lampu hijau daripada semua orang dalam istana ni,” Tengku Sofia mencelah lagi.

Adrian mengeyakan ayat Tengku Sofia dalam hati. Jujur, setiap kali ayahanda dan bonda bertandang ke rumah Megat Zahari, ditemani olehnya, akan ada saja kata-kata pujian daripada kedua ibu bapanya terhadap Alyssa walaupun waktu itu Alyssa tiada bersama mereka.

Sungguh pun begitu, pujian-pujian terhadap Alyssa adalah sesuatu yang Adrian sangat akui. Dalam erti kata lain, gadis itu layak menerima pujian daripada ayahanda dan bondanya.

“Nanti bila Ed pergi London, bolehlah kamu jumpa Alyssa, bincang hal ni,” Tengku Yuhanis kembali bersuara.

“Ed dengan dia bukannya rapat sampaikan kami boleh lepak berdua macam tu aje. Ed tak fikir dia akan selesa dengan Ed.”

But you guys know each other,” celah Tengku Sofia.

Knowing each other doesn’t mean that we are close, kak long.”

“Kak long ingatkan kau dengan dia rapat. Yalah, sebab ada gambar kau dengan dia hari tu.”

“Bukan Ed dengan dia aje. Yang lain pun ada juga,” balas Adrian sambil mengimbau kembali kejadian yang berlaku beberapa bulan yang lalu. Kejadian di mana dia bertemu kembali Alyssa ditemani oleh rakan-rakan mereka yang juga berasal daripada keluarga bangsawan. 

“Beritahu bonda atau kak long kalau Ed perlukan pertolongan. We could arrange a meeting between you and her,” ucap Tengku Yuhanis.

Adrian angguk lemah walaupun dia yakin, dia tak perlukan pertolongan ibu atau kakaknya nanti. Apa yang difikirkannya ketika ini hanyalah penerimaan Alyssa.

 

TELEFON PINTAR di tangan dilemparkan ke tilam dengan perasaan yang sukar ditafsirkan yang masih lagi bersisa semenjak dia menerima panggilan telefon beberapa minit yang lalu. Nafas dihela sebelum dia melabuhkan punggung di hujung katil.

Beberapa ketika dia bangun. Kemudian, dia kembali duduk. Kitaran itu berlaku untuk beberapa minit sebelum Alyssa menghempaskan tubuhnya ke katil dengan kasar.

Please tell me this is only a dream.” Pipinya dicubit dengan kuat sebelum dilepaskan.

Sakit!

Jadi, dia bukan sedang bermimpi. Tapi, sungguh apa yang diberitahu oleh ayah tadi sangat membuatkannya tergamam. Biar betul dia dipinang oleh keluarga diraja?

Tapi... kenapa dia?

Setahunya, Tengku Adrian sudah punya teman wanita. Dia teringatkan beberapa gosip yang pernah dibacanya di laman sosial suatu ketika dulu. Itu belum lagi dengan rakan-rakannya yang bercakap tentang hal tersebut.

Telefon pintar kembali dicapai, satu carian dilakukan di laman sesawang. Wajah Tengku Adrian Eiman tertera di skrin. Begitu juga dengan berita tentang lelaki itu, sama ada aktiviti kemasyarakatan yang lelaki itu lakukan mahupun berita gosip mengenai hubungan Adrian dengan model wanita terkenal itu.

Tapi, berita tersebut adalah berita satu tahun yang lepas. Semenjak berita kemunculan Adrian pada majlis hari jadi model wanita itu tersebar, tiada lagi berita mengenai dua manusia itu.

Alyssa melepaskan keluhan. Dia tak dapat bayangkan dirinya sebagai Puteri Mahkota. Dia rasakan dirinya langsung tidak layak untuk kedudukan itu. Bagi Alyssa, model wanita itu lebih sesuai menjadi Puteri Mahkota memandangkan bagaimana terkenal dan betapa baiknya budi pekerti wanita itu jika dibandingkan dengan dirinya. Itu belum lagi dengan beberapa pencapaian yang diterima oleh wanita itu. Camilla Leanne cukup sempurna, bak kata rakan-rakan lelakinya satu ketika dulu.

Kedengaran bunyi notifikasi. Alyssa mencapai telefon pintarnya. Satu kiriman mesej daripada ayahnya diterima.

 

Think wisely before making any

decision.

 

Sekali lagi Alyssa melepaskan keluhan. Think wisely? Buat apa dia mahu berfikir lagi walaupun dia sudah punya jawapan? Dia sudah membuat keputusan. Dia tak akan mahu menerima pinangan keluarga diraja itu.

Dia baru saja mahu membalas kembali kiriman mesej ayahnya sebelum tiba-tiba saja telefonnya berdering menandakan ada panggilan masuk.

Kerutan halus muncul di dahi melihat perkataan ‘Unknown Caller’ tertera di skrin. Tertanya-tanya siapa pemanggil tersebut dan tujuan menghubunginya malam-malam sebegini. Jarinya kemudian dihalakan ke arah ikon menerima panggilan.

“Alyssa?” Kedengaran suara lelaki di hujung talian.

“Who is this?”

“It’s me, Ed.”

“Ed who?”

“Tengku Adrian.”

Terus saja Alyssa menekup mulut. Tiba-tiba saja dia berdebar-debar. Tapi, dia sembunyikan itu dengan berlagak tenang.

“Oh, Ed! Hai! Apa yang I boleh tolong you?”

“I ada kat London sekarang ni. Kalau you tak kisah, boleh kita jumpa?”

“Jumpa untuk apa ya?”

“Ada perkara yang kita perlu bincangkan.”

Minda Alyssa sudah mengandaikan Adrian mahu bertemunya disebabkan apa yang ayahnya baru saja beritahunya tadi.

“Sure.”

“Nanti you beritahu bila you free. I akan datang ambil you kat rumah you nanti.”

It’s okay. You tak perlu ambil I kat rumah. I akan tetapkan kat mana kita nak jumpa nanti. I akan beritahu you bila I free dan kat mana kita nak jumpa. So, nanti kita jumpa kat situlah.”

“Better like that. See you soon.”

“Okey. Bye.” Talian kemudian dimatikan.

Alyssa kemudian melemparkan kembali telefon pintarnya ke tilam. Rasa berdebar yang dialaminya tadi masih bersisa dek panggilan telefon yang berlangsung tidak lebih dari satu minit itu.

Apa yang dia perlu buat sekarang?

 

No comments:

Post a Comment