DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 1 November 2022

Pelangi Selepas Hujan - Bab 3

 

Kayu bengkok, masakan lurus

bayangnya...

 

REYHAN menolak daun pintu setelah membuka kunci. Pintu dihempas kuat melepaskan perasaan marah. Terus dia melangkah ke ruang tamu selepas memastikan pintu berkunci rapat. Tak mahu Rahmad datang mencarinya di sini lagi. Tak mahu menyusahkan teman serumah yang lain. Mendongak kepala ke atas merenung siling, dia melepaskan nafas berat. Tak tahu apa yang hendak diluahkan kerana semuanya bagaikan sangkar emas yang terkurung seekor burung di dalamnya. Begitulah perasaan dia kini.

Tubuh kembali tegak. Beg dilemparkan ke atas meja. Kepala merunduk ke bawah. Kenapa hidup dia begini? Permulaan hidup yang tragis takkanlah pengakhiran hidupnya juga akan tragis? Sangka dia segalanya berakhir setelah apa yang menimpa dirinya. Dengan rela hati dia menerima hukuman atas apa yang telah dia lakukan kerana dia benar-benar mahu lari daripada kehidupan itu tetapi kenapa? Kenapa ia kembali mengejarnya? Apa lagi yang perlu dia lakukan untuk pergi jauh daripada semua itu?

Air mata yang mahu jatuh ditahan sebaiknya. Cukuplah tangisan yang sudah dihamburkan bertahun dulu. Dia sudah berjanji untuk tidak menangis lagi setelah dia jejaki ‘dunia’ ini kembali. Malah dia sudah pergi jauh daripada mereka yang menjadikan hidupnya neraka tetapi mereka bagaikan bayang-bayang mengejar dalam diam. Sudah jauh dia berlari melarikan diri, tetapi Rahmad masih mampu mencarinya. Apakah perlu dia matikan diri baru mereka akan berhenti mengganggu hidupnya?

Tangan naik meraup wajah berserta helaan nafas yang berat. Sangat berat sebenarnya. Dia berharap helaan itu dapat membawa bersama beban yang terkandung di dada dan bahu namun ia tetap begitu. Bahunya sudah hampir patah, dadanya sudah hampir pecah dek tekanan emosi dan perasaan yang melampau. Tetapi dia sentiasa meminta daripada-Nya kewarasan akal. Dia tak mahu menjadi seperti yang pernah dia lihat. Tekanan hidup membawa mereka ke jalan buntu. Tekanan perasaan membawa mereka ke jalan mati!

“Kau pergi mana baru balik?”

“Hah!” Terjerit Reyhan terkejut dengan teguran tiba-tiba itu. Dia menoleh ke arah suara tersebut. “Lila!” suaranya dengan nada tertahan. Mata menjegil geram. Dia ingatkan siapa yang menegur tiba-tiba tadi. Diusap dadanya yang tercungap-cungap.

Lila menarik senyum nipis. Dia duduk di sofa. Memandang ke arah Reyhan yang jelas serabut. Tak pernah dia lihat si teman begini. Selama 5 tahun mereka berkongsi tempat kerja dan rumah, ini kali pertama dia melihat Reyhan yang seperti hilang arah. Wajah kusut, raut yang serabut malah sepasang mata Reyhan kemerahan. Menangiskah?

“Kau dari mana ni?” ulang Lila soalan yang sama maksud, cuma penggunaan ayat yang berbeza. Matanya masih merenung tepat ke wajah Reyhan.

“Aku dari Dataran Merdeka.”

“Apa???”

“Janganlah terkejut sangat.” Reyhan menggelengkan kepala.

“Memanglah aku terkejut. Kau buat apa kat sana?” soal Lila.

“Aku hantar penumpang ke sana,” Reyhan memberi alasan.

Lila mengerutkan kening. Mata dipicingkan ke arah Reyhan. Kenapa dia tak rasa nak percaya alasan gadis ini? Reyhan dah lama berhenti membawa Grabcar. Jadi, untuk apa penumpang itu? Atau...

“Kau dah lama berhenti bawa Grabcar. Jadi dari mana datang penumpang tu? Atau kau sebenarnya...”

“Tak!” Reyhan menghela nafas perlahan. Apa yang perlu dia cakap? Yang dia bodoh ke sana sebab permintaan Rahmad yang kononnya mahu bertanya khabar, yang kononnya sekadar mahu melihat dia... mujur saja dia tidak menyuruh Rahmad ke sini. Kalau tidak, tak tahulah apa akan jadi.

Dia lupa siapa Rahmad. Bukan! Dia tak lupa siapa Rahmad, cuma jauh di sudut hati, dia berharap yang Rahmad sudah berubah. Yang lelaki itu benar-benar ikhlas mahu bertanya khabar. Berkali dia menipu diri dan hati, namun hakikatnya dia masih mengharapkan Rahmad menjadi abang yang sebenar untuknya. Abang yang diimpikan oleh setiap adik di dunia ini. Mungkin kerana cebisan harapan itu, dia lupa siapa Rahmad yang sebenar.

“Reyhan!”

“Aku jumpa abang aku.” Akhirnya dia berterus terang juga.

“Abang?”

Reyhan mengangguk lemah. Kepala masih merunduk ke bawah. Abang? Berkali-kali menyebut perkataan itu hanya satu yang bermain di kepala Reyhan. Tanggungjawab! Ya, apa saja perhubungan bermula dengan tanggungjawab. Namun Rahmad... Ah, tak! Seluruh keluarga dia tidak tahu apa itu tanggungjawab. Jika mereka tahu, hidupnya tak akan begini. Perjalanan hidup dia pasti tidak berliku seperti ini.

“Kenapa dia nak jumpa kau?”

Soalan Lila menarik kepala Reyhan mendongak ke atas. Kenapa? Bibir Reyhan terbit senyum senget. ‘Apa lagi alasan dia Lila, kerana aku ni bodoh!’

Panggilan yang bertali arus menimbulkan kerutan di dahi Reyhan. Sejak tadi nombor yang tak dikenali itu menghubunginya. Bukan sekali tapi berkali-kali. Dia tak punya ramai kawan jadi dia yakin ini bukan daripada kalangan teman-temannya. Mereka yang punyai nombor telefon dia hanyalah rakan sekerja dia sahaja.

Namun setelah berkali-kali panggilan dari nombor yang sama masuk, dia menjawab juga panggilan tersebut. Jantungnya bagaikan terhenti tatkala namanya disebut dengan suara yang sangat dikenalinya.

“Reyhan.”

Mata terpejam, nafas dihela perlahan. Dia cuba tenangkan hati dan diri. Setelah tenang barulah dia bersuara.

“Mana dapat nombor ni?”

Tawa yang kedengaran di hujung corong telefon menjengkelkan Reyhan. Dia tahu apa maksud tawa tersebut.

“Rahmad!”

“Hmm, mana panggilan hormat kau, Reyhan. Aku ni masih abang kau.”

“Kau nak apa?” soalnya tanpa pedulikan amaran Rahmad tadi. Tak perlu berpura-pura menjadi keluarga sedangkan mereka tak pernah faham apa fungsi keluarga.

“Reyhan,” jeda. Rahmad diam seketika. “Salahkah aku telefon untuk tanyakan khabar adik aku sendiri?” soal Rahmad lembut.

Jeda.

“Aku risaukan kau. Jadi aku cari kau. Selepas kau keluar, kau tak balik kampung. Kau tak jumpa kami lagi. Kenapa? Kau marahkan kami? Yang salah tu bukan kami. Hanya dia, Reyhan.”

Reyhan melepaskan nafas perlahan. Nada lembut Rahmad buat hatinya terusik. Rasa curiga dilontar jauh. Dia cuba berbaik sangka kali ini. Mungkin benar mereka risaukan dia. Yalah, sememangnya selepas keluar dari tempat itu, dia terus mendiamkan diri. Membawa haluan yang berbeza daripada keluarganya. Tanpa satu pun panggilan telefon atau pesanan bertulis, dia hanya berlalu dengan matlamat mahu membina kehidupan yang baharu. Dia tidak kisah jika tanpa keluarga sekalipun kerana waktu ada, mereka juga seperti tiada.

“Aku nak jumpa kau, Reyhan. Aku nak tengok kau dengan mata aku sendiri. Aku tahu, sebagai abang tak sepatutnya aku biarkan kau sendiri begitu. Aku minta maaf,” ucap Rahmad lirih.

Hanya kerana sebaris perkataan maaf, dia berjumpa dengan Rahmad, tapi yang jadi sebaliknya. Manusia, jika sudah biasa lidah bercabang takkan menjadi lurus. Kata-kata Rahmad hanyalah kata-kata yang hanya manis di bibir. Setan!

“Wah! Makin cantik adik aku sekarang,” ujar Rahmad menyapa Reyhan. Dia meluru dan memeluk tubuh Reyhan kemas. Tak sangka Reyhan membesar secantik ini. Mereka terpisah ketika Reyhan berumur 13 tahun dan sekarang umur Reyhan sudah 20-an. Sudah bertahun-tahun berlalu. Memang patut pun si adik semakin manis dan ayu tapi pandangan Reyhan masih sama. Kosong tanpa rasa!

“Kau sihat, bang?”

“Aku macam nilah. Sihat saja. Kenapa kau tak balik kampung?”

“Kampung bukan tempat aku,” tekan Reyhan.

Rahmad ketawa lepas. Kedengaran sangat angkuh bicara Reyhan. Kampung bukan tempat dia? Huh! Kalau sudah lahir di kampung, membesar di kampung... apa yang bukan tempat mereka?

“Kau dah duduk bandar, tak kenal kampung?” sinis Rahmad.

“Mak sihat?” tanya Reyhan tidak mempedulikan sindiran Rahmad.

“Hmm, sihatlah kut.”

Reyhan mengerutkan kening. Sihatlah kut? Apakah maksud Rahmad?

“Okeylah, aku terus terang saja kenapa aku nak jumpa kau. Aku nak duit!”

“Duit?” Bingung. Apa yang tak kena ni? Atau sekali lagi dia diperbodohkan?

“Ya, ayah kau...”

“Aku blah.” Reyhan memusingkan tubuh mahu berlalu dan ketika itulah Rahmad menarik tangan dan mencengkamnya kemas. Mula bertindak kasar terhadapnya. Ah, benar! Dia yang bodoh. Masih berharap pada hubungan keluarga yang pincang. Dan ketika itu jugalah lelaki itu muncul.

Lelaki...

Reyhan menelan liur. Diangkat kepalanya memandang Lila. Bagaimana dia boleh lupa tentang lelaki asing itu? Dia hanya berlalu dengan sekeping terima kasih tanpa melihat wajah si lelaki. Janganlah lelaki itu menganggap dia sombong.

“Kau tak pernah serik, Reyhan?” soal Lila setelah habis mendengar cerita Reyhan.

“Dia abang aku,” dalihnya.

“Manusia yang biasa menipu, kau rasa akan bercakap benar? Tiba-tiba pula tu. Selepas bertahun kau hilangkan diri, dia muncul dengan tiba-tiba. Kau tak rasa curiga?” soal Lila tak puas hati.

“Kan aku dah cakap, dia abang aku!”

“Ya! Sebab dia abang kaulah kau kena curiga, Zenia Reyhan. Kau dah lupa apa yang keluarga kau buat kat kau? Mana abang kau ketika tu?” selar Lila. Dia yang mendengar cerita Reyhan merasa perit, inikan pula Reyhan yang merasa. Bukankah sepatutnya Reyhan meletakkan sedikit curiga terhadap mereka? Lihatlah sekarang apa yang jadi. Nasib baik Reyhan pulang dengan selamat.

“Aku tahu.” Lemah Reyhan menjawab.  Tidak ada balasan untuk soalan Lila kerana itu benar belaka. Sepatutnya dia sudah mengerti. Sudah pahat dalam kepalanya bahawa tidak akan ada kebaikan dalam keluarganya. Mereka ibarat parasit yang menyedut untuk kepentingan sendiri.

“Aku hanya risaukan kau, Reyhan...” ujar Lila lembut. Reyhan nampak saja keras, tapi hatinya lembut. Lebih suka mengalah untuk bertahan. Itu yang membuatkan dia berasa bertanggungjawab mengingatkan Reyhan.

Senyum nipis terbit di bibir Reyhan. Dia faham kenapa Lila begitu. Boleh dikatakan isi rumah ini tahu tentang siapa dia. Tak pernah dia cuba untuk sembunyikan kebenaran tentang dirinya. Apa yang hendak disembunyikan? Lambat-laun mereka akan tahu juga. Jadi bukankah lebih baik sejarah itu terzahir daripada lidahnya, bukan daripada lidah manusia lain. Kerana manusia ini lidah bercabang. Banyak buruk daripada kebaikan yang disampaikan mereka.

 

No comments:

Post a Comment