“TUTUP tingkap tu!”
Suara garau itu mengejutkan Aina yang sedang membuka jendela. Spontan dia menoleh ke arah katil bertirai itu.
Emran menghadang matanya daripada terkena cahaya yang masuk. Silau! Namun sedikit demi sedikit dia cuba mengintai siapa yang berada di jendela itu. Terlihat olehnya samar-samar... susuk seorang wanita. Kecil molek.
“Siapa yang suruh buka tingkap tu? Aku cakap tutup!” ucap Emran.
“Err... selamat pagi, Tuan Emran.” Aina memberanikan diri menyapa tanpa mengendahkan permintaan Emran.
“Tutup!” Suara Emran meninggi lagi. Nada amarah kedengaran jelas. Tidak pernah dia mendengar lelaki itu bercakap elok-elok semenjak pertemuan pertama.
Terkejut kena jerkah dengan lelaki itu, Aina terus menarik langsir sehingga tertutup semula. Dia mendekati katil Emran dan berdiri di hujung katil.
“Saya rasa cahaya matahari baik untuk kesihatan. Bilik ni perlu pengudaraan. Saya tengok bilik ni gelap. Jadi, saya rasa lebih baik jika langsir ni dibuka sekali-sekala,” ucap Aina. Cuba berkomunikasi dengan lelaki itu walaupun dia tidak mampu menjangka apa akan berlaku selepas ini. Sudah beberapa bulan dia ditugaskan oleh abangnya untuk menjaga Emran selepas dia tamat pengajian. Namun amat sukar untuk berkomunikasi dengan lelaki itu.
“Kau lagi? Kau nak apa, hah???” ucap Emran garang.
Aina terdiam.
“Keluar sana!!! Aku cakap keluar!!!”
Lelaki itu memekik sehingga Aina jadi cemas. Namun dia tetap berlagak tenang.
“Tuan Emran, saya ditugaskan di sini untuk bantu Tuan Emran. Saya perlu bantu tuan,” ucap Aina.
“Kau nampak aku ni macam perlukan bantuan kau ke?” tekan lelaki itu. Seperti tadi, nadanya tetap tidak mesra. Mengendur pun tidak. Semua orang dibencinya.
Aina bungkam seketika sambil terus memerhatikan keadaan Emran yang sedang terbaring lumpuh itu. Dia bersimpati. Namun dia perlukan sedikit masa untuk memikirkan apa yang harus dibuat dengan lelaki itu. Tidak mampu berkata banyak dalam keadaan masih banyak yang dia tidak tahu tentang keadaan Emran.
“Apa? Apa pasal kau pandang-pandang aku? Kau nak cakap aku cacat???”
“Saya minta maaf, Tuan Emran. Saya hanya menjalankan tugas yang diamanahkan kepada saya. Saya takkan keluar dari rumah ini selagi keadaan Tuan Emran tidak sembuh.”
“Aku tak nak sembuh! Aku nak mati!”
Aina hela nafas perlahan sebelum dia mengambil kerusi lalu duduk tidak jauh daripada lelaki itu.
“Saya rasa, mati itu jalan mudah untuk keluar dari masalah. Kita sepatutnya berusaha selesaikan masalah. Kalau kita sakit, kita kena berjuang melawan penyakit tu,” ucap Aina perlahan.
“Arghh...” Emran rimas mahu mendengar bebelan gadis itu. Dia memalingkan wajah daripada memandang Aina.
“Saya tak tahu apa yang berlaku kepada Tuan Emran. Tapi mesti ada sebab kenapa Allah berikan peluang kedua kepada tuan.”
Emran hanya mendengar, tidak mahu memandang gadis itu.
‘Peluang kedua.’
Kata-kata Aina bergaung di telinga Emran. Apa yang gadis itu tahu tentang dirinya? Dia tidak tahu apa-apa! Bicara gadis itu memarakkan lagi kebencian dalam jiwanya. Dia terpandangkan pasu kecil di atas meja hiasan di tepi katil. Fikirannya terbang melayang begitu saja dibawa oleh emosi dalam dirinya. Dia seorang lelaki yang tidak mampu mengawal apa pun pada dirinya sendiri lagi. Waima sekadar menggerakkan kakinya pun dia tidak mampu.
“Kita semua ada masa silam. Tak kisahlah pahit atau pun manis. Masa silam itulah yang menentukan siapa kita hari ini,” tambah Aina. Tidak sedar... topik ceramahnya itu merupakan punca kemarahan terbesar lelaki itu.
“So, tell me... what’s on your mind?”
Spontan lelaki itu mencapai pasu itu lalu dilemparkan ke arah Aina. Aina sempat mengangkat dua tangannya untuk menghadang wajahnya. Namun pasu itu tetap mengenai kepalanya. Aina terkaku memegang dahinya setelah itu. Tidak sangka dia akan diberikan kejutan ini.
“Keluar! Kalau aku nampak kau lagi, mampus kau. Aku tak nak dengar suara kau membebelkan aku lagi. Aku tak nak tengok muka kau lagi. Perempuan semua sama!”
Aina tidak dapat berkata apa-apa dek kerana terkejut yang masih membaluti dirinya. Dia segera bangun dan berlalu ke pintu.
Di tingkat bawah Cik Yati terkejut melihat Aina datang ke ruang tamu dalam keadaan dahinya berdarah.
“Aina, kenapa ni? Dahi tu kenapa? Ya Allah...” ucap Cik Yati agak panik dan terkejut.
Aina tidak dapat menjawab bicara Cik Yati dek kerana kesakitan yang dirasainya akibat daripada hentaman pasu itu. Dia terduduk di sofa.
Kak Yati mula berteriak memanggil Salaam dan Pak Din agar datang membantu Aina.
“Apa dah jadi?” tanya Salaam. Dia turut terpandangkan luka di dahi Aina.
“Tak ada apa-apa.”
“Biar saya rawat luka tu,” ucap Salaam.
“Tak apa. Saya okey,” ucap Aina sebelum dia bangun dan berlalu meninggalkan semua orang di situ.
Di dalam biliknya, Aina membersihkan lukanya. Namun dia kembali teringat apa yang diucapkan Emran. Perempuan semua sama. Dia tahu Emran merujuk kepada seseorang bernama Jesnita. Cuma, dia masih belum tahu apa yang telah dilakukan Jesnita kepada lelaki itu. Tugasnya di situ adalah untuk membuat lelaki itu kembali ingat semuanya tentang peristiwa kemalangan itu.
Setakat ini Emran hanya ingat cebis-cebisan kecil saja. Lelaki itu lebih banyak dipengaruhi emosi dan rasa putus asa. Itu yang menyukarkannya. Dia perlu membuat Emran kembali bersemangat.
Aina diam memandang ke hadapan. Rumah agam itu agak kusam suasananya. Dia perlukan nafas baharu agar suasana rumah ini kembali segar. Siapa tahu, bermula dari itu Emran merasa kembali bermaya.
BEBERAPA HARI ini, Zaid dibaluti oleh seribu satu masalah tentang syarat kedua Rafael.
Zaid berjalan mundar-mandir di tepi kolam renang. Kusut. Isterinya meninggalkan rumah semenjak pagi tadi. Dia tidak tahu ke mana. Sebentar tadi, dia bergaduh lagi dengan mamanya tentang tuduhan mamanya terhadap Jesnita. Kononnya Jesnita mengenali Rafael. Mamanya juga mendesak dia menceraikan Jesnita.
Fauzi muncul memandang gelagat Zaid. Dia sedar anak muda itu masih kusut dengan pertengkaran tadi dan juga tentang Jesnita.
“Sabarlah. Aku tahu kau sayangkan Jesnita. Tapi fikirkan juga mama tu. Kesian dia,” ucap Fauzi. Kurang suka apabila Zaid asyik menyebelahi Jesnita.
“Kau jangan masuk campur, boleh tak? Aku tengah kusut ni. Masalah keluarga ni bukan masalah kau sebab kau bukan ahli keluarga ni,” balas Zaid tajam.
Fauzi hanya tenang mendengar jawapan angkuh Zaid.
“Kau membesar depan mata aku. Aku hanya nak yang terbaik untuk kau dan mama kau. Tentang TE... masalah perlu diselesaikan.”
“Aku dah malas nak fikir pasal TE tu semua. Aku nak Jesnita. Aku takkan lepaskan dia. Tapi sekarang ni, mama asyik nak bergaduh dengan isteri aku. Kalau diaorang berdua berbaik, masalah ni tak akan jadi terlalu teruk,” ucap Zaid sebelum dia berlalu. Malas nak dengar lelaki itu berkata apa-apa lagi. Dia mahu keluar untuk menenangkan fikiran seketika.
ZAID SEPERTI tiada arah tujuan. Mencari ketenangan dengan meneguk alkohol di sebuah lounge pada siang hari. Nescaya dia akan sedar dia hanya menambah lebih banyak masalah. Manusia jadi tidak berguna apabila membiarkan sesuatu seperti alkohol mengambil alih kawalan ke atas minda.
Setelah berjam-jam dia membuang masa di situ, dia berlalu ketika hari sudah malam. Ketika berjalan di ruangan parkir, dia berhenti seketika. Memandang sekeliling. Dia dengar derap langkah manusia, seperti ada orang mengekorinya. Namun tiada sesiapa di ruangan parkir itu.
Zaid mempercepatkan langkah menuju ke kereta. Namun setelah tiba di keretanya, dia dihadiahkan dengan kejutan lain. Ada nota terselit di wiper cermin hadapan kereta.
AKU BAGI KAU TEMPOH SEMINGGU.
AKU NAK GAJI AKU! KALAU TIDAK,
AKU BUNUH BINI KAU!
Zaid bengang dengan ugutan terbaharu itu. Kertas itu direnyuk. Saat dia mendekati pintu kereta, seseorang segera mendekati Zaid dari arah belakang dan menyerkup kepala Zaid dengan kain hitam.
Dia cuba meronta namun lelaki itu mencekak lehernya dari arah belakang dengan lengannya yang membelit ke depan. Sebelah tangannya menjerut hujung kain itu sehingga kain itu menyerkup ketat wajah Zaid.
“Kau renyuk kertas tu? Kau nak tengok macam mana pulak rupa kau bila aku dah renyukkan nanti? Hah?” ucap lelaki itu. Perlahan suaranya namun kedengaran amat tajam.
“Tolong! Jangan buat aku macam ni. Aku... aku bayar gaji kau. Jangan buat aku macam ni,” ucap Zaid kalut. Terasa sukar hendak bernafas kerana lengan lelaki itu sedang menekan halkumnya. Tambah pula kain itu hampir masuk ke mulutnya setiap kali dia menarik nafas. Zaid tercungap-cungap.
“Kau ada seminggu aje lagi, kawan. Aku nak duit aku.” Lelaki itu melepaskan Zaid. Namun dia membalikkan tubuh Zaid sebelum tumbukan padu dilepaskan ke perut Zaid.
Zaid tertunduk. Cuba membuka kain hitam di kepalanya. Namun dia terasa lutut lelaki itu menghempuk mukanya menyebabkan dia tersembam. Dia mengerekot dek kerana perutnya terasa amat senak.
‘Tak boleh jadi macam ni. Aku kena biarkan orang lain yang selesaikan masalah TE,’ hati Zaid berbisik sendiri. Dia hanya terfikirkan Rafael.
“JESSY, I tak boleh bercakap lama. I dah sampai rumah. I don’t know this man. Muncul tiba-tiba dan minta nak kahwin dengan I. Dia cakap macam tu depan suami I, Jessy...” Jesnita berkata perlahan sambil memandang ke arah pintu utama kediaman itu. Memerhati jika ada kelibat Datin Syafinaz.
Tidak mahu perbualan itu didengari orang lain.
“I tengah usahakan. Ada beberapa nama yang dia sebut. Dayana... I guess. I tak ingat sesiapa yang kita kenal dengan nama itu. I risau dia tahu banyak tentang I. I tak mahu sesiapa di sini tahu kaitan I dengan Sally dan V-Venture,” ucap Jesnita perlahan.
Jesnita diam. Suara Jessy agak kuat kedengaran di telefon itu menjelaskan tentang siapa Dayana itu.
“Really? I tak pernah jumpa dia. If you have any photos, it would help.”
Jeda. Jesnita mendengar bicara Jessy.
“Okay. I can’t talk right now. Talk to you later,” ucap Jesnita. Enggan ibu mentuanya merasa curiga jika dia berlama-lama di dalam kereta. Namun dia sempat melihat foto yang diberikan oleh Jessy.
Jesnita tersentak. Dia tidak ingat nama Dayana namun wanita di dalam foto itu dia masih cam.
Jesnita keluar dari kereta. Masuk saja ke dalam rumah, dia disambut oleh kemarahan Datin Syafinaz.
“Mana suami kau?” tanya Datin Syafinaz. Saat ini kemarahannya hanya disebabkan oleh Zaid yang keluar setelah Jesnita tidak balik-balik semenjak pagi tadi. Sehingga kini Zaid masih belum pulang. Dia kerisauan.
“Mana Jes tahu,” ucap Jesnita lantas mengangkat bahu.
“Tak tahu?” balas Datin Syafinaz tanda dia kagum dengan jawapan Jesnita.
Jesnita mengerutkan kening, hairan. Apa pula salahnya kali ini? Zaid pergi merayap entah ke mana pun salah dia juga?
“Kau tak tahu suami kau ke mana? Kenapa? Dah ada lelaki lain nakkan kau, kau dah tak pedulikan dia?” ucap Datin Syafinaz.
Jesnita menghela nafas panjang.
‘Dah mula dah perempuan tua seorang ni,’ keluh hatinya geram. Anak lelakinya bangun lambat lagi hari ini. Dia pula banyak urusan. Jadi, dia malas nak layan lelaki itu. Sepanjang hari ini dia menyepikan diri daripada Zaid kerana dia perlu uruskan banyak benda yang tertangguh.
“Mama, Jes tak mahu ada masalah dengan mama. Jes dah penat nak gaduh dengan mama. Jes sedang cuba hormat mama. Mama nampak tak ni yang Jes sedang cuba hormat mama?” ucap Jesnita dalam nada jengkel. Yalah sangat dia sedang hormatkan wanita tua itu.
“Kau sedar tak semua masalah ni berpunca daripada kau?” ucap Datin Syafinaz sinis sambil berpeluk tubuh memandang menantu ‘kesayangan’ nan seorang ini.
“Here we go again. Tak faham agaknya bila Jes kata Jes tak tahu apa-apa tentang masalah TE,” ucap Jesnita kesal.
Gelagat Jesnita menyakitkan hati Datin Syafinaz. Dia meluru ke arah Jesnita.
“Tak tahu apa-apa! Apa yang ada dalam otak kau ni pun aku tak tahulah. Kenapa Rafael tu boleh beri syarat yang dia nakkan kau? Itu pun kau tak tahu!” Kepala Jesnita itu ditunjal dua tiga kali oleh Datin Syafinaz.
Jesnita menepis kasar tangan ibu mentuanya.
“Stop it! You’re too much!” bentak Jesnita. Mula keluar perangai menyinganya tanpa sengaja.
“Aku semenjak dulu memang tak pernah sukakan kau. For my son’s sake, I want you to ask for a divorce. Kau hanya menghancurkan hidup Zaid!”
“Let me be honest with you. The feeling is mutual. I don’t like you either. I hate you with all my heart,” jawab Jesnita selamba.
Mereka menoleh serentak ke arah pintu utama. Seseorang masuk dengan erangan kesakitan.
“Help me...” ucap Zaid sebelum dia tumbang di ambang pintu.
Keadaan itu mengejutkan Datin Syafinaz dan Jesnita.
“Zaid!” Kedua-dua mereka menerpa untuk mendapatkan Zaid.
“Zaid, kenapa ni?” tanya Datin Syafinaz lantas cuba membangunkan anaknya itu.
“Zaid kena pukul,” keluh lelaki itu dengan wajah berkerut.
“Siapa pukul?” tanya Datin Syafinaz saat memapah Zaid.
Zaid terbatuk-batuk, tidak dapat menjelaskan dalam keadaan dia amat kesakitan. Saat Jesnita mahu membantu, Datin Syafinaz menolak Jesnita.
“Don’t you dare touch him! Stay away! Look at him... this is all your fault!” Wanita itu mengecam Jesnita yang terpaku memandang Datin Syafinaz.
Jesnita terkaku, tidak lagi berani hendak mendekati Zaid.
No comments:
Post a Comment