Aku mahu melarik sedikit mimpi masa
depan agar aku bisa menolak pergi
kenangan...
-Ryan Qalam Lee-
RYAN menyelesaikan sujud terakhirnya selajur dengan salam kanan dan kiri. Tangan meraup wajah, seketika dia hanya duduk berteleku di atas sejadah. Hari ini merupakan hari terakhir dia di Malaysia. Esok dia dan Qadr akan pulang ke Turki. Ryan berharap dia takkan dipanggil pulang ke sini lagi. Tiada memori manis yang hendak dikenang di Malaysia. Setiap langkahnya di bumi Malaysia mengingatkan dia akan serpihan dosa lalu. Menyakitkan serta menyesakkan jiwanya.
Usai berdoa, dia melipat sejadah. Dia sudah berjanji dengan Qadr, usai subuh mereka akan bersarapan di luar sebelum membeli-belah barangan runcit untuk dibawa ke Turki. Di sana bukanlah susah nak cari makanan halal kerana itu adalah negara Islam, tapi Qadr itu tekak Melayu. Sesekali hendak juga rasa sentuhan makanan Melayu katanya. Asli Melayu! Macam-macamlah...
Ketukan di pintu bilik mematikan lamunan Ryan. Dia mencapai topi terus disarung di atas kepala. Berjalan santai menyarung kasut lalu pintu dikuak. Terjengul Qadr dengan senyum manisnya. Qadr, lelaki yang dikenali dengan murah senyuman.
“Nak makan kat mana ni?” aju Qadr.
“Mana-mana pun boleh.”
“Okey.” Mereka beriringan masuk ke dalam perut lif. Suasana sunyi. Masing-masing melayan perasaan pagi ini.
Sampai di lobi, Ryan lihat di luar sana hujan renyai-renyai. Bibirnya menguntum senyum nipis. Ada kenangan cuba masuk namun cepat saja dihalau pergi. Hujan di bumi Malaysia, sangat ironis. Apa yang ironis? Ryan menggeleng kepala menolak rasa hati. Dia tak perlu kenangkan semua itu.
“Kau kenapa?” soal Qadr.
“Hah?”
“Tergeleng kepala lepas tu senyum. Ada nak kongsi dengan aku?” tanya Qadr.
“Kenangan,” jawab Ryan perlahan.
Kenangan? Terus termati kata Qadr. Jika kenangan yang dimaksudkan Ryan tidak lain tidak bukan, pasti Zulaika. Untuk itu dia putuskan untuk berdiam. Lebih baik tidak terus bertanya kerana akan menimbulkan masalah saja nanti.
Sekilas dia mengerling Ryan. Dalam hati dia tertanya, apakah yang masih ada di hati Ryan itu cinta atau rasa bersalah? Dia sudah kenal ramai lelaki yang kecundang dalam cinta, tetapi hanya Ryan yang masih setia pada kenangan. Mereka yang lain sudah lama memulakan hidup baharu dengan pasangan yang baharu. Tidak sukar pada mereka tetapi pada Ryan, Qadr lihat terlalu sukar. Dia mahu bertanya, tetapi rasanya di sini bukan masa yang sesuai untuk dia menyelongkar apa yang masih tertinggal dalam hati Ryan.
“Lepas sarapan nak ke mana? Kedai belum buka lagi ni,” ujar Qadr menukar arah perbualan.
“Kubur Sarah,” sepatah kata Ryan membalas pertanyaan Qadr.
Kuntuman senyum Qadr terbit. Mereka masuk ke dalam perut kereta. Qadr menekan minyak keluar dari basement membelah hujan yang tadi renyai sudah mula menggila lebat. Sudah agak lama dia tidak merasa nikmat hujan di tempat sendiri. Keluar dari kawasan hotel, dia sudah boleh lihat jujukan kereta yang sesak. Hujan dan kesesakan lalu lintas umpama satu adunan yang lengkap buat mereka yang hidup di kota raya.
“Oh, aku lupa nak tanya kau, siapa yang bercakap dengan kau semalam?” tanya Qadr.
“Semalam?”
“Ya, perempuan yang berlari tinggalkan kau tu... siapa? Awek baharu ke?” usik Qadr.
Ryan ketawa kecil. Asal nak mengusik, Qadr mesti kaitkan dengan hati dan perasaan. Agaknya sahabatnya itu dah bosan dia melekat dengannya hampir 24 jam.
“Kau kan, asal nak kenakan aku aje mesti perempuan. Kau suka kenenkan aku dengan perempuan. Tak suka aku menempel dengan kau dah ke?” soal Ryan merajuk.
Qadr menjulingkan mata ke atas. Dia menayang raut nak muntah.
Meledak tawa Ryan dengan reaksi Qadr itu.
“Kau nampak ke?”
“Hmm... aku berselisih dengan perempuan tu. Kenal ke?”
“Tak kenal pun. Aku tengok dia dalam kesusahan, jadi aku tolong,” jelas Ryan. Reyhan! Masih dia ingat sekeping nama gadis itu. Bukan susah mahu ingat nama itu, tapi susah untuk melupakan.
Jujur sekeping nama itu melekat kemas dalam kepalanya. Sejak semalam dia terfikirkan gadis itu. Apakah yang terjadi sebenarnya? Kenapa lelaki yang mengaku abang memperlakukan si gadis sekasar itu? Atau mereka sememangnya pasangan kekasih? Adakah masih ada dalam dunia ini abang yang durjana? Ah, apa yang nak dipelikkan, manusia akhir zaman lebih hina daripada binatang, lebih keji daripada si gila.
Terlalu banyak persoalan tentang gadis itu yang menarik-narik otaknya untuk meneka dan berfikir. Kenapa? Dia sendiri tidak tahu. Mungkin kerana simpati atau mungkin juga kerana gadis itu berlalu dalam keadaan tergesa-gesa. Tapi seraut wajah yang berkerut menahan sakit sering terbayang di tubir matanya. Sepasang mata yang terpejam... hidung yang mancung dan kulit yang putih itu, benar-benar membuatkan otak Ryan bekerja keras untuk menghilangkan segalanya tentang si gadis daripada racauan akal. Namun hanya sia-sia apabila momen itu terus melekat dan kemas di situ.
“Tak nak turun ke?”
“Hah?” Terkelip-kelip Ryan memandang Qadr.
“Kau fikir apa, Ryan? Aduhai... jadi dari tadi, aku bercakap seoranglah?” Qadr menggelengkan kepala.
Ryan menarik sengih serba salah. Terkulat-kulat Dia memandang Qadr yang tersenyum mengusik.
“Maaf. Jom, aku belanja kau sarapan,” ajak Ryan.
Qadr tersenyum sumbing. Tahu sangat dah helah Ryan. Pasti si teman tak mahu dia meneruskan spekulasi dan menyoal yang bukan-bukan. Tak apa, untuk waktu ini dia akan mengalah. Esok lusa masih ada masa untuk dia korek apa yang membuatkan Ryan mengelamun.
USAI MENZIARAH pusara Sarah, mereka terus ke bandar untuk membeli barang yang mahu dibawa pulang ke Turki. Beberapa kali mereka sesat walaupun menggunakan aplikasi waze. Jalan di Kuala Lumpur saban waktu berlaku perubahan. Banyak jalan baharu yang dibina malah dalam pembinaan.
“Aku nak singgah kedai buku kejap,” ujar Qadr.
Ryan menjongketkan kening. Kalau tak singgah kedai buku bukan Qadrlah namanya. Apa yang berhantu sangat kedai buku pun Ryan tak tahu. Rumah sewa mereka di Turki, satu bilik memang dijadikan tempat penyimpanan buku Qadr. Kalau bosan, dia juga tumpang membaca. Bahan bacaan Qadr terkandung pelbagai jenis genre.
Kaki diatur mengikut langkah Qadr yang masuk ke dalam toko buku yang terkenal di Malaysia. Fancy Bookstore! Kaki yang baru saja melangkah masuk termati tatkala pandangannya jatuh pada satu susuk yang sedang tersenyum sambil tangan lincah menyusun buku. Matanya dipicingkan meneliti sama ada itu orang yang sama atau dia berhalusinasi. Wajah yang berseri dengan senyuman menyatakan rona yang berbeza, tapi Ryan yakin itu pemilik tubuh yang sama. Gadis yang sama dijumpainya malam itu.
Qadr entah ke mana, dia tak peduli. Kaki tanpa arah mengatur ke rak yang berdekatan dengan si gadis. Tawa kecil yang kedengaran sangat merdu di telinganya.
‘Gila! Apa yang tak kena dengan kau, Ryan? Takkanlah hati kau dah terusik atau kau mula membuka hati? Tak! Mustahil itu.’
Telinganya menguping perbualan kedua-duanya, tapi tidak ada apa yang kedengaran melainkan tawa kecil si gadis. Jadi apa yang lucu hingga tawa itu berlarutan? Mata Ryan mengerling raut itu sekali lagi. Benar, jauh berbeza sekali raut gadis itu hari ini dan semalam. Sangat berbeza.
“Apa yang lawak sangat, Reyhan?”
“Takde apa-apa, Lila.”
“Kau gelak macam masuk hantu, lepas tu kau cakap takde apa-apa?” Lila memandang pelik.
“Aku selak buku lawak kampus ni, boleh tahan mengusik sense of humour aku.” Reyhan meletakkan buku yang dibuka plastiknya tadi ke dalam bakul. Dia akan bayar harga buku itu. Boleh buat bahan bacaan di rumah nanti. Dah lama dia berhenti membaca. Bukan kerana minat yang berkurangan, tapi kesuntukan masa.
“Ehem!” Ryan berdeham kecil. Berdiri di depan gadis itu.
“Ya, boleh saya bantu?” Reyhan angkat wajah memandang lelaki di hadapannya itu.
Jeda.
Ryan hanya memandang wajah mulus di depannya itu. Malam itu wajah gadis itu tidak sejelas ini. Dia tak nampak tahi lalat di atas kelopak mata Reyhan. Dia juga tak nampak pipi gebu si gadis. Malah dia juga tak nampak manisnya senyuman Reyhan malam itu.
“Encik?” seru Reyhan. Pelik dengan lelaki itu. Tiba-tiba kaku di depan dia kenapa? Dia menoleh ke arah Lila yang menjongketkan bahu. Jelas gadis itu juga hairan melihat lelaki itu.
“Haa, tak... tak ada apa-apa.” Ryan berlalu meninggalkan Reyhan dan si teman, mencari Qadr. Dah kenapa dirinya semakin pelik?
“REYHAN!” panggil Hamidi.
“Apa dia, Di?”
“Ada orang bagi ni kat kau.”
“Aku?” Jari menuding diri sendiri. Mata bersilih ganti antara Hamidi dengan buku di atas meja yang bertajuk Noktah Terjahit. Buku itu sudah lama dipandangnya, malah sudah berkali-kali sinopsis dibaca tapi entah kenapa berat sungguh tangan dia mahu membelinya. Dan hari ini ada yang hadiahkan kepadanya. Siapa?
“Yalah, kau! Ada nama kau kat dalam tu, Reyhan. Tapi aku beritahu dia nama penuh kau Zenia Reyhan. Kau tahu apa dia buat? Terpaku.” Cerita Hamidi bersama tawa kecil.
Bulat mata Reyhan memandang Hamidi. Eh, entah dekat siapa saja Hamidi beritahu nama dia. ‘Hesy! Ada juga mamat sotong ni aku sunatkan sekali lagi.’
“Siapa?”
“Aku tak kenal, tapi kacak.” Teruja Hamidi.
Reyhan menjeling tajam. Asal kacak saja menggeletis tak padan dengan diri tu lelaki juga. Sekali lagi matanya jatuh pada buku berkulit coklat itu. Hati tertanya siapakah gerangan yang memberi? Berat hati mahu menerima namun akalnya meminta dia ambil sahaja. Mungkin sang pemberi berniat baik.
“Aku rasa dia ada tulis nama dia kat dalam tu. Kau tengoklah,” ujar Hamidi.
Pantas Reyhan menarik buku tersebut. Membuka helaian pertama dan benar, ada tinta yang tertulis di situ.
Jika hidup ini susah, ia takkan ada
kesenangan.
Jika lena itu indah, ia takkan ada
kegelapan.
Yang susah itu sesuatu yang akan
dihargai suatu masa nanti.
Dan yang indah itu akan menjadi
ketakutan yang akan menggelapkan
diri.
-RQL-
“RQL?” Bibirnya mengomel perlahan. Siapa ni? Dahi mengerut berfikir, siapa dalam kalangan kenalan dia yang berpangkal nama R-Q-L? Buntu!
“Apa dia tulis?” sergah Hamidi.
“Allah!”
Mengekek ketawa lelaki itu melihat cuaknya Reyhan.
“Zenia Reyhan, pastikan mendung kelabu berarak bergantikan pelangi.”
“Hah?” Reyhan memandang Hamidi.
Lelaki itu jongketkan kening.
“Apa? Aku baca apa yang tertulis di situ.” Muncung Hamidi pada penghujung kertas.
Laju Reyhan tundukkan kepala mencari di mana. Setelah bertemu dengan apa yang dicarinya, Reyhan kaku.
‘Apakah maksud dia? Pastikan mendung kelabu berarak bergantikan pelangi?’ Reyhan berlari keluar dari kedai buku tersebut. Matanya meliar mencari susuk yang entah bagaimana, tapi dia mahu juga mencari.
Langkah lemahnya kembali ke kaunter pembayaran. Buku itu masih elok di situ. Ditatap lama sebelum dicapai lalu dimasukkan ke dalam begnya. Bagaimana dia mahu mencari pemilik nama itu?
‘RQL... siapakah kau?’
No comments:
Post a Comment