Tertarung kaki boleh diinai, tertarung hati
susah ubatnya...
LIUR yang pahit ditelan perlahan. Nafas yang kian sesak cuba diatur agar lebih tenang namun ternyata sukar. Sangkanya, setelah bertahun berlalu rasa itu akan turut terkubur. Maka, dia kembali lagi ke sini tetapi hakikatnya hatinya masih berpegang pada rasa yang satu itu. Hatinya masih menangkap memori yang semakin kabur tapi kesannya masih melekap kemas dalam hati. Bagaimana? Bukan dia tidak mencuba, namun sudah berkali-kali dia berusaha. Berganda dia meningkatkan jati diri dengan memujuk hati, lepaskan. Biarkan si dia berlalu bersama bahagianya waima begitu tetap juga hati merusuh memori lama.
Ryan melepaskan nafas berat entah untuk ke berapa kalinya. Kembali dia ke sini atas desakan keluarga. Jika diberi pilihan, dia mahu terus mengembara tanpa perlu dia jejak peta Malaysia. Tetapi, inilah yang dikatakan hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Betapa jauh dia melangkah, dia tetap kembali ke sini kerana di sini tumpah tanah lahirnya.
“Kau nak ke hotel atau terus balik rumah kau?”
“Ke pusara Sarah,” ujar Ryan. Ini salah satu penyebab utama dia pulang ke mari. Rasa rindu yang tidak berpenghujung kepada si anak yang telah lama pergi. Rindu? Satu perasaan yang sukar untuk dia gambarkan. Kini dia akui apabila ada yang menyatakan rindu kepada yang tiada adalah rindu yang tidak terubat. Dia sudah kehilangan satu-satunya tanda cinta yang dia agungkan.
“Kau tak penat ke?” soal Qadr.
“Aku masih mampu bertahan,” tukas Ryan.
Qadr tersenyum nipis. Kalau sudah itu kata Ryan, dia hanya akur. Walhal sebelum penerbangan ke Malaysia, Ryan berhari-hari tidak tidur. Lelaki ini berjaga waktu malam hingga ke subuh. Sujud dan sujud; melihatkan itu Qadr yakin ada sesuatu yang mengganggu Ryan. Dan terbukti telahannya tepat tatkala mereka menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Wajah Ryan berubah seratus peratus.
Qadr memandu kereta yang disewa khas membelah jalan raya. Mujur saja ada Waze membantu perjalanan mereka. Sudah lama meninggalkan Malaysia, jalan juga sudah banyak berubah. Banyak perkara telah berubah di Malaysia; yang sama hanyalah kesesakan lalu lintas.
Pintu kereta dibuka perlahan. Menapak dengan kemas menuju pintu pagar tanah perkuburan Islam itu. Hatinya merusuh rindu namun dilaungkan selawat agar dirinya tenang. Berdiri di depan pusara yang bertanda nama Sarah, hati kecilnya berdesis. Tubir mata terasa hangat. Dia duduk berteleku di depan pusara. Bersih dan terjaga. Dia tak pelik melihatkan ini. Kerana dia tahu, Syifaa... wanita itu akan menjaga pusara ini dengan baik.
Bibirnya terkumat-kamit membaca beberapa ayat lazim sebelum menadah tangan berdoa. Menoleh ke belakang Qadr sedang melakukan yang sama. Sahabat. Banyak hutang budi dia dengan Qadr. Dia tidak tahu apakah dia mampu membalas budi lelaki itu kepadanya. Atau nyawanya yang akan dipanggil terlebih dahulu tanpa sempat dia menyelesaikan hutang budi tersebut.
“Dah?” aju Qadr.
Ryan mengerdipkan mata. Mereka melangkah keluar dari pekarangan tanah perkuburan tersebut. Sekarang dia perlu fokuskan mindanya untuk berdepan dengan situasi yang lebih berat. Sebab utama kenapa dia pulang ke Malaysia! Mengingatkan itu, hati kecilnya terasa berat. Sangat berat hingga kakinya juga lemah untuk melangkah. Hatta begitu, dia sendiri tahu air yang dicencang tak akan putus. Mahu atau tidak, dia perlu menghadapi semua ini dengan sehabis sabarnya.
Melihat pintu pagar mewah yang tersergam indah itu bibirnya terconget senyum kecil. Mata melatari ruang luar rumah yang suram. Dari luar rumah, tiada banyak perubahan. Dia yakin isi dalam rumah ini juga masih sama seperti bertahun-tahun dulu.
Nafas ditarik dalam-dalam sebelum menolak pintu kereta dan membolos keluar. Gugup, gementar dan pelbagai lagi perasaan yang bermain di dada. Tadi Qadr mahu menemaninya, tapi dia yang menolak. Ini urusan keluarga, jadi dia tak mahu menyusahkan Qadr sementelah dia tahu pandangan orang tua itu terhadap Qadr. Hanya Qadr yang sentiasa memandang hormat kepada lelaki tua itu.
“Ryan,” tegur Sandra.
Ryan sekadar menundukkan kepala dan tersenyum nipis. Sandra, ibu tirinya. Bila Mr. Lee berkahwin pun dia tak tahu. Dia hanya tahu tentang perkahwinan Mr. Lee dengan perempuan muda itu lewat e-mel daripada peguam keluarga mereka. Malah, peguam itu jugalah yang menyampaikan permintaan tegas Mr. Lee supaya dia pulang ke Malaysia.
Apa lagi yang orang tua ini mahukan daripadanya? Tak cukup lagikah membuatkan dia kehilangan orang yang dicintainya? Bukan hanya itu, dia kehilangan Sarah. Tak cukup lagikah dengan semua itu? Kerana Mr. Lee dia kehilangan Syifaa dan Sarah. Kerana Mr. Lee, hidupnya huru-hara. Kerana lelaki itu jugalah perlahan Ryan melantunkan istighfar.
Sebenarnya, apa yang terjadi bukan salah Mr. Lee. Dia yang tidak kuat melawan, berusaha untuk hidupnya. Hanya setelah kehilangan, baru dia mengerti perasaan sendiri. Sekarang, semuanya sudah terlambat.
“Derek dan Lee tunggu you kat bilik bacaan,” sambung Sandra. Mata melirik Ryan yang diam membeku. Wow! Tak sangka anak tirinya kacak. Tubuh tegap. Wajah Ryan tidak jelas kecinaannya, namun lebih pada wajah Asia. Kenapalah dia tak jumpa dengan Ryan dulu? Bibir melengkung senyum manis tetapi reaksi Ryan buat Sandra sebal.
“Okey.” Kaki terus dibawa menapak ke bilik bacaan. Matanya sempat mengintai ruangan rumah. Tidak banyak yang berubah. Sampai di depan pintu bilik bacaan, dia berhenti sekejap. Nafas ditarik dalam. Setelah tenang, dia menolak daun pintu.
Terjengul wajah Derek dan Mr. Lee sebaik sahaja pintu dibuka. Kelihatan kedua-duanya sedang serius berbincang. Entah apa yang dibincangkan mereka, Ryan tidak berminat untuk ambil tahu. Dia melangkah masuk selajur menutup pintu bilik bacaan.
“Welcome home my son,” sapa Mr. Lee ramah. Dia bangun mendapatkan si anak. Memeluk kemas tubuh Ryan. Anak yang sudah lama tidak dia jumpa. Jauh sungguh rajuk yang dibawa Ryan.
Ryan menyambut pelukan itu dengan senyuman nipis. Dia mengikut tuntunan Mr. Lee agar dia duduk. Mata mengitari ruangan bilik bacaan. Satu tempat yang dia suka habiskan masa apabila berada di rumah ini. Susun atur bilik bacaan itu masih sama seperti dulu. Hanya ada beberapa perabot yang sudah berganti mungkin atas faktor kerosakan.
Dia berdeham halus mengembalikan pandangan ke arah Mr. Lee dan Derek. Seketika dia hanya membisu dan berbalas pandangan dengan mereka. Ryan membetulkan duduk, bersandar pada belakang sofa. Dengan tenang dia memulakan bicaranya.
“Kenapa papa minta Ryan balik?” ajunya tanpa lengah.
“Baru balik rumah, lama tak jumpa dah tanya kenapa papa suruh balik? Bukan sepatutnya you tanya papa sihat ke tak?” tanya Mr. Lee berjauh hati. Keras sungguh hati Ryan. Tidakkah anak itu rindukan dia juga? Bukan setahun dua mereka berdua tidak bersua, tetapi lebih lama daripada itu.
“Ryan fikir papa sihat, sementelah papa dah ada isteri muda.” Ryan tersenyum hambar. Nadanya cuba dijaga agar tidak kedengaran sinis. Muda? Ya, sangat muda mak tirinya. Rasanya sebaya dia atau lebih muda lagi. Tak pula dia tahu selera Mr. Lee pada gadis muda.
Hmm, bila masa dia tahu apa yang Mr. Lee suka dan tak suka? Hubungan mereka renggang sejak mommy dia meninggal kerana kanser. Sejak itu dia membawa diri sendiri. Dan kerana itulah juga dia bertemu Zulaika.
Rahang diketap perlahan. Kenangan... pergilah!
Berubah wajah Mr. Lee. Dia berdeham meredakan rasa janggal dan panas hati. Jelingan diberikan kepada Derek yang merunduk. Mr. Lee tertampar dengan kata-kata Ryan. Dia berkahwin dengan Sandra bersebab. Bukan suka-suka.
“Papa nak Ryan ambil alih syarikat hartanah kita.”
“Why me?” aju Ryan tidak teruja. Jujur dia sudah boleh agak tujuan Mr. Lee meminta dia pulang ke rumah. Tanpa sebab lelaki itu tidak akan mengalah pada egonya. Sekadar rindu? Huh! Dia kenal Mr. Lee dengan baik. Emosi bukanlah sesuatu yang ada dalam jiwa seorang Mr. Lee.
“Because you’re my son,” tegas Mr. Lee.
“Son?” Ryan tersenyum senget dan sinis. Dulu... kenapa Mr. Lee tidak meletakkan dia sebagai anak sebelum lelaki itu mengugut dia agar meninggalkan Zulaika? Kenapa ketika itu Mr. Lee tidak pandang dia sebagai anak lelaki yang perlu seorang papa memahaminya? Kenapa waktu itu Mr. Lee tidak lihat dia sebagai seorang lelaki yang memerlukan kekasihnya? Kenapa??? Huh!
Ryan mengalih pandangan daripada terus memandang Mr. Lee. Cuba bertenang walaupun perasaannya berkecamuk. Wajah dikekalkan tanpa perasaan. Dia kembali memandang kosong ke arah lelaki di depannya itu.
Sukar! Terlalu sukar untuk dia menenangkan hati. Berlagak seperti tiada apa yang terjadi antara dia dengan Mr. Lee. Berlagak bahawa mereka daripada keluarga yang gembira; yang bahagia seperti anak dan bapa yang lain. Sedangkan terlalu banyak kesakitan yang diberikan oleh Mr. Lee kepadanya.
“Maaf, Ryan tak berminat!” bidasnya tegas. “Itu saja yang papa mahu bincangkan?” sambungnya lagi.
“Ryan!” deram Mr. Lee geram.
“Mr. Ryan, keadaan syarikat tak berapa elok sekarang. Lagi pula keadaan kesihatan Mr. Lee tidak menggalakkan beliau menguruskan syarikat. Sebab...”
“Sebab itulah Mr. Lee mula nampak anak lelaki yang telah dia buang,” tukas Ryan selamba. Sepasang matanya menikam tajam peguam muda di depan. Kemudian dia menoleh ke arah Mr. Lee yang mencerun pandangan ke arahnya.
“Jangan lupa, Ryan masih hidup disebabkan duit papa. Hasil daripada syarikat yang Ryan tak mahu ni,” jerkah Mr. Lee. Hilang kesabaran yang dikumpulnya selama ini. Melihat ketegasan dan kedegilan Ryan sekarang mengingatkan dia Ryan yang belasan tahun dahulu. Ketika mendiang isterinya meninggal. Kedegilan yang sama! Dia bersandar pada kerusi dengan nafas lelah.
Ryan merunduk lantai. Dia tahu Mr. Lee tak pernah culas memasukkan duit ke dalam akaun banknya dan tak pernah satu sen pun dia guna. Dia tidak pernah menyentuh duit Mr. Lee selepas dia menyedari silapnya terhadap Zulaika, juga selepas dia bertaubat. Bukan kerana halal dan haram hasil duit tersebut, tetapi kerana dia yang berdosa. Bagaimana dia mahu gunakan wang tersebut sedangkan waktu itu Zulaika...
Ryan berjeda. Nafas ditarik sedalamnya dengan harapan menenggelamkan segala kenangan yang menyakitkan itu.
‘Ya Allah, kenapa sukar untuk aku lenyapkan kenangan?’
“Terima kasih papa tapi Ryan tak pernah guna satu sen pun duit tu. Ryan boleh kembalikan wang itu jika papa mahukannya. Tak! Ryan akan kembalikan wang tersebut sebelum Ryan pulang ke Turki. Tapi syarikat tu, maaf... Ryan tak berminat!” Dia bingkas bangun. Sudah lama dia di sini. Tak! Dia di sini hanya beberapa minit, namun dia rasakan agak lama dia di sini.
Sepatutnya Mr. Lee bertanyakan tentang kehidupan dia yang telah berlalu. Apa yang jadi kepada Zulaika? Apa yang jadi kepada Sarah? Dan apa yang jadi kepadanya? Jika sekali sahaja Mr. Lee bertanya, dia akan mengubah tanggapannya terhadap lelaki ini. Dia akan cuba bertahan seperti dia bertahan selama ini. Tapi lelaki itu ego. Mr. Lee tak pernah bertanya sedangkan dia yakin bapanya tahu semuanya. Ah, setakat nak tahu kisah hidup dia, semudah memetik jari. Mr. Lee mampu dapatkan semua maklumat tentang dirinya. Tentang kehidupannya selama ini.
“Ryan Lee!”
“Papa... you should ask about me first... apa yang jadi kepada dia setelah Ryan tinggalkan dia? Apa yang jadi kepada Rtab setelah papa paksa Ryan pergi? Ask me before asking me a favour, pa...” tekan Ryan keras. Dia tahu, tak sepatutnya dia berkasar. Walaupun mereka berbeza agama, namun Mr. Lee masih ayahnya. Hubungan mereka tidak terpadam hanya kerana agama yang berbeza, tapi lelaki ini terlalu ego untuk Ryan tunduk dan mengalah. Lagi pula dia sendiri tidak betah di Malaysia. Tidak sampai sehari, dia sudah rasa sesak nafas. Dia mahu berlari jauh dari bumi Malaysia, menyambung pengembaraan yang tidak tahu bila akan bertemu noktahnya.
Duhai kenangan... jangan datang.
Duhai hati... lepaskanlah.
Duhai jiwa... bawa ia pergi jauh.
Aku mahu tenang menyusur alam...
No comments:
Post a Comment