DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 30 November 2022

Suri Hati Sang Putera - Bab 8


DIA baru saja melangkah keluar dari kereta tatkala matanya terlihat kelibat seseorang yang juga baru saja melangkah keluar dari kereta di belakangnya. Senyuman diukir kepada Alyssa apabila gadis itu turut menyedari dirinya.

Alyssa tunduk memberi hormat apabila menyedari Adrian di hadapannya. Di kiri dan kanan lelaki itu kelihatan dua orang lelaki berpakaian sut hitam yang mana Alyssa andaikan ialah pengawal peribadi lelaki itu. Kedua-dua lelaki itu menunduk kepadanya, memberi tanda hormat.

Let’s walk together,” pinta Adrian kepada Alyssa.

Walaupun Alyssa separa bersetuju dengan cadangan Adrian itu, dia akhirnya menuruti. Dia berjalan bersebelahan lelaki itu menuju ke arah lif.

Sewaktu menanti lif, Alyssa sempat memerhatikan Tengku Adrian Eiman yang berpakaian sut biru gelap, menyerlahkan lagi ketampanan lelaki itu. Itu belum lagi dengan haruman yang dikenakan oleh lelaki itu. Semua itu sudah cukup untuk membuatkan dia memuji Tengku Adrian Eiman dalam hati.

Beberapa ketika, pintu lif terbuka. Alyssa dan Adrian melangkah masuk terlebih dahulu sebelum diikuti oleh dua orang pengawal peribadi lelaki itu. Keadaan menjadi sepi seketika sementara mereka tiba di tingkat lapan. 

How are you doing?”

“I feel terrible.”

Jawapan ringkas Alyssa membuatkan Adrian terkesima seketika. Dia memahami sebab gadis itu mengeluarkan ayat sedemikian. Dengan apa yang berlaku antara mereka sebelum ini, dia juga tak rasakan Alyssa mahu menghadiri pertemuan hari ini. Maka, sebab itu dia agak terkejut melihat gadis itu di pintu masuk hotel tadi.

“I...” Belum sempat Adrian bersuara, Alyssa kembali bersuara.

“Apa yang berlaku sebelum ni, tu semua kerja you, kan?” Alyssa menoleh ke arah Adrian di sebelahnya.

Adrian turut menoleh ke arah Alyssa.

“You cakap apa ni?” Riak hairan dipamerkan. Langsung tidak memahami soalan yang dilontarkan kepadanya sebentar tadi.

“You betul tak tahu atau you berpura-pura tak tahu?” Alyssa kembali mengeluarkan soalan.

“I memang tak tahu apa yang you sedang cakapkan sekarang ni, Lyssa.”

“I pasti you mesti dah baca gosip-gosip kat laman web tu. Laman web tu ada gambar-gambar kita masa kita jumpa kat London dulu.”

“Apa kaitan pula dengan I?”

Alyssa jongketkan bahu.

I have a gut feeling that you've got something to do with that.”

Adrian menelan liur. Sedikit terkesima dengan andaian Alyssa yang didengarnya sebentar tadi.

“You ada bukti untuk apa yang you cakapkan tadi tu?”

“Tentulah I tak ada bukti,” jawab Alyssa dengan senyuman. “Cuma agak pelik dengan apa yang berlaku. Kalau ada paparazi ikut you sekalipun, orang tu sepatutnya guna gambar artikel kedua berbanding gambar pertama yang hanya menunjukkan belakang I. Dia tak perlu berteka-teki dengan tajuk artikel; ‘Putera Mahkota berjanji temu dengan bakal isteri di London’. You tak fikir macam tu?” Mata Alyssa merenung Adrian. Seperti tadi, senyuman kekal dipamerkan.

You have a complicated thinking, Lyssa.”

Adrian sebenarnya sudah mula cuak dengan andaian-andaian gadis di sebelahnya ini. Andaian Alyssa bahawasanya dialah dalang yang menyebarkan gambar-gambar pada hari pertemuan mereka di London itu sangat tepat. Namun begitu, dia tak mahu mengakui itu. Tidak di hadapan pengawal-pengawal peribadinya. Tambahan pula, dia tidak pasti apa yang akan Alyssa lakukan jikalau gadis itu sedar andaiannya itu tepat. Dengarnya, Alyssa agak menakutkan apabila gadis itu mengamuk walaupun berwajah manis dan naif.

“Kalau bukan you, tak apalah. Tak perlulah you nak gelabah macam ni. Orang akan ingat you berdebar-debar sebab jumpa I.”

“I tak gelabah, Lyssa.”

“Kalau you tak gelabah, kenapa pula you nak berpeluh? Lif ni bukannya panas pun.”

Adrian menyentuh dahinya. Sekali lagi liur ditelan apabila menyedari dia ketika ini sedang berpeluh. Belum sempat dia membalas ayat Alyssa, pintu lif kembali terbuka. Alyssa melangkah keluar terlebih dahulu tanpa menantinya.

Keluhan kecil dilepaskan sebelum mengeluarkan sapu tangan dari poket di dalam kot. Adrian kemudian melangkah keluar dari lif, menuju ke arah bilik makan yang telah ditempah khas untuk pertemuan hari ini. Mindanya asyik teringatkan ayat Alyssa sebentar tadi.

Dia berdebar-debar?

Tentulah dia akan berdebar-debar. Mana mungkin dia tidak pernah berdebar setiap kali berhadapan dengan Alyssa. Tadi pun, berkali-kali hatinya memuji penampilan gadis itu.

Walaupun Alyssa kelihatan ringkas dengan gaun hijau emerald labuh tanpa lengan, gadis itu seperti selalu, akan kelihatan cantik. Alyssa mungkin jarang sangat bergaya dan mengenakan pakaian mewah. Tapi, apabila gadis itu berpenampilan sedemikian, mampu membuatkan mana-mana lelaki termasuk dirinya memandang gadis itu tanpa berkelip mata.

Beberapa ketika, dia telah tiba di hadapan bilik makan VVIP. Pintu dibuka oleh pelayan yang berada di luar sebelum dia melangkah masuk. Kedua-dua keluarganya dan keluarga Alyssa kelihatan di meja makan. Dia juga sedar kelibat Alyssa yang sedang memandangnya tanpa sebarang senyuman.

Nafas dihela sebelum dia mengambil tempat di kerusi kosong, di sebelah Tengku Izhar. Alyssa dikerling. Mereka berdua saling memandang antara satu sama lain sebelum kedengaran suara ayahandanya. Adrian berharap pertemuan kali ini akan berjalan dengan lancar.

 

SATU JAM kemudian, setelah makan tengah hari kedua-dua buah keluarga selesai, Adrian dan Alyssa ditinggalkan berdua-duaan bagi membincangkan hal perkahwinan mereka secara peribadi.

Adrian memerhatikan Alyssa yang sedang mendiamkan diri dengannya. Tadi pun, gadis itu lebih banyak berdiam diri berbanding bersuara. Hanya menjawab soalan yang dilontarkan dengan tenang dan mesra walaupun Adrian agak Alyssa sebenarnya sangat janggal dengan situasi tadi.

“I minta maaf sebab dah letakkan you dalam keadaan rumit,” Adrian mula bersuara, memecahkan sepi yang melanda mereka berdua.

Alyssa yang baru saja selesai menghirup minuman memandang Adrian di hadapannya. Dia terkesima seketika dengan ayat maaf yang keluar daripada mulut lelaki itu.

“I sebenarnya...”

“Betul ke kita akan berkahwin?” Alyssa memotong percakapan Adrian.

Adrian menelan liur mendengar soalan Alyssa yang tiba-tiba itu.

“You... masih belum setuju?”

Alyssa menghela nafas sebelum tersenyum hambar.

“I setuju ataupun tak setuju, keputusan dah dibuat. Nak tak nak I terpaksa ikut. Sama... macam you, kan?”

Adrian tidak pasti bagaimana dia mahu membalas ayat Alyssa yang itu. Jauh di sudut hatinya, dia simpati dengan gadis itu. Namun, sebahagian dirinya mahu dia kekal dengan rancangannya.

“Tak ada cara lain ke untuk kita batalkan perkahwinan kita tu?” Alyssa kembali bersuara.

Tergamam seketika Adrian dengan soalan Alyssa yang tiba-tiba itu. Betullah tanggapannya terhadap gadis itu tadi. Alyssa punya pemikiran yang rumit yang mana tak ada sesiapa pun menjangkakan apa yang gadis itu akan lakukan selepas ini. Dia dapat faham mengapa Alyssa memilih kerjaya sebagai peguam suatu ketika dulu.

“Kenapa you tiba-tiba tanya soalan macam tu?” Sengaja soalan dibalas soalan.

Alyssa jongketkan bahu.

“Manalah tahu kalau you ada idea untuk batalkan perkahwinan kita ni. Berbanding dengan I, you lebih ada hak untuk tak bersetuju dengan perkahwinan ni. You dah ada...”

“I dah beritahu you, Camilla dengan I tak lebih daripada kawan, Lyssa...” celah Adrian diiringi keluhan kecil.

If you say so. Tapi, beritahu I hal sebenar, Adrian.”

“Hal... sebenar apa?” Minda Adrian sudah berfikir tentang perbualan yang berlaku di dalam lif. Dia tidak pasti jikalau dia mahu berlaku jujur kepada Alyssa tentang itu. Tidak untuk saat ini.

Do you have someone that you really love?”

“I do.” Laju saja Adrian menjawab soalan ini. Dan itu membuatkan Alyssa tergamam seketika.

“Siapa?”

Adrian menghela nafas.

“You tak kenal dia. Tak ada sesiapa pun yang tahu tentang dia walaupun keluarga I.”

“Termasuk Kak Sofia dan Kak Rina?”

Adrian angguk kepala.

“Perempuan tu...”

“Dia fikir I tak sesuai dengan dia,” celah Adrian tenang sambil matanya memandang Alyssa yang kelihatan sedikit teruja mengetahui satu rahsia besar dalam hidupnya sebentar tadi.

“Biar betul? Dia tahu tak siapa you?”

“Sebab dia tahu siapa Ilah, dia fikir macam tu.”

Alyssa mengangguk faham.

“I kagum dengan dia. Dia berani tolak cinta Putera Mahkota. Apa jadi dengan dia sekarang ni?”

Adrian menjawab soalan Alyssa dengan senyuman hambar. Dia sebenarnya punya jawapan pasti untuk soalan terakhir gadis itu. Namun, dia masih belum bersedia untuk menjelaskan hal sebenar.

“Macam mana dengan you pula?” Giliran Adrian mengeluarkan soalan kepada Alyssa. “I ingatkan you tak akan datang perjumpaan ni sebab you tak setuju dengan perkahwinan kita.”

Alyssa diam seketika, memikirkan jawapan yang sesuai untuk apa yang keluar daripada mulut lelaki di hadapannya.

“Sebab pertama, ayah I dah terima lamaran keluarga you. Tak ada guna I nak bangkang lagi.”

“Sebab kedua?” Adrian memandang Alyssa dengan riak ingin tahu.

“I perlu...” Alyssa menelan liur. “Lupakan kisah silam I. Sebab tu I cuba bagi kita peluang.”

“You fikir itu ke yang terbaik untuk you? Lupakan kisah silam you dengan bersetuju berkahwin dengan I?”

Soalan Adrian itu membuatkan Alyssa terkesima seketika. Kepala kemudian dianggukkan lemah.

“Bukan itu yang you nak ke? I setuju untuk kahwin dengan you?”

But you still love him.”

Ayat yang dikeluarkan oleh Adrian itu bukanlah satu andaian semata-mata. Melihatkan berapa lama Alyssa bersendirian tanpa teman lelaki baharu selepas kematian Aariz mengesahkan ayatnya.

Tengku Aariz Eskandar mungkin manusia terpenting dalam hidup Irene Alyssa sampai bila-bila. Dia juga ada dengar yang Alyssa masih berhubungan dengan keluarga ibu saudaranya itu.

“Tak penting pun semua tu. You pun ada orang yang you cinta.” Senyuman hipokrit diukir kepada Adrian.

“Lagipun, perkahwinan ni nanti bukannya atas dasar cinta. Macam yang you cakap dulu, I dipilih sebab I layak, bukan sebab I dan you saling mencintai.”

“Tapi...”

“Kalau sekarang ni you fikir I tak sesuai jadi isteri you, sempat lagi you ubah keputusan you ni. Live the life that you want. Do whatever makes you happy, Ed.”

Untuk saat ini, lidah Adrian kelu untuk membalas segala ayat yang keluar daripada mulut Alyssa sebentar tadi. Dia juga tidak tahu ke mana arah tuju perbualan mereka ketika ini.

“I tak akan minta you untuk cintakan I atau berjanji dengan you yang I akan cintakan you. Tapi, I akan cuba untuk jadi teman hidup yang baik,” sambung Alyssa lagi.

“Jadi, kita berdua terperangkap dalam perkahwinan yang tak membahagiakan seumur hidup kita,” balas Adrian dengan keluhan. Matanya memandang Alyssa, mengharapkan dia mampu membaca fikiran gadis itu melalui pandangan matanya.

“Kita belum berkahwin lagi. Macam mana you pasti yang kita tak akan bahagia dengan perkahwinan kita nanti?”

Adrian memandang Alyssa tanpa berkelip mata.

I’m sorry, Lyssa. I tak patut...” Sekali lagi Adrian melepaskan keluhan. Tidak tahu bagaimana dia mahu menghabiskan ayatnya. “Kalau I tahu ini yang akan berlaku, I tak patut buat macam tu.”

What do you mean by that?” Alyssa kerutkan dahi, agak tidak memahami apa yang Adrian cuba katakan.

Those pictures...”

Seakan mengetahui apa yang Adrian bakal katakan, Alyssa mencelah sekali lagi.

“I tahu tu semua kerja you. Tapi tulah, I tak ada bukti yang kukuh.”

“You... tak marah?”

Alyssa geleng kepala.

“Kalau I marah pun, tak ada apa-apa yang akan berubah. You tentu ada sebab kenapa you buat macam tu. Dan I tak nak tahu apa dia.”

“Kenapa you tak nak tahu?”

Alyssa jongketkan bahu.

“I fikir I tak layak untuk ambil tahu hal you.”

“Tapi you...”

Sekali lagi Alyssa mencantas niat Adrian yang mahu memberikan penjelasan.

“I nak berbual lama dengan you. Tapi, I ada hal lain yang lagi penting selepas ni.” Alyssa mengerling jam di pergelangan tangannya. Dia mula berdiri sambil memandang Adrian yang kelihatan kecewa.

“Jadi, jumpa you esok dengan bonda you dan mama I.” Seusai ucapkan itu, Alyssa beredar. Dia sebenarnya sengaja mencari alasan untuk beredar dari situ. Entah mengapa, tiba-tiba saja dia rasakan jiwanya sesak dengan perbualan yang berlaku tadi.

Melihatkan Alyssa yang mula hilang daripada pandangan, membuatkan Adrian kembali melepaskan keluhan. Dia tidak pasti apa yang dirasakannya selepas perbualan yang agak menyesakkan jiwanya tadi. Namun, satu hal yang dia pasti, apa yang dia mahukan menjadi kenyataan!


No comments:

Post a Comment