Gelang tidak laga sebentuk, laga
kedua-duanya...
MELEDAK tawa Qadr dalam suara tertahan. Geli hati dia setelah mendengar cerita Ryan. Patutlah Mr. Lee jeling dia semacam saja rupanya ada sesuatu yang lain dalam pandangan lelaki itu. Sesuatu yang Qadr rasa lucu sangat. Kenapalah boleh sampai ke Malaysia kisah dia dengan Ryan? Menggeleng kepala dia seketika namun kembali ketawa apabila Ryan menjeling.
“Dah tu kau cakap apa kat papa kau?”
Ryan jongket bahu. Dia tak menjelaskan apa-apa pun. Malas! Mr. Lee tu bapa kandung dia, bukankah sepatutnya lelaki itu mempercayai anak sendiri? Sebelum dia membawa diri, dia membesar di depan mata Mr. Lee, tak cukupkah itu menjadi sebab untuk lelaki itu mempercayainya.
“Kau tak jelaskan hal sebenar?” tanya Qadr lagi. Dia membetulkan duduk.
“Malas!” Acuh tak acuh Ryan menjawab.
Qadr hela nafas apabila tawanya terhenti. Dia mengerling Ryan di sebelah. Jika tadi dia rasa lucu tapi sekarang dia tak rasa begitu. Jika orang lain yang beranggapan demikian Qadr tidak kisah, tapi sekarang yang beranggapan begitu ialah orang tua Ryan. Kenapa Ryan tak jelaskan hal sebenar? Bukankah itu akan memburukkan lagi hubungan Ryan dengan Mr. Lee?
“Kau tak payah nak ceramah aku,” ujar Ryan seraya meletakkan majalah ke atas meja kecil. Cawan yang berisi air kopi dicecap perlahan.
“Bukan nak ceramahkan kau tapi kau patut jelaskan. Itu kan papa kau. Tak elok dia salah faham,” balas Qadr lembut.
“Dia sepatut faham aku, Qadr. Bukan menuduh aku yang bukan-bukan. Aku hidup dengan dia bukan setahun, tapi sehingga usia aku 20-an. Bukan ke melampau bila dia percaya pada khabar angin yang aku ni gay,” jelas Ryan kecewa. Gila tak kecewa tapi dia memilih untuk tak memikirkannya.
Qadr jeda. Betul juga apa yang dikatakan oleh Ryan. Sebagai orang tua, seharusnya Mr. Lee lebih kenal Ryan. Tapi tidak pelik pun dengan pemikiran orang kita; tidak kira dewasa atau remaja, mereka sudah memasang stigma dalam pemikiran mereka bahawa menghukum itu lebih tepat daripada menilai. Tidak! Menghukum itu lebih mudah sebenarnya. Mereka tidak perlu berusaha bertanya, mencari kesahihan hanya perlu meletakkan hukuman dan pedulikan yang lainnya.
“Aku dapat job baharu.”
Suara Ryan mematikan suara akal Qadr.
“Apa kali ni?”
“Ada satu syarikat pelancongan mahukan aku reka satu web untuk diaorang, yang memudahkan pelanggan mereka akses untuk dapatkan segala info tentang pakej yang mereka sediakan.”
“Macam menarik aje,” komen Qadr.
“Hmm, kan? Aku pun rasa kena sahut cabaran. Dah lama aku tinggalkan bidang ni tapi tak salah kalau aku cuba semula, kan?” Ryan menjongketkan kening.
“Tengok sajalah blog kau tu,” ujar Qadr sambil mengenyitkan mata.
Mereka ketawa kecil. Hanya mereka yang faham maksudnya.
Mati tawa mereka apabila mendengar pengumuman daripada kapten bahawa kapal terbang sudah bersedia untuk mendarat. Perjalanan yang panjang berlalu tanpa mereka sedar. Selepas ini rutin harian mereka akan bermula semula.
MATA REYHAN melirik ke luar pagar rumah. Dia tidak sangka yang Rahmad akan jumpa rumah sewanya ini. Bagaimanakah lelaki itu boleh tahu dia menyewa di sini? Selepas pertemuan dengan Rahmad tempoh hari, dia lebih berhati-hati kerana tidak mahu lelaki itu tahu di mana dia tinggal. Tetapi Rahmad licik.
“Kau nak apa?” soal Reyhan keras.
“Aku nak duit.”
Reyhan ketawa lepas. Mudahnya Rahmad meminta. Tahukah Rahmad apa yang diminta itu sesuatu yang diusahakan dengan tulang empat keratnya? Dengan segala jerih perihnya? Pandangannya mencerlang tajam ke arah Rahmad. Haruslah lelaki ini takkan tahu. Menjadi biawak hidup selepas itu mengemis harta orang, itu saja yang Rahmad tahu. Ingatkan apabila berlalu tahun, Rahmad sudah insaf. Sudah berubah walau sedikit tapi malangnya lelaki ini tetap sama.
Tak guna! Itulah perkataan yang tepat buat Rahmad. Nafas ditahan, penumbuk digenggam kemas. Dia cuba bertenang namun muka tak bersalah Rahmad buat sabar dia yang sedikit ini semakin menipis.
“Aku tak ada duit!” Reyhan membuka pintu pagar kemudian melanggar tubuh Rahmad. Apa lagi yang dia boleh buat apabila lelaki itu berdiri di tengah laluan.
“Kau ingat aku bodoh!” bentak Rahmad lalu merentap tangan Reyhan. Perempuan ini ingat dia bodoh? Dia tahu Reyhan bekerja. Kalau dah kerja mustahillah tak ada duit!
Dahi Reyhan menyeringai menahan sakit. Dia cuba melepaskan tangan Rahmad tapi lelaki itu tetap mengemaskan pegangannya. Nafas dihela berat.
“Kau nak duit, kau kerja Rahmad. Bukan minta daripada aku.”
“Kau adik aku, kan?”
Reyhan ketawa. Adik? Di mana Rahmad selama dia perlukan lelaki itu? Di mana Rahmad ketika dia terkontang-kanting di sana? Usahkan susuk bayang Rahmad pun dia tak pernah nampak. Sekarang dengan muka tak bersalah, Rahmad mengaku dia adik. Langsung tidak malu dengan perbuatan sendiri.
“Aku tak ada abang setan macam kau!” jerkah Reyhan tanpa takut.
Rahmad mencerlung tajam. Dia menyentak lengan Reyhan, mendorong tubuh itu dekat dengannya. Pandangan sepasang mata Reyhan yang langsung tidak terbias takut mencabar dirinya. Nyata Reyhan yang sekarang jauh berbeza dengan Reyhan sebelum ini. Apa yang membuatkan Reyhan berubah? Oh! Adakah kehidupan di sana yang membentuk Reyhan begini?
“Aku tak peduli kau ada abang atau tak. Yang aku nak, duit!” suara Rahmad turut naik meninggi.
“Lepas, Rahmad! Aku dah beritahu yang aku tak ada duit.”
“Kau kerja. Mustahil tak ada duit.”
Reyhan tersenyum sinis.
“Kau ingat aku seperti dulu. Kerja untuk jadi balaci kau!” Lengan direntap kuat. Kali ini pegangan Rahmad terlepas. “Tolong jangan muncul depan aku lagi, Rahmad. Kau orang dah buang aku dulu, jadi jangan kutip aku semula. Benarkan aku hidup dengan diri aku sendiri,” pinta Reyhan dengan dua tapak tangannya bercantum seperti menyembah adat.
“Kau tahu dia sedang cari kau juga.” Kali ini Rahmad tersenyum senget. Reyhan boleh lari daripadanya tetapi daripada lelaki tua itu, Reyhan takkan mampu melepaskan diri.
Kaki yang melangkah terhenti. Degup jantung juga turut sama terhenti seketika. Tali beg digenggam kemas. Reyhan cuba bertenang. Rahmad tak boleh tahu yang dia masih terkesan dengan kewujudan ‘dia’. Mana mungkin dia mendoakan keburukan buat insan itu walaupun insan itu tidak berbaik sikap dengannya; tidak ada tutur kata yang sopan melainkan jika mahukan sesuatu daripadanya.
“Dia boleh cari aku. Tak! Dia pasti jumpa aku seperti kau jumpa aku, tapi... aku bukan Zenia Reyhan yang dulu. Itu yang kau dan dia perlu tahu.” Tenang Reyhan menuturkan kata.
Rahmad tersenyum segaris. Dia suka perubahan Reyhan. Lebih mencabar walaupun agak payah mahu menjinakkan gadis ini.
“Mak rindukan kau.”
Senyum senget Reyhan pamerkan.
“Tak perlu dia perangkap aku dengan mak. Aku lebih kenal mak berbanding kau. Jangan muncul depan aku lagi Rahmad!” Amaran diberikan sebelum dia berlalu.
Kali ini dia benar-benar berharap yang Rahmad takkan muncul lagi di depannya. Dia tak pernah minta banyak, cukup melepaskan dia daripada beban lama. Reyhan sanggup melepaskan semuanya jika itu yang dia perlukan untuk hidup tanpa mereka. Dia sanggup melepaskan ‘syurga’nya demi sebuah kehidupan yang lebih bermaruah.
Rahmad memandang belakang tubuh Reyhan dengan rasa berbuku. ‘Tak mengapa, kau takkan pernah terlepas daripada aku, Reyhan. Ikatan darah ini takkan benarkan kau pergi daripada kami.’
No comments:
Post a Comment