DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 1 November 2022

Pelangi Selepas Hujan - Bab 2

 

Tak akan berwap nasi dingin...

 

KELUAR dari bilik air, dia lihat Qadr sedang duduk di kerusi. Bila masa pula si teman masuk ke dalam biliknya? Dia menjongketkan kening menegur Qadr. Beg di sisi katil dicapai lalu ditarik sehelai seluar kargo dan juga baju-T. Usai menukar pakaian, dia menapak ke tingkap cermin, cuba untuk melihat suasana luar hotel. Tapi tidak ada apa yang menarik perhatiannya, lalu dia melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Qadr.

“Kau nak tanya apa?” ujarnya. Sejak tadi Qadr memerhatikannya. Walaupun usia persahabatan mereka tidak lama, namun kekerapan mereka menghabiskan masa membuatkan dia sudah faham dengan maksud pandangan lelaki itu.

Kekerapan menghabiskan masa bersama Qadr? Dia tersenyum nipis. Selepas dia mengikut Qadr ke Turki dan menetap di sana, ramai yang salah sangka. Pernah sekali rumah mereka diterjah imam masjid dan qariah hanya kerana terdapat aduan yang mereka pasangan gay. Aduhai, iman masih menetap kukuh dalam diri mereka. Tak mungkin mereka melakukan kerja keji yang dilaknat Allah itu.

Ya, tiada apa yang mustahil kerana hati manusia Allah yang pegang. Disebabkan itulah tidak lekang daripada bibir dan hati mereka mendoakan diri masing-masing dijauhi daripada sikap sedemikian.

“Aku tengok lepas kau balik dari rumah ayah kau, kau lebih senyap. Ada apa-apa yang telah terjadi ke?” aju Qadr prihatin.

Memang berubah terus dia lihat sikap Ryan selepas pulang daripada perjumpaan dengan orang tuanya. Itulah dia nak teman, Ryan tak bagi. Risau juga dia kalau-kalau Ryan naik angin. Lelaki di depannya ini nampak semakin sopan santun orangnya, namun jika silap cara, boleh baran. Apatah lagi hati Ryan masih belum reda sepenuhnya dengan takdir yang lalu.

Cinta? Ia benar-benar menjerat hati lelaki seorang Ryan Qalam Lee. Namun sudah banyak perubahan kepada Ryan. Terlalu banyak dan ketara berbanding waktu kali pertama mereka dipertemukan. Cuma untuk mengubat luka daripada kisah lama itu saja yang masih belum berjaya.

“Dia nak aku ambil alih syarikat.”

“Oh, berita gembira tu!” balas Qadr teruja.

Ryan tersenyum tawar. Berita itu akan jadi gembira jika dulu, bukan sekarang! Tanpa sedar, dia mengeluh. Tapak tangan naik meraup wajah.

“Kau mengeluh?” soal Qadr.

“Aku tak boleh terima,” ujar Ryan perlahan. Kepala jatuh ke bawah.

“Kenapa? Sebab kau masih belum boleh lupakan dia?” serkap Qadr. Walaupun tak betul sepenuhnya tekaan itu, namun dia yakin Zulaika masih ada dalam setiap alasan Ryan untuk tidak menjejakkan kaki di Malaysia. Bukan hanya jejak, tapi menjadi sebahagian daripada penduduk Malaysia pun Ryan tidak mahu. Teruk sungguh luka di hati lelaki itu.

“Bukan sebab itu. Kau tahu, dia tak tanya pun aku sihat ke tidak... okey ke hidup aku! Usahkan nak dengar dia minta maaf kerana buat hidup aku...”

“Ryan...” tukas Qadr tegas.

Ryan mengangkat tangan mengalah. Dia tahu teguran Qadr itu kerana lelaki itu tidak suka dengan apa yang dipersoalkannya tadi.

“Paling aku tak boleh faham, dia kahwin lain. Ya Allah, kau tahu berapa usia mak tiri aku?” soal Ryan kecewa. Dia sempat bertanya kepada Derek usia ibu tirinya. Terkejut bukan kepalang dia. Ingatkan sebaya dengannya, sebaliknya lagi muda.

“Berapa?”

“28 tahun!”

Qadr menjongketkan kening bersama senyum nipis. Patutlah Ryan kecewa. Haih, dah kenapa nak kahwin dengan orang muda? Setahunya, umur bapa Ryan dah nak mencecah 60-an. Tapi... apa nak pelik bila ada duit, kan? Tua atau muda, bukan lagi jadi ukuran. Yang utama, berapa nilai wang di dalam bank, berapa susunan harta di depan mata.

Kemahuan manusia pada hari ini yang memanggil diri untuk mementingkan materialistik; yang membuat diri memilih kemahuan melebihi keperluan sehingga menjebakkan diri melakukan apa saja asalkan apa yang dimahukan menjadi kenyataan. Sedangkan jika difikir sedalamnya, hidup ini bukan hanya tentang itu. Bukan hanya tentang kemewahan, sebaliknya terlalu banyak yang bersangkut paut dengan kehidupan yang sampai masanya, manusia akan menyesali perjalanan hidup di dunia.

“Okey apa dapat mak tiri muda. Baru ada geng,” giat Qadr mahu menceriakan suasana. Lemas pula dia melihat wajah tegang Ryan.

Ryan menjeling tajam.

“Kau tak risau pasangan ‘gay’ kau ni beralih arah?” usik Ryan sinis.

Meledak tawa Qadr. Itu kenangan yang paling melucukan dalam hidupnya. Pertama kali semenjak dia hidup dan berkawan dengan ramai orang, dia dituduh gay. Itu pula dengan Ryan yang hatinya masih melekat kepada Zulaika; lelaki yang sering sujud melepaskan rindu dan cinta yang terkubur.

“Kau jangan ingatkan aku pada kisah tu. Ya Allah, aku rasa itulah cerita paling lawak pernah aku alami,” ujar Qadr dalam sisa tawa. Rasanya sampai bila-bila pun dia takkan mampu lupakan peristiwa itu. Sejarah sangat.\

“Lawak? Aku tengok pucat muka kau masa tu,” selar Ryan.

Semakin besar tawa Qadr. Gila tak kecut perut sedangkan ketika itu mereka masih baharu di situ. Nasib baiklah mereka ada saksi lain. Di rumah itu bukan hanya ada dia dengan Ryan, tapi juga adik-adik junior yang belajar di sana. Dia diberikan bilik untuk mereka menyewa bagi mengurangkan kos hidup mereka semua.

“Jom keluar,” ajak Qadr.

“Ke mana?”

“Tengok suasana malam di Malaysia. Kita ni dah lama tak balik Malaysia, sesekali balik takkan nak berkurung dalam bilik hotel aje?” gerutunya.

Ryan diam. Ikutkan hati dia tak mahu keluar. Malas! Tapi apabila Qadr beria-ia mengajak, tak sampai hati pula hendak menolak. Dia yang memaksa Qadr mengambil cuti dan ikut dia pulang ke Malaysia, takkanlah dia nak hampakan permintaan Qadr pula. Kawan tak guna namanya tu.

“Jomlah!” ajak Qadr lagi.

“Okey! Apa yang kau nak lihat sangat malam-malam buta ni?”

“Orang kata Malaysia cantik pada waktu malam.” Qadr menjongketkan kening sambil menyengih.

Ryan mencebik. Mana tempat pun kalau malam memang cantik bertemankan cahaya lampu di mana-mana tempat dan ceruk jalan.

“Aku juga pernah dengar ayat tu masa mula-mula sampai di Turki,” sinisnya.

Qadr ketawa kecil. Yalah, dia akui di bandar mana sekalipun waktu malam memang cantik. Simbahan lampu neon menaikkan seri pada tempat tersebut. Tak kisahlah asalkan Ryan sudi keluar malam ni. Rimas melihat wajah keruh itu. Lagi rimas duduk terkurung di dalam bilik hotel yang tingkap pun tak ada. Dia memerlukan udara di luar sana untuk merasakan yang dia masih hidup.

 

DATARAN MERDEKA! Ryan mengarah pandangan ke segenap ruangan tersebut. Tidak banyak berubah malah masih sama. Tempat ini dijadikan tempat lepak anak-anak muda pada malam minggu seperti sekarang. Ada juga keluarga yang membawa anak-anak beriadah di sini.

Dia melangkah perlahan menikmati malam di Dataran Merdeka. Bangunan-bangunan yang masih utuh ukiran lamanya menjadikan tempat ini antara tarikan pelancong.

Kaki yang melangkah perlahan terhenti. Matanya memandang ke depan. Pada pasangan muda di depan sana. Mata dipicingkan lagi, apabila dia melihat tubuh kecil si gadis ditolak, pantas kakinya membuka langkah ke situ. Namun baru beberapa langkah, dia kembali sedar. Patutkah dia masuk campur urusan mereka? Mungkin pasangan kekasih atau suami isteri muda. Baru dia mahu memusingkan tubuh mencari Qadr, telinga ditampar suara lirih si gadis.

“Lepaskan aku! Aku takde kaitan dengan dia lagi. Kau nak duit, kau cari dia, bukan aku!”

“Peduli apa aku. Selagi kau anak dia... kau yang perlu tanggung segalanya daripada perbuatan dia!” tekan lelaki itu.

Si gadis mengangkat wajah menentang pandang lelaki itu. Benci! Itu saja yang dia rasa sekarang. Lelaki itu bercakap tentang lelaki yang sama! Mereka berkongsi darah yang sama tapi...

“Dia tak ada kaitan dengan aku!” Si gadis memusingkan tubuh mahu berlalu, namun tarikan pada rambutnya menghalang kakinya daripada terus melangkah.

“Kau ikut aku.”

“Aku tak nak!” jerkah si gadis.

Ryan mengeluh. Dia membuka langkah ke depan, tangan naik mencekak pergelangan tangan lelaki itu. Pandangannya mencerlang garang. Kemudian dia menjeling sekilas kepada si gadis yang mendongak kepala ke atas dengan mata terpejam, dahi mengerenyot menahan sakit pastinya.

“Lepaskan dia.” Sepatah kata namun cukup dingin kedengaran. Sedingin angin malam yang menampar tubuh.

“Kau siapa?” soal lelaki itu seraya merengus.

“Aku... bukan sesiapa, tapi aku nak kau lepaskan dia,” ujar Ryan tegas. Mata menatap tepat pada wajah lelaki itu. Berambut panjang, lingkaran bawah mata yang gelap, pipi cengkung dan bau nafas yang busuk. Alkohol? Ryan tersenyum senget. Patutlah berani sangat mengasari perempuan di khalayak ramai. Mabuk rupanya.

“Kau ke tepi! Ini urusan aku dengan adik aku,” jerkahnya.

“Adik?” Ryan menjeling sekali lagi kepada si gadis yang masih seperti tadi. Kasihan gadis ini ada abang yang jahanam. “Aku tak peduli apa hubungan kau dengan dia. Masalahnya sekarang, aku tak suka kau berkasar dengan perempuan. Kau lepaskan dia, atau aku telefon polis,” ugut Ryan.

“Kau...”

“Kau tengah mabuk ni, bro. Aku tak rasa polis akan berbaik sangka dengan kau. Atau kau rindu nak duduk dalam lokap, makan percuma... tidur tak berbayar?” Sinis Ryan mengugut.

“Huh!” dengus si lelaki. Tidak lepas dia memandang garang ke arah lelaki di depannya. Genggaman pada rambut si adik dilepaskan perlahan.

Ryan melepaskan cengkaman tangan pada pergelangan tangan lelaki itu. Dia memandang tenang wajah keras lelaki itu. Nafasnya yang berbau hampir membuatkan tekak Ryan loya. Melihat keadaan lelaki itu mengingatkan dia pada dirinya yang dulu. Arak bukanlah suatu yang asing baginya. Siang dan malam mengulit arak adalah satu kewajipannya satu waktu dahulu.

Minum arak dan mabuk serta melupakan segalanya tentang dunia; tentang masalah yang dia tanggung waktu itu merupakan satu kebanggaan baginya. Apatah lagi apabila semakin lama dia mula kalis pada arak. Sebotol dua belum mampu buatkan dia mabuk. Semakin membuatkan dia bangga diri apabila dipuji rakan-rakan.

Huh! zaman jahiliah yang merosakkan jiwanya.

“Kau belum selamat Reyhan. Aku cari kau nanti!”

Reyhan menghela nafas berat. Kepala tunduk menekur lantai. Air mata jatuh perlahan. Kenapa nasib hidupnya begini? Dia sudah membawa diri jauh daripada mereka, tetapi kenapa seolah-olahnya lingkaran hidupnya bersama mereka masih tersimpul rapi? Dia tak mahu! Dia mahu mulakan hidup baharu. Reyhan mahu lupakan semua dan kembali menjadi Reyhan yang baharu. Tapi...

“Awak okey?”

Tubuh Reyhan terpaku. Kepala semakin menunduk ke bawah. Dia terlupa akan lelaki itu. Lelaki yang tiba-tiba muncul menyelamatkannya. Selamat? Entahlah! Dia tak tahu sama ada kehadiran tiba-tiba lelaki itu adalah jalan terbaik atau akan membawa keburukan kepadanya pada masa depan. Dia bukan tak kenal sikap abangnya itu. Selagi tak dapat apa yang dia nak, selagi itulah hidupnya akan diganggu.

“Reyhan,” seru Ryan lembut. Nama yang didengarinya daripada mulut lelaki tadi. Cantik dan sedap didengar sebaris nama tersebut. Hati Ryan menggerutu mahu melihat seraut wajah gadis itu. Dia cuba mengintai tetapi gadis itu mengelak.

Suara lembut Ryan menyentak dada Reyhan. Terasa nyaman menyentuh hatinya. Dia mahu mengangkat wajah melihat lelaki yang telah menyelamatkannya ini, tetapi dia malu. Entah bagaimana rupanya sekarang ini. Comot atau mungkin sembap dengan air mata.

“Terima kasih.” Reyhan terus berlalu dengan kepala menunduk ke bawah. Menapak perlahan kemudian berlari meninggalkan lelaki itu.

Ryan hanya memerhati dengan dahi berkerut. Kemudian dia menjongketkan bahu. Tak apalah, mungkin gadis itu takut. Lagi pula masih beradab orangnya. Masih  pandai mengucapkan terima kasih.

Mata Ryan mencari Qadr. Sejak tadi hilang mencari tandas sampai sekarang tak muncul. Sesat ke? Telefon dibawa keluar. Baru saja hendak mendail, belakangnya dicuit seseorang. Menoleh, Qadr rupanya!

“Lama cari tandas, sesat ke?”

Qadr menjongketkan bahu bersama sengih. Langkah kembali disambung. Melihat malam yang bagaikan siang bagi penghuni di bandar raya ini. Tiada beza! Agaknya bilalah mereka merasa nikmat tidur jika jam 12 tengah malam masih berembun di luar rumah.

Allah telah menjadikan aturan alam itu indah. Siang waktu bekerja, malam waktu berehat. Tubuh yang dicipta dengan kesempurnaan tetap akan lelah dalam meniti hidupan harian. Tetap akan kepenatan. Lalu mengapa meningkah aturan yang telah disusun cantik itu? Sesungguhnya Dia lebih tahu apa perlunya tubuh kerana Dia yang menciptanya.

 

No comments:

Post a Comment