DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 13 January 2022

Intrigue Cinta Zarif - Bab 8


TALI leher yang terikat kemas dilonggarkan sedikit ikatannya sambil Afiq melangkah keluar dari bilik pengarah urusan. Langkah terus diatur ke tingkat bawah, menuju ke ruang kerja yang luas terbuka. Kelihatan pekerjanya tekun dengan kerja masing-masing. Turut kelihatan beberapa orang sedang berkumpul di meja berhampiran dinding kaca, juga sedang berbincang soal kerja. Dia hanya angguk bila disapa ketika berjalan melepasi mereka.

Tiba di hadapan bilik Iffat, badannya yang tegap disandarkan pada ambang pintu dengan kedua-dua belah tangan memeluk badan sendiri. Kebetulan pula pintu bilik kekasihnya itu telah sedia terbuka. Buat seketika dia hanya diam melihat Iffat yang tunduk fokus pada kerja. Serasa seperti telah lama mereka tidak bertemu, segala gerak-geri dan reaksi kekasihnya itu diperhati.

“Bos?”

Afiq berpaling ke belakang. Tersengih-sengih Bell memandang ke arahnya. Terus kening dijongket ke arah pekerjanya itu.

“Mengintai ya?” usik Bell tanpa rasa bersalah membuatkan tawa halus lelaki itu meletus.

“Pergi buat kerjalah Bell.”

Mencicit Bell lari sambil membawa muk di tangan. Dia baru keluar dari pantri ketika terlihat Afiq yang elok bersandar pada pintu bilik Iffat yang terbuka. Sudah lama tidak melihat bosnya itu turun melawat kawasan, sajalah dia nak mengusik.

Afiq mengalihkan pandangan ke hadapan semula dan serentak itu pandangan matanya bersabung dengan pandangan mata Iffat. Kekasihnya itu kelihatan tenang bersandar dengan kedua-dua belah tangan bersilang. Kening Iffat juga turut terjongket seperti keningnya seketika tadi.

“Hai sayang.”

“Buat apa dekat situ? Mengintip?”

Terlepas tawa daripada bibir Afiq dan serentak itu dia melangkah menuju ke arah meja si gadis.

“You dengan Bell sama je. Sorang tuduh I mengintai, sorang tuduh I mengintip.” Kerusi ditarik dan duduk dilabuhkan berhadapan dengan Iffat.

“Sibuk?”

Iffat mencemik. “Boleh tahanlah. I tengah semak e-mel dari engineer dekat Nusajaya. Rasanya minggu depan dah kena balik JB semula.”

“That soon?

Iffat angguk dengan wajah tanpa riak. Lihat pada raut wajah Afiq juga dia sudah tahu kekasihnya itu tidak berpuas hati bila dia terpaksa kembali ke Johor semula dalam waktu yang terdekat.

“Agak-agak bila kerja dekat JB boleh siap?”

“Sekarang dah masuk fasa ke 4, dalam beberapa bulan lagi kalau tak ada masalah siaplah projek tu.”

Terangkat kening Afiq. Rasa macam lama tapi hakikatnya pejam celik dah nak siap projek yang telah memakan masa selama 2 tahun itu.

Iffat juga tidak sangka projek di Nusajaya berjalan dengan lancar dan dapat disiapkan lebih awal dari jangkaan. Inilah yang untungnya bila bekerjasama dengan syarikat besar, tiada sebarang masalah yang timbul sama ada dari segi kewangan, pekerja juga bekalan bahan binaan.

“Rasa lain bila you tak ada dekat sini. Tak bersemangat I nak datang kerja.”

Oh, really? soal Iffat dengan kening terjongket.

“Betul ke tak bersemangat sebab I tak ada? Bukan tak bersemangat sebab sibuk fly sana sini?”

Afiq tergelak. “I fly buat duit sayang, bukan fly buang duit.”

Yeah, dah puas fly sambung party pula. Kan?”

Oh, come on Iffat.” Hilang tawa berganti dengan senyuman kurang senang. “Siapa yang repot dekat you ni?”

Iffat angkat bahu dengan bibir yang menjuih tanda tidak tahu. Kemudian Iffat bergerak merapat ke meja. “I tahu you suka berseronok Afiq. Tapi you kena ingat...”

“No drugs, no woman. You can trust me sayang.”

“Kalau boleh I nak you berhenti minum juga. I tak suka tengok you selalu mabuk Afiq.”

Tangan kanan naik mengusap belakang leher. “Boleh tak kalau kita tak bercakap tentang perkara ni? Kita dekat pejabat sekarang Iffat.”

Nafas dihela perlahan. Ada saja alasan yang lelaki itu berikan bila dia bangkitkan tentang isu ini.

Afiq mengerling jam di tangan. “Dah dekat waktu makan tengah hari. Jom.” Terus dia bangun dari kerusi. Terasa panas punggung pula bila Iffat membangkitkan tentang kehidupan sosialnya. Tercegat dia di ambang pintu menantikan kekasihnya di situ.

Lambat-lambat Iffat bangun sambil mengemas meja yang bersepah. Cukup dikemas ala kadar sahaja, kerana selepas makan tengah hari nanti dia bercadang untuk menyambung semula tugasnya yang tergendala itu tadi. Kemudian dia mendekati Afiq dan tanpa kata mereka berlalu dari situ.

Kedua-duanya seperti orang asing. Berjalan seorang di depan dan seorang di belakang. Berdiri di dalam lif juga ikut berjarak. Meninggalkan ruang satu meter antara mereka. Bibir kedua-duanya juga diam tanpa kata. Afiq masih bengang dengan teguran Iffat manakala Iffat pula malas nak melayan rajuk kekasihnya.

Seperti selalu, kafe yang berdekatan dengan bangunan pejabat mereka menjadi pilihan kecuali jika mereka ingin menukar selera dan rajin untuk memandu, kafe ini automatik akan terkeluar dari senarai.

Afiq terus menonong masuk ke dalam kafe meninggalkan Iffat di belakang dan Iffat hanya mampu menjeling tingkah kekasihnya itu sebelum matanya terpandangkan susuk tubuh yang duduk di salah satu meja dalam kafe tersebut. Matanya mula mengecil dan keningnya terus terangkat bila kelihatan seorang wanita datang dan duduk di meja tersebut bersama susuk tubuh itu.

“Datang berteman sekarang.” Hujung bibir tercuit dengan senyuman sinis.

 

ANAK MATA Hannah bergerak naik turun membaca senarai menu. Sesekali bibir bawahnya digigit sambil memikirkan menu apa yang ingin dipesan. Tangan kiri ikut naik mengusap bawah bibir. Reaksi spontan bila terlalu memikirkan tentang sesuatu perkara.

Segala gerak laku Hannah itu dalam pemerhatian Zarif. Sejak tadi matanya tidak dapat lari daripada memandang Hannah yang duduk bertentangan dengannya. Kebetulan yang tidak dapat dielakkan. Entah bagaimana gadis itu boleh tiba-tiba muncul di sini dan tanpa segan silu duduk makan bersama dengannya. Adakah Hannah mengintip dan mengekori dia sehingga ke sini? Tetapi untuk apa?

“Apa yang sedap dekat sini?”

Wajah diangkat memandang Zarif. Tidak salah rasanya kalau dia meminta pendapat lelaki di hadapannya ini. Sesekali nak juga rasa makanan yang dicadangkan oleh Zarif. Tambahan pula, bukan mudah untuk dia mendapatkan kesempatan makan berdua begini.

Sejak awal perkenalan, baru hari ini dia berpeluang untuk makan bersama Zarif. Berdua pula tu. Nampaknya nasib menyebelahinya hari ini.

“Semua sedap.”

“Yang paling sedap?”

“Tak ada yang paling sedap, tak ada yang kurang sedap. Semuanya sedap.”

Jawapan Zarif itu membuatkan riak pada wajah Hannah sedikit berubah. Dia kembali tunduk memandang buku menu. Rasa teruja dapat makan bersama Zarif mula hilang. Berganti dengan rasa kecewa. Terasa seperti kehadirannya di sini tidak disenangi oleh Zarif.

Perlahan-lahan buku menu ditutup dan ditolak ke tengah meja. “Semua menu dalam ni macam tak menarik aje. Saya rasa, saya makan dekat tempat lain sajalah.” Hannah  tersenyum tawar sebelum cuba untuk bangun daripada duduk.

“Sit.”

Kening Hannah mula berkerut.

“Duduk. Saya pilihkan makanan untuk awak.” Sambung Zarif dengan nada suara yang sedikit lembut berbanding tadi. Bukan dia tidak perasan akan perubahan pada wajah gadis itu. Tidak terniat di hati untuk melayan Hannah dengan dingin. Tetapi rasa kurang senang dengan kehadiran Hannah yang tiba-tiba membuatkan dia tidak dapat mengawal rasa tidak puas hatinya terhadap gadis ini.

Bibir Hannah kembali melorek senyuman.

“Spageti Aglio Olio, boleh?” soal Zarif dengan mata yang tertancap pada buku menu. Langsung tidak berkalih memandang Hannah.

Laju Hannah angguk. “Awak dah pernah cuba ya?”

“My favourite.”

Pap! Buku menu ditutup dan baru sekarang dia berkalih memandang si gadis. Tangan diangkat untuk membuat pesanan. Malas berfikir panjang, dia memesan makanan dan minuman yang sama untuk Hannah. Sudah tentu Hannah terima saja kerana gadis itu juga yang meminta cadangan daripadanya seketika tadi.

Bersinar mata Hannah bila Zarif mencadangkan makanan kesukaannya dengan bibir yang mengulum senyum. Entah kenapa semakin lama semakin dia tidak dapat berselindung tentang rasa hatinya terhadap Zarif. Jauh di sudut hati dia berharap agar Zarif mengerti tetapi dalam masa yang sama dia turut risau jika Zarif berfikir yang bukan-bukan tentang dia atau lebih tepat, lelaki itu menganggap dia seperti gadis yang tidak tahu malu.

“Awak selalu ke datang sini Zarif?”

Sekali lagi Hannah menyoal dengan mata yang bergerak memandang sekeliling. Boleh tahan cantik juga dekorasi kafe ini. Kelihatan sangat eksklusif.

“Tapi macam jauh je dari pejabat kita, kan?”

Zarif diam tidak menjawab sebaliknya matanya terus merenung Hannah. Sepertinya cuba mencari sesuatu dari wajah itu. Penjelasan mungkin.

Hannah yang perasan akan renungan lelaki itu mula rasa tidak senang duduk. Senyuman pada wajahnya juga kelihatan sedikit kekok. Mungkin malu apabila ditenung sebegitu.

“Buat ada dekat sini, Hannah? Macam mana boleh tiba-tiba muncul dekat sini?”

“Oh...” Spontan tangan naik membetulkan lipatan tudung yang sejak tadi sedikit pun tidak terusik.

“Saya ada urusan dekat kawasan berdekatan.”

“Urusan apa?” soalnya lagi dengan wajah tanpa riak.

“My personal matter,” jawab Hannah dengan senyuman yang melebar siap dengan mata yang sepet.

“Lepas tu saya nampak awak masuk ke kafe ni. So, here I am.” Kemudian perlahan-lahan senyumannya mati.

“Saya minta maaf kalau awak rasa kurang senang dengan kehadiran saya di sini.”

Zarif menggeleng. “It’s okay.”

“Awak selalu datang makan dekat sini ke? Nampak macam dah biasa.”

Angguk tidak, geleng pun tidak. “Bila ada urusan kerja dekat kawasan berdekatan sahaja.”

“Oh...”

Hannah dan Zarif terus leka bersembang walaupun Hannah yang lebih banyak mendominasi perbualan mereka.

Tanpa mereka sedari ada sepasang mata yang sejak tadi tidak berkalih daripada memandang mereka dari belakang.

 

SATU PER satu makanan yang dipesan dihidangkan di atas meja tetapi langsung tidak mengganggu Iffat yang sedang memusatkan pandangan ke arah Zarif dan temannya. Badannya tegak bersandar ke belakang dengan kaki kanan menindih kaki kiri. Kedua-dua belah tangan pula membelit badan sendiri.

Hujung bibir Iffat tercuit dengan senyuman. Macam tengok drama pula apabila gadis itu kembali duduk dan riak pada wajah mula berubah ceria. Pasti gadis itu merajuk dengan Zarif seketika tadi. Tidak dia sangka orang sedingin Zarif sudah mempunyai teman.

“Nak balik JB bila?”

Iffat angguk ke arah pramusaji yang telah selesai menghidangkan makanan mereka sebelum berpaling ke arah Afiq yang sejak tadi tunduk menghadap telefon di tangan. Baru sekarang Afiq kembali bercakap dengannya sejak kejadian di ofis mereka tadi.

“Hujung minggu nanti kut. Kenapa?”

Stay here for another week, boleh?” Telefon diletak ke tepi sebelum dia memusingkan badan menghadap Iffat.

“Kenapa?”

“Tengku Ilman jemput kita ke majlis dia hujung minggu nanti.”

“Majlis apa?”

Lama Afiq merenung ke dalam mata Iffat sebelum akhirnya dia berterus terang juga. “Okey, bukan majlis...”

“Party?

Berkelip-kelip matanya memandang wajah gadis itu.

“Again? Kepala digelengkan seperti tidak percaya. Sedangkan baru tadi mereka bertegang urat tentang tabiat suka minum Afiq dan sekarang kekasihnya ini sekali lagi mengungkit tentang perkara ini. Kalau dah pergi parti tu haruslah ada minuman keras. Nak pula parti anjuran Tengku Ilman yang semua orang sudah sedia maklum betapa sosialnya anak kerabat itu. Nasiblah kaya, tak ada yang berani menegur. Mengampu lagi ada.

Come on sayang, takkan you nak tolak jemputan Tengku Ilman.”

“I tak suka dia.”

“Ya I tahu, sebab itu I nak you ikut.”

“Excuse me?

Afiq ketawa melihat kerutan di wajah Iffat. “You tak suka dia dan sudah semestinya you tak bagi kalau I pergi sorang party tu nanti. Sebab itu I nak you ikut. Dekat sana nanti you boleh tengokkan I supaya tak minum macam yang you selalu bisingkan tu.”

Iffat menjeling Afiq yang masih tersengih-sengih ke arahnya. Bukan dia tak tahu Afiq sengaja menyindir. Tangan yang masih memeluk badan sendiri ditarik oleh Afiq.

“Boleh kan sayang? You dah lama tak teman I pergi party. Please, untuk satu kali ni sebelum you pergi JB semula.” Jari-jemari mula bersulam dalam dia cuba memujuk kekasihnya itu.

Lama Iffat berbalas pandang dengan Afiq sebelum menghela nafas keras.

“Ya baiklah...”

“That’s my girl.” Puncak hidung Iffat dicuit mesra dan Iffat membalas dengan jelingan.

Hidangan yang hampir sejuk mula dijamah. Terlalu leka bersembang sehingga lupa untuk menyentuh makanan yang terhidang.

Sambil menjamu selera mereka turut berbual tentang pelbagai perkara.  Sesekali mata Iffat mencuri pandang ke arah Zarif dan pasangan. Khusyuk benar nampaknya Zarif mendengar bicara si gadis, langsung tidak menoleh ke kiri dan kanan. Ah, selalunya pun mana pernah lelaki itu mengendahkan keadaan sekeliling.

Sementara menunggu Afiq membuat pembayaran, Iffat menarik keluar telefon dari poket dan dengan pantas jemarinya bergerak menaip pesanan ringkas di WhatsApp. Sebaik sahaja Afiq kembali, Iffat terus bangun dan mengekori lelaki itu dari belakang untuk kembali ke pejabat mereka. Sempat dia berpaling ketika menutup pintu kafe dan serentak itu juga pandangan matanya berlaga dengan pandangan mata Zarif. Hujung bibir tersenyum sinis sebelum dia berlalu dari situ.

Mata Zarif kaku memandang Iffat yang berlalu sebelum kembali membaca pesanan ringkas yang diterima.

You guys look good together.

No comments:

Post a Comment