DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 13 January 2022

Intrigue Cinta Zarif - Bab 9


TING! Ting! Ting!

Iffat mengangkat kepala dari bantal dengan terpisat-pisat. Hampir sahaja dia merebahkan kepala ke bantal semula bila bunyi ting ting kembali kedengaran. Menggagau tangannya mencari telefon dengan mata yang sebelah terbuka. Langsir tebal yang tertutup membuatkan keadaan bilik malap dengan hanya lampu sisi meja yang bernyala.

Telefon yang masih berbunyi di atas meja sisi katil akhirnya berjaya dicapai. Tanpa melihat nama pemanggil, panggilan tersebut terus dijawab.

Oh my, Iffat! Kau dekat mana?”

“Bell?” soal Iffat dengan suara yang serak.

“Kau tidur ke?”

“Ada apa Bell?” Badan yang meniarap bertukar telentang. Dengan mata yang terpejam dia melekapkan telefonnya ke telinga.

Astaghfirullahalazim Iffat. Dah dekat pukul 10 pagi kau duk membuta lagi? Dari tadi orang Apex duk cari kau ni hah.”

Spontan mata Iffat terbuka dan tunak memandang siling bilik tidurnya. “Kau cakap apa tadi? Pukul berapa?”

“Pukul 10, orang Apex...”

Iffat terus tegak di tengah katil dengan rambut yang serabai. “Aduh!” Ditekan-tekan kepalanya yang tiba-tiba sakit mencucuk. Suara Bell dengar tak dengar sahaja pada pendengarannya sekarang.

“Dari tadi dia cari kau. Tuan Syed pun tak masuk-masuk lagi ni ha, adoi peninglah aku nak menjawab.”

“Siapa cari?”

“COO Apex. Ada masalah dekat tapak projek...”

“Apa??” Sekali lagi Iffat terkejut dengan berita yang  disampaikan oleh Bell. Selimut tebal ditolak ke tepi dan dengan kepala yang mencucuk kesakitan, dia cuba bangun dari katil. Sempat dia menilik pakaian yang tersarung pada badan. Terus buntang matanya. Pakaian semalam?

“Kau nak masuk ofis pukul berapa ni Iffat? Apa aku nak jawab kalau orang Apex call nanti ni?”

Punggung dihempas ke katil semula dengan tangan kanan memegang telefon manakala tangan kiri pula naik memicit kepala.

“Sekejap lagi aku call Tuan Zarif. Kau call Tuan Syed, beritahu dia tentang perkara ni.”

“Baiklah. Kau masuk ofis ke tidak ni?”

“Apa-apa nanti aku beritahu kau semula.” Perbualannya dengan Bell ditamatkan dan dia terus menyemak rekod panggilan yang tidak dijawab. 10 panggilan daripada Zarif sahaja. Tangan kanan terus naik ke dahi.

“Matilah!”

Nafas ditarik dalam lalu nombor telefon Zarif dihubungi. Tangannya tidak diam mengemaskan rambut yang berserabai sambil menenangkan hati yang berdebar menantikan panggilannya berjawab.

“Still alive?

Belum sempat dia menyapa, Zarif terlebih dahulu melontarkan soalan sinis kepadanya. Dengan nada dingin dan beku begitu, dapat dia bayangkan bagaimana reaksi wajah lelaki itu ketika ini.

“Tuan Zarif...” Terus panggilannya kepada Zarif berubah.

Where have you been, Iffat? Dah pukul berapa sekarang, tak masuk kerja ke?”

“Saya minta maaf Tuan Zarif. Saya...”

“Berlaku kemalangan dekat tapak projek. Saya nak awak ikut saya ke sana sekarang.”

“Kemalangan apa?” Terus dia terbangun daripada duduknya dan meraba-raba tidak tahu apa yang perlu dicapai dahulu.

Didn’t you get the news? Damn it Iffat, awak buat kerja ke tidak ni?” Jelas kedengaran suara Zarif yang tertahan. Menahan diri daripada memarahi Iffat.

“Saya minta maaf Tuan...”

Just get ready, I’ll be there as soon as possible. Lepas tu kita terus ke JB.”

Belum sempat Zarif menamatkan panggilan, suara Iffat kembali kedengaran.

“With your car?

“Yes, Iffat.”

“Tapi saya dekat rumah sekarang.” Hujung bibir digigit dengan kepala yang ligat memikirkan apa alasan yang harus diberikan apabila Zarif kembali melontarkan soalan

nanti.

“Send me your location.”

Panggilan terus dimatikan dan Iffat terkebil-kebil memandang skrin telefon yang telah gelap.

Dengan dahi berkerut menahan sakit kepala, telefon ditekan mencari nombor Afiq untuk dihubungi. Beberapa kali mencuba, panggilan langsung tidak berjawab. Nafas dihela kasar dengan pelbagai perkara yang bermain dalam fikiran.

Kemudian dia membaca pesanan yang diterima daripada Lucy.

You passed out last night. Luckily

nobody’s home masa I dengan Vic

hantar you balik. Don’t worry about

Afiq, Vic dah uruskan. Feel better

soon, Iffat!

Sekali lagi tangan kanan naik memicit pelipis. Kejadian semalam kembali berlegar di ruang ingatan. Semalam dia menemani Afiq menghadiri parti di banglo Tengku Ilman. Semuanya terkawal pada mulanya sehinggalah parti itu mula menjadi liar setelah Tengku Ilman mengeluarkan pelbagai jenis minuman keras dalam simpanannya.

Mata dipejamkan rapat dengan kening yang berkerut.

Damn it, Afiq!” Iffat bangun daripada duduk dan mula mengemas pakaian yang akan dibawa dengan mulut yang tidak henti membebel tentang kekasihnya.

Selesai mengemas, dia bergegas ke bilik mandi pula. Pakaian yang disarungkan ke badan juga pakaian kasual yang sesuai dipakai ke tapak projek. Sedang elok dia keluar dari bilik tidur untuk ke dapur, kedengaran hon kereta di hadapan rumahnya. Pantas dia berlari anak dan menyelak langsir di ruang tamu.

Kelihatan Zarif keluar dari keretanya dengan lengan kemeja yang telah berlipat ke paras siku. Ikatan tali leher juga telah dilonggarkan. Riak serius pada wajah itu membuatkan Iffat semakin berdebar. Beg pakaian serta beg kerjanya terus dicapai bersama beg tangan yang telah dibawa keluar bersama. Nampaknya tak sempat dia menjamah waima air kosong.

“Ready? soal Zarif dengan tangan bercekak pinggang.

Iffat angguk sambil menjinjit beg pakaian dan beg kerjanya. Tiba di hadapan Zarif, begnya itu diambil oleh Zarif dan terus diletakkan di bahagian belakang kereta.

“Saya minta maaf.”

“Get in.”

Kata maaf Iffat langsung tidak dibalas malah lelaki itu terus bergerak ke bahagian pemandu. Akhirnya Iffat ikut bergerak masuk ke dalam kereta Zarif dengan pelbagai rasa yang bermain di hati dan fikirannya.

 

SELESAI MENGHANTAR pesanan ringkas kepada Bell untuk memaklumkan tentang pemergian dia ke Johor Bahru, Iffat menghantar mesej kepada kakaknya pula. Nasib baiklah kakak dan abang iparnya on call semalam. Kalau tidak, sia-sia sahaja kantoi mabuk depan mereka.

Apabila teringat semula apa yang terjadi semalam, serius dia rasa nak penggal kepala Afiq. Dengan rasa geram yang berbuku di dada, nombor Afiq dihubungi. Setelah menunggu beberapa ketika, panggilannya mati begitu sahaja. Sekali lagi dia mendengus geram.

Zarif di sebelah sejak tadi tidak henti bercakap di telefon. Selesai satu panggilan, bersambung ke panggilan yang lain pula. Bila perasan akan jelingan jejaka itu, telefon terus diletak ke tepi dan tangan kiri naik memicit kepala yang masih terasa sakitnya.

“Tak sihat?”

Spontan Iffat menegakkan badan dan menoleh ke arah Zarif yang baru selesai bercakap di telefon.

“Apa yang jadi sebenarnya, Tuan Zarif?”

Zarif memandang lurus ke hadapan. Kerap pula Iffat memanggil dia dengan panggilan tuan hari ini.

“Ada kemalangan dekat tapak projek pukul 8 pagi tadi.”

“How bad?

“Seorang meninggal.”

Terbuntang mata Iffat. Disangkakan hanya kemalangan biasa tetapi rupanya sehingga meragut nyawa.

“Saya tak akan minta awak bertanggungjawab atas apa yang terjadi dekat tapak projek.”

Iffat memakukan pandangan ke wajah lelaki itu.

“Tapi saya nak awak jelaskan kenapa awak tak masuk ofis dan berita ni sampai ke pengetahuan saya terlebih dahulu. You’re the project manager Iffat, remember?”

Hujung bibir digigit.

“And your boss...”

Dada semakin berdebar apabila melihat wajah ketat Zarif.

“Where is he?

Gulp!!!

 

ZARIF BERDIRI tegak dengan tangan yang bercekak pinggang ketika mendengar penjelasan jurutera mereka tentang kemalangan yang telah berlaku. Tepat jam 8 pagi ketika semua pekerja masuk ke tapak pembinaan, seorang daripada mereka telah menemui satu jasad yang tidak bernyawa di bahagian belakang tapak pembinaan.

Zarif mula diserang dengan pelbagai tanda tanya. Kepala didongakkan ke atas, memandang bangunan yang telah hampir siap. Sedang dia ralit memandang, kelihatan seperti ada kelibat manusia yang bergerak dan berselindung di sebalik tiang.

Peluh yang merecik membuatkan pandangannya sedikit terganggu. Pantas dia menjatuhkan kepala dan menarik keluar sapu tangan di dalam poket. Lantas peluh yang membasahi wajah dikesat perlahan dengan kepala yang ligat berfikir tentang apa yang dia lihat seketika tadi.

“Tiada siapa yang tahu apa yang telah terjadi sebenarnya tuan. Mereka juga tidak perasan akan kehilangan mangsa malam tadi. Bila tiba di tapak projek, mangsa telah terbaring dengan kecederaan di bahagian kepala.”

“Siapkan laporan dan hantar kepada saya secepat mungkin.”

“Baik Tuan Zarif.”

“Pastikan perkara ini tidak sampai ke pengetahuan orang luar.”

“Tapi tuan, ada beberapa orang wartawan datang untuk buat liputan. Mereka masih menunggu kenyataan dari pihak kita.”

“Suicide. Give them that answer.”

Berkerut kening Iffat apabila mendengar jawapan Zarif. “Mana boleh main cakap macam tu je, Tuan Zarif. Semua ini perlu disiasat terlebih dahulu.”

“Kita tak ada masa untuk semua itu dan apa sahaja jawapan yang kita berikan, akan menjejaskan bukan sahaja projek ini malah nama syarikat juga. Dia ada masalah mental

dan bunuh diri. Case closed.”

Zarif berundur meninggalkan juruteranya itu bersama Iffat yang masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang dia berikan. Telefon ditarik keluar dan nombor Fendi terus dihubungi.

“Aku ada kerja untuk kau.”

“Apa dia, bos?”

Wajah Zarif berubah tegang ketika dia memberitahu butir kejadian kepada Fendi serta maklumat yang dia mahukan.

“Ada unsur sabotaj. Siapa sahaja yang lakukan perkara ini motif mereka hanya satu, ingin memburukkan nama Apex dan projek ini. Aku nak kau cari siapa dalangnya.” Zarif berpaling memandang Iffat dengan telefon masih di telinga. Jelas kelihatan riak kurang senang pada wajah itu yang sedang merenung tajam ke arahnya.

“Aku nak laporan dalam minggu ni juga Fendi.”

“Baik, bos.”

Panggilan tamat dan Zarif bergerak mendapatkan Iffat. “Jom.”

“Ke mana?”

“Balik hotel, I need a rest.”

“Tapi kes ini...”

Zarif memberi isyarat kepada juruteranya supaya meninggalkan dia dengan Iffat. Serentak itu tangannya naik bercekak pinggang.

Iffat menghela nafas keras. “Ini tidak adil kepada mangsa Tuan Zarif. Kita perlu lakukan siasatan lebih lanjut.”

“Pihak polis telah lakukan siasatan dan tiada apa-apa bukti yang ditemui. Juga tiada apa yang mencurigakan. Apa lagi yang awak tidak puas hati Iffat?” Dia sendiri telah bercakap dengan pihak polis dan memang tiada sebarang bukti atau kesan jenayah yang dikesan.

“Mustahil.” Iffat mula berpeluk tubuh.

Selangkah Zarif bergerak merapati Iffat. “Tiada apa yang mustahil dalam dunia ini Iffat.” Kepalanya tunduk memandang ke dalam mata gadis yang mendongak. Jarak yang begitu dekat membuatkan nafas mereka hampir mengena wajah masing-masing.

“Sebelum keluarkan apa-apa kenyataan atau andaian, awak kena fikir kesan yang akan dihadapi bukan sahaja oleh individu tetapi kesannya kepada Apex dan Mosaic. Juga kesan terhadap projek ini nanti.”

Wajah diangkat dan Zarif berundur selangkah. “Projek ni dah hampir siap. Dalam masa beberapa bulan sahaja lagi jualan akan dibuka dan awak fikir kejadian ini tidak akan memberi kesan kepada jualan nanti? Awak fikir perniagaan Tan Sri Megat tidak akan terkesan dengan kejadian ini?”

Bibir bawah dikemam dengan sepasang mata yang masih tajam menikam wajah Zarif.

“Ada sesetengah perkara lebih baik didiamkan demi kepentingan bersama.”

Buat beberapa ketika mereka hanya diam dan saling memandang sebelum Zarif berpaling untuk berlalu.

“Nak ikut saya atau tidak?” soal Zarif tanpa berpaling.

Dengan rasa tidak puas hati yang masih belum surut, Iffat mengekori dari belakang. Kepalanya masih sarat memikirkan tentang kejadian hari ini. Ditambah pula dengan cuaca yang panas membahang, sakit di kepala kembali mencucuk. Masuk sahaja ke dalam kereta, kepalanya terus disandarkan ke belakang dengan mata yang terpejam. Sehingga mereka tiba di hotel, barulah matanya dibuka. Itu pun setelah ditegur oleh lelaki itu.

“Okey, Iffat?” soal Zarif apabila gadis itu menyandarkan kepala pada dinding lif.

“Okey.”

Pintu lif terbuka dan Iffat mengatur langkah untuk keluar. Baru beberapa tapak keluar dari lif, pandangan mata mula gelap dan dalam masa beberapa saat, badannya terasa melayang. Tiada apa lagi yang berada dalam fikirannya pada ketika itu. Hanya pendengaran yang sempat menangkap panggilan Zarif dari belakang.

No comments:

Post a Comment