DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 13 January 2022

Intrigue Cinta Zarif - Bab 7


PERJALANAN pulang mereka hanya diiringi dengan bunyi lagu dari playlist Iffat yang terpasang. Zarif fokus pada pemanduan manakala Iffat pula melemparkan pandangan ke luar kereta. Memandang sisi lebuh raya yang silih berganti antara kenderaan yang lalu-lalang dengan kehijauan pokok serta tumbuh-tumbuhan.

“Awak tak ada teman wanita?”

Beberapa saat berlalu, tiada jawapan yang kedengaran. Sekali lagi Iffat mengajukan soalan yang sama.

“Tak ada.”

Lama Iffat memandang sisi wajah Zarif. Meneliti raut wajah tanpa riak itu.

“Kenapa tak ada?”

Zarif memilih untuk tidak menjawab soalan Iffat.

“Awak belum bersedia untuk sebarang komitmen?”

“Kita perlukan komitmen ke untuk bercinta?”

Iffat angguk seraya mengalihkan pandangan ke arah luar semula. “Ya. Tak ada hubungan yang berjaya tanpa komitmen. Komitmen adalah kunci kepada sesuatu hubungan itu untuk berjaya.”

Fikiran melayang teringatkan Afiq yang berada di negara jiran. Sejak kebelakangan ini Afiq sibuk dengan tugasnya sebagai pengarah urusan dan mengejar projek mega manakala dia sibuk dengan projek di Johor. Langsung tiada kesempatan untuk meluangkan masa bersama. Dan dia akui kerana kesibukan itu hubungan mereka mulai renggang walaupun telefon masih menjadi medium perhubungan.

Zarif mencuri pandang ke arah Iffat. “Dah berapa lama awak bercinta dengan Afiq?”

“Tak lama dan tak baru.” Sengaja Iffat tidak memberi jawapan yang spesifik.

“Bila nak nikah?”

Nikah? Baik dia mahupun Afiq, tiada siapa yang pernah membicarakan tentang perkara ini. Pada awalnya masing-masing sibuk mengejar cita-cita dan sekarang... entahlah, dia sendiri kurang pasti ke mana hala tuju hubungan mereka berdua.

“After you,” jawab Iffat dengan tawa halus. Sengaja ingin menceriakan suasana dan juga perasaan sendiri. Telefon ditilik. Langsung tiada khabar berita daripada kekasihnya hari ini.

Hujung bibir Zarif ikut tercuit dengan senyuman. Dalam hati dia berbisik, ‘It’s not gonna happen Iffat because you will marry me.’ Dan senyuman itu terus melebar dengan maksud yang tersirat.

Setelah lebih 4 jam berada di lebuh raya, akhirnya kereta yang dipandu oleh Zarif semakin menghampiri kawasan kediamannya. Ketika kereta yang dipandunya itu  menghampiri pagar utama, matanya terpandang susuk tubuh yang duduk bersila di perhentian bas tidak jauh dari situ. Matanya mula mengecil dan ketika mereka melintasi perhentian bas tersebut, sempat dia merenung susuk tubuh itu.

Sejak kebelakangan ini semakin kerap wanita itu kelihatan di kawasan sekitar tempat tinggalnya. Wanita sama yang sentiasa mengejar belakang keretanya setiap kali dia melalui kawasan tersebut setelah pulang dari pejabat. Sempat dia mencuri pandang cermin pandang belakang, melihat wanita yang langsung tidak sedar akan kehadirannya kerana kereta yang dipandu adalah kereta Iffat.

Tiba di hadapan bangunan kediaman penthouse milik Zarif, serentak mereka keluar dari kereta. Iffat bersandar pada pintu sebelah penumpang sementara Zarif mengambil beg pakaiannya dari belakang. Sempat dia mendongak ke atas, meneka unit mana yang didiami oleh Zarif.

“Which one is yours?

“At the top.” Pintu kereta ditutup dan Zarif bergerak mendekati gadis yang masih mendongak.

“As expected.” Pelukan pada badan sendiri dileraikan sebelum dia kembali berdiri tegak. “Okey Zarif, terima kasih sudi pandu kereta saya sampai KL.”

“Tak ada hal.”

Iffat senyum segaris sebelum berlalu ke bahagian pemandu. “Jumpa nanti.”


“BALIK BERAPA hari?” 2 biji muk berisi air coklat panas diletakkan di atas meja pulau. Dihulurkan satu untuk Iffat.

“Seminggu atau dua. Tengoklah macam mana.”

“Sepatutnya tak payah terima job tu. Dah tak pasal kena duduk jauh. Risau kakak.” Sejak 2 tahun yang lalu itu sajalah yang dia ungkitkan dengan Iffat. Sebab adik dia ni gila kerja. Terima saja apa yang diberi langsung tidak membantah. Sudahlah kerjanya jauh dari mata dia.

“Iffat duduk sini pun kakak bukan selalu ada. On call memanjang.”

“Ada saja jawapan dia. Sekurang-kurangnya dekat dengan kakak, tak adalah kakak risau.”

Come on kakak, dah 2 tahun kut tak penat ke duk bercakap benda sama. JB-KL berapa jam aje pun. Lagipun kakak sayang, projek dekat sana dah nak siap dah. Tinggal berapa bulan sahaja lagi.”

Isma menjegilkan mata. “Kalau bercakap memang tak mahu kalah, kan.”

Iffat tayang sengih sambil menarik muk rapat ke bibir. Ditiup perlahan minumannya yang masih panas itu.

“Nanti kakak nak jumpa Afiq, nak suruh dia melamar awak cepat sikit. Dah kahwin nanti tak adalah kakak risau.”

Iffat mencebik. “Itu pun kalau Afiq nak ikut cakap kakak.”

“Kenapa pula? Kalau dia tak nak, kakak carikan calon suami lain untuk awak.”

“Kelakar kakak, kelakar.” Mata dijulingkan ke atas sebelum dia melepaskan tawa. Kakak dia punya risau memang tak boleh bawa bincang sampai nak carikan dia calon suami.

“Sein, tengok adik ipar awak ni. Saya serius dia gelakkan saya pula,” adu Isma kepada suaminya yang kebetulan masuk ke dapur untuk minum.

“Awak risau sangat sayang. Iffat baik-baik saja tu.”

“Ha tengok, abang pun tak gelabah macam kakak.” Sempat dia angkat ibu jari buat abang iparnya.

“Memanglah tak gelabah sebab bukan adik dia.”

“Sayang...” Isma yang menjeling didekati sebelum tangan naik membelit bahu isterinya. “Adik awak adik saya juga, tentulah saya risaukan Iffat. Tapi saya tahu dia pandai jaga diri dan Allah ada jaga dia untuk kita. Doa sayang, doa.”

Iffat tayang sengih. “Come on kakak, bukan selalu kakak dengan abang dapat cuti sama-sama macam ni. Selalu sibuk dekat hospital aje. Janganlah gaduh-gaduh sebab Iffat.”

Sein senyum dan Isma mencebik. “Yalah awak menang. Sebab awak degil tak nak dengar cakap kakak, esok jagakan Iman. Kakak dengan abang nak keluar.”

Sein jongket kening dengan sengihan. “Okey, tak ada hal. Iman is so easy to handle.”

“Great!”

Sedang mereka bertiga leka bersembang, telefon Iffat menerima panggilan daripada Afiq. ‘Akhirnya! Baru ingat nak call ke apa ni?’ Sempat dia merungut dalam hati.

“Hei, Afiq.” Iffat bangun daripada duduk dan memberi isyarat kepada kakak dan abang iparnya untuk naik ke atas.

Sein hanya angguk manakala Isma pula...

“Afiq, bila nak kahwin dengan Iffat??”

Dijegilkan mata ke arah Isma sebelum dia berlalu ke tingkat atas. Sempat telinganya menangkap bunyi gelak ketawa Isma dan Sein.

“Hai sayang. Kenapa tu, Iffat?”

“Tak ada apa-apa. Ada apa call I?”

“Rindulah sayang. Kenapa tanya macam tu?”

“Cause it seems like you don’t care about me anymore.”

“I do care about you sayang. Always. Jangan cakap macam ni, I rasa bersalah sangat dengan you.”

“Yeah you should.”

“Sayang...”

Hujung bibir digigit dengan mata yang terpejam. “I rindu you. Bila nak balik?”

“Esok malam I sampai KL. Ambil I dekat airport?”

“Okey.”

“Terima kasih sayang. I minta maaf sebab tak sempat hubungi dan hantar mesej dekat you hari ni. Balik KL nanti I akan luangkan masa dengan you. Okey Iffat?”

“Okey.”

“You berehatlah. Mesti penat memandu dari JB tadi.”

Terkebil-kebil mata Iffat memandang lurus ke hadapan. Dia langsung tidak memaklumkan kepada kekasihnya tentang kepulangannya bersama Zarif.

“Okey sayang, I love you. Selamat malam.”

“I love you more sayang.”

Dagu disangkut pada lutut dengan tangan memeluk kaki. Sedang dia leka memikirkan tentang Afiq, telefonnya kembali berbunyi menandakan mesej diterima. Berkerut keningnya melihat nama yang tertera pada skrin.

Dah tidur?

Belum. Kenapa?

Kenapa belum tidur?

On the phone dengan Afiq tadi.

Lama Zarif merenung balasan mesej yang diterima daripada Iffat. Kemudian kepala mendongak memandang langit yang kelam seperti kelamnya hatinya tika ini.

No comments:

Post a Comment