DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 21 January 2022

Sayangku Hanan - Bab 9


HARI ini, dia bakal bertolak ke Kuala Lumpur untuk menaiki penerbangan di KLIA. Hanya pak su dan ibunya yang menghantar dia ke sana. Sebelum mereka ke sana, mereka singgah di rumah atuk terlebih dahulu. Lagipun agak lama dia akan berada di Jepun. Ralat juga jika tidak berjumpa dengan orang tua itu. Paling penting, dia mahu berjumpa dengan Hanan.

“Betul kau tak nak ikut?”

“Tak naklah. Atuk aku pun tak nak pergi.” Hanan menguis-nguis jari kakinya di tanah. Sejak tadi dia tidak berani memandang wajah lelaki itu.

Hafiz menggeleng perlahan.

“Janganlah buat macam tu. Kotor kuku kaki tu nanti.” Betis Hanan ditampar perlahan.

Hanan menggigit bibirnya. Mengerling sekilas ke wajah lelaki itu, cepat-cepat dia memandang ke arah lain. Nampak berbeza betul Hafiz hari ni. Baru hari ini dia perasan lelaki itu mempunyai raut wajah yang kacak. Patutlah ramai sangat pelajar perempuan menyukai Hafiz.

“Kenapa tak nak pandang muka aku?”

Hanan mengangkat kepalanya sedikit. Hafiz sedang tersenyum nakal ke arahnya.

“Kau sedih eh aku nak pergi?” usik Hafiz.

“Tak adalah. Perasan!”

Tergelak Hafiz. Pandai betul Hanan menipu. Bukan dia tidak perasan sejak tadi gadis itu kelihatan malu-malu.

“Aku pergi paling lama empat tahun. Selama aku tak ada, tolong tengokkan mak aku ya. Memanglah pak su aku ada, tapi tak selalu dia ada dengan mak.”

Hafiz memandang ke arah Mak Siti. Wanita itu masih sibuk berbual bersama Haji Hasan dan Pak Salim. Berat hatinya untuk meninggalkan wanita itu. Demi cita-cita, dia terpaksa berkorban.

“Yalah, aku tengok-tengokkan mak.”

Ternaik kening Hafiz.

“Kau panggil apa tadi?”

“Tak payah nak perlilah. Selagi aku tunang kau, aku akan panggil Mak Siti tu mak.”

“Kau nak panggil mak sampai bila-bila pun aku tak kisah. Kau aje yang salah faham.” Selamba saja Hafiz menggosok kuat rambut pendek gadis itu.

Hanan menepis jemari kasar lelaki itu. Habis serabut rambut pendeknya dikerjakan oleh Hafiz.

“Hafiz, jom kita gerak,” arah Pak Salim sambil membuka pintu kereta.

Hafiz mengangkat tangannya. Dipandang wajah Hanan seketika.

“Boleh aku minta sesuatu?” Direnung dalam ke wajah si tunang.

“Apa dia?” Pelik pula Hanan melihat cara lelaki itu merenung wajahnya. Dahlah jantungnya asyik berdegup laju setiap kali berada dekat dengan Hafiz. Dulu tak ada pula dia berperasaan begitu. Takkanlah hanya disebabkan mereka bergelar tunang, perasaan mereka turut berubah.

“Jangan potong rambut pendek lagi.”

“Hah?” Tercengang Hanan. Tanpa sedar, tangannya menyentuh rambut sendiri.

Hafiz sekadar tersenyum kecil. Dia berlari anak menuju ke kereta meninggalkan Hanan yang masih berdiri kaku di situ.

Hilang bayang kereta Pak Salim, Hanan duduk di tangga bersama Haji Hasan. Keluhan nipis terlepas daripada bibirnya. Sebenarnya dia masih bersalah terhadap lelaki itu. Disebabkan perbuatan bodohnya tempoh hari, sampai sekarang dia masih gagal menemui cincin pertunangan mereka.

“Kenapa sedih sangat ni? Sebab Hafiz ke?”

Hanan mengangguk kecil tanpa sedar.

“Bukannya lama dia pergi pun. Empat tahun lagi dia baliklah. Sekarang ni zaman dah canggih. Zaman atuk dulu boleh hantar surat aje.”

Hanan menjatuhkan kepalanya di atas bahu Haji Hasan. Tubir matanya terasa hangat. Jari manisnya direnung lama.

Haji Hasan mengintai wajah cucunya sedikit. Nampak sedih betul cucunya hari ini. Dia tersenyum kecil. Syukurlah ikatan pertunangan antara cucunya dengan Hafiz mengubah sedikit tingkah laku gadis itu.

“Atuk, macam mana ni?” Bergetar suara Hanan.

“Macam mana apa?” soal Haji Hasan dengan riak keliru.

Hanan mengangkat wajahnya. Dia menayangkan kelima-lima jari kirinya di hadapan atuknya itu.

“Cincin tunang Hanan hilang.”

Hampir terjatuh rahang Haji Hasan. Terus dia berdiri tegak. Kedua-dua tangannya sudah berada di pinggang.

“Macam mana boleh hilang?”

Serba salah Hanan hendak menjawab. Selepas pulang daripada berjumpa dengan Hafiz, puas dia mencari cincin itu di dalam bilik. Sudah dua hari dia cuba mencari. Sampailah ke hari ini, dia masih gagal menemui cincin itu.

Nasib baiklah Hafiz tidak bertanyakan tentang cincin itu. Matilah dia kalau lelaki itu tahu cincin pemberian arwah ayahnya sudah hilang.

“Tercicir. Hanan tanggal sebab tak biasa pakai. Sekarang dah tak jumpa,” bohong Hanan. Teruk dia akan dibalun kalau bercakap jujur.

“Pergi cari sekarang. Tunang baru beberapa hari, dah hilang. Selagi tak jumpa, jangan harap atuk benarkan Hanan keluar.” Masam mencuka wajah Haji Hasan. Orang tua itu masuk ke dalam rumah dalam keadaan marah.

Jatuh kedua-dua bahu Hanan. Nak tak nak, dia perlu mencari cincin pertunangannya dengan Hafiz sesegera yang mungkin. Bergegas dia masuk ke dalam rumah. Penyapu dan penyodok sampah diambil lalu dibawa masuk ke dalam bilik.

Dengan lafaz bismillah, dia memulakan misi pencariannya. Almari dan peralatan di dalam bilik itu dialihkan. Hampir dua jam juga dia bermandikan peluh.

“Manalah cincin tu. Tolonglah muncul. Kalau aku jumpa kau, aku janji ikut permintaan Hafiz.” Tubuhnya terbaring lemah di atas lantai papan. Matanya terpejam rapat. Turun naik nafasnya menahan penat.

Tiba-tiba dia terasa seperti ada sesuatu di hujung jarinya. Dia menoleh ke sebelah. Tidak berkelip matanya melihat sesuatu yang berkilat di situ. Cincin!

Lekas dia berdiri sambil melihat cincin di tangannya. Bagaimanalah dia boleh tidak perasan cincin itu berada di bawah meja solek? Bertubi-tubi dia mencium cincin itu. Tanpa teragak-agak, disarungkan cincin itu ke jari manisnya. Namun senyuman yang lebar tadi bertukar kendur. Dia memandang wajahnya melalui cermin meja solek. Rambut yang pendek, disentuh perlahan. Habislah dia kali ni. Aci tak dia tarik balik kata-katanya tadi?

 

BEKERJA DENGAN Pak Salim, rutin hariannya turut berubah. Selepas solat subuh, dia akan menyediakan sarapan untuk atuk sebelum bertolak ke pasar. Atas permintaan Mak Siti, dia disuruh menggunakan motosikal Hafiz sepanjang lelaki itu belajar di Jepun. Pada

awalnya dia menolak keras, tetapi setelah didesak, terpaksalah dia menerima. Janganlah rosak motosikal Hafiz itu nanti. Tak pasal-pasal, dia pula kena ganti.

Hampir jam satu petang, barulah dia pulang ke rumah. Bekerja di pasar tidaklah terlalu berat. Kerjanya hanya menimbang ikan yang dibeli oleh pelanggan.

“Hanan dah simpan ikan dalam tong. Ais pun Hanan dah letak. Hanan balik dulu.”

“Yalah. Hati-hati. Eh, lupa pula pak su nak tanya, Hafiz ada hubungi Hanan?”

Hanan menggeleng perlahan. Sudah sebulan lelaki itu berada di Jepun. Tak pernah pula mereka saling berhubung.

“Semalam dia ada hubungi pak su. Ingatkan, dia ada call Hanan.”

“Dia sibuklah tu. Hanan tak kisahlah, pak su.”

“Tak boleh macam tu. Hanan tunang dia, kenalah selalu berhubung walaupun duduk jauh. Nanti pak su nasihatkan dia.”

Hanan tersenyum janggal. Terpulanglah kepada Pak Salim. Bukan dia yang nak sangat mendengar khabar berita lelaki itu. Cepat-cepat dia beredar sebelum lebih banyak lagi Pak Salim bercakap tentang Hafiz.

Sebelum pulang, dia singgah di kedai runcit. Sebaik saja dia mematikan enjin motosikal, dia ternampak kelibat Amar. Makin lebar senyumannya. Lama juga mereka tidak berjumpa.

“Amar!”

Lelaki itu menoleh ke arahnya. Namun wajah lelaki itu terus berubah tegang. Berkerut dahi Hanan melihat lelaki itu berjalan laju menuju ke arah motosikal. Cepat-cepat dia mengejar lelaki itu.

“Tunggulah, Amar. Kau tak dengar ke aku panggil tadi?”

“Kau nak apa?” Acuh tak acuh lelaki itu menyoal.

“Nak berborak, tak boleh ke?” Tak sedap hati pula Hanan dengan tingkah laku Amar. Nak kata dia ada buat salah, tapi apa?

Amar tergelak sinis. Dipandang Hanan dengan renungan tajam.

“Untuk apa? Nak bagi aku harapan palsu?”

Tergamam Hanan. Marah betul Amar kali ni.

“Kenapa ni? Aku ada salah apa?”

“Ya, memang kau salah. Kau dengan semua perempuan yang aku kenal, sama! Suka permainkan perasaan aku!”

Hanan memandang ke sekelilingnya. Kulit mukanya terasa tebal. Malu jangan cakaplah. Semua orang di kedai itu sedang memandang ke arahnya.

“Janganlah menjerit.”

“Suka hati akulah. Kau tipu aku. Kononnya tak ada hati dekat budak tu. Tapi sebab dia berjaya daripada aku, kau sanggup bertunang dengan dia. Aku akan pergi dari sini. Masa tu, aku akan buktikan aku lebih berjaya daripada budak tu!” Amar segera menghidupkan enjin motosikal. Tanpa menoleh ke belakang, dia terus memecut laju motosikalnya.

Berkaca tubir mata Hanan. Bukan sedih disebabkan tuduhan itu, tetapi hatinya pedih kerana kehilangan seorang rakan baik. Selama ini dia sangka Amar hanya bergurau. Patutlah atuknya selalu berpesan, antara lelaki dengan perempuan tak boleh berkawan rapat.

Dengan langkah yang lemah, dia kembali ke motosikal. Tidak jadi dia hendak membeli barang di kedai runcit. Lebih baik dia menenangkan dirinya terlebih dahulu.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, air mata Hanan menitis di pipi. Marah dan kecewa bercampur baur. Sekuat hati dia menjerit geram. Semua masalah ini berpunca daripada Hafiz! Kalau boleh diundurkan masa, memang tak ingin dia bertunang dengan lelaki itu.

“Tak apa. Empat tahun tu tak lama. Lepas tu, aku akan bebas daripada dia. Sabar... aku buat semua ni demi atuk.”

No comments:

Post a Comment