DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 20 January 2022

Sayangku Hanan - Bab 2


HAJI Hasan termenung di beranda. Peristiwa yang berlaku petang tadi membuatkan hatinya semakin gelisah. Tak ada niat dia hendak menyakitkan tubuh cucu kesayangannya. Mungkin disebabkan terlalu marah dengan permintaan Hanan, dia bertambah berang.

Tubir matanya terasa hangat. Dia terlalu sayangkan Hanan. Cukuplah dia pernah gagal bergelar seorang ayah dulu. Dia tidak mahu kehidupan Hanan seperti anaknya, Hamdan. Gambar kedua ibu bapa Hanan dipandang dengan perasaan sebak. Arwah Hamdan pergi dalam keadaan sarat menanggung rindu. Walaupun bekas menantunya sudah memaafkan arwah, tapi luka dalam hati wanita itu masih ada. Sehingga ke hari ini, dia masih belum tahu, ke mana hilangnya ibu Hanan. Masih banyak perkara yang dirahsiakan daripada cucunya. Entah bilalah rahsia itu bakal terbongkar.

“Assalamualaikum.”

Hilang terus bayangan kisah lama. Dia memandang ke bawah. Hafiz sedang mematikan enjin motosikal di hadapan rumahnya. Tidak sedar sejak bila anak muda itu muncul.

Waalaikumussalam. Dari surau ke?”

“Ya, atuk. Ni, mak kirim.”

Hafiz mencium tangan orang tua itu terlebih dahulu. Dia duduk di sisi Haji Hasan. Bekas yang dibawa tadi diletakkan di atas lantai beranda.

“Susah-susah aje mak kamu ni. Ehmmm... lauk kari ayam. Mesti sedap.”

“Haah. Sebab cucu atuk tu kan gila kari. Memang lauk inilah mak masak untuk makan malam.”

Tergelak Haji Hasan. Memang cucunya sangat gemarkan kari. Sama seperti arwah anak tunggalnya.

“Macam mana dia?”

Hafiz menoleh ke sisi. Dibetulkan kedudukannya terlebih dahulu.

“Dia baik aje, atuk. Lepas makan, terus tidur. Itu ajelah kerja dia.”

Menggeleng Haji Hasan. Di rumah orang pun masih nak berlagak seperti tuan rumah. Mujurlah ibu Hafiz dengan mereka sekeluarga sangat rapat dan sudah lama saling mengenali.

“Teruk juga atuk pukul dia tadi. Harap dia tak demam.” Perlahan nada suara Haji Hasan. Tiba-tiba dia rindu dengan gurau senda gadis itu. Selalunya, ada-ada saja cerita yang disampaikan oleh Hanan.

Hafiz turut terdiam. Jika dilihat dengan mata kasar, memang teruk juga kesan pukulan di tubuh Hanan. Masa makan malam tadi, wajah Hanan sedikit merah. Mungkin hendak demam agaknya.

“Atuk janganlah marah lagi. Mungkin dia ada sebab tak pergi sekolah.”

“Ya. Atuk dah tak marah. Cuma atuk tak nak dia buat perkara bodoh sampai nak berhenti sekolah.”

Hampir terjatuh rahang Hafiz. Berhenti sekolah? Melampau betul Hanan ni! Patutlah orang tua ini mengamuk.

“Dia nak kerja pun tak salah, tapi janganlah masa sekolah. Atuk tak nak dia tak ada pelajaran. Nanti masa depan dia juga yang terjejas. Budak tu dari dulu lagi sibuk cakap nak duduk di kampung. Tak nak pergi ke mana-mana. Macamlah atuk ni budak kecil.” Panjang orang tua itu membebel. Sejak kecil, Hanan hanya dibesarkan di kampung. Berjalan ke bandar pun boleh dikira dengan jari. Apatah lagi pergi ke negeri lain.

“Nanti Hafiz cuba nasihatkan dia.”

Tiba-tiba Haji Hasan tergelak. Pelik pula Hafiz. Nak kata dia buat lawak, tak ada pula.

“Tak payahlah Hafiz. Kamu berdua, pantang berjumpa asyik nak bergaduh aje. Celah mananya dia nak dengar nasihat kamu. Kalau dia degil sangat, atuk kahwinkan aje kamu berdua.”

Berbahang wajah Hafiz. Tak pernah terlintas dalam fikirannya untuk memperisteri perempuan berspesies lelaki itu. Nak pandang pun tak ada selera.

“Kenapa muka merah? Hafiz tak suka Hanan ke?” usik orang tua itu lagi.

“Hesy... atuk ni, tak naklah.”

“Hanan tu baik. Dia cuma keras kepala sebab tak nak diri dia dibuli. Kalau dia berubah, mesti dia paling cantik dalam kampung ni.”

Hafiz menayang senyuman janggal. Memang betullah kata atuk. Hanan jadi begitu pun disebabkan dia. Suka sangat dia membuli Hanan sejak kecil. Tapi bab cantik tu, macam susah dia hendak percaya.

“Kenapa tak balik lagi?”

“Malam ni, Hafiz temankan atuk. Tak selesalah Hanan ada dekat rumah.” Jujur dia menjawab. Kalau emaknya tak suruh dia ke sini, memang dia akan datang juga. Bukannya dia bencikan Hanan, tapi dia lelaki normal. Terasa lain pula kalau mereka tinggal sebumbung.

“Yalah. Lagipun atuk pun bosan. Rasa sunyi aje Hanan tak ada.” Keruh wajah orang tua itu.

“Atuk rindukan Hanan eh?” usik Hafiz. Cemberut orang tua itu.

“Dah cucu aku, mestilah aku rindu. Kalau kamu yang rindu, itu yang pelik.” Haji Hasan masuk ke dalam rumah bersama bekas makanan tadi.

Terkulat-kulat Hafiz. Dia pula yang terkena. Beg galas disangkut ke bahu sebelum dia masuk ke dalam rumah. Ketika dia lalu di bilik Hanan, langkahnya terhenti di situ. Lama dia berdiri di hadapan bilik itu. Senyuman penuh makna terukir di bibir. Ada cara untuk dia membalas perbuatan Hanan petang tadi.

 

AWAL PAGI lagi, Hanan sudah berada di dapur. Terpaksalah dia memakai baju Hafiz disebabkan dia ke sini tanpa membawa sebarang pakaian. Boleh tahan besar juga baju lelaki itu. Ketika dia ke dapur, Mak Siti sedang sibuk menyiapkan tempahan kuih untuk dihantar ke kedai.

“Nak Hanan tolong?”

“Boleh juga. Hanan tolong masukkan kuih tu dalam bekas.”

Lekas Hanan membuat perkara yang diarahkan oleh Mak Siti. Hari hujung minggu begini, memang banyak tempahan yang diambil oleh wanita itu. Kagum dia dengan semangat Mak Siti. Walaupun mereka sudah hidup senang, Mak Siti masih tetap rajin bekerja.

“Assalamualaikum, kak long.”

Serentak mereka berpaling ke arah pintu dapur. Muncul Pak Salim bersama plastik di tangan.

Waalaikumussalam.” Mak Siti mendekati adik lelakinya. Memang setiap pagi adiknya suka menghantar bahan basah untuk dimasak ke rumahnya.

“Eh, awalnya Hanan datang sini.” Berkerut dahi lelaki itu. Dia masuk dan duduk di meja makan. Tersengih-sengih Hanan.

“Hanan tidur sini semalam,” celah Mak Siti.

“Hah?”

“Nantilah aku cerita. Ikan apa yang kau bawa hari ni?”

“Ikan tenggiri. Hari ni ada dapat banyak juga ikan. Aku bawa sekor ikan merah. Hafiz kan suka makan.”

Hanan hanya memasang telinga sahaja. Pak Salim bekerja di pasar, menjual hasil tangkapan laut. Sampai sekarang lelaki itu masih belum berkahwin. Pelik juga. Nak kata tak kacak, memang kacak. Umur dah tua pun, wajahnya mengalahkan orang muda.

“Kenapa tengok pak su macam tu?”

Err... tak ada apa-apa. Pak su nak air? Hanan buatkan.”

“Boleh juga. Buat kopi pekat ya.”

Hanan mengangguk laju. Sejak kecil lagi dia sangat rapat dengan Mak Siti dan Pak Salim. Tak hairanlah kalau Hafiz selalu mencemburuinya. Tapi dia peduli apa, dia lagi suka lelaki itu makan hati disebabkan dirinya.

Selepas membancuh seteko kopi, Hanan tuangkan ke dalam cawan. Cawan dihulurkan kepada Pak Salim dan Mak Siti lalu dia duduk kembali di kerusi.

“Sedap tak?”

Tergelak Pak Salim.

“Tunggu pak su rasa.” Dengan lafaz bismillah, dia meneguk air itu. Senyumannya berubah keruh. Rasa air ini, hampir sama dengan air yang pernah dibancuh oleh seseorang.

Pelik pula Hanan melihat reaksi Pak Salim. Tidak sedapkah air yang dibancuhnya? Dituangnya kopi itu ke dalam gelas yang lain. Kali ini dia sendiri yang rasa. Sedap. Bukan hendak puji diri sendiri, tapi memang dia pakar membuat air kopi.

“Tak sedap ke pak su?”

Tersentak Pak Salim. Cepat-cepat dia memaniskan wajahnya.

“Sedap. Mestilah sedap. Pandai Hanan buat.” Dia memandang ke sekeliling rumah. Baru dia perasan ada seseorang yang tidak ada di sini.

“Cari Hafiz ke?” soal Mak Siti sambil menutup api dapur.

“Haah. Tidur lagi ke budak tu?”

Meluat pula Hanan dengar nama lelaki itu. Baguslah Hafiz tidak berada di sini. Matanya pun tak sakit.

“Dia tidur di rumah Pak Hasan.”

Aik, dah bertukar rumah ke budak-budak ni?”

Mak Siti ketawa kecil. Geli hati juga dia mendengar andaian si adik. Dia menceritakan serba sedikit perkara yang berlaku semalam. Hanan hanya tunduk menekur meja. Malu apabila kisahnya diceritakan kepada Pak Salim.

“Kenapa Hanan nak berhenti sekolah?”

“Hanan cuma cakap aje...” Hampir tak terkeluar suaranya.

“Jangan cakap macam tu. Kesian dekat atuk. Nak duit, beritahu pak su. Nanti pak su bagi.”

Hanan menggeleng laju. Inilah salah satu sebab dia hendak bekerja. Dia tidak suka menyusahkan sesiapa. Cukuplah dia dihina oleh Hafiz. Kononnya dia mengambil kesempatan.

“Hanan kerja di mana?”

“Kilang papan tu.”

Tercengang kedua-dua orang tua itu. Tidak berkelip mata mereka berdua.

“Bahaya, Hanan. Kilang tu, semua pekerjanya lelaki. Kerja pun lasak.”

“Hanan okey aje. Bukannya berat nak angkat papan tu. Upah dia pun mahal.” Menyeringai wajah Hanan apabila dahinya dijentik. Boleh tahan perit juga.

Pak Cik Salim menggeleng sambil menahan marah. Patutlah Haji Hasan mengamuk. Memang sengaja cari pasal betul!

“Berhenti kerja dekat sana. Kalau nak kerja sangat, kerja dengan pak su.”

Ceria wajah Hanan. “Betul ke?”

“Ya,” balas Pak Salim.

Bukan main seronok lagi Hanan. Mak Siti hanya tersenyum melihat gelagat gadis itu.

“Mak Siti tak berkenan Hanan nak kerja. Kalau nak kerja, tunggulah lepas STPM,” wanita itu cuba memujuk. Tak sampai hati dia melihat Hanan bekerja walaupun gadis itu sudah cukup umur.

“Tapi...”

“Pak su setuju. Hanan boleh ambil gaji pendahuluan dulu. Lepas STPM, baru kerja dengan pak su sementara tunggu tawaran belajar.”

Tawaran belajar? Hanan mengusap belakang lehernya perlahan. Memang gelap masa depannya untuk menyambung pelajaran. Bukan disebabkan dia tidak mampu dari segi kewangan, tapi dari segi keputusan peperiksaan. Paling penting, dia tidak sanggup meninggalkan atuk.

Nak dibandingkan dia dengan Hafiz, umpama skala satu dengan 10. Betapa jauhnya kemampuan mereka berdua dalam pelajaran.

“Setuju tak?”

“Yalah, Hanan setuju.”

No comments:

Post a Comment